14 November 2013

PBSMR - PENJELASAN KPM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada akhbar HARAKAH bertarikh 20 Oktober 2013 (muka surat F8) bertajuk ‘PBS: Sekolah bukan bahan uji kaji.Terima Kasih diucapkan atas keprihatinan pihak akhbar Harakah khususnya YBhg. Dato Abu Bakar Chik terhadap perkembangan pentaksiran pendidikan negara. 

Lembaga Peperiksaan (LP) ingin memaklumkan bahawa pelaksanaan PBS merupakan penambahbaikan PMR dan bukannya menggantikan PMR sebagaimana yang dinyatakan dalam akhbar Harakah bertarikh 20 Oktober 2013. Untuk makluman, PBS merangkumi dua komponen iaitu akademik dan bukan akademik. Komponen akademik terdiri daripada Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP), manakala komponen bukan akademik terdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).PS dilaksanakan sepenuhnya oleh guru seiring dengan proses pembelajaran dan pengajaran dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3. Bagi pelaksanaan PP pula, LP akan menyediakan tugasan, instrument pentaksiran setara  (standardised instrument), peraturan penskoran, jadual pelaksanaan dan garis  panduan manakala  guru akan  mentadbir, mentaksir dan menskor berdasarkan  peraturan dan panduan yang ditetapkan oleh LP. PP akan dilaksanakan pada Tingkatan 3 bagi sekolah menengah mulai tahun 2014. Ini bermakna kesemua mata pelajaran yang dipelajari oleh murid termasuklah Pendidikan Islam  dan  Pendidikan Moral  ditaksir dalam PS dan PP, dan bukannya peperiksaan berpusat PBSMR bagi empat mata pelajaran teras seperti yang dinyatakan dalam Harakah. 

Sehubungan itu, maklumat berkaitan peperiksaan baharu PBSMR yang terkandung  dalam artikel tersebut adalah tidak tepat sama sekali. Ini adalah kerana tiada lagi peperiksaan berpusat  yang dikendalikan sepenuhnya oleh LP. Pelaksanaan PP masih di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan. Pihak LP akan memaklumkan pelaksanaannya secara rasmi melalui surat siaran. 

UNIT KOMUNIKASI KORPORATKEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

25 Oktober 2013

Minum Petang LKP - Sumbangsih untuk Pengawas i-KUPs

Semalam, 24 Oktober 2013 para ahli Lembaga Kepimpinan Pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu diraikan dalam Majlis Hi-Tea yang diadakan di Darulaman Golf & Country Club, Bandar Darulaman, Jitra. Majlis yang bermula sekitar jam 4.00 petang itu dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan amanat oleh Ketua Pelajar i-KUPs, Sdr. Abdul Azim Akmal bin Ismail. Nasihat dan amanat para guru penasihat : En. Zahrul Fuad Yang Razali, Pn. Nor Asmah Keria, Ustazh Jailah Mambong dan En. Ariffin Salleh turut mengambil tempat dalam majlis yang ceria itu. Seterusnya sambil menikmati pelbagai juadah yang istimewa, hadirin disajikan dengan halwa telinga nyanyian oleh Sdr. Farhan & Imran sambil diiringi oleh rintikan hujan. Suasana di perkarangan kelab golf begitu indah dengan hujan renyai-renyai membasahi padang golf dan kolam yang menjadi lokasi majlis. 

Majlis yang turut dihadiri oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, En. Malek Abu Hassan (yang turut mewakili Ayahanda Pengetua yang tidak dapat hadir kerana berkursus) ini bertujuan meraikan sumbangan dan bakti para pengawas yang telah setahun bertungkus-lumus membantu para guru di sekolah dan asrama. Selain sijil penghargaan, inilah salah satu cara pihak sekolah menyatakan terima kasih kepada sumbangan mereka. Semoga majlis sebegini menjadi pemangkin untuk pengawas-pengawas tingkatan empat meneruskan sumbangan dan kerja yang lebih baik pada tahun hadapan. Menariknya (buat pertama kali) anugerah Pengawas Paling Popular dan Pengawas Ohsem (ntah apalah diejanya!) turut diberikan kepada 2 pengawas putera dan dua pengawas puteri. Tahniahlah Eiyman, Nabila, Azim & Izyan! :-)

Kepada para pengawas tingkatan lima yang bakal menempuh peperiksaan SPM yang bermula pada 6 November ini (lagi dua minggu!) didoakan semuanya akan memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut. Kami, guru-guru penasihat LKP menharapkan anda semua buat sesempurna mungkin dalam peperiksaan tersebut. Insya-Allah, doa kami akan mengiringi kalian. Kepada pengawas tingkatan empat, silalah bersiap siaga dari segi fizial dan mental bagi meneruskan legasi kepemimpinan abang-abang dan kakak-kakak anda. Ingat, di pundak kalianlah tergalas harapan dan amanah para guru, sekolah dan rakan-rakan anda.

Kepada semua, ingatlah cogan kata LKP : "Berhikmah, Memimpin"

14 Oktober 2013

Allah Tuhan Yang Esa...

PUTRAJAYA, 14 Okt (Bernama) -- The Herald, penerbitan mingguan Katolik Malaysia dilarang daripada menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan.

Ini berikutan Mahkamah Rayuan membuat keputusan sebulat suara di sini Isnin untuk membenarkan rayuan kerajaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah "Allah" dalam penerbitan.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang mempengerusikan panel tiga anggota hakim berkata ia merupakan dapatan umum mahkamah bahawa kalimah "Allah" tidak pernah menjadi bahagian penting daripada amalan kepercayaan agama Kristian.

