12 April 2010

Teks Syarahan Agama MTQ


SEDEKAH MENINGKATKAN KUALITI UMMAH
PEMIDATO : AMIRAH BT KAMAL AZIZI
SEKOLAH : SBP INTEGRASI KUBANG PASU
GURU PEMBIMBING : EN. ARIFFIN BIN SALLEH
KEPUTUSAN : NAIB JOHAN

Bismillahi 'l-Rahmani 'l-Rahim.
Assalamu'alaikum warahmatu 'l-Llahi wa barakatuh.
Alhamdulillahi rabba 'l-'alamin, wassolatu wassalamu 'ala asyrafi 'l-anbiya'i wa 'l-mursalin, wa a'ala ali baytihi wa ashabihi ajma'in.

Terima kasih saudara pengacara, para hakim yang cendekia, penjaga masa yang setia,

seterusnya hadirin umat Muhammad semua.

Maksudnya : “dan infakkanlah sebahagian daripada rezeki yang Kami kurniakan kepadamu sebelum saat kematianmu...”.

Ayat di atas memberikan peringatan kepada umat Islam bahawa rezeki yang dikurniakan Allah s.w.t kepada kita wajar diinfakkan sebagai sedekah kepada mereka yang memerlukan. Persoalannya, mengapa Allah SWT memerintahkan umat Islam memberikan sedekah? Apa kepentingan sedekah kepada umat? Bagi merungkai persoalan tersebut, maka saya berdiri di hadapan tuan-tuan dan puan-puan pada pagi yang berbahagia ini untuk menyampaikan sebuah syarahan bermauduk : Sedekah Meningkatkan Kualiti Umat”.

Muslimin warga budiman;

Secara konsepnya sedekah boleh ditakrifkan sebagai pendermaan atau perbelanjaan sesuatu, sama ada dalam bentuk material ataupun bukan material dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan. Sementara meningkatkan kualiti bermaksud menambahkan atau memperkasakan darjah kecemerlangan dan mutu, sementara ummah yang dimaksudkan di sini ialah masyarakat atau komuniti Muslim di mana-mana sahaja tempat dilaksanakan sedekah itu. Lantas secara tuntasnya “Sedekah Meningkatkan Kualiti Umat” boleh saya konsepkan sebagai pemberian sesuatu, sama ada material mahupun bukan material yang dilakukan secara ikhlas oleh umat Islam dalam sesebuah komuniti akan menambahkan darjah kecemerlangan dan mutu masyarakat Muslim di sesebuah tempat. Hal ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t :

Maksudnya : dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) pada jalan Allah.

Hadirin yang dirahmati Allah;

Minda bicara saya yang pertama : sedekah meningkatkan keimanan. Sedekah adalah antara wadah meningkatkan keimanan dalam jiwa raga umat Islam. Pastinya dengan menghulurkan sedekah, pahala akan bertambah, amalan pula akan dipandang oleh Allah, dan akhirnya, iman meningkat sebagai natijah. Orang yang sentiasa bersedekah secara tulus dan ikhlas sentiasa ingin melaksanakannya tanpa mengharapkan balasan dan imbalan, apatah lagi untuk menunjuk-nunjuk sesama insan. Firman Allah swt :

(al-Baqarah : 264)

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu rosakkan (pahala) sedekah kamu dengan mengungkit-ngungkitnya serta menyakitkan hati (penerimanya) seperti orang yang menginfakkan hartanya kerana riya’.

Dengan imanlah, sahabat Rasulullah, Abul Rahman bin Auf telah menyumbangkan banyak harta, waima 700 ekor unta yang penuh dengan barang keperluan diatasnya untuk keperluan penduduk Madinah semata-mata kerana Allah. Jelas menunjukkan kepada kita bahawa sedekah akan dapat meningkatlkan iman dan seterusnya melahirkan ummah yang berkualiti.

Muslimin yang dimuliakan, muslimat yang diraikan;

Kualiti akhlak ummah juga dapat dilahirkan melalui sedekah, selari dengan buah bicara saya yang kedua, sedekah memupuk akhlak mahmudah. Melalui sedekah, jiwa dan harta dapat disucikan. Jiwa yang suci akan mendapat keberkatan, lantas memangkin nilai-nilai murni seperti penyayang, bertanggungjwab, dan prihatin dalam jiwa setiap individu. Allah berfirman dalam surah al-Taubah, ayat 3:

Maksudnya : Ambillah sebahagian daripada harta mereka (sebagai) sedekah, (supaya) dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk).

Jika kita telusuri sirah sahabat, pasti kita akan saksikan betapa sahabat seperti Abu Bakar al-Siddiq, meng-infak-kan seluruh harta bendanya demi mengharap kasih sayang dan maghfirah Allah! Lihatlah akhlak para sahabat, Allah menyucikan jiwa mereka kerana amal sedekah yang tidak pernah pudar kerana-Nya. Bukankah ini bukti bahawa dengan bersedekah, sikap dan peribadi unggul dapat dibentuk, insan syumul jelas dipupuk.

Warga dewan penerus wawasan,

Beralih pula kepada rentas bicara saya yang ketiga : sedekah memberkatkan rezeki. Hadirin yang dihormati, pernahkah terdetik di dalam hati : kalau asyik bersedekah, duit setinggi bukitpun pasti habis ditarah! Jika demikian yang terfikir dalam jiwa, insaflah kita bahawa Allah ialah al-Razzaq, Tuhan Yang Maha Pemberi Rezeki! Mahukah kita ditimbuni harta tetapi hidup seperti di dalam neraka? Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 245 :

Maksudnya : Sesiapa yang meminjamkan (yakni membelanjakannya pada jalan) Allah dengan pinjaman yang baik, maka Allah melipatgandakan ganti kepadanya.

Sesungguhnya, rezeki yang berkat akan membawa manfaat. Syed Mukhtar al-Bukhari sebagai contoh, banyak bersedekah kepada umat: menjaga anak yatim dan golongan fuqara’. Melalui Yayasan al-Bukhari yang didirikannya, masyarakat dibantu, umat dibangunkan. Hasilnya? Syed Muhammad al-Bukhari dikurniakan rezeki melimpah ruah sehingga menjadi salah seorang 10 orang terkaya di Malaysia. Jelas membuktikan bahawa rezeki yang disedekahkan akan mendapat keberkatan Allah, lantas menyuburkan hati, membuka pintu rahmat, rezeki pula bertamah-tambah.

Umat Muhammad pewaris dunia,

Rezeki yang kita sedekahkan sesungguhnya satu wadah membangunkan umat. Dengan bersedekah, masyarakat semakin gagah. Maka, buah fikir saya yang keempat: Sedekah membangunkan masyarakat. Bersedekah boleh meringankan beban orang lain. Bersedekah juga boleh mengukuhkan hubungan sesama hamba, serta dapat mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan masyarakat. Allah berfirman :

Maksudnya : Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu, maka yang demikian adalah baik (al-Baqarah : ayat 271).

Bersedekah sama ada dengan harta mahupun tenaga meningkatkan ukhwah sesama kita. Mangsa gempa bumi di Padang dan Haiti tidak kebulur atas semangat sedekah daripada sukarelawan seluruh dunia. Pakaian, makanan, rumah dibina semula. Yang sakit, cedera dan menderita jiwa dibantu oleh pakar-pakar dari seluruh dunia. Terbuktilah bahawa bersedekah mampu mewujudkan masyarakat yang bersatu padu bagi membangunkan masyarakat yang sejahtera.

Hadirin warga dewan yang budiman;

Mandala fikir saya yang kelima : Sedekah memantapkan ekonomi. Firman Allah :

(al-Baqarah, ayat 261).

Maksudnya : Perumpamaan orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji.

Melalui sedekah yang berterusan, wang tidak hanya disimpan. Aliran tunai dalam negara akan bergerak aktif, peniaga dan pelanggan akan mendapat impak positif. Lantas, golongan peniaga mendapat laba, sedekah dan zakat mengalir kepada asnaf-asnafnya. Pembiayaan atau pinjaman tanpa faedah juga adalah salah satu bentuk pertolongan atau sedekah kepada golongan yang memerlukan. Melalui aktiviti ini, ekonomi negara dapat ditingkatkan, sama ada dalam bidang perniagaan mahupun pendidikan. Kesimpulannya, bersedekah menjana ekonomi umat yang kukuh, sekali gus menjadikan negara kekal teguh.

Sidang saksi bervisi;

Sedekah juga dapat menolak bala, memanjangkan umur serta memurahkan rezeki. Hal ini selari dengan hujah saya yang keenam, sedekah bertambah, sejahteralah ummah. Apabila ummah sejahtera, maka kehidupan yang berkualiti akan dapat dizahirkan. Penyakit terhindar, sosial segar, pemikiran bugar. Sabda Nabi s.a.w mafhumnya :

“Segeralah kamu bersedekah kerana bala bencana itu tidak dapat melangkahi sedekah” (Hadis riwayat Baihaqi).

Jika kita renung sejarah silam, hal ini terbukti pada zaman khalifah Umar Abdul Aziz. Sedekah dan zakat melimpah ruah, menyebabkan masyarakat sejahtera : tiada penyakit berjangkit, tiada peminta sedekah. Bukanklah ini membuktikan hasil daripada sedekah yang dihulur, negara dan masayarakat sejahtera, makmur.

Muslimin muslimat, ummah pilihan;

Saya ingin membawa hadirin sekalian berfikir sejenak : apa yang akan terjadi sekiranya umat kita ini mengamalkan sikap seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing? Sudah pasti yang kaya menghina yang miskin, yang miskin membenci yang kaya. Namun, alhamdulillah... dengan keindahan dan keadilan Islam, syariat tentang sedekah diturunkan. Maka ayuhlah kita memahami falsafah di sebalik tuntutan sedekah ini. Bukanlah sedekah itu hanya menghulurkan seringgit kepada tabung masjid pada setiap hari Jumaat, tetapi kita sedekahkan tenaga, pemikiran, dan kewangan demi membangunkan kesihatan, pendidikan, sosial, dan kerohanian umat. Sekurang-kurangnya, senyumlah, kerana senyum itu pun sedekah!

Sekian,

وبالله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركته

7 ulasan:

Faezah Adam berkata...

saya copy ni :) bolehkan .

Nisa Frylea berkata...

Saya ingin meminta izin untuk copy teks syarahan ini ya? Saya ingin membuat teks ini sebagai panduan... Terima kasih

Tanpa Nama berkata...

Mohon pinjam teks

Unknown berkata...

assalam. mohon izin untuk copy teks ni buat ujibakat mtq skolaa.

ezza berkata...

halalkan teks yaa..mahu buart sebagai rujukan. :)

Tanpa Nama berkata...

copy ...minta izin yer..

Unknown berkata...

assalam..sy minta izin untuk copy teks ini sebagai panduan ya..terima kasih
respons kepada: zackzahari6339@gmail.com

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...