07 Disember 2009

Garis Panduan Mata Pelajaran Tambahan SPM 2010

KUALA LUMPUR: Mata pelajaran tambahan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diambil kira dalam penganugerahan Biasiswa Nasional tajaan kerajaan sekiranya ianya termasuk dalam 10 mata pelajaran maksimum yang diambil oleh calon, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom hari ini.

Bahasa Arab juga termasuk dalam senarai mata pelajaran tambahan selain daripada Bahasa Cina atau Tamil dan Kesusasteraan Cina dan Tamil.

Mata pelajaran tambahan tidak boleh diganti dengan mata pelajaran lain.

"Mata pelajaran tambahan yang dinyatakan di atas akan hanya diambil kira dengan pengiraan mata, bagi tujuan kemasukan ke kursus-kursus Pengajian Bahasa Tamil atau Bahasa Cina atau Bahasa Arab atau kursus-kursus berkaitan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA)," kata beliau dalam satu kenyataan. Alimuddin berkata keputusan kedua-dua mata pelajaran tambahan tersebut akan dicatatkan pada sijil SPM yang sama dan juga boleh digunakan bagi menyertai latihan penguruan bagi pelantikan guru Bahasa Cina, Bahasa Tamil atau Bahasa Arab.

Jemaah Menteri minggu lepas bersetuju selepas menerima rayuan supaya membenarkan calon SPM mengambil dua lagi mata pelajaran tambahan kepada maksimum 10 mata pelajaran. Keputusan keseluruhan SPM bagaimanapun dihadkan kepada 10 mata pelajaran utama. 

"Dengan formula 10+2 ini, tidak timbul lagi masalah pelajar yang tidak dibenarkan mengambil mata pelajaran Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Kesusasteraan Cina dan Kesusasteraan Tamil. Mereka boleh mengambil mana-mana satu atau dua mata pelajaran tambahan ini tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan di atas," kata Alimuddin.Kelonggaran itu boleh diguna pakai untuk pelajar semua aliran. Alimuddin berkata syarat-syarat lain pengambilan mata pelajaran dalam peperiksaan SPM, termasuk syarat mata pelajaran teras dan mata pelajaran elektif sedia ada, juga kekal.

Kata beliau pelajar aliran agama sains juga boleh mengambil mana-mana 10 mata pelajaran dan satu mata pelajaran tambahan iaitu Bahasa Arab walaupun selepas 2010.

Kumpulan yang mewakili sekolah agama dalam beberapa pertemuan dengan Kementerian Pelajaran telah menyatakan 11 mata pelajaran telah mencukupi, kata Alimuddin. - BERNAMA

06 Disember 2009

Subjek SPM 2010


"Pokoknya 10 subjek utama itu kekal tetapi memberi kelonggaran bahawa pelajar boleh membuat pilihan untuk mengambil mata pelajaran bahasa Cina atau Tamil dan sastera Cina atau sastera Tamil," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-65 di sini hari ini.

Muhyiddin berkata langkah itu akan membolehkan pelajar berkenaan menggunakan keputusan yang diperolehnya dalam subjek tambahan itu untuk menjadi guru bahasa Tamil atau sebagainya.

Bulan lepas, Dr Subramaniam berkata beliau akan mengusulkan kepada Kabinet agar membenarkan pelajar India mengambil maksimum 12 mata pelajaran bagi peperiksaan SPM.

Dr Subramaniam yang juga naib presiden MIC berharap Kementerian Pelajaran akan membenarkan pelajar India mengambil subjek Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Tamil selain 10 mata pelajaran yang ditetapkan kementerian berkenaan.
Walaupun mengalu-alukan pengumumannya, kita berasa kesal kerana Menteri Pelajaran hanya mengambil kira pelajar-pelajar yang ingin mengambil mata pelajaran Bahasa dan Kesusasteraan Tamil / Cina sahaja. Bagaimana dengan pelajar-pelajar aliran sains tulen agama yang perlu mengambil mata pelajaran Pendidikan Syariah Islamiah dan Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah? Dua mata pelajaran ini perlu wujud selain 10 mata pelajaran pokok lain, sama seperti wajaran yang diberikan kepada pelajar yang mengambil mata pelajaran bahasa dan kesusasteraan Tamil/Cina.
Kita berharap Menteri dan Kementerian Pelajaran Malaysia melihat isu ini daripada perspektif yang luas dan jauh. Membenarkan sebahagian pelajar mengambil 12 subjek dan mengehadkan kepada pelajar lain kepada 10 sahaja sesungguhnya bertentangan dengan falsafah dan matlamat pendemokrasian pendidikan dan kesaksamaan memperoleh ilmu pengetahuan oleh para pelajar.
Kita beiltizam dengan hemat kita selama ini bahawa pelajar wajar dihadkan pengambilan subjek dalam peperiksaan . Namun begitu, pelajar juga perlu diberikan ruang secukupnya untuk mempelajari dan mengambil peperiksaan bagi subjek-subjek yang asasi dalam pembentukan modal insan berkualiti (lih. posting awal : http://arsal74.blogspot.com/2009/06/pengehaan-subjek-spm-satu-pandangan.html ), seperti yang dihasratkan oleh Akta 550:
DAN BAHAWASANYA pendidikan mempunyai peranan penting dalam menjayakan wawasan negara demi untuk mencapai taraf negara maju sepenuhnya dan segi kemajuan ekonomi, keadilan sosial, dan kekuatan rohani, moral dan etika, ke arah mewujudkan suatu masyarakat yang bersatupadu, demokratik, liberal dan dinamik.

