Islamic Widget

06 Januari 2016

Isu Program Dwi-Bahasa: 'Sakitnya di kepala, kenapa diberi ubat cirit?' - Gapena

Isu Program Dwi-Bahasa: 'Sakitnya di kepala, kenapa diberi ubat cirit?' - Gapena
Beberapa NGO termasuk Persatuan Penulis Nasional (Pena), Majlis Perundingan Melayu, Gerakan Mansuh PPSMI, ABIM, MBM dan Perkasa tampil membantah program DLP. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Langkah yang diperkenal kerajaan dalam mengatasi masalah penguasaan Bahasa Inggeris menerusi pengenalan Program Dwi-Bahasa (DLP) umpama memberikan ubat yang salah kepada penyakit yang dihidapi.


Menurut Ketua II Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Datuk Zainal Abidin Borhan, pelaksanaan program itu bukan sahaja tidak berkesan dalam meningkatkan penguasaan dalam bahasa tersebut, malah membawa kesan yang lebih teruk di mana pelajar sukar memahami dengan sebenar-benarnya konsep sains dan matematik yang diajarkan.



"Kami tidak menolak Bahasa Inggeris, kami mahu semua rakyat Malaysia fasih berbahasa Inggeris. Tapi kalau sakitnya di kepala, kenapa diberikan ubat cirit birit? Kalau masalahnya kefasihan dan ketrampilan berbahasa Inggeris, kenapa diajarkan Bahasa Inggeris dalam sains, matematik, fizik, kimia dan sebagainya?



"Malah ia juga melanggar wasiat Raja-Raja Melayu dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 152 yang memperjelaskan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi," jelas Zainal Abidin dalam satu sidang media bersama gabungan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).



Selain itu, program di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2016 di Parlimen pada Oktober itu juga dilihat berat sebelah dan tidak menyeluruh.



"Berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan kementerian, DLP ini hanya dilaksana di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan. Kenapa ia tidak pula di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK)?" soalnya.



"Ia hanya akan memburukkan keadaan. Murid akan semakin keliru, akhirnya membawa kepada kegagalan menterjemah konsep asas dalam sains dan matematik selain terus gagal menguasai Bahasa Inggeris.



"Penguasaan dalam pelbagai bidang, termasuk sains dan matematik tidak akan berjaya sekiranya program ini digunapakai. Hasil kajian UNESCO mendapati sebaiknya pengajaran dan pembelajaran di sekolah dalah menggunakan bahasa ibunda," tegas Zainal Abidin.



Ekoran itu, beberapa NGO termasuk Persatuan Penulis Nasional (Pena), Majlis Perundingan Melayu, Gerakan Mansuh PPSMI (GMP), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) tampil membantah.



Namun menurut Pengerusi GMP, Profesor Emiritus Dr Shaharir Mohamad Zain, beberapa usaha untuk berunding dengan pemimpin terlibat, termasuk Menteri Pendidikan, menteri-menteri Kabinet serta pemimpin UMNO untuk memansuhkan, atau setidak-tidaknya menangguhkan pelaksanaannya supaya ia dapat diperhalusi dan disemak semula, gagal mendapat sebarang reaksi.



"Kami merasakan sekurang-kurangnya terkilan atau lebih dalam lagi mungkin dukacita setakat ini dengan tindakan kerajaan yang tidak mempedulikan isu ini walaupun begitu banyak pihak telah menyampaikan hasrat untuk berunding.



"Oleh sebab itu, kami sebulat suara untuk mengadakan satu bantahan besar-besaran, tunjuk rasa dengan berhimpun sebagai protes terhadap pelaksanaan program ini," maklum Dr. Shaharir.



Perhimpunan itu dirancang diadakan di seluruh negara pada 26 Mac ini sekiranya usaha rundingan masih menemui jalan buntu.


"Kami akan terus berusaha untuk menerangkan keburukan pelaksanaan program ini kepada orang ramai, pada masa sama cuba mengajak pihak-pihak berkaitan yang berkuasa untuk berbincang. Tapi andai sehingga hujung Februari ini usaha kami gagal, perhimpunan itu sebagai langkah akhir kami," jelasnya.



Pada masa sama, satu memorandum bantahan akan diserahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk disampaikan kepada Yang DiPertuan Agong, selain rancangan untuk mohon menghadap Sultan Perak untuk berbincang isu ini.



DLP dilaksana dalam mata pelajaran sains, matematik, teknologi reka bentuk dan teknologi komunikasi dan informasi (ICT) kepada pelajar Tahun 1, Tahun 4 dan Tingkatan 1 di 300 buah sekolah bermula sesi baru Januari 2016.