22 Mei 2008

Biasiswa JPA Lepas SPM

Beberapa hari lepas, saya menonton "Edisi 7" pada pukul 7.00 malam. Siaran wara berita itu menjemput Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu, secara langsung di studio. Pada masa itu, beliau menyatakan kepada perantara (dan penonton) bahawa beliau mendesak agar semua pelajar lepasan SPM yang mendapat 8A dan ke atas ditawarkan biasiswa JPA secara automatik, khususnya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Secara prinsipnya saya bersetuju dengan Datuk Seri S. Samy, tetapi pelaksanaannya tidak saya setujui. Hal ini demikian kerana dengan membiayai semua pelajar yang memperoleh
8A tanpa kecuali akan melahirkan pelajar yang 'mandom'. Bijak dalam akademik tetapi gagal dalam komunikasi dan sosal. Sahsiah dan keterampilan sudah pasti tidak ditekankan oleh pelajar-elajar ini. Realitinya memang kebanyakan pelajar yang 'bergeliga' otaknya kurang cergas fizikalnya. Hal ini kemudian akan menyebabkan lahirlah generasi bijak pandai dalam akademik, tetapi gagal dalam kehidupan. Mengapa semua ini terjadi? Semuanya hanya mengejar 8A1 kerana mereka semua sudah terjamin tajaan dan biasiswa daripada JPA. Ibu bapa pula sudah past tidak akan jemu dan berkira mengeluarkan wang ringgit untuk anak-anak ke pusat-pusat tuisyen demi memastikan anak-anak mereka mmperoleh 8A dalam SPM!

Pada hemat saya, peluang pelajar-pelajar cemerlang dalam SPM memperoleh biasiswa wajar dibuka seluas-luasnya. Namun nilai tambah yang ada pada setiap pelajar perlu diambil kira dalam proses pemberian biasiswa. Kriteria dan tatacara penawaran biasiswa oleh agensi-agensi kerajaan, khususnya JPA dan MARA ketika ini sudah memadai untuk para pelajar kita. Cuma mungkin tanpa perlu mereka mendapat semua A-pun, sekiranya mereka mempunyai kegiatan kokurikulum dan sahsiah serta keterampilan, maka mereka wajar dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya oleh pihak yang berwajib. Hal ini bagi menambahkan lagi peluang dan ruang kepada pelajar-pelajar yang seimbang kehidupan mereka, jasmani, emosi, intlek dan rohani.

Sewajarnya pihak - pihak berkaitan, sama ada KPM, JPA< MARA mahupun ibu bapa memastikan benar-benar pelajar yang hanya memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Negara sahaja diberi biasiswa agar mereka tidak nanti menjadi 'seperti kacang lupa akan kulit'!

06 Mei 2008

Keris Terhunus, berkarat rupanya!

Hari ini (semalam di internet), dalam pelbagai akhbar dimuatkan permohonan maaf Dato’ Seri Hishamduddin Tun Hussin, Ketua Pemuda UMNO Malaysia terhadap tindakannya menghunus keris Panca Warisan sewaktu Persidangan Perwakilan Tahunan pergerakan itu pada 2005. Dari satu segi, permohonan maaf ini boleh disifatkan satu perbuatan “besar” daripada pemimpin berjiwa besar. Mungkin daripada segi politik, perkara ini perlu dilakukan, sementelahan lagi BN kalah teruk di banyak negeri (perlu diingatkan bahawa UMNO tidak banyak merosot pengaruhnya, kecuali di Kelantan dan sebahagian Kedah). Cuma sebagai bangsa yang berdaulat, perlukah permohonan ini dilakukan?

Implikasi daripada permohonan maaf ini ialah : Jangan cuba mendaulat bangsa Melayu di Malaysia! Jika sesiapa berusaha mendaulatkan kedudukan Melayu, ‘walaupun hanya secara simbolik’ akan dihukum dengan seteruk-teruknya! Begitulah yng boleh difahami daripada peristiwa ini.

Persoalannya, dalam gah semboyan menuntut keadilan, kita terlupa memberikan keadilan kepada golongan majoriti. Kita berasa sangsi, adakah golongan minoriti (yang juga hampir menyamai majoriti) telah, sedang dan terus dinafikan hak mereka? Izinkan kita membawakan contoh berikut : Semasa kegawatan politik Melayu pada tahun 1999 (sebelum pilihan raya), ada golongan yang mengambil kesempatan mendesak pelbagai perkara. Mereka mendesak hak (dari segi perlembagaan dan moral) golongan majoriti (Melayu dan bumiputera) dikaji, disemak dan dihapuskan. Sementara itu, pada waktu yang sama mereka mendesak “hak” mereka daripada segi pendidikan, kebudayaan dan bahasa dipertingkat dan disamatarafkan dengan “hak” golongan majoriti yang telah dilembagakan dalam perlembagaan sebagai “identiti bangsa dan negara Malaysia”. Mereka berterus-terusan mendesak Dasar Kebudayaan Kebangsaan dimansuhkan kerana mengandungi elemen “memberikan nilai yang lebih besar” kepada golongan majoriti. Ironinya, mereka dengan lantang memperjuangkan “hak minoriti” mengatasi “hak majoriti”. Anehnya, mereka dianggap pejuang demokrasi dan pejuang keadilan. Sedangkan pada waktu yang sama, golongan majoriti yang “mengingatkan” mereka bahawa mereka “berlangitkan Malaysia, berbumikan Malaysia” dianggap golongan ultracauvanist!

Wajarkah difikirkan?

Aneh sungguh Malaysiaku!

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...