Islamic Widget

30 Januari 2011

Duhai Jiwa Yang Gelisah...


kala matahari menutup mata
hati ini tiba-tiba diragut debar

ah…
mengapa sahaja kau tiba-tiba, hati…
mendesah ragu membawa pilu
            terpedayakah kau dengan bicara sang bayu?
            terpesonakah kau dengan warita sang sitar?
            terkesimakah kau dengan khabar sang bintang?
ataukah dikau, geluk hati
            retak dalam telaga ragu
                        resah dalam telaga rindu?


                                                aduhai…
siapakah yang lebih memahami jiwa ini
siapakah yang lebih menghargai atma ini
siapakah yang lebih memahami kalbu ini
selain nurani
anugerah-Mu, rabbi!

wahai…
hati yang sentiasa kegelisahan
kembalilah kau
ke sangkar penciptamu

tuhan…
yang menggerakkan hati
kaupadamkanlah bulan dan bintang-Mu
agar dalam atma ini
hanya ada rindu pada-Mu!

29 Januari 2011

Melegasikan Pemimpin Bertaraf Dunia

6.00 ptg, 28 Jan 2011 - berakhirnya Kursus Kepimpinan Siri 1/2011 yang diadakan di Bilik Kuliah Ibn Maskaweih. Kursus peringkat dalaman ini ialah permulaan kepada siri kursus kepimpinan yang diadakan khas untuk ahli Lembaga Kepimpinan Pelajar @ pengawas SBPIKP pada tahun ini. Kalau ikut perancangan ada enam siri kursus dalaman seperti ini selain beberapa kursus di luar sekolah. Kursus Siri 1/ 2011 diadakan selama 1 hari 1 malam sahaja, iaitu bermula pada 27 Jan 2011 dan berakhir pada 28 Jan 2011. Kursus Siri 1 ini menekankan aspek "Dasar & Tanggungjawab" pengawas SBPIKP.

Walaupun moderator kursus ini hanya terdiri daripada 3 orang guru penasihat LKP sahaja, namun diharapkan input-input yang diperoleh akan menambahkan kekentalan semangat dan usaha semua pengawas dalam menjalankan tugasan. Diharapkan juga beberapa persoalan yang membelenggu minda pengawas-pengawas telah dirungkai dan membebaskan diri daripada keraguan ketika menjalankan tugasan. Diharapkan juga keterampilan para pengawas lebih terserlah ketika menjalankan tugas, selain dapat membaiki aspek personaliti masing-masing.

Akhir sekali, selamat menjalankan tugas kepada semua pengawas. Semoga tugas yang anda laksanakan mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t.

Ustazah Jailah sedang memberikan penerangan

Meluahkan pendapat

21 Januari 2011

46,506 mohon ke tingkatan empat SBP

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Kementerian Pelajaran menerima 46,506 permohonan untuk kemasukan ke tingkatan empat sekolah berasrama penuh (SBP) bagi tahun ini berbanding hanya 5,300 tempat yang ditawarkan. Menurut kenyataan oleh kementerian itu hari ini, semakan mengenai keputusan pemilihan dan penempatan pelajar boleh dilakukan dengan melayari laman web www.moe.gov.my bermula hari ini. 

"Bagi pelajar yang tidak berjaya mendapat tempat, mereka boleh membuat rayuan menggunakan e-rayuan," jelas kenyataan itu. Tempoh rayuan ialah selama 14 hari mulai hari ini sehingga 2 Februari ini. Pelajar yang terpilih akan mendaftar di SBP yang berkenaan pada 7 Februari ini.- Utusan

19 Januari 2011

Legasi Pemimpin Bertaraf Dunia

Tengah hari tadi, selesai proses temu duga ahli Lembaga Kepimpinan Pelajar (pengawas). Temu duga bagi memilih pengawas tingkatan 4 tahun ini telah dijalankan selama dua hari. Jumlah calon yang agak ramai menyebabkan proses ini agak lama. Namun disebabkan Majlis Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Kepimpinan Pelajar akan dijalankan pada minggu hadapan, mahu tak mahu terpaksa juga proses ini disegerakan walaupun dalam kesuntukan masa. Kebetulan pada hari ini, rombongan pengetua-pengetua sekolah dari Acheh Tengah tiba untuk lawatan ke SBPIKP. Semua ini menambah kesibukan guru-guru, menyebabkan panel penemu duga hanya tinggal dua orang; saya dan Pn. Siti Hajar!

