10 November 2015

UEC: Kenapa Tak Hargai Toleransi Ini?

Tidak pasti sama ada kita mahu ucapkan syabas, tabik atau angkat topi atas ketegasan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
 
Namun, apa yang sewajarnya dibuat, telah dilakukan. Kata Timbalan Menterinya, Datuk Marry Yap Kain Ching kelmarin, pihaknya enggan mengiktiraf UEC kerana UEC tidak selaras dengan kurikulum kebangsaan seperti termaktub dalam Akta Pendidikan 1996.
 
Apakah UEC? Akronim UEC ditakrifkan sebagai Unified Examination Certificate atau Sijil Peperiksaan Gabungan Sekolah Menengah Persendirian Cina. Sijil ini diguna pakai oleh Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang dibenarkan beroperasi mengikut caranya sendiri, menggunakan silibus UEC, dengan syarat mesti mengikuti kehendak Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Secara tidak langsung pelajar ini akan memiliki dua sijil sekali gus iaitu UEC dan SPM.
 
Umumnya, sijil UEC dibahagikan kepada tiga tahap iaitu Menengah Rendah (UEC-JML), Vokasional (UEC-V) dan Menengah Tinggi (UEC-SML) yang keseluruhannya menggunakan bahasa Mandarin. UEC - SML mengandungi subjek Matematik, semua subjek sains dan semua subjek aliran perdagangan.
 
Sejak dahulu lagi, SMPC menolak Dasar Pendidikan Kebangsaan. Mereka enggan menerima pakai dasar dan kurikulum kebangsaan. Sebaliknya [mereka] menggunakan kurikulum yang diciplak dari Taiwan. Sistem penilaiannya juga dibuat oleh badan penilaian sendiri, bukannya oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.
 
Dong Jiao Zong iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Cina sejak tiga dekad lalu mendesak kerajaan mengiktiraf sijil UEC sebagai kelayakan untuk memasuki IPTA. Ini jelas suatu tindakan membelakangkan dasar-dasar kerajaan.
 
Hujah Dong Jiao Zong bahawa UEC diikritaf oleh pusat pengajian tinggi luar negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Taiwan, Hong Kong, China, Singapura, Autralia dan Kanada tidak relevan dengan senario di Malaysia. Apatah lagi dengan keadaan jurang perkauman semakin melebar dan luas sekarang, yang berisiko untuk masa depan negara.
 
Pada masa sama, ada gertakan dibuat oleh parti tertentu dalam Barisan Nasional, antaranya menjelang pilihan raya umum untuk 'menghalalkan' UEC yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
 
Ini kerana mereka berhujah seolah-olah seperti  status bukan warganegara Malaysia. Apa tidaknya, dasar sesebuah universiti sememangnya membuka peluang kepada pelajar asing dan menerima kelulusan pelajar tersebut berdasarkan kepada kualiti tanpa mengambil kira kaedah sistem pembelajaran di negara mereka. Mana mungkin sesebuah universiti menetapkan sistem pembelajaran bagi warga luar negara yang datang untuk belajar di Malaysia?
 
Tetapi, senario ini berbeza di Malaysia kerana kerajaan tidak sepatutnya mengiktiraf sijil UEC yang diperoleh oleh warga Malaysia yang ingin memasuki universiti awam di Malaysia, bukan ke luar negara. Ini bertentangan dengan sijil SPM yang diguna pakai sebagai syarat kemasukan utama.
 
Apakah menjadi suatu kesalahan jika kerajaan menetapkan syarat agar warga Malaysia yang layak ke universiti awam wajib menguasai bahasa kebangsaan dengan baik? Tinggi sangatkah permintaan sedemikian? Apakah sukar bagi kaum Cina untuk menguasai bahasa kebangsaan?
 
Rasional kenapa kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf dan menerima sijil UEC sebagai kelayakan memasuki IPTA amatlah mudah difahami berdasarkan alasan berikut:
  • Pertama - Sistem pembelajaran dan subjek diajar dalam bahasa Mandarin dan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di SMPC.
  • Kedua - Bagaimana hendak menilai tahap kecintaan negara jika pelajar ini tidak bercampur gaul bersama kaum lain?
  • Ketiga - Kelonggaran hanya dikhaskan kepada pelajar dari luar negara boleh dipertimbangkan menggunakan sijil pendidikan mengikut standard negara mereka ketika memohon memasuki IPTA. Permohonan pelajar dalam negara pula perlulah mempunyai kelayakan SPM.
  • Langkah menghalalkan sijil UEC sebagai 'tiket' masuk ke universiti tempatan dikhuatiri mendatangkan impak jangka panjang kepada kita semua. Antara kesan negatif yang bakal dihadapi ialah:
  • Pertama: meningkatkan lagi jurang pendidikan yang kita alami selama ini. Ini berlaku apabila ibu bapa yang telah yakin dengan pengiktirafan yang diberi sudah tentu berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka ke SMPC. Ini menyebabkan berlakunya percanggahan dengan semangat gagasan 1Malaysia yang kerajaan uar-uarkan. Di manakah ertinya perpaduan sebenar jika bersekolah di bawah bumbung yang berbeza?
  • Kedua - Mencipta suasana persaingan tidak sihat atas padang yang tidak rata. Umum maklum, sekolah Cina memiliki kemudahan jauh lebih baik berbanding sekolah kebangsaan (SK).
 
Alasan seperti bahasa Mandarin penting kerana factor ekonomi dunia hari ini bukan hujah tepat untuk mewajarkan penerimaan sijil UEC untuk ke university tempatan. Kepentingan bahasa Mandarin sebagai nilai tambah telah disedari dan bahasa itu telah diajarpun di SK. bahasa Mandarin itu dikuasai melalui subjeknya bukanlah sehingga harus mengiktiraf sijil UEC. Terdapat perbezaan antara kedua-dua entiti ini.
 
'Menghalalkan' sijil UEC untuk ke IPTA hanya akan menggagalkan gagasan 1Malaysia sebaliknya menjatakan 2 Malaysia! Jika dibenarkan maka cita-cita pembentukan negara bangsa dan perpaduan sebenar rakyat Malaysia nyata akan bertambah kusut dan mati.
 
Hakikatnya, toleransi kerajaan sudah tidak ada tolak banding. Dahulu terdapat peruntukan Akta Pelajaran 1961 yang memberi kuasa mutlak kepada Menteri Pelajaran untuk menghapuskan sekolah vernakular. Sebagai menghormati hak bangsa lain, peruntukan ini dimansuhkan dalam Akta Pendidikan 1996. Menteri Pelajaran tidak ada kuasa lagi menghapuskan sekolah vernakular.
 
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dahulunya dikategorikan sebagai sekolah bantuan modal, tetapi hari ini hamper ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Ini tidak termasuk 400 SJKC yang dibina sepenuhnya oleh kerajaan.
 
Kenapa masih tidak berterima kasih dengan toleransi ini? Masih tidak cukupkah apa yang dicurahkan kerjaan selama ini?
 
(Dipetik daripada "UEC : Kenapa tak hargai toleransi ini?" oleh Zulkifli Jalil, Utusan Malaysia 10 November 2015 (edisi cetak), m/s:11)
 

Tiada ulasan:

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...