Beliau berkata dengan mengambil kira fakta sejarah dan agama, beliau tidak dapat menemui sebarang sebab munasabah kenapa responden ( Titular Roman Catholic Archbishp of Kuala Lumpur) "berkeras" untuk menggunakan kalimah "Allah" dalam penerbitan buletin mingguan mereka.

"Untuk memulakannya, pengiktirafan sewajarnya perlu diberikan kepada nama-nama yang diberikan Tuhan masing-masing dalam buku suci masing-masing seperti "Yahweh" Tuhan Kitab Bible; "Allah" bagi kitab suci Al-Quran dan "Vishnu" bagi kita suci Vedas," katanya dalam penghakiman setebal 40 halaman.

"Ia adalah munasabah untuk membuat kesimpulan bahawa penggunaan yang dicadangkan itu akan menyebabkan kekeliruan yang tidak wajar di kalangan masyarakat Islam dan sudah tentu ia tidak kondusif kepada suasana kehidupan yang aman dan harmoni di negara ini.

"Kesimpulan ini diperkuat oleh fakta bahawa majoriti penduduk di negara ini adalah orang Melayu dan beragama Islam," kata Hakim Apandi yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Beliau berkata daripada kajiannya mengenai sejarah bahasa Bible, adalah jelas bahawa perkataan "Allah" tidak wujud walaupun sekali sebagai nama tuhan atau malah bagi seorang lelaki dalam kitab suci Ibrani.

"Nama "Allah" tidak muncul walaupun sekali sama ada dalam kitab Perjanjian Lama atau Baharu. Dalam dunia Bible, "God" sentiasa dikenali sebagai Yahweh," kata Apandi.

Hakim Apandi membaca ringkasan keputusan itu dalam mahkamah terbuka. Mahkamah kemudian mengeluarkan tiga penghakiman bertulis secara berasingan.

Dalam penghakimannya, Hakim Apandi berkata permohonan untuk semakan kehakiman mengenai perkara-perkara yang bersifat seperti dalam rayuan ini menyekat kewujudan bersama semangat keamanan dan keharmonian dengan agama lain di negara ini.

Beliau berkata tujuan memasukkan perkataan "Dalam keamanan dan keharmonian" dalam Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan adalah untuk melindungi kesucian Islam sebagai agama negara dan juga melindungi daripada mana-mana ancaman atau kemungkinan ancaman kepada agama Islam.

Beliau berkata berdasarkan fakta-fakta dan keadaan kes itu, penggunaan kalimah "Allah" dalam versi Melayu The Herald, tanpa ragu-ragu, berpotensi mengganggu rentak kehidupan masyarakat Malaysia.

Hakim Apandi berkata berdasarkan alasan yang diberikan menteri dalam negeri dalam afidavit balasnya, adalah jelas bahawa beliau bimbang dengan keselamatan negara dan ketenteraman awam.

"Memandangkan kebimbangan menteri itu yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dalam negeri, bukan bagi mahkamah untuk menyiasat bukti-bukti kukuh keselamatan negara. Ia mesti disimpulkan bahawa keputusan menteri membabitkan keselamatan negara adalah rasional," katanya.

Hakim Apandi berkata anggapan beliau bahawa menteri telah tidak bertindak dalam apa-apa cara yang mewajarkan campur tangan badan kehakiman mengenai keputusannya melarang penerbitan itu menggunakan kalimah Allah.

Beliau berpuas hati bahawa bahan rujukan yang mencukupi telah dipertimbangkan oleh menteri (dalam negeri) dalam melaksanakan tugas dan kuasa berkanunnya mengikut Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984," katanya.

Beliau berkata mahkamah juga menghakimi bahawa syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri dalam permit penerbitan The Herald melarang The Herald daripada menggunakan kalimah "Allah" tidak melanggar mana-mana hak perlembagaan responden.

Sementara itu, dalam penghakiman 34 halamannya, Hakim Abdul Aziz berkata penggunaan kalimah "Allah" dalam The Herald untuk merujuk kepada "God" di kalangan penganut Kristian akan menimbulkan kekeliruan di kalangan orang Islam kerana konsep Tuhan dalam Islam dan dalam Kristian adalah jauh berbeza seperti langit dengan bumi - dalam Islam ia merujuk kepada keesaan Tuhan sedangkan dalam Kristian ia merujuk kepada konsep Triniti Tuhan.

"Dalam rayuan ini, ia menunjukkan bahawa sejak 1986 Kementerian Dalam Negeri apabila mengeluarkan arahan melarang penggunaan empat perkataan termasuk kalimah "Allah", telahpun menilai mengenai bahayanya kepada keselamatan dan ketenteraman awam jika penggunaan itu tidak disekat.

Hakim Abdul Aziz juga berpandangan bahawa kebenaran yang diberi Kementerian Dalam Negeri untuk mencetak dan menerbitkan 'Al-Kitab', Bible versi Melayu yang mana wujud kalimah Allah, tidak boleh dilayan dengan keadaan yang sama sebagaimana percetakan dan penerbitan The Herald menggunakan perkataan "Allah".

Ini kerana Kementerian Dalam Negeri telah menggariskan syarat bahawa Al-Kitab adalah untuk digunakan di gereja dan di kalangan orang Kristian sahaja dan perkataan "Bukan Untuk Orang Islam" dicetak pada muka depan Al-Kitab.

Sedangkan The Herald, katanya, adalah buletin yang digunakan sebagai saluran bagi Gereja Katolik untuk menyebarkan maklumat mengenai kegiatan gereja Katolik.

Dalam penghakiman 25 halaman, Hakim Mohd Zawawi berkata dari sudut pandangan ramai dan perdebatan, mahkamah boleh membuat kesimpulan bahawa orang-orang Kristian sendiri tidak mencapai kata sepakat bagaimana untuk menggunakan perkataan "Allah" sama ada dalam kerja-kerja terjemahan dan versi Bible atau dalam penggunaan umum mereka.