Di sebalik temu duga ini, kami - khususnya saya - telah mendapat beberapa info menarik tentang senario pelajar tingkatan 4, 2011. Walaupun mungkin tidak 100% tepat, namun sekurang-kurangnya menjadikan saya lebih bermaklumat. Jika sebelum ini saya hanya mengenali mereka secara luaran - bahkan sesetengahnya tidakpun saya ketahui nama mereka - dengan temu duga ini mendekatkan sedikit saya dengan corak pemikiran mereka. Ada yang berpengetahuan, berkeupayaan, berkeinginan, menolak malah ada juga yang seperti nangka yang dimakan ulat tidak seperti yang disangkakan sebelum ini.

Apa-apapun, senarai terbaik barisan Lembaga Kepimpinan Pelajar Sesi 2011 sudah saya peroleh, justeru hanya pengesahan Pengetua yang dinanti. Sekiranya pihak pentadbiran sekolah bepuas hati dan Pengetua bersetuju dengan senarai cadangan ini, maka pada hari Isnin (24 Januari 2011) mereka semua akan dilantik secara rasmi sebagai ahli Lembaga Kepimpinan Pelajar sesi ini. Diharapkan mereka akan dapat menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan kepada mereka dengan penuh tanggungjawab, dedikasi dan amanah. Insya-Allah, kami akan sentiasa memberi sokongan padu kepada mereka dalam menjalankan tugas-tugas tersebut.

Akhir sekali, kepada semua ahli LKP (pengawas), TAHNIAH ATAS PELANTIKAN ANDA DAN SELAMAT BERTUGAS.

13 Januari 2011

Tamu & Bicarawara

Bakal peguam ni bersungguh-sungguh bercerita
Terima kasih daun keladi kepada Aqiuddin Naim, Qistina Jamil, Aiisyah Sairi, NUrain Izzati & Zawani yang sudi ke sekolah pada 12.1.11 yang lepas. Datang ketika orang lain tak cuti agak bagus juga, sebab taklah ramai sangat nak ditanya khabar. Sesekali datang, begitulah... cikgu-cikgu ni cuma boleh bertanya khabar, dan membawa khabaran tu untuk anak-anak yang masih di bangku sekolah. Kot-kotlah bersemangat mereka belajar. 

Walau bagaimanapun, terima kasihlah kepada semua :: kelima-lima orang yang bagi kata-kata perangsang, kata-kata semangat untuk pelajar-pelajar tingkatan 5 tahun ni. Apabila mendapat maklumat daripada sumber pertama ni, mereka akan lebih percaya.Maklumlah, selalu anak-anak ni, pabila ibu-ibu dan bapa-bapa yang bercakap, kesimpulan mereka :: cikgu memang pandai reka cerita :-D

Apa-apapun, terima kasih sekali lagi sebab sanggup memberi dan berkongsi pengalaman walaupun diminta secara ad-hoc. Harap-harap tak seriklah kembali semula dan bercakap lagi (tapi rasanya tak susah kot sebab semua-kecuali Aqi- ialah pembahas sekolah yang meneroka kejayaan Orators' League sehingga kini :)

Perkongsian pengalaman oleh Aqi, Qistina, Aiisyah, Zawani & Ain
Terima kasih daun keladi::
p/s : Aqi... jangan lupa blejar, dan bawa hasilnya :-)

10 Januari 2011

100 penduduk bakar novel Interlok

KLANG 8 Jan. - Kira-kira 100 orang penduduk berketurunan India berdemonstrasi dan membakar novel Interlok di depan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini petang ini. Mereka turut membakar salinan gambar penulis novel itu, Sasterawan Negara, Abdullah Hussain. Kumpulan itu mendesak kerajaan mengharamkan novel itu dan menarik balik keputusan menjadikannya sebagai buku teks mata pelajaran sastera tingkatan lima di sekolah. - Utusan

Tambahan :: Dua orang wakil rakyat, Dr Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) dan M Manoharan (DAP-Kota Alam Shah) turut hadir dalam "majlis pembakaran" tersebut.

07 Januari 2011

Interlok atau 'dah ter-lock'?

