28 Oktober 2012

Beriya-iya Melayu Baru cuba bersadurkan Arab — Azmi Anuar


Sebuah rencana tentang transformasi kebudayaan Arab di kalangan orang Melayu dan komen seorang rakan tentang banyak ucapan yang sebelumnya sering diutarakan dalam bahasa Melayu tetapi sekarang lebih banyak dalam bahasa Arab menjadi tajuk perbualan di antara rakan-rakan dan keluarga.

Fenomena ini — unsur-unsur Arab dalam budaya Melayu jika bolehlah dikatakan demikian — mula kelihatan dengan lebih meluas semenjak timbulnya kesedaran lebih ramai penganut agama Islam tentang agama mereka. Mereka belajar dan mencari sumber-sumber sahih yang boleh membantu dalam mengIslamkan hidup seharian.
Kebanyakan sumber rujukan berasal dari tanah Arab tetapi bukan sahaja ajaran agama yang diterap tetapi sedikit demi sedikit dan secara tidak langsung budaya dari negara itu juga diambilkira sebagai sebahagian daripada suruhan agama yang patut atau mengikut sesetengah pandangan dihayati untuk memantapkan lagi pegangan agama seseorang. Setiap perlakuan di tanah Arab dirasakan lebih afdal dan bersesuaian dengan pegangan agama. Adakah ini benar?
Di perenggan akhir sebuah rencana bertajuk “Memahami Budaya Sebelum Menghukum” tulisan mantan Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dia menyatakan bahawa “Islam tidak menentang apa yang tidak menyanggahi prinsip-prinsipnya yang luhur. Maka, fahami latar budaya dan adat, baru keluarkan hukum”.
Fatwa atau hukum mengikut trend budaya Arab lebih baik dan bersesuaian dengan ajaran agama belum lagi dikeluarkan tetapi salah tannggapan tentang apa yang dikehendaki oleh agama dan apa yang dibenarkan kadang-kadang tidak jelas kepada penganutnya.
Ramai yang jadi pak turut dan taksub dengan budaya dari tanah Arab. Ada yang memberi pendapat bahawa apalah bezanya mengambil budaya Arab berbanding yang dari Barat? Kedua-dua budaya akan mengkayakan khazanah budaya Melayu itu sendiri yang memang terkenal banyak dipengaruhi oleh budaya luar sejak zaman berzaman. Pandangan itu benar tetapi oleh kerana tanah Arab merupakan tempat lahir agama Islam, budaya dari daerah tersebut dianggap sebagai budaya agama itu sendiri.
Walhal agama dan budaya dari sana bukanlah satu pakej yang diwajibkan kepada penganut-penganut agama Islam yang telahpun mempunyai budaya mereka sendiri.
Pengaruh awal ke atas budaya Melayu
Adat dan budaya, yang tidak membawa kepada kesyirikan, kezaliman, kekejian, bidaah, pendustaan, khurafat dan keruntuhan maruahm, tidak ditentang oleh Islam.
Contoh paling mudah tentang pengaruh budaya Arab di kalangan penganut agama Islam Melayu ialah penggunaan bahasa Arab yang semakin meluas bukan sahaja untuk istilah-istilah yang khusus berkaitan agama tetapi juga ungkapan yang dulu sering disebut dalam bahasa Melayu tetapi sekarang bertukar ke bahasa Arab.
Sejak kebelakangan ini ucapan selamat berpuasa telah semakin menghilang diganti dengan ucapan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak atau selamat menyambut Ramadan Karim. Tidak salah memberi ucapan selamat berpuasa dalam bahasa lain selain daripada bahasa Arab tetapi ada yang berasa lebih hampir pada agama Islam apabila ucapan sedemikian diutarakan dalam bahasa Arab.
Mereka yang mengucapkannya pula akan cuba melafazkan ucapan tersebut mengikut tajwid dan idgham yang sama seperti penutur asal bahasa Arab. Ini mengingatkan kita tentang orang yang “speaking” bahasa Inggeris setelah beberapa hari berada di negara Barat. Sebutannya akan dipengaruhi sama ada dia pergi ke England, Amerika Syarikat atau Australia. Memang gah bunyinya.