Ini hanya menunjukkan bagaimana perbalahan dan begitu kontroversinya penggunaan sedemikian, sambil menambah bahawa "Allah" bukan Tuhan Bible tetapi Allah adalah nama yang betul dan satu-satunya Tuhan dalam Islam.

Beliau berkata persoalan untuk menterjemahkan "God" sebagai "Allah" masih hangat diperdebatkan di kalangan orang Kristian di seluruh dunia.

Pada 16 Feb, 2010, Ketua Paderi Gereja Roman Katolik Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, menuntut antara lain, perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.

Penerbitan mingguan itu yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah 'Allah' untuk merujuk kepada Tuhan dalam edisi bahasa Malaysia, khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak.

Pada 31 Dis, 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah itu adalah salah di sini undang-undang, tidak sah dan batal.

Di luar mahkamah, peguam S Selvarajah berkata rayuan akan dibuat di Mahkamah Persekutuan.

"Kami ada 30 hari mulai hari ini untuk memfailkan permohonan untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan. Kami akan mengkaji penghakiman sebelum memfailkan permohonan," katanya.

31 Ogos 2013

Tanda Putera - tandanya kita masih jahil

Saya baru usai menonton filem "kontroversi", Tanda Putera. Seperti yang dijangka, pawagam tidak penuh dengan penonton berbanding dengan dewan sebelah yang memaparkan cerita hantu. Tak kisahlah... siapa mahu menontotn filem "berat" (agaknya begitulah kata mereka).

Disebalik kontroversi selama satu tahun, saya tidak pula tersentuh dengan adegan filem ini. Babak peristiwa 13 Mei 1969 saya kira diceritakan semula secara agak 'biasa' dan bersahaja, tanpa unsur-unsur yang terlampau dramatik. Bahkan kebanyakannya sudah menjadi pengetahuan umum. Yang menjadi inti pati dasar filem inilah yang wajar dihayati oleh penontotn. Sekiranya tiada pihak yang keterlaluan sensitif, saya kira peristiwa yang dupaparkan akan menjadi peristiwa filem semata-mata. Bahkan saya percaya penonton lebih terbuai perasaan terhadap "penderitaan" Tun Razak berbanding peristiwa 13 Mei.

Selamat menonton!

09 Ogos 2013

selamat Pulang Ramadan...

Ramadan
Kaupergisaat hati ini baharu terseru untuk dijinaki
 Kauberlalu tika jiwa ini baharu terasa nikmat malammu
Kauhilang sedetik selepas atma ini terdetik mencintaimu.

 Duhai betapa malangnya diri ini
Terpedaya tika kaudatang membelah malam
Terpesona tika kautiba menyinari siang
Terjelepok tika kaubawa kekuatan.

Ramadan...
Daku rindu mencumbui malammu
Yang dingin permai,
Daku penasaran menghidupkan diniharimu
Yang berkat
Daku kangen memesrai siangmu
Yang damai...

Ramadan,
Mungkinkah kita kan bisa ketemu lagi
Dan bersatu dalam keredaan-Nya!

30 Julai 2013

menantimu, Lailatul Qadar...

Alhamdulillah...sudah 21 hari Ramadan memberkati alam. Sepuluh hari terakhir, yang dijanjikan keberkatan pada satu malam daripadanya. Bonus berganda yang ditawarkan Allah kepada seluruh umat Muhammad s.a.w. Jadi, bagaimana? Mahu terus berehat setelah penat berpuasa pada siang hari, atau rebut bonus yang belum tentu diperoleh pada tahun hadapan? Tepuk dada, tanya iman!

Selamat meneruskan ibadat Ramadan!

02 Jun 2013

Nota Percutian : Saranan

Balik bercuti bagi cuti persekolahan penggal pertama tahun ini sedikit berbeza. Setelah agak lama tidak menggunakan pengangkutan awam, saya bertolak dari Kuala Lumpur (seusai Hari Kecemerlangan SBP ke-40 di SMSS) menaiki bas ekspres. Teringat nostalgia pada zaman universiti dahulu : berebut-rebut dan terkejar-kejar ke Hentias Bas Putra untuk pulang ke kampung. Kali ini kurang perlu untuk demikian kerana beg yang kecil selain tidak perlu bersesak-sesak di dalam bas mini no. 12! Sesampai di kampung halaman juga saya bergerak menggunakan pengangkutan awam - halal & haram! Inilah komentar saya:

(1) Kualiti Pengangkutan Awam.

(a) Nampaknya perjananan bas ekspres dari Hentian Putra masih cekap. Tahniah kepada DBKL yang memastikan perjalanan bas mengikut masa yang diteteapkan. Walau bagaimanapun, saya dapati Hentias Bas Putra masih sama keadaannya seperti 10 tahun dahulu. Malah sebenarnya lebih uzur kerana kemudahan sedia ada tidak diperbaik. Selain ruang menunggu yang sempit, pendingin hawa sudah kurang berfungsi menyebabkan kepanasan kepada para penumpang. Kemudahan tandas awam juga tetap tidak 'menyelerakan' tetapi terpaksa digunakan! Diharapkan, sementara stesen bersepadu yang baharu dibina (saya pernah terdengar bahawa ia akan dibina di Greenwood - betulkah?), mohon pihak yang bertanggungjawab menaiktarafkan stesen sedia ada untuk keselesaan penumpang. Apatah lagi, bertentangan dengannya ialah bangunan PWTC yang menempatkan pejabat parti pemerintah!

