09 Mei 2009

PPSMI - GAPENA Mahu Jumpa Muhyiddin

GABUNGAN Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi mengemukakan pandangan persatuan yang membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada peringkat sekolah rendah dan menengah.
Setiausahanya, Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, berkata pihaknya dalam usaha menentukan tarikh dan masa ekoran rombakan Kabinet yang menyaksikan Muhyidin mengambil alih jawatan sebagai Menteri Pelajaran daripada Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada awal bulan ini.“Gapena akan menjelaskan pendirian menolak PPSMI pada pertemuan yang akan berlangsung itu dan berharap kerajaan membatalkannya daripada peringkat sekolah rendah dan menengah kerana isu ini sudah melarat hingga ke peringkat institut pengajian tinggi (IPT),” katanya ketika dihubungi Sastera di Kuala Lumpur, kelmarin. Beliau berharap pertemuan terbabit akan dapat diadakan secepat mungkin dan sudah berusaha mengaturnya susulan daripada laporan polis yang dibuat sebelum ini, ekoran kegagalan kerajaan membatalkan PPSMI sebelum 2009 pada 15 Februari lalu.
“Kita serahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk mengambil tindakan sekiranya siasatan polis mendapati ada kes dan kita akan ambil langkah satu persatu berdasarkan perbincangan jawatankuasa. Gapena juga akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.“Kami akan menggunakan kesempatan terbabit bagi mengemukakan pandangan bahawa PPSMI bercanggah dengan Perlembagaan Negara dan Akta Pendidikan, selain tidak selari dengan matlamat perjuangan Umno ketika gerakan terbabit dibentuk dulu,” jelasnya.
Seminggu sebelum Perhimpunan Agung Umno Mac lalu, Gapena yang diwakili Ketua Satunya, Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein dan ahli jawatankuasa, Prof Datuk Dr Zainal Kling serta Datuk Tengku Alauddin Tengku Abdul Majid mengadakan pertemuan dengan Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden Umno. Setiausaha II Gapena, Prof Madya Dr Hashim Ismail yang turut hadir pada pertemuan terbabit berkata, pertemuan yang diatur oleh pihak ketiga atas permintaan Najib itu, menunjukkan isyarat positif, selain turut membincangkan soal cabaran politik dan kedaulatan bangsa.
Timbalan Presiden, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kamal Shukri Abdullah Sani, berkata PLM menyambut baik usaha membawa isu PPSMI ke Kabinet dan keputusan segera dan terbaik dapat dibuat untuk pendidikan negara ini dengan mengambil kira semangat yang terkandung dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
“Dengan menolak PPSMI, sebenarnya Kabinet menghormati konsep Satu Malaysia yang antara lain, rasa pemilikan bersama-sama negara ini termasuklah perlunya bersama-sama ‘memiliki’ bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kebangsaan dan perpaduan bagi negara ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala LumpurBeliau berkata, tamadun bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, khususnya sebagai bahasa sains dan teknologi dapat terus berkembang dengan pesat ketika Dasar Pendidikan Kebangsaan dilaksanakan sepenuhnya dan tidak musnah atau dihancurkan seperti yang sedang berlaku sekarang melalui PPSMI. PLM bimbang apabila semua mata pelajaran berunsur sains, matematik dan teknologi yang dulunya diajar dalam bahasa Melayu seperti Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi dan mata pelajaran Teknikal, Kejuruteraan dan sebagainya di sekolah, kolej, politeknik mahupun universiti, kini diajar dalam bahasa Inggeris,“Tidakkah ini jelas menunjukkan fungsi bahasa Melayu sudah ‘dihancurkan’. Jumlah mata pelajaran terbabit banyak dan bukannya dua seperti yang mungkin difikirkan segelintir orang. Malah, sekali gus penerbitan dan pembangunan kepustakaan Melayu juga terjejas sama ada secara beransur-ansur atau serta-merta,” tegasnya.
Ahmad Shukri yakin bahawa kemahiran berbahasa Inggeris dan penguasaannya boleh dibangunkan melalui reformasi dalam kurikulum dan pengajaran Bahasa Inggeris dengan pelbagai cara seperti penggunaan bahan interaktif pelbagai media, komputer riba, cakera padat, perisian dan bahan canggih lain.“Mata pelajaran English for Science and Technology yang ada sekarang juga sudah sangat membantu. Usahlah dimusnahkan fungsi bahasa Melayu di negara ini. Jika kesilapan seorang doktor membunuh seorang pesakit, tetapi kesilapan pendidikan membunuh satu generasi. Di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung” ujarnya.
Timbalan Presiden, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Mohamad Saleeh Rahamad, berkata pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, diharap dapat memulihkan kembali fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah rendah serta menengah.“Pena menyokong usaha menolak PPSMI kerana ia bukan saja membawa natijah buruk kepada perkembangan kognitif dan keadilan pendidikan majoriti pelajar dari keluarga biasa di luar bandar mahupun di pinggir bandar, tetapi yang lebih berbahaya PPSMI sedang meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu moden,” tegasnya.Oleh Salbiah Ani dan Nazmi Yaakub

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Sastera/20090423072404/Article

Sains, Matematik dalam BM


Oleh HARIS FADILAH AHMADpengarang@utusan.com.my

KUALA LIPIS 8 Mei - Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi (gambar) secara peribadi menyokong usaha mengembalikan semula pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik ke dalam bahasa Melayu.