Nampaknya novel SN Abdullah Hussain menggegarkan tanah air lagi. Selepas riuh rendah satu Malaya dengan novel "Imam" (1995), kali ini Interlok mengambil tempat. Kata orang, kalau nak melariskan jualan, timbulkan kontroversi! Novel SN Shahnon Ahmad pada 1998 (Shit!) pernah dicetak rompak dan dijual dengan harga lebih sekali ganda mahalnya akibat terlalu kontroversi sehingga penerbitnya tidak berupaya memenuhi permintaan yang melambung tinggi. Seperti biasa, kontroversi bagi karya sastera biasanya dicetuskan oleh kedangkalan ilmu dan kecetekan pemikiran (selain berkepentingan diri).

Pada hemat saya, kontroversi ini tidak seharusnya berlaku. Hakikatnya jika karya ini dikaji dengan kepala yang sejuk, tidak akan terjadi masalah ini. Malah jika benar-benar dihayati, ini semangat perpaduan yang telah lama disemai dan dipupuk dalam masyarakat. Ada pihak yang berhujah, SN Abdullah Hussain sepatutnya menulis sejarah yang benar-benar terjadi kerana novel ini berlatarkan sejarah tanah air. Maaflah, tetapi saya kira semua orang faham :: ini novel sejarah, bukan buku teks sejarah! 

Tidak dinafikan ada satu perkataan (ulang : satu perkataan) yang boleh menyinggung perasaan masyarakat beragama Hindu jika diambil di luar konteks. Tidak berniat mengulas dari aspek keagamaan, tetapi jika diteliti tidak langsung pemakaiannya bermaksud menghina golongan penganut Hindu sepedrti yang diuar-uarkan oleh mereka yang tegar menentang penggunaan karya ini sebagai teks KOMSAS. Malah, kiranya isu ini tidak ditimbulkan, saya percaya pembaca (maksud : pengkaji di peringkat sekolah) tidak akan terperasan dan terkesanpun dengan perkataan tersebut. Menariknya, penentang ini tidak pula menyuarakan penentangan kepada penerbitan novel ini untuk bacaan umum. Jadi, pada mereka, novel ini hanya 'berbahaya' kepada pelajar sekolah, tetapi bukanlah sebuah novel yang mengundang salah faham kepada agama Hindu atau masyarakat India secara umumnya!

Cuma yang menjadi kemusykilan ialah ::: adakah semua benda pun hendak dipolitikkan? Sudah ter-lock-kah minda kita?

Bacaan luas :: klik di sini

02 Januari 2011

PENA Pertahankan Interlok

Cadangan penarikan novel Sasterawan Negara Abdullah Hussain Interlok sebagai buku teks bagi komponen sastera (Komsas) di sekolah menengah ditentang keras oleh kumpulan sasterawan dan penulis.

Setiausaha agung Persatuan Penulis Nasional (PENA) Syed Mohd Zakir Syed Othman berkata, gesaan yang melambangkan "kejahilan" itu timbul akibat tidak memahami konteks cerita itu ditulis.

NONE"Mereka ini (penentang) mungkin tidak membaca, tidak memahami dan memilih secara berat sebelah. Dan mungkin membantahnya demi kepentingan politik masing-masing," katanya yang lebih dikenali dengan nama pena SM Zakir.

Semalam, Timbalan Presiden MIC Datuk S Subramaniam (kiri) mahukan Kementerian Pelajaran menarik balik buku itu kerana didakwa mempunyai unsur kasta dalam masyarakat India yang sensitif.

Isu sekitar novel itu bermula apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T Murugiah pada 15 Disember lalu berkata, setelah diputuskan dalam perbincangan dengan pihak berkaitan, termasuk Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Interlok akan ditarik balik

Bagaimanapun, sehari selepas itu,Timbalan Menteri Pelajaran Dr Puad Zarkashi pula berkata, keputusan itu akan dikaji semula dengan mengenalpasti tuduhan yang dilemparkan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Terbaru, Persekutuan Pertubuhan India Malaysia mengugut mengadakan demonstrasi besar sekiranya kerajaan tidak mengeluarkan buku itu sebagai bacaan wajib sebelum 30 Januari - tarikh berlangsungnya pilihan raya Tenang.

Kita pun boleh demo
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, SM Zakir menjelaskan, gambaran mengenai sistem kasta dalam masyarakat India yang dalam novel itu hanyalah dibuat sebagai latar belakang watak dan sebagai fakta semata-mata.