(b) Sesampai saya di Kuala Terengganu, saya tercangak-cangak menunggu bas yang akan membawa saya ke Kuala Berang. Jika sebelum ini saya menggunakan perkhidmatan teksi terus ke rumah, tetapi kali ini saya ingin bernastolgia : menaiki bas melalui jalan yang sama seperti zaman persekolahan saya dahulu. Malangnya, selepas menunggu beberapa lama, bas tidak juga muncul-muncul menyebabkan saya berlegar-legar di sekitar Hentian Bas MBKT - tercari-cari nasi dagang yang akhirnya terjawab, tiada satupun gerai yang menjualnya! Akhirnya bas ke Kuala Berang muncul pada jam 9.40, dan meluncur perlahan ke destinasi pada jam 10.00 pagi. Menurut kelindan bas, hanya sebuah bas yang bergerak di laluan antara Kuala Berang - Kuala Terengganu. Sepatutnya terdapat dua buah bas, tetapi bas yang kedua sudah 'agak lama' rosak menyebabkan hanya itulah satu-satunya bas yang beroperasi. Jadual perjalanannya (dari KT ke KB) 8.00 pg - 10.00 pg - 3.00 ptg - 5.00 ptg. Saya teringat sewaktu zaman persekolahan saya dahulu, paling lewat sebuah bas akan melintas antara 30 - 45 minit. Jalan KT-KB ialah jalan utama dan penghubung antara bandar, menjadikan lebih daripada tiga buah syarikat bas beroperasi di laluan tersebut. Hasilnya, pengguna tidak perlu 'tertidur' di 'bus stop' untuk menaiki bas! Maka, diharapkan pihak berwajib, khususnya SPAD dan amnya Kementerian Pengangkutan melihat dengan serius perkara ini. Jangan hanya melihat kepada RapidKL, RapidPenang & RapidKuantan; lihat juga kepada negeri-negeri 'mundur' yang rakyatnya memerlukan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih efisien! Tak perlu buat LRT dan monorel di sana, cukuplah jika bas dapat beroperasi dengan lebih banyak, efisien dan sistematik di jalan-jalan raya yang hebat itu! Janganlah membahayakan nyawa rakyat Terengganu kerana terpaksa menumpang 'prebet sapu' untuk ke bandar!

(c) Semasa bersiar - siar di Kuala Terengganu, saya terpandang papan tanda pembinaan stesen teksi Kuala Terengganu di bekas tapak stesen bas ekspres Tanjung, bersebelahan dengan Taman Syahbandar. Saya kira   dalam era pengangkutan bersepadu ini, elok kiranya stesen teksi dibina berhampiran dengan stesen bas MBKT. Stesen bas lama yang kini menjadi parkiran kereta wajar dinaiktaraf dan dijadikan stesen teksi. Selain memudahkan pengguna, saya percaya pengangkutan awam di Kuala Terengganu akan lebih efisien dan menambahkan rezeki pemandu teksi.

(2) Imej Bandar Raya Warisan Pesisir Air.

(a) Apabila disebut warisan, tergambar dalam fikiran saya bahawa Kuala Terengganu bakal didirikan dengan pembangunan yang mempunyai imej warisan sebagai daya tarikan pelancong. Pasar Besar Kedai Payang sebagai ikon perlu dikekalkan (bukan didirikan hotel di atasnya), selain bangunan baharu yang bercirikan kebudayaan Terengganu. Selain itu, imej utama Terengganu - seperti kata Munsyi Abdullah dalam bukunya 'Kisah Pelayaran Abdullah ke Terengganu & Kelantan' - iaitu tulisan jawi yang halus dan cantik perlu diperhebat. Kerajaan negeri, khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sama ada MBKT atau majlis-majlis daerah / perbandaran perlu memastikan semua bangunan awam di tulis dengan tulisan Jawi, selain aksara Rumi sedia ada. Sebagai contoh, Hentias Bas MBKT yang sudah dua puluh tahun wujud, tidak ditulis dalam aksara Jawi, sedangkan itu ialah pintu masuk ke Kuala Terengganu. Begitu juga dengan bangunan-bangunan utama lain, sewajarnya dituliskan dalam huruf Jawi sebagai lambang Bandar Raya Warisan!

(b) Sebagai bandar berbudaya dan bercitra bangsa, sudah pasti faktor utama yang perlu dipertontonkan ialah penggunaan bahasa. Banyak bangunan baharu yang tumbuh bak cendawan selepas hujan di Kuala Terengganu. Tahniah! Namun begitu, saya dapati bangunan-bangunan ini, sama ada hotel, pusat perniagaan mahupun pusat liburan telah menggunakan dengan sebebas-bebasnya bahasa asing sebagai tanda namanya. Perkataan seperti "square". "mall", "central (dieja sentral)" digunakan sebagai jenama bangunan baharu. Saya kira ini perkembangan yang tidak sihat dan tidak baik kepada perkembangan bahasa serta imej negeri Terengganu. Sudahlah nama-nama hotel penuh dengan nama yang 'diimport', bangunan-bangunan dan pusat beli-belah turut menampilkan perkara yang sama. Saya menggesa pihak terbabit : PBT, EXCO yang terlibat serta Dewan Bahasa dan Pustaka melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang tidak wajar. Oleh itu, saya menggesa mereka menukarkan perkataan - perkataan tersebut dengan bahasa Melayu. Jika penggunaan nama pusat beli-belah dan kompleks (yang sudah lazim dalam bahasa Melayu) nampak 'kuno', saya mencadangkan DBP memperkenalkan dan meluaskan perkataan baharu sebagai padanan kepada istilah-istilah tersebut. Mungkin perkataan 'pura', 'gapura', dan sebagainya wajar disebarluaskan penggunaanya untuk presmis-premis perniagaan itu. Cuit-cuitlah sedikit dengan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Pindaan dan Perluasan) 1995!

