Islamic Widget

20 Januari 2012

Ucapan terima tugas Ketua Pelajar i-KUPs


Bismillahi ‘l-Rahmani ‘l-Rahim.
Alhamdulillahi rabbi ‘l-‘alamin. Wassalātu wa ‘l-salāmu ‘alā sayyidi ‘l-mursalin, sayyidinā Muhammadin s.a.w ; wa ‘alā āli baytihi wa ashābihi ajma’in. Rabbi ‘s-rahli sadri, wayassirli amri, wahlul ‘uqdatan fi lisāni wafqahu qawli.

Terima kasih saudari pengacara majlis,

o                  Yang Setia, Mejar Ahmad Nezer bin Hassan Wakil Yang Setia Leftenan Kolonel Md Yusof bin Sebli, Pegawai Memerintah, Batalion ke-5, Rejimen Sempadan, Kem Bukit Kayu Hitam,

o                  Yang Berusaha, En. Baharudin bin Osman, ayahanda Pengetua SBPI Kubang Pasu,

o                  Yang Berusaha, Pn. Bibi Sabariah bt Saad, Penolong Kanan SBPI Kubang Pasu;

o                  Yang Berusaha, En. Malek bin Abu Hassan, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SBPI Kubang Pasu,

o                  Yang Berusaha, En. Abdul Aziz bin Mat Isa, Penolong Kanan Kokurikulum, SBPI Kubang Pasu,

o                  Guru-guru Kanan Mata Pelajaran,

o                  Guru - guru penasihat, Lembaga Kepimpinan Pelajar,

o                  Guru – guru, para pendidik yang budiman,

o                  Barisan ahli Lembaga Kepimpinan Pelajar, penerima watikah,

o                  Dan seterusnya rakan-rakan pelajar SBPI Kubang Pasu Sekalian.

Assalamualakum warahmatullahi wabarakatuh.


1.                Pertama sekali, saya mewakili ahli-ahli Lembaga Kepimpinan Pelajar Sek. Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu Sesi 2010, mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian Mejar Ahmad Nezer bin Hassan, Wakil Leftenan Kolonel Md Yusof bin Sebli, Pegawai Memerintah, Batalion ke-5 Rejimen Sempadan, Kem Bukit Kayu Hitam kerana sudi hadir bagi menyampaikan watikah pelantikan Pengawas SBPI Kubang Pasu sesi 2010 dan seterusnya menyampaikan ucaptama sempena majlis ini. Kesudian tuan hadir pada hari ini sesungguhnya memberi inspirasi kepada seluruh warga SBPIKP, khususnya kepada kami, barisan Lembaga Kepimpinan Pelajar sesi 2010.

2.                Seterusnya kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak pengurusan SBPI Kubang Pasu, khususnya kepada ayahanda Pengetua, En. Baharudin bin Osman dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, En. Malek bin Abu Hassan atas kepercayaan yang diberikan kepada kami untuk memikul tanggungjawab dan amanah yang besar ini. Insya-Allah, kepercayaan dan harapan yang diletakkan di atas pundak kami ini akan kami pelihara dan tunaikan sebaik mungkin, seperti yang telah kami ikrarkan sebentar tadi.

3.                Tidak lupa, sekalung apresiasi kami ucapkan kepada guru-guru penasihat Lembaga Kepimpinan Pelajar serta semua guru yang telah memilih kami menjawat jawatan ini. Amanah yang disandarkan oleh guru sekalian kepada kami, insya – Allah tidak akan kami persia-siakan.

