19 Ogos 2008

Pendidikan Kebangsaan

Pendidikan ialah wahana perpaduan. Pendidikan yang hanya bermatlamat untuk memajukan diri semata-mata tidak akan membawa kemakmuran kepada negara dan nusa. Bahkan pendidikan sedemikian akan hanya membawa kehancuran kepada masa hadapan negara.

Lihatlah sejak akhir-akhir ini, semakin banyak rakyat Malaysia yang mempersoalkan banyak perkara. Semua ini gara-gara semakin berpelajarannya mereka. Banyak perkara yang menyentuh isu dan kedudukan bahasa dan bangsa Melayu sebagai teras bahasa dan bangsa kebangsaan dibangkitkan. Ironinya, tidak seperti dekad 80-an dan 90-an, orang Melayu - Islam sendiri yang mempertikaikan kewajaran dan kedudukan bahasa dan bangsa Melayu. Selepas bahasa Melayu 'dimakamkan tanpa nisan' dalam mata-mata pelajaran berbentuk sains, matematik dan teknologi / teknikal, kini semakin besar suara Melayu yang menghina orang Melayu yang belajar dalam bahasa dan di negara sendiri. Paling akhir, cadangan membuka 10% UiTM kepada bangsa bukan Melayu - Bumiputera. Aneh sungguh...

Secara logik, memanglah pelajar Melayu perlu bersaing. Namun, jika dikaji, banyak perkara lain yang perlu dihalusi. Memang UiTM bukanlah satu tempat yang 'benar-benar Melayu'. Bahkan kebanyakan bahasa pengantar pengajiannya dalam bahasa asing. Memang itu sudah menjadi rahsia umum. Namun takkanlah kerana marah akan nyamuk, kelambu dibakar? Ingatlah... lulus jarum, luluslah kelindan!

Ingat kembali kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi bahawa sekarag, walaupun 10% kemasukan di MRSM diberikan kepada bukan Melayu, tetapi realitinya pengambilannya sudah melebihi 10%. Hal itu belum dikira dengan keadaan di sesebuah MRSM, Kolej Matrikulasi, dan SBP. Sesetengah institusi ini menempatkan lebh 20% pelajar bukan Melayu - Bumiputera. Sewajarnya 10% bermaksud maksimum hanya 10% pelajar bukan Melayu - Bumiputera yang berada pada satu-satu masa di sesebuah institusi yang dibina khas untuk orang Melayu - Bumiputera ini!

Jadi, sebelum nasi menjadi bubur, sebelum kisah Pak Kadok kembali berulang, ayuh, marilah sama-sama kita renung semula dan memuhasabah diri : benarkah pendidikan sebegini yang ingin kita wariskan kepada anak cucu kita?

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...