Percutian saya pada kali ini, walaupun sedikit menyukarkan pergerakan memberikan saya sedikit sudut pandang kepada beberapa perkara. Jika selama ini, ketika berkenderaan - perkara-perkara ini tidak begitu membekas dalam pandangan, saya berharap semua pihak berwajib turut terpanggil untuk mentelaah perkara yang saya singgung di sini demi kebaikan bersama. Rakyat didahulukan sudah pasti bermaksud 'aspirasi rakyat untuk keselesaan mereka' perlu diberikan perhatian nombor 1! Bukan slogan semata-mata!

30 Mei 2013

HKSBP40 - Notakaki

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Syukur, telah lima hari acara tahunan SBP, Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh (HKSBP) kali ke-40 berlangsung di Sekolah Menengah Sains Selangor. Hari ini ialah hari kemuncak pertandingan bahas, debate dan bola keranjang. Pasukan yang telah berjaya mara ke separuh akhir (bahas dan debate) akan berentap bagI melayakkan mereka bertemu di PICC pada 30 Ogos nanti bagi pertandingan akhir. Walau bagaimanapun, pasukan I-KUPs tidak berjaya melangkah lebih jauh apabila hanya mampu bertahan hingga ke pusingan kalah mati saja (pusinga kedua). Begitupun syukur kerana telah berjaya meraih juara kumpulan O dan melayakkan diri ke pusinggan kedua. Sesungguhnya kejayaan bukannya mudah. Usaha dan pengorbanan diperlukan bagi memastikan kejayaan ini terhasil. Begitu juga, sepanjang pertandingan doa dan kata-kata semangat daripada seluruh warga dan bekas warga I-KUPs tidak putus-putus mencurahi mereka. Terima kasih kepada semua yang mendoakan anak-anak I-KUPs ini.

Pada tahun ini, bekas pelajar telah mampir memberI sokongan. Kalau sebelum ini hanya menyaksikan sekolah-sekolah 'lama' yang membanjiri setiap inci kawasan sekolah, kini x-student I-KUPs turut memeriahkan suasana. Itulah hakikat HKSBP. Berkumpulnya seluruh warga sbp bagi memberi sokongan dan semangat kepada sekolah dan bekas sekolah masing-masing merupakan antara perkara yang menarik kepada sbp. Mungkin inilah satu-satunya acara yang dapat menyambung dan mengikat silaturahim serta nostalgia warga sbp, sama ada yang baharu meninggalkan bangku sekolah mahupun yang sudah bergelar senior. Lantaran itu, di sebalik cadangan dan gesaan agar hksbp 'dikecilkan' saiznya dengan menyaring mereka di peringkat zon, terdapat juga gesaan supaya fenomena seperti asal dikekalkan. Walaupun mungkin berlaku kesusahan kepada tuan rumah, namun pengalaman yang 'agak sunyi' di Pasir Putih pada 2010  menunjukkan bahawa ia sesuatu yang tidak wajar dilakukan. Namun memandangkan pada tahun hadapan sebanyak 70 buah sbp akan bertandang ke SESMA bagi hksbp41, pihak atasan mungkin perlu memikirkan startegi baharu dalam pelaksanaan program ini,. Mungkin tuan rumah tidak lagi diberikan kepada sebuuah sekolah sahaja, tetapi digabungkan untuk dua atau tiga buah sekolah seperti yang dilakukan pada hksbp40 ini. Namun sudah pastilah bajet besar dan mencukupi amat perlu diberikan kepada tuan rumah agar perjalanan majlis berlangsung dengan lancar tanpa masalah besar.

Apa-apapun, tahniah kepada SMSS dan semua pihak yang telah memastikan HKSBP40 berjalan lancar pada tahun ini. Semoga pada tahun hadapan, pesta ini bertambah metiah dengan kehadiran warga baharu sbp... kepadembahas I-kups, tahniah kerana berjaya melepasi pusingan satu, namun ingat, sasaran masih jauh untuk dicapai!

09 Mei 2013

Pendidikan dan Manifesto Politik

Alhamdulillah... sebagai satu daripada beratus-ratus (mungkin beribu-ribu) tanda 'demokrasi' pilihan raya umum persekutuan dan negeri telah selamat dijalankan. Suka, duka, gembira, puas hati, kecewa, marah dan 1001 perasaan berbaur dalam jiwa seluruh warganegara. Namun beigutulah... itulah realitinya : demokrasi bukanlah yang terbaik untuk dianut : sama seperti sekularisme, komunisme, nasionalisme dan segala macam -isme yang pernah wujud. Namun, setakat ini: demokrasi memberi sedikit kelebihan kepada insan untuk bernafas, sementara menunggu khilafah Islamiah tulen terdiri. Lantaran itu, mahu atau tidak kita terpaksa menerima apa yang dikatakan "majoriti itu kuasa". Maka, untuk mendapatkan majoriti, pelbagai jenis kuasa digerakkan : daripada kuasa luhur wahyu Ilahi kepada kuasa serakah tunggangan iblis! Apa-apapun, tahniah kepada sleuruh warganegara Malaysia yang telah memilih secara sedar, waras dan pertimbangan.

Walau apa-apapun, pascapilihanraya menuntut lebih daripada sekadar seruan "terima" atau "tolak". Yang utama ialah mereka yang terpilih memikul amanat warganegara (sekali gus menjunjung amanah Allah) perlu mula berfikir. Berfikir untuk kebaikan tanah air. Berfikir untuk kebaikan anak-cucu pewaris negara, bukan keseronokan diri kita kini semata-mata. Salah satu yang menurut hemat saya perlu diteliti dengan sebijak-bijak dan sedalam-dalamnya ialah tentang "janji untuk mengkaji penerimaan UEC bagi kemasukan ke IPTA dan perjawatan awam dinegara ini". Jika dilihat dalam manifesto Pakatan Rakyat, secara jelas mereka menyatakan bahawa mereka akan mengiktiraf sijil UEC untuk keperluan seperti yang disebutkan tadi. Sementara itu, barisan Nasional pula tidak menyebut tentang perkara ini dalam :Aku Janji" mereka, tetapi Perdana Menteri telah mengadakan dua kali pertemuan dengan persekutuan persatuan pendidik dan pengelola sekolah Cina sebelum pilihan raya diadakan.