Bukankah niat dan keikhlasan dalam memberi ucapan itu yang patut diutamakan dan memang boleh disebut dalam pelbagai bahasa, tidak semestinya bahasa Arab. Kadang-kadang ungkapan dilafaz sambil lewa, entah ikhlas atau tidak, siapa yang tahu.
Ada sesetengah orang yang memberi ucapan itu, yang lebih mementingkan luarannya, sebutannya mesti sempurna dan kalau didengar tanpa melihat wajah penuturnya, orang akan berkata bahawa kita mendengar ucapan dari tanah Arab sendiri.
Memang bahasa Melayu banyak meminjam daripada bahasa-bahasa lain terutama bahasa Inggeris untuk istilah-istilah sains dan teknologi. Bahasa Melayu meminjam pula daripada bahasa Arab untuk mengungkapkan konsep-konsep agama dengan lebih tepat.
Pendekatan ini diambil kerana ramai yang bimbang jika istilah-istilah agama yang mempunyai persamaan dalam bahasa Melayu digunakan, maksud sebenarnya berkemungkinan menyimpang dari istilah asal dalam bahasa Arab.
Perkataan sembahyang dan solat sering diambil sebagai contoh bagaimana satu perkataan yang diterimapakai satu masa dahulu, sembahyang, telah semakin hari diganti dengan perkataan yang mengikut sesetengah pendapat adalah lebih tepat, iaitu solat.
Kosa kata bahasa Melayu yang sedia ada sebelum kedatangan agama Islam ke rantau ini banyak dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit. Peradaban yang wujud di rantau ini juga berteraskan agama Hindu dan Buddha tetapi ramai yang malu atau tidak mahu mengakui hakikat ini.
Jalan mudah melupakan sejarah silam ialah menukar seberapa banyak perkataan yang telah sedia ada di dalam khazanah bahasa Melayu yang mempunyai kaitan dengan dunia Hindu dan Buddha kepada istilah yang sama ertinya dalam bahasa Arab.
Bahasa menggambarkan budi dan adab
Penduduk rantau ini terkenal dengan sopan-santunnya dan seperti kata seorangpenulis, ramai yang telah lupa tentang sifat-sifat positif orang Melayu. Adab dan budaya Melayu yang selari dengan ajaran agama mesti dipupuk dan dibaja supaya bercambah dan berkembang dengan lebih meluas. Lihat sahaja khazanah pepatah, perumpamaan, pantun dan syair turun-temurun yang boleh dijadikan teladan.
Ramai orang Melayu tidak lagi mengambil iktibar contoh-contoh terdekat yang lahir dari persekitaran kita sendiri. Segala yang lama dianggap tidak sesuai dengan pendekatan yang lebih menjurus kepada agama. Walhal kedua-duanya boleh seiring.
Mungkin titik tolak peralihan tumpuan kepada budaya Arab bermula semenjak pihak pemerintah dan pembangkang berlumba-lumba menunjukkan pihak mana yang lebih Islam.
Adab dan sopan dalam perbincangan pun telah diketepikan dan pada masa ini lebih banyak ucapan yang berapi-api dan ugutan didengar di dalam sesuatu perbahasan. Bahasa yang kesat menjadi lumrah di parlimen dan ceramah-ceramah umum. Bukankah itu tidak selari dengan ajaran agama?
Kalau benarlah mereka orang Melayu, adab dan sopan seharusnya sudah sebati dengan jiwa. Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan lahir sebelum hari merdeka sama ada di Tanah Melayu atau Singapaura, atau pada hari merdeka telah bermastautin di Tanah Melayu atau Singapura.
Adakah unsur-unsur budaya Arab yang semakin meluas di kalangan orang Melayu akan melenyapkan adat budaya dan bahasa Melayu pada satu hari nanti? Jika itu berlaku, tidak adalah lagi orang Melayu di negara ini kalau menurut takrif perlembagaan Malaysia. — cpiasia.net

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...