Rakan-rakan pelajar dan para guru yang dikasihi,

4.             Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah ‘azza wajalla atas kurniaan-Nya kepada kami. Pelantikan kami untuk menganggotai Lembaga Kepimpinan Pelajar selaku pengawas sekolah sesunguhnya memberi implikasi yang besar kepada kami. Hal ini demikian kerana tugas dan tanggungjawab yang diberikan menjadi amanah yang perlu kami laksanakan. Firman Allah s.w.t : "Sesungguhnya telah Kami berikan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang. Tetapi mereka enggan memikulnya dan takut menerimanya. Kemudian, amanah itu dipikul oleh manusia..."
[Al Ahzab: 72)

Warga pendidik yang budiman, rakan-rakan seperjuangan,

5.                Seperti yang rakan-rakan dan guru-guru sedia maklum, Lembaga Kepimpinan Pelajar ialah badan pelaksana peraturan dan undang-undang sekolah. Maka obejktif kami, Lembaga Kepimpinan Pelajar ialah membantu guru-guru memastikan keadaan disiplin pelajar yang terkawal sepanjang masa. Selain itu, kami akan sedaya upaya membantu guru-guru dalam memastikan persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif untuk seluruh warga SBPI Kubang Pasu, sama ada semasa di kawasan sekolah mahupun di asrama. Kami juga akan cuba memastikan kebajikan pelajar diambil endah oleh pihak sekolah, khususnya kebajikan di asrama. Oleh sebab itulah, melalui biro-biro seperti Biro Makanan, Biro Kebajikan dan Biro Sukan dan Rekreasi, kami akan menyalurkan permasalahan pelajar kepada pihak pengurusan sekolah untuk diambil perhatian dan tindakan yang sewajarnya.

Visi
6.              Objektif – objektif yang saya sebutkan tadi merupakan asas kepada Visi Lembaga Kepimpinan Pelajar, iaitu “Lembaga Kepimpinan Pelajar Sebagai Wadah Peningkatan Kualiti Kepemimpinan bagi merealisasikan Visi SBPIKP”, iaitu SBPI Kubang Pasu menjana insan syumul ke arah menzahirkan pemimpin bertaraf dunia menjelang 2015.
7.                Kualiti kepemimpinan yang kami maksudkan dalam visi kami terdiri daripada dua aspek, iaitu :
i.          membantu pihak sekolah menangani masalah disiplin dengan memastikan sifar salah laku bagi kesalahan berat. Kejadian-kejadian seperti buli, mencuri dan bergaduh dalam kalangan pelajar menjadi keutamaan kami untuk dibanteras; dan
ii.          menampilkan kualiti pemimpin unggul melalui keterampilan komunikasi, perawakan dan sahsiah.

Misi
8.                Dalam meralisasikan visi Lembaga Kepimpinan Pelajar itu, kami menggariskan beberapa kaedah atau misi, iaitu:
i.                    Sentiasa berhubung dengan pihak sekolah, khususnya guru-guru penasihat dan pengurusan sekolah bagi mendapatkan input-input berkait dengan tugas-tugas kami;
ii.                  Menjalankan mesyuarat mingguan untuk mengenal pasti masalah yang ada dan tindakan sesuai yang perlu dilaksanakan;
iii.                Menjalankan kursus peningkatan kualiti kepimpinan dan penampilan, sama ada secara dalaman atau luaran; dan
iv.                 Berkomunikasi secara berkesan dengan ahli-ahli badan kepimpinan pelajar yang lain, iaitu PRS, Pengawas Pusat Sumber, BADAR dan AJK setiap Rumah.