Maka, saya berminat untuk meneruskan pembicaraan tentang sejauh manakah kewajaran UEC diterima dalam sistem pendidikan kebangsaan dan impak 'penerimaan UEC' kepada pembentukan bangsa Malaysia dalam blog ini.

Sekiranya anda mempunyai maklumat, pengetahuan, ilmu serta maklum balas, mungkin boleh berkongsi idea dan pandangan yang rasional dan berilmiah agar boleh dimanfaatkan oleh kita bersama.

31 Mac 2013

Untuk kalian... anak-anak i-KUPs


Saat dinihari begini, hati ini tersedak. Dalam kebeningan alam, dalam kesunyian jiwa; entah mengapa atma ini terasa sayu. Kedinginan embun, jua kesayupan suara unggas malam, terasa begitu saujana, sedang sayupnya perasaan berkocak di kalbu. Entah mengapa... dalam kesyahduan irama bayu, dalam kesenduan bicara purnama, sukma ini tertancap pada anda semua - (bekas) anak- anak i-KUPs.


Bagaimana kiranya kalian. Sudahkah jeruk rasa yang membungkam di hati terburai di tengah-tengah keriuhan manusia? Sudahkan cengkaman azab di penjara sempadan terurai dengan derasnya masa mayapada? Moga-moga demikianlah. Moga-moga begitulah. Kerana sesungguhnya tiada keajaiban yang lebih ajaib di mata murabbi di sini melainkan melihat kalian gagah menyongsong badai realiti dunia. Kerana tiada yang lebih membahagiakan daripada melihat kalian tertawa meredah belantara sengsara dunia - tanpa gentar!

(gambar drp : http://ciffahmimalomuchacha.blogspot.com)

Dalam keriuhan yang sendu, masih terngiang - ngiang ucapan kalian : "terima kasih ... dan maafkan kami atas keputusan yang tidak seberapa". Sungguh, bukan itu yang hati kami inginkan. Bukan itu yang pendengaran kami dambakan. Kerana hakikatnya, jauh di lubuk sukma ini - kami yang harus mengucapkannya kepada kalian. Resah hati bukan kerana tersasarnya sasaran. Remuk jiwa kami kerana sedar bahawa harapan kalian, harapan ayah bondamu - tersadai di sumur ujian ini. Bukan ... bukan!!! Bukan kalian yang menjadi pendosa, bahkan dari dasar atma ini, terasa kamilah yang tidak berjaya. Gagal membawakan impian kalian melonjak membelah bulan. Gagal membawakan cita-cita kalian menggalah mengharung gelombang. Mungkin dalam leteran ada amarah. Mungkin dalam amarah ada benci. Mungkin dalam salam ada tersentuh perasaan. Mungkin dalam doa tiada ikhlas. Maaf... mungkin murabbi ini belum membalut qalbi dengan akhlak sesuci wali; iman setebal sahabat. Maaf...



Kerana kalian pewaris ummah. Kerana kalian penerus perjuangan. Maka teruskanlah, anak-anak... Bukannya ini perjuangan terakhir. Bukan ini pertempuran penyudah. Ini hanyalah pencetus semangat. Ujian yang ingin melihatmu bangkit daripada ketersungkuran. Kerana kami yakin bahawa, kalian ialah pejuang yang kental. Pahlawan yang tidak terkalahkan dek onak dalam cuka kehidupan. Pembela yang tidak terkesima dengan sedikit kejayaan. Usah kaukhuatir anak-anak... Kami reda dengan apa-apa yang ada pada kamu. Selagi kauturut titian syariat, selagi kaupandang dengan makrifat... selagi itulah restu kami memayungi kalian.

Teruskan perjuangan, anak-anak!

23 Mac 2013

SPM...berakhir satu penantian!

Alhamdulillah... keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dah pun selamat diumumkan. Sebetulnya, keputusan tahun ini sedikit merosot berbanding tahun lepas. Walau bagaimanapun tahniah kepada semua anak didik i-KUPs. Bagaimanapun keputusan yang anda peroleh, itulah hasil daripada usaha anda. Mungkin yang berasa tidak berbaloi kerana usaha mereka sebenarnya amat tinggi, namun hasilnya sungguh sedikit. Misalan bagi seorang petani yang menanam padi: menggala, menyemai, menabur, membaja, meracun... semuanya telah dibuat. Pabila berbuah dijaga, dihalau ciak dan dihambat siput dan bena perang. Namun pabila sudah mahu dituai, tiba-tiba hujan turun. Lebat. Tenggelam semua hasil yang sudah terbentang di hadapan mata. Itulah yang Allah kurniakan. Mungkin sudah jemu mendengar - Setiap kejaidan ada hikmahnya! Namun itulah haikaktnya. Sedangkan mereka yang berusaha sedaya mungin juga sukar memperoleh keputusan yang hebat... apatah lagi kepada mereka yang hanya tidur sepanjang P&P di dalam kelas; bersembang pada waktu prep dan berdengkur dalam program Tutor Tutee. Waalhu a'lam!

Bagi yang sering tertanya danbertanya, inilah data-data SPM i-KUPs tahun ini:

Kelulusan : 99.46%
Gred Purata Sekolah : 2.15
Bilangan Semua A : 19
Bilangan Semua A+ : 0
Subjek Semua A : Pendidikan al-Quran dan Al-Sunnah
Ranking Daerah : No. 3
Ranking Negeri  : No. 4

Tahniah kepada semua pelajar, tahniah kepada semua guru yang telah bertungkus-lumus menjalankan program. Namun sudah pasti kita semua sedar bahawa; manusia hanya merancang, Allah yang menentukan!

Sedikit gambar di sebalik tabir untuk tatapan semua!

Pengumuman keputusan

Alamak....!

Kosong.....
Pembawa keputusan dari bilik pengetua...tetap seronok!


kenapa...ya??
Tak apa... kita akan atur startegi baharu untuk tahun ini!

Panjangnyaaa....
Terkejut?
Pelajar Semua A SPM 2012

21 Mac 2013

menelan jadam


merasai getir yang memenuhi
hati lidah dan rasa
kelu untuk berbicara. namun
dalam senyap jiwa tertawa
kerana, katanya : sungguh
tiada penawar yang lebih mujarab
daripada
jadam!

13 Mac 2013

Lari Dari Syurga - Pemberontak Muda?

Saya membaca koleksi cerpen (itu yang ditulis pada muka depan buku ini) Lari Dari Syurga yang dihadiahkan oleh salah seorang penulisnya, Pn. Siti Hajar. Catatan ini, walau bagaimanapun tidaklah mengikut hukum dan rumus kesusasteraan, apatah lagi jika dikatakan sebagai kritikan. Tulisan ini lebih menyorot karya-karya dalam koleksi tersebut dari sudut pandang pembaca 'tua'. 'Pembaca tua' kerana saya melihat hasil nukilan penulis 'muda' yang berkobar-kobar di dalamnya.

Seperti tajuk entri kali ini, saya rumuskan lebih 89% karya dalam koleksi ini ialah ekspresi pemberontakan 'orang muda'. Walaupun kebanyakan pemberontakan ini, khususnya kepada agama dan politik telah diluahkan dengan lebih halus dan sinis dalam tahun-tahun 70-an, namun koleksi ini boleh memberikan sedikit gambaran terhadap jiwa orang muda abad ke-21. Cerpen Menteri Bernama Barua sebagi contoh, jelas menampakkan 'kebaruaan' penulisnya apabila dengan lantang menyanggah realiti sosial kini. Canggahan itu sememangnya menarik sekiranya diadun dengan lebih berseni, kerana orang membaca karya untuk melihat aspek keindahannya. Jarang sekali orang membaca karya sastera untuk 'menikmati' suara-suara marah ala penulisan diari peribadi. Cerpen Demi Sebuah Janji yang mengadunkan ketidakpuasan hati terhadap dunia yang semakin kotor ini juga tampak klise dengan isu dan gaya penulisan yang kurang matang. Masalah LGBT yang terpapar dalam Lari Jangan Berhenti juga nampak hambar dan jelas kelihatan sekadar luahan protes anak muda. Mungkin penulis-penulis muda ini perlu bermula di arena yang lebih sihat berbanding dengan menulis secar semberono.

Walaupun begitu, daripada koleksi yang sama, penulisan Khalil Zaini (Dilarikan Cahaya...Entah), Hajar Zainal (Terpedaya Tercalar Terbakar) dan Ahmad Shukri (Perisai Halimunan Tasha) menampakkan hasil penulisan yang 'agak' baik. Walaupun selesai membaca Perisai Halimunan Tasha, terasa seolah-olah membaca karya buah tangan pertandingan penulisan cerpen fiksyen sains, namun tidak salah untuk bermula dengan karya sastera fiksyen, berbanding dengan karya picisan!

'Pemberontakan' anak muda dalam karya-karya Koleksi Cerpen "Lari Dari Syurga" ini memang ketara. Pemberontakan jiwa tentang sosial, politik, agama malah terhadap diri sendiri sekiranya digarap dengan lebih 'berilmu dan berakhlak'. Mungkin mereka ini tidak hanya boleh mengharapkan idea dan perasaan sahaja, tetapi perlu sedikit rajin menghadiri 'kuliah sastera' agar lebih suara mereka bukan sahaja didengari, bahkan kualiti sebagai penulisan insani lebih berjaya.

Cuma...sedikit ragu-ragu dengan "Sujud dua kiblat tak salah kerana Dia yang memberikan pilihan itu" (Sujud Dua Kiblat). Oh... pemahaman bahasa saya masih dangkal!

08 Mac 2013

Mim Enam Puluh Tujuh


 

MIM ENAM PULUH TUJUH
(mengenang helaian usia yang semakin menipis)

sudah terlalu lusuh usiaku
roda waktu yang berputar
dimakan karat besi
mataku kabur pada kabus membalut
gunung pengalaman
cinta kekasih ragu dan gundah
aku sendiri
memagut masa-masa sepi dan pedih
air mata yang menderas
pada pipi yang mulai kendur
keindahan tubuh-tubuh ranum
di padang ingin
sudah berlalu merembang senja
menggiring cemeti sayidina ali
ya Ilahi ya Rabbuljalil
dapatkah aku kembali tersenyum
bila melihat mawar sa'di di taman hayat
bolehkah aku mengecap nikmat
kecapi burung-burung syurgawi
antara nun dan mim
senyum tagihan cinta dan
waktu untuk bersama
anak-anak yang mulai hilang mesra
keanakannya, airmata atau beberan
Ilahi, aku mencari-Mu
dalam ayat-ayat suci-Mu
di tengah kehilangan
dan kejip obor umur
kian mengecil
adakah pingai dahulu
masih mengenal suaraku?
adakah sungai dingin dahulu
masih dapat mencium bau tubuhku?
bulan sabit di langit sepi sang salik
masihkah sahabat maklumi
kias iktibar perlakuan
gerak bibir kunfayakun
album usia yang robek
cinta insani yang dikebiri
tak betah tak bertanda
selain nafsu diri

