23 November 2010

Hakikat Kebebasan Minda

*(Makalah ini ditulis oleh Abd Razak Abu Bakar, dalam Dewan Budaya Ogos 2009)
 
Sehari selepas kerajaan mengumumkan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012, akhbar New York Times edisi internet melaporkan kebimbangan mengenainya. Menurut New York Times (9 Julai 2009), yang memetik pandangan seorang guru di St. John Institution, Kuala Lumpur : you cannot really convey the scientific concepts to the students in Bahasa Malaysia at very high level.

Pandangan guru ini belum tentu benar kerana konsep sains mengenai botani pernah diungkapkan dalam bahasa Melayu sebelum Charles Darwin menulis The Origin of Species. Yang mengungkapkannya ialah seorang ahli botani dari Eropah.Seandainya pusat kecemerlangan saintifik berpusat di Alam Melayu, pastilah ilmu saintifik peringkat lebih tinggi pada hari ini diungkapkan dalam bahasa Melayu, dan tentulah mudah difahami oleh pelajar, sekali gus menyangkal dakwaan guru dari St. John Institution itu.
 
 Meskipun pusat kecemerlangan saintifik tidak berpusat di Alam Melayu, sainstis yang berbahasa Melayu yang terdiri daripada orang Melayu dan bukan Melayu telah berjaya menyampaikan ilmu sains peringkat tinggi dalam bahasa Melayu, sehingga melahirkan sekian banyak graduan sains yang akhirnya menjadi saintis yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Dalam sejarah tamadun manusia, bahasa kebangsaan sesuatu tamadun itulah yang terbukti sebagai alat untuk menzahirkan ciptaan sains dan sekali gus memajukan bangsa tersebut. Rusia, Jerman,, Jepun, Korea dan segelintir negara Scandavinia berjaya membuktikannya. Apabila Korea Utara berjaya menjalankan ujian peluru berpandu, dunia harus menerima hakikat bahawa faktor bahasa Inggeris bukanlah penentu kejayaan. Rakyat Korea Utara tidak pernahpun dketahui menguasai bahasa Inggeris atau menimba ilmu sains daripada Barat dalam bahasa Inggeris, tetapi negara komunis itu berjaya mencipta dan mengjomersialkan senjata pemusnah yang menggerunkan Barat, yang lingua francanya bahasa Inggeris. Inilah hakikat kebebasan minda!

08 November 2010

RESPONS BERITA : ADUN DAP Cadang Jadikan Bahasa Inggeris Bahasa Rasmi Kedua Pulau Pinang

Orang tua-tua pernah berkata : lulus jarum luluslah kelindan. Maksudnya : apabila usaha yang pertama telah berhasil, maka usaha yang berikutnya pun akan tercapai juga.

Demikianlah saya katakan kepada segelintir "pejuang tegar" bagi "pengganggu kestabilan dan kedaulatan negara" yang dipelopori oleh politikawan-politikawan yang tidak beretika. Menjadi sesuatu yang sungguh mengerikan apabila pemimpin parti-parti politik kini menyatakan hajat dan hasrat mereka - sama ada secara terang-terangan mahupun tersirat - untuk mencabar asas-asas pembinaan negara Malaysia. Bermula dengan tulisan dan bahasa pada papan tanda di seluruh Pulau Pinang, terbukti benar sudah kata orang tua-tua itu! Terbaharu, seperti yang telah saya petik dalam posting sebelum ini, Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat) mencadangkan Bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi kedua bagi negeri Pulau Pinang. Tanpa perlu kita melihat alasan serapuh muruku yang dihamburkannya, kita sudah pasti dapat menelah maksud tersirat daripada kenyataan tersebut. Memandangkan DAP ialah parti yang lahir daripada PAP Singapura, selain dasar mereka yang jelas tentang Malaysian - Malaysia-nya, maka kenyataan daripada salah seorang ADUN mereka sudah pasti terselirat dengan maksud dan tujuan yang nyata.

Saya tidak bersembunyi : saya menuduh (dengan alasan yang munasabah) bahawa tujuan akhir kenyataan ini adalah untuk menjadikan Bahasa Melayu setaraf dengan bahasa-bahasa lain. Jika sudah bahasa Inggeris dinobatkan sebagai bahasa rasmi (walaupun kedua), tidak mustahillah nanti ada tuntutan menjadikan bahasa-bahasa lain sebagai bahasa kebangsaan. Mungkin alasannya akan dicedok daripada wajaran yang dibuat oleh Republik Singapura!

Pada perkiraan akal yang waras, kenyataan Yang Berhormat(?) Jagdeep Singh Deo ini jelas tidak menghormati Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan (perlu diingat bahawa Pulau Pinang ialah sebuah negeri di bawah Persekutuan Malaysia), khususnya Para 2 Akta Bahasa Kebangsaan (Akta 32) yang berbunyi:


Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta ini dan tertakluk kepada perlindungan-perlindungan yang terkandung dalam Perkara 152(1) Perlembagaan berhubung dengan mana-mana bahasa lain dan bahasa mana-mana kaum lain di Malaysia bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.
Selepas menyentuh, menyinggung dan mempersendakan Perkara 153 berkenaan hak-hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera serta Perkara 2 berkenaan kedudukan Islam sebagai agama rasmi, DAP sekali lagi bermain dengan api.

Persoalannya : sehingga bilakah permainan politik tidak bermaruah ini (secara implisitnya politik perkauman - yang selalu ditudingkan kepada parti-parti lain oleh 'mereka') ingin dimainkan oleh DAP dan sekutu-sekutunya? Sungguh malang, selepas mengutuk dan mengata pimpinan Barisan Nasional, khususnya UMNO dalam isu PPSMI, mereka mencadanglan sesuatu yang lebih pelik. Sungguh memualkan apabila ada rakyat Malaysia yang terfikir untuk mencadangkan perkara sebegini!

Akhirulkalam : sudah tenat sangatkah negara kita? Gersang idea sangatkah politikawan kita? Jangan dikata : " itu cadangan peribadi dia..." sebab, daripada idea seoranglah maka hancur seluruh negara. Sebab Sang Rajuna Tapa seorang, Singapura habis alah dek Jawa! Sebab Si Kitul seoranglah, hancur lebur terjajah negara kita lebih 440 tahun lamanya! Nak tunggu Si Kitul seorang lagikah, Datuk Seri Ketua Umum???

Adun DAP Cadang Jadikan Bahasa Inggeris Bahasa Rasmi Kedua Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 8 Nov (Bernama) -- Kerajaan DAP Pulau Pinang Isnin diminta mempertimbangkan cadangan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua Pulau Pinang selaras dengan hasrat menjadikan negeri ini sebagai bandar antarabangsa pada masa hadapan.

Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat) berkata Bahasa Inggeris penting memandangkan ia merupakan lingua franca (bahasa antarabangsa) yang digunakan oleh kebanyakan negara di dunia.

"Saya tidak menolak Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, tetapi Bahasa Inggeris juga penting dan mohon kerajaan negeri pertimbangkan cadangan untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di Pulau Pinang," katanya ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2011 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini Isnin.

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...