Sidang hadirin warga SBPI Kubang Pasu sekalian,
9.                Dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada kami, kami sedar bahawa pelbagai tribulasi bakal merintang. Lantaran itu, selain bermohon ke hadrat Allah s.w.t, kami turut mengharapkan bantuan, sokongan dan dokongan semua pihak, sama ada pihak pengurusan, guru-guru, rakan-rakan dalam Badan Kepimpinan Pelajar mahupun rakan-rakan seluruhnya. Seperti kata Sayidina Abu Bakar al-Siddiq sewaktu diangkat sebagai Khalifah Islam yang pertama : aku bukanlah orang yang terbaik dalam kalangan kamu, maka jika aku silap, perbetulkanlah kesilapanku, tetapi jika aku benar, ikut dan taatilah aku. Demikian juga yang kami pinta daripada rakan-rakan: bantulah kami untuk membantu anda, guru-guru dan sekolah dalam merealisasikan visi dan misi sekolah.
10.            Sesungguhnya kami sedar bahawa tiada bumi yang tidak ditimpa hujan, tiada gading yang tidak retak. Bukankah tegur-menegur itu amalan mulia?
Demi masa, sesungguhnya, manusia itu sentiasa dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan dengan kebenaran dan kesabaran”
(al-‘asr, ayat 1-5)
11.            Kepada barisan Lembaga Kepimpinan Pelajar Sesi 2010 pula, saya mengharapkan kita semua akan dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh rasa tanggungjawab. Kita perlu sedar bahawa tanggungjawab ini akan dipersoalkan bukan sahaja di dunia, tetapi di hadapan Allah s.w.t di akhirat nanti. Maka ayuhlah kita sama-sama berkorban masa dan tenaga dalam merealisasikan janji dan ikrar yang telah kita lafazkan sebentar tadi. Dalam menjalankan tugas pula, sewajarnya nilai integriti kita sanjung dan menjadi amalan kita sepanjang masa.
12.            Saya juga berharap, semua pengawas menerima dan akur setiap keputusan yang kita ambil dan membantu saya, selaku Ketua Pelajar serta Timbalan dan Penolong Ketua Pelajar Sesi 2010 dalam melaksanakan objektif, visi dan misi Lembaga Kepimpinan Pelajar. Ungkapan ‘bersatu teguh bercerai roboh’ perlu kita sematkan dalam diri sepanjang menjalankan tugas-tugas kita.

Guru-guru yang cendekiawan, rakan-rakan yang setiawan.

13.            Akhir kalam, sekali lagi saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pengurusan dan guru-guru atas penghormatan yang diberikan kepada kami untuk menjawat jawatan pengawas. Insya-Allah, atas bantuan guru-guru dan kerjasama rakan-rakan, akan kami jalankan tugas ini sebaik mungkin.
14.            Sekian, wabillahi ‘t-taufiq wa ‘l-hidayah, wassalamualakum w.b.t.

07 Januari 2012

Azam Lagi???

Dah 7 hari berada dalam tahun 2012. Selamat tahun baharu semua. Sesekali terfikir juga, apa yang baharu sangat dengan nagka-angka ni? Setakat membilang-bilang hari dan tarikh. Ada orang mengira tahun dengan bertambahnya umur: namun ada yang mebilang dengan semakin pendeknya usia. Seperti mengoyak kalendar, usi dikoyakkan setiap hari, setiap tahun. Cuma bezanya, kalendar sudah ditentukan harinya; sedang umur belum tentu bila sudahnya.

Tahun 2012 menjelma dengan kitaran serupa. Di sekolah, bertemu semula dengan pelajar lama, masuk ke kelas dan menerima pelajar baharu tingkatan 1. Rutin kembali, kitaran bermula sekali lagi. Namun dalam kitaran kehidupan ini, terfikir pula : bagaimana dengan niat? Sudahkan diperbaharui? Kalau bulan puasa, setiap hari kita memperbaharui niat, kehidupan kita bagaimana? Niat sebelum melangkah ke tempat kerja; niat sebelum melangkah ke kelas; niat sebelum memulakan pengajaran. 

"Bilalah budak ni nak keluar. Meluat....." 
"Boringnya cikgu mengajar... bila nak abis waktu ni?" Niat yang tidak suci ini sering berkeliaran dalam hati kita : pelajar dang pengajar. Jadi, kesudahannya? Mengajar kerana apa, belajar kerana apa?

Agaknya, masih belum terlambat untuk memperbaharui niat. Kalau terlupa basmalah pada awal sebartang kerja, kita baca : بسم الله اول واخره-- terlupa niat macam mana? Kira tiga hari lepas itu 'habislah'
 sebab niat belum diperbetul ! (gamaknya ;) ).

Apa-apapun, selamat menyambut tahun 2012 dengan azam baharu!