Malah, menurut cerpenis itu, Interlok sebenarnya bertemakan perpaduan antara masyarkat berbilang bangsa menghadapi zaman sebelum kemerdekaaan yang berdepan pelbagai rintangan, termasuk pendudukan Jepun, keganasan komunis dan darurat.

NONEMenurut Syed Mohd Zakir, novel itu bercerita daripada tiga sudut pandang watak utama - Melayu, Cina dan India - tentang situasi hubungan kaum ketika itu yang menghadapi pelbagai rintangan.

Namun, menurutnya, selepas lahirnya generasi kedua, keadaan mula berubah ke arah yang positif.

Dibahagikan kepada empat bab, bahagian pertama bercerita daripada sudut pandang Seman dan keluarganya di kampung, bab kedua tentang Chin Huat sekeluarga yang baru datang dari China dan ketiga tentang kehidupan Maniam di estet, sebelum dirangkum semuanya dalam bab terakhir.

Sementara itu, ditanya tentang demonstrasi NGO India itu, Syed Mohd Zakir berkata pihaknya tidak kisah dengan rancangan itu kerana pihaknya dan NGO Melayu lain juga mampu mengambil tindakan yang sama.

"Kami menentang sekeras-kerasnya penarikan novel tersebut (sebagai teks wajib). Kalau mereka hendak protes, kita pun boleh protes juga.

"Jangan emosi sangat. Kalau dilihat daripada kaca mata perkauman, memanglah (nampak) perkauman. Mereka yang sebenarnya rasis. Kalau mereka hendak demo, kita pun boleh demo," katanya tegas.

Respons berterusan
Beliau juga menjelaskan, sebagai respons berterusan terhadap desakan demi desakan terhadap Interlok, PENA akan menganjurkan beberapa program membincangkan kandungan adikarya Abdullah itu.

131010 persatua penulis nasional pena logoKatanya, bermula 8 Januari, PENA akan menganjurkan "Dialog Novel Interlok" di pejabatnya di ibu negara yang melibatkan novelis terkenal Fatimah Busu dan angkatan sasterawan sezaman dengan Abdullah, Elias Zaidi.

"Mereka boleh menceritakan konteks sebenar novel itu," tambah Syed Mohd Zakir yang juga pemenang pelbagai anugerah sastera.

Interlok dimasukkan sebagai teks Komsas untuk pembelajaran bahasa Melayu bermula tahun ini. Malah, dilaporkan novel itu pernah digunakan sebagai teks kajian sastera di universiti sekitar tahun 90-an.

Abdullah merupakan sasterawan negara kesembilan (sic!), sekali gus yang terakhir (setakat ini) menerima anugerah paling tinggi dalam dunia sastera tanahair. ~ Malaysiakini

01 Januari 2011

Selamat Kembali...

Selamat kembali ke asrama kepada semua murid SBPI Kubang Pasu. Semoga tahun ini membawa cahaya kejayaan yang gemilang dalam segala aspek :: akademik, sahsiah & kokurikulum. Yang tidak baik pada tahun lepas, jadikan sempadan, yang baik teruskan sebagai teladan. Kepada pelajar tingkatan 4 (ambilan 2), selamat bercuti untuk beberapa hari lagi; kepada murid tingkatan 1 :: selamat datang ke SBPI Kubang Pasu - yang akan memenjarakan anda selama 5 tahun :: dan kepada semua pelatih PLKN 2011 ~ tahniah, dan selamat berkhidmat untuk negara!

Tahun Baharu 2011

Assalamualaikum....

Sempena Tahun Baharu 2011 ini, blog ini akan berubah sifat. Jika sebelum ini kandungannya 'agak berat', tetapi mulai 2011, blog ini akan digabung dengan blog yang satu lagi :: Ranah Hidup (http://arsal74.blog.friendster.com/) Jadi mulai hari ini juga blog Ranah Hidup tidak lagi dikemas kini. Jadi cerita tentang hidup dan perjuangan akan saya terbitkan dalam satu blog sahaja :: blog ini. Maka nama blog ini saya tukarkan kepada Ranah Budiman - agar terserlah hasrat kandungannya. Walaupun begitu, ada beberapa entri di laman sesawang Ranah Hidup saya masukkan ke dalam blog ini dengan tanda khusus (ARKIB). Entri itu ialah entri yang memberi kenangan yang penting kepada saya.

Jadi kepada semua, sudi-sudilah membaca kisah hidup dan perjuangan saya di sini.

Terima kasih.