(petikan sebahagian daripada sajak : Mim Enam Puluh Tujuh oleh
KEMALA, DBP 1999: 88-89)

03 Mac 2013

Matlamat & Kejayaan

Matlamat tanpa deadline adalah tidak lengkap. Apa jua matlamat yang ditetapkan, tetapkan sama deadline untuk mencapainya. Bila kah deadline yang terbaik? 6 bulan? 1 tahun? 3 tahun? 5 tahun? Atau 10 tahun?
Kebanyakan orang tidak menetapkan deadline untuk menetapkan matlamat oleh kerana takut, matlamat tersebut tidak dapat tercapai sebelum deadline! Sekiranya tidak tercapai, ia akan mengurangkan motivasi sendiri… oleh itu, mereka biarkan tarikh untuk mencapai matlamat tersebut terbuka- bila-bila masa sahaja!

Itu adalah pemikiran yang salah. Dengan menetapkan deadline untuk matlamat anda, anda memberi satu sasaran yang jitu. Apa akan terjadi sekiranya anda tidak berjaya mencapai matlamat sebelum tarikh deadline? Senang sahaja… berikan satu tarikh deadline yang baru! Ia hanya akan mengajar anda untuk lebih berusaha dan lebih realistik dalam mencapai matlamat. :) 

dipetik daripada  http://www.irfankhairi.com/blog/motivasi/tetapkan-deadline-matlamat-anda
 

19 Januari 2013

Selamat Bertugas...

Seperti lazimnya, pada awal tahun antara yang paling sibuk ialah para pengawas. Jadi bagi menghargai dan menguar-uarkan 'kewujudan' mereka secara rasmi, maka majlis pelantikan telah diadakan. Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Kepimpinan Pelajar SBPI Kubang Pasu 2013 telah disempurnakan pada 15 Januari 2013 oleh YBhg. Tn. Hj Halim bin Mansor, Pegawai Pelajaran Daerah Kubang Pasu. Majlis yang sederhana ini telah menyaksikan seramai 34 orang pengawas telah dilantik, yang terdiri daripada 24 orang pengawas tingkatan 5 dan 10 orang pengawas tingkatan 4. Mereka diketuai oleh 5 orang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, iaitu :
  1. Abdul Azim Akmal bin Ismail sebagai Ketua Pelajar
  2. Izyan Adlina bt Zainuddin sebagai Timbalan Ketua Pelajar 1
  3. Mohd Idraki Eiyman bin Mohd Zamri sebagai Timbalan Ketua Pelajar 2
  4. Mohd Lutfi bin Roslan sebagai Penolong Ketua Pelajar (Putera)
  5. Anisah bt Abd Rahim sebagai Penolong Ketua Pelajar (Puteri)
Semoga mereka dapat melaksanakan tugas yang telah diamanahkan dengan penuh tulus, jujur dan bertanggungjawab sepertimana yang dikrarkan oleh mereka. Selamat bertugas!




18 Januari 2013

Selamat Tahun [yang dah tak berapa] Baharu!

Rasanya tidaklah terlalu lewat untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2013 (klise - tapi nak tulis juga begitu :-D). Pada awal tahun baru-baru ini, tidak berapa berkesempatan untuk menulis blog. Selepas sibuk menyiapkan tugas untuk negara, disambung pula dengan kesibukan berpindah rumah. Alhamdulillah, selepas dua minggu melayari tahun baharu 2013, sekarang agak tenteram. Walaupun rumah yang didiami sekarang belum siap sepenuhnya, namun sudah makin serasi. Cerita bab rumah ni - kemudianlah.

Tahun 2013 - alhamdulillah, kiamat tak jadi pada 21-12-12 -menjanjikan pelbagai cabaran. Biasalah, kehidupan tanpa cabaran ialah kematian yang bermula awal. Sebagai pendidik, cabaran saban tahun bukan sahaja untuk memastikan anak-anak didik berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan; namun yang utama memastikan mereka berjaya menjadi "orang yang budiman". Inilah matlamat pendidikan bahasa yang sering saya ungkapkan pada awal-awal perjumpaan dengan anak-anak didik di dalam kelas. Bagi mereka yang sudah melewati alam persekolahan, diharapkan mereka yang pernah terdidik di dalam kelas saya, mengingat kembali matlamat itu. Saya pernah terdengar bicarawara di sebuah radio tentang matlamat sebagai guru. Kata ahli panel tersebut, setiap guru sepatutnya menanamkan di dalam jiwanya satu matlamat : "aku mahu masuk syurga dengan tiket sebagai guru". Saya berharap tiket "budiman" yang sering saya terapkan di dalam kelas itu menjadi salah satu tiket untuk saya ke syurga. Doa-doakanlah...anak-anakku!

Tugas-tugas lain -selain di dalam kelas- macam biasa. Bertambah dan bertimbun-timbun. Seperti yang pernah saya lafazkan kepada seorang anak murid (kini - mantan), ada dua pelaksanaan untuk ini : sebagai tanggungjawab dan sebagai pengorbanan. Insya-Allah, saya akan laksanakan tugas yang diamanahkan, sama ada sebagai tanggungjawab atau sebagai pengorbanan.

Apa-apaun, cabaran 2013 bukan sahaja pada kerjaya. Banyak lagi yang perlu diperkaya - hati, jiwa dan minda. Semoga Allah memberkati perjalanan hidup ini, dan menolong hamba yang lemah ini. Moga.moga... amin Ya Allah!

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...