04 Disember 2009

Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa!



Petikan rencana "Segera Perkasa Bahasa Melayu" oleh Anuar Ahmad, Timbalan Pengarah (Akademik Kolej), Pusat Perkembangan Pelajar, UKM dalam Utusan Malaysia, 4.12.2009


EPISOD kemelut Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI) sudah selesai sepenuhnya. Kerajaan (bertindak) bijak (dengan) mengambil keputusan untuk menamatkan 'riwayat' PPSMI sebagai respons kepada sebahagian masyarakat yang ingin bahasa ibunda diutamakan di negara ini.Hakikatnya, pemansuhan PPSMI tidak pernah menjanjikan bahasa Melayu akan berkembang dengan sendirinya di bumi Malaysia apatah lagi di peringkat antarabangsa. Bahasa Melayu perlukan usaha berterusan untuk menjadikannya kukuh sebagai nadi kepada identiti rakyat Malaysia khususnya orang Melayu.
Sebenarnya terdapat lebih kurang 6,000 bahasa dituturkan oleh penduduk dunia hari ini. Malangnya lebih separuh daripadanya sedang diancam kepupusan kerana kekurangan penutur hari demi hari. Misalnya terdapat lebih kurang 300 jenis bahasa yang dituturkan oleh kurang dari satu juta penutur. Ia sebagai petanda bahawa bahasa-bahasa ini juga akan pupus satu hari nanti jika tidak dipertahankan dan diperkasa segera. Kepupusan bahasa mula berlaku kerana penutur asalnya tidak lagi bertutur dalam bahasa ibunda tetapi memilih untuk bertutur di dalam bahasa asing.Kajian menunjukkan kadar kepupusan bahasa di dunia sejak 500 tahun lalu jauh lebih tinggi berbanding dengan kepupusan jenis burung dan spesies mamalia. Pada 2006, Steve Sutherland, seorang profesor di Universiti East Anglia, United Kingdom melaporkan, kadar kepupusan bahasa di dunia sejak 500 tahun lalu adalah sebanyak 4.5 peratus berbanding burung pada kadar 1.3 peratus dan mamalia sebanyak 1.9 peratus. Kajian beliau juga menunjukkan bahawa tiga bahasa paling utama di dunia ialah Mandarin, Inggeris dan Sepanyol yang dituturkan di kebanyakan penjuru dunia. Ketiga-tiga bahasa ini pula semakin berkembang dengan pesatnya.
Asas kepada kepupusan bahasa ialah bilangan penutur dan pengguna menjadi semakin lama semakin berkurang. Sebagai contoh apabila semakin kurang orang Melayu bertutur dan menggunakan bahasa Melayu, lama-kelamaan jumlah penuturnya semakin mengecil dan akhirnya bahasa Melayu akan menjadi tidak signifikan lalu pupus walaupun populasi masyarakat Melayu semakin bertambah.
Apakah kesannya bila sesuatu bahasa mengalami kepupusan? Bangsa itu secara langsung akan hilang identiti dan jati diri. Apabila sesuatu bahasa kumpulan etnik pupus maka cara hidup, adat budaya serta ilmu pengetahuan masyarakat juga akan pupus. Pelbagai pantang larang, norma dan nilai hidup, kepercayaan serta upacara perayaan kemasyarakatan akan turut pupus.
Mungkin kisah nasib bahasa Maori boleh dijadikan peringatan. Suatu masa dahulu sebelum New Zealand dikuasai oleh masyarakat Eropah, bahasa Maori merupakan bahasa utama masyarakat asal di kepulauan negara tersebut. Kehadiran masyarakat Eropah yang kemudiannya menetap di New Zealand menyebabkan bahasa Inggeris dikembangkan sehingga mengancam kewujudan bahasa Maori. Satu ketika sekitar awal abad ke-20, kanak-kanak Maori mula dilarang bercakap dengan menggunakan bahasa Maori di sekolah-sekolah kerajaan. Kemudiannya kerajaan mula meminggirkan kepentingan pengajaran bahasa Maori di sekolah. Kesannya sehingga tahun 1980-an tinggal sekitar 20 peratus sahaja di kalangