26 November 2014

Seusai SPM

Semalam kertas terakhir SPM bagi pelajar aliran sains tulen dan sains tulen agama. Biologi. Menjelang 3 Disember, tinggallah 16 orang pelajar aliran sains teknikal meniti hari-hari sebelum meninggalkan bumi i-KUPs. Tahniah kepada semua yang telah berjaya melalui ujian kehidupan sebagai pelajar SPM untuk menempah tiket ke peringkat ketiga! Jangan pula nanti apabila dah berjaya ke universiti, ada suara-suara yang menyatakan SPM tak penting! memang...SPM dah tak penting selepas berjaya. Macam orang masuk taman tema Legoland, tket dah tak penting apabila dah dapat masuk...tapi sebelum masuk, pengawal periksa dahulu, ada tiket ka tidak. Samalah macam SPM!

Diharapkan semua pelajar yang telah mengakhiri zaman persekolahan berjaya meneruskan kehidupan dengan lebih bermakna. Buatlah apa-apa yang selama ini selalku dilarang semasa di asrama : 'online' 25 jam, tidur sampai kesiangan, berwassap sampai kejang jari tangan... dan sebagainya! Semoga berjaya...


08 Jun 2014

HADIAH HARI GURU

Sambutan hari guru 2014 sudah hampir sebulan berlalu. Tahun ini, tiada apa-apa imbuhan untuk guru diumumkan kerajaan, selain kesan imbalan tahun lepas : kenaikan gred berdasarkan kecemerlangan. Namun untuk mengatakan tiada langsung apa-apa insentif baharu kerajaan kepada golongan pendidik adalah bohong. Hal ini kerana pada Disember 2013, kerajaan telah mengeluarkan pekeliling menyebut tentang skim baharu untuk pendidik yang mempunyai ijazah lanjutan (sarjana dan doktor falsafah) diberikan gred permulaan a.k.a skim gaji baharu yang lebih baik. Terima kasih.

Walau bagaimanapun, dalam menyambut baik keprihatinan kerajaan tersebut, timbul persoalan kepada para pegawai perkhidmatan pendidikan (PPP) sedia ada : bagaimana dengan kami yang telah lama berkhidmat serta mempunyai, bukan sahaja Sarjana, malah Ph.D daripada IPT yang diiktiraf JPA? Tidak layakkah golongan ini menerima sedikit imbuhan kenaikan gaji? Jika PTD yang memiliki ijazah lanjutan sudah lama diberi tiga kenaikan gaji tahunan (KGT) - kalau tidak silap saya - dan biasanya menjadi keutamaan untuk dinaikkan gred @ pangkat, maka tidakkah wajar PPP yang hidupnya bergelumang dengan proses pengilmuan kepada pelajar diberikan kenaikan yang serupa?

Pada hemat saya, kerajaan melalui JPA perlu mengambil cakna akan perkara ini. Selain mengiktiraf keilmuan pemegang ijazah lanjutan ini, imbuhan ini akan terus menggalakkan guru-guru belajar demi mendidik anak bangsa dengan ilmu terkini. Sudah pasti tidak pernah disangkal bahawa guru yang berilmu tinggi, dan tekun untuk menambahkan ilmunya mampu memberi impak yang lebih baik kepada murid-murid mereka, paling kurang dari segi motivasi untuk belajar.


08 Mac 2014

MIM ENAM PULUH TUJUH (mengenang 40 tahun perjalanan diri)

sudah terlalu lusuh usiaku
roda waktu yang berputar
dimakan karat besi
mataku kabur pada kabus membalut
gunung pengalaman
cinta kekasih bersalut ragu dan gundah
aku sendiri
memagut masa-masa sepi dan pedih
air mata yang menderas
pada pipi yang mulai kendur
keindahan tubuh-tubuh ranum
di padang ingin
sudah berlalu merembang senja
menggiring cemeti sayidina ali
ya Illahi ya Rabbuljalil
dapatkah aku kembali tersenyum
bila melihat mawar sa'di di taman hayat
bolehkah aku mengecap nikmat
kecapi burung-burung syurgawi
antara nun dan mim
senyum tagihan cinta dan
waktu untuk bersama
anak-anak muda yang mulai hilang mesra
keanakannya, airmata atau beberan
Ilahi, aku mencari-Mu
dalam ayat-ayat suci-Mu
di tengah kehilangan
dan kejip obor umur
kian mengecil
adakah pingai dahulu
masih mengenal usiaku?
adakah sungai dingin dahulu
masih dapat mencium bau tubuhku?
bulan sabit di langit sepi sang salik
masihkah sahabat maklumi
kias iktibar perlakuan
gerak bibir kunfayakun
album usia yang robek
cinta insani yang dikebiri
tak betah tak bertanda
selain nafsi diri.

(Kemala, Kumpulan Puisi Mim, DBP 1999)

SIAPA PESAING ANDA?

Siapakah pesaing anda yang paling hebat?

Jawapan: Diri anda sendiri!

Satu strategi kejayaan yang saya sering gunakan adalah bersaing dengan diri sendiri. Saya juga dapati cara ini digunakan oleh mereka yang berjaya termasuk Donald Trump, Lance Armstrong, Bill Gates dan ramai lagi.Sebab itu, selepas mencapai sesuatu, saya akan terus fikirkan, bagaimana hendak bersaing dengan diri saya sendiri dan hasilkan sesuatu kejayaan yang lebih?
Dengan berfikir diri anda adalah pesaing anda paling hebat, anda dapat mengekalkan momentum setiap hari untuk mencapai kejayaan demi kejayaan. Setiap apa yang dilakukan adalah untuk bersaing dengan kebolehan dan pencapaian anda sendiri. Dengan melakukan ini, anda akan meningkatkan standard pencapaian anda sendiri setiap hari!

Pernah terfikir, apa yang memandu saya untuk terus mengejar kejayaan? Inilah jawapannya. Saya sedang bersaing dengan diri sendiri.

Anda juga patut cuba lakukan ini juga!

http://www.irfankhairi.com/blog/motivasi/siapa-pesaing-anda-yang-paling-hebat/

02 Februari 2014

Merekayasa Kepemimpinan Bertaraf Dunia

Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Kepimpinan Pelajar (Pengawas) Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu (i-KUPs) 2014 selamat dilangsung di Dewan al-Ghazali pada 26 Januari lepas. Pewatikahan disampaikan oleh Ketua Polis Balai, Balai Polis Bukit Kayu Hitam iaitu Inspektor Ling Hua Leong. Seramai 39 orang pengawas i-KUPs sesi 2014 telah dilantik secara rasmi dalam majlis tersebut. Bagi sesi 2014, pihak sekolah telah memilih mereka yang berikut menjawat jawatan utama dalam kepimpinan pelajar, iaitu:

  1. Ketua Pelajar : Usaid bin Muhamad Asmadi
  2. Timbalan Ketua Pelajar 1 : Nur Farhana bt Mohd Zuki
  3. Timbalan Ketua Pelajar 2 : Mohamad Zulkhairi bin Azuddin
  4. Penolong Ketua Pelajar (Putera) : Mohd Alim Iqbal bin Ismail
  5. Penolong Ketua Pelajar (Puteri) : Najwa Nazihah bt Abdul Aziz
Semoga semua pengawas dapat melaksanakan tugas mereka dengan penuh dedikasi, amanah dan tanggungjawab. "Berhimkmah * Memimpin"






12 Januari 2014

Cabaran 2014

Cabaran bukan kepada penulis, tapi kepada pelajar-pelajar tingkatan lima. Seawal seminggu selepas sesi persekolahan 2014 bermula, mereka dihadapkan dengan kertas ujian diagnostik Bahasa Melayu. Bukan apa, apabila sudah lama tahun baharu ini, selalunya tiada lagi ruang untuk subjek bahasa kebangsaan ini mencelah. Nak diberikan slot khusus, selalunya memang tak adalah... Jafi kesempatan ini diambil oleh guru bahasa Melayu untuk menjinakkan nurani mereka. Juga sebagai kayu ukur untuk program-program akademik dan P&P BM. Mereka? Pastilah bermuncung 14!

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...