Tegas beliau, kedua-dua subjek itu harus diajar semula ke dalam bahasa Melayu bagi memartabatkan semula bahasa kebangsaan selain meningkatkan jati diri generasi muda. ''Kita bimbang pada masa akan datang generasi hari ini khususnya orang Melayu akan tercari-cari identiti dan budaya bangsa yang hilang akibat mengagungkan bahasa Inggeris," katanya.

Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan kajian mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilanjutkan kerana beliau tidak berpuas hati dengan hasil kajian yang telah dibuat.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementeriannya bersedia untuk 'menunggu lebih lama' bagi memastikan keputusan yang akan dibuat tidak flip flop.

Menurutnya, hasil kajian itu hanya akan dibentangkan ke Kabinet apabila beliau berpuas hati.
Selasa lalu, lima Sasterawan Negara buat pertama kalinya menyatakan pendirian bersama menolak PPSMI, malah dua daripada mereka iaitu Datuk A. Samad Said dan Profesor Muhammad Salleh sedia ditarik balik gelaran berkenaan jika keadaan memerlukan.

Mengulas lanjut, Puad memberitahu, bagaimanapun, segala keputusan berhubung PPSMI akan diumumkan oleh Kabinet selepas kajian mendalam berhubung perkara itu selesai.

''Satu pengumuman penting mengenai PPSMI akan dibuat tidak lama lagi setelah mengambil pandangan semua pihak termasuk intelektual Melayu dan pejuang bahasa.

"Saya mahu isu PPSMI ini segera diselesaikan kerana penangguhan akan merugikan semua pihak terutama generasi muda hari ini," katanya.

Beliau menambah, segala keputusan yang dibuat oleh Kabinet berhubung PPSMI tidak akan menyebabkan perbelanjaan yang dikeluarkan selama ini sebagai membazir.

''Peruntukan besar untuk pengurusan dan pembelian peralatan komputer tidaklah membazir kerana ia masih boleh digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran," katanya

01 Mei 2009

KOMSAS : Ke Mana Arahnya?

Tidak berapa lama lagi, dikhabarkan Kementerian Pelajaran Malaysia akan mengumumkan senarai buku baharu KOMSAS bagi tingkatan 1 dan 4 2010. Selepas hampir sepuluh tahun menggunakan teks yang sama, sama ada dalam antologi ataupun novel, kini warga pendidikan, khususnya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan berhadapan dengan perubahan teks. Seperti biasa, riuh rendah tentang perkara ini akan bermula lagi selepas diumumkan senarai teks untuk KOMSAS tahun hadapan. Persoalannya, mengapakah terjadinya hal sedemikian?

Sebagai pendidik yang terlibat secara langsung dalam pengajaran dan pemelajaran (P&P) Bahasa Melayu di sekolah, saya berasakan fokus KOMSAS sudah tersasar. Saya tidak akan menilai peranan dan kehendak golongan bukan pendidik (atau warga pendidikan), tetapi saya ingin melihat aspek keberkesanan P&P KOMSAS dari segi kebolehcapaian matlamatnya.

Diharapkan "melalui komponen ini [KOMSAS] diharapkan minat membaca, keseronokan membaca, dan penghayatan terhadap bahan sastera dapat dipupuk" (Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Menengah). Walau bagaimanapun, sejak awal-awal diperkenalkan KOMSAS, golongan yang terlibat dengannya amat ghairah dengan teknik penjawaban soalan KOMSAS dalam PMR & SPM. Hasrat murni bagi memastikan kecintaan pelajar terhadap bahasa dan sastera kebangsaan bertambah tidak tercapai. Malah kebanyakan pelajar menjadikan buku ulasan semata-mata sebagai cara untuk mendapatkan maklumat dengan meninggalkan teks sastera itu sendiri. Jelas terbukti bahawa pengenalan KOMSAS tidak mencapai objektif dan matlamatnya.

Pengenalan teks KOMSAS baharu perlu digandingkan dengan konsep dan kaedah pengajaran KOMSAS yang sebenar agar matlamatnya tercapai. Jika tidak, KOMSAS menjadi satu aspek dalam bahasa Melayu yang membosankan. Maka sewajarnya semua pihak bertindak dengan lebih bersungguh-sungguh demi memartabatkan seni dan sastera kebangsaan dalam jiwa anak-anak didik kita.

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...