29 Disember 2011

Prapersekolahan

Bukan prasekolah... tapi prapersekolahan. Beramai-ramai guru i-KUPs bertandang ke sekolah mulai 26 hingga 29 Disember. Empat hari bermesyuarat, diikuti dengan kursus 'team-building' di pusat boling C-Mart. Mesyuarat biasalah, demi kelancaran P&P dan aktiviti sampingan lain sepanjang tahun hadapan. 

Walau bagaimanapun hakikatnya, dengan pelbagai aktiviti, proses P&P perlu diberikan keutamaan, kerana 90% penilaian untuk ke IPTA atau mendapatkan biasiswa / tajaan ke IPT (dalam dan luar negara) terletak pada pencapaian dalam peperiksaan SPM. Memang ramai yang telah menyebut bahawa pembelajaran di sekolah tidak seharusnya terlalu berfokus kepada peperiksaan. Namun, jika ditanya semula kepada mereka yang berkata : adakah tuan / puan berasa cukup gembira apabila anak-anak cemerlang dalam kokurikulum atau kreatif pemikirannya, tetapi tidak begitu berjaya dalam peperiksaan SPM? Mungkin hanya 1% yang akan menjawab ya! Oleh sebab sistem pendidikan di Malaysia masih berpusatkan 'kertas', maka tiada apa-apa yang boleh dilakukan untuk merobah secara drastik fenomena ini. Ramai yang sibuk membincangkan kejayaan Bill Gate dan Stephen Job yang tidak menghabiskan pengajian di universiti, tetapi berjay menjadi pencetus revolusi IT dunia. Namun ramai pula yang mungkin tidak atau kurang berfikir :: Mereka tidak menghabiskan pengajian kerana tidak lulus peperiksaan atau keana mereka 'tidak berminat' meneruskannya? Dua perkara yang berbeza : di Malaysia juga ramai yang tidak berjaya menghabiskan pengajian di universiti (bahkan di Matrikulasi juga!), kerana 'ditendang' dari universiti. Mereka tidak menjadi Bill Gate, tetapi hanya jadi 'jaga gate'. 

Melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif itu menjadi tuntutan. Melahirkan pelajar yang aktif dan cergas juga satu tuntutan. Namun, untuk menzahirkan atlet negara melalui sekolah sebegini, saya ragu-ragu kerana kepakaran melahirkan atlet berada di SSBJ atau SSBP. Jadi, apabila bertembung kepentingan 10% dengan 90%, pandai-pandailah berfikir. Yang mana satu pilihan anda? Anda yang menentukan. Kami hanya mampu menunjuk jalan, memberi panduan dan pilihan: kepuusan di tangan anda!

Apa-apapun, selamat kembali warga i-KUPs!

23 Disember 2011

Bersyukurlah...

Keputusan Penilaian Menengah Rendah tahun ini mencatatkan peningkatan dari segi kualiti, tetapi menurun dari segi kualiti. Herm...macam mana tu? Selepas tahun lepas 100% kelulusan dicatatkan, tahun ini hanya 98.82% atau 84/85 pelajar sahaja yang lulus sekurang-kurangnya D dalam semua mata pelajaran. Walaupun begitu, Gred Purata Sekolah (GPS) tahun ini meningkat kepada 1.15 berbanding dengan tahun lepas 1.27. Sementara itu seramai 41 orang pelajar berjaya memperoleh 9A, iaitu sebanyak 48.23% berbanding tahun lepas, seramai 23 orang (28.04%), yang terbaik sejak tahun 2006. Walaupun begitu, sasaran tahun ini sedikit tersasar. Pihak sekolah menyasarkan GPS 1.12, sementara yang memperoleh 9A seramai 50 orang. Namun sasaran  73 orang (85.88%) untuk memperoleh 7A, 8A dan 9A tercapai dengan jumlah yang tepat (73 pelajar) telah berjaya mencapainya. Apa-apapun, tahniah diucapkan kepada mereka yang berjaya dengan cemerlang. Yang kurang cemerlang, usaha dengan lebih kuat untuk SPM. Apa-apa yang penting ialah, fikirkan aliran pengajian anda untuk tahun hadapan : Sains Tulen, Sains Tulen Agama, Sains Teknikal atau mungkin anda perlu memikirkan dengan serius untuk masuk ke aliran Sains Sosial atau Agama Tulen (yang sudah pasti tidak terdapat di i-KUPs). Fikir-fikirkanlah, kerana fikir itu pelita hati.

Kepada pendidik i-KUPs : Tahniah!


Slip Pelajar yang memperoleh Semua A

Keputusan sudah di tangan

Tahniah dengan keputusan 9A!

Syukur alhamdulillah!


22 Disember 2011

Cuti...

3 hari 2 malam di Pulau Lagenda agak memuaskan. Mungkin kali terakhir ke sana, sebab dah pergi ke hampir semua tempat yang perlu pergi. Selepas ni kena mencari lokasi baharu pula... Krabi?

Jambatan Gantung di Puncak Gunung Raya

16 Disember 2011

Salam Perpisahan

Sudah dua hari i-KUPs sunyi daripada suara kanak-kanak di Asrama al-Syafii dan Asrama Rabiatul 'Adawiyyah. Setiap tahun, peristiwa yang sama akan berulang. Kesunyian ini sebenarnya tidaklah lama : dua minggu lagi, macam-macam kerenah kanak-kanak ini akan kembali lagi. Cuma yang sedkit berlainan, batch 07/11sudah tiada lagi di bumi ini. Seperti batch 05/06, 06/07,04/08,05/09,06/10 yang pergi meninggalkan bumi yang subur ini : subur dengan ilmu, pengalaman, kasih sayang, rasa, suka dan derita, pemergian yang sungguh direstui. Memang, perpisahan ialah permulaan bagi sebuah lagi pertemuan!

Apa-apapun, diharapkan semua anak-anak yang meninggalkan bumi ini meneruskan perjuangan di medan terbuka : PLKN, Kerja sementara, kerja - kerja rumah, suri rumah separuh masa, jadi pemandu bertauliah atau apa-apapun :: Semoga berjaya!

Kalau membeli kuda belang,
Beli sekali kuda semberani;
Anak dagang hendak pulang,
Makin pilu di hati kami.

Kalau nak dulang, dulang puan,
Jangat - jangat batang padi;
Kalau nak pulang, pulang tuan,
Ingat - ingat jalan ke sini!

















04 Disember 2011

Mama Tercinta

Mama tercinta
kuukir harapan di kaki waktu
restuilah puterimu mama
menyonsong hidup
mencari erti.

Kilauan emas dering ringgit
tiada merenggut diriku
siramlah air damai
mesra kasihmu
selalu, selalu.

Mama tercinta
usah patahkan bibit kasih ini
nikmat hidup menyapa daku
sebelum dan sesudahnya
kasihku pada tanah ini
padu tak berbagi.

Mama tercinta
sentuhlah dahiku
dalam ucap selamat
kasih sayangmu.



Nukilan:
ZAIHASRA (Allahyarham)
Bunga Gerimis
Penerbit Fajar Bakti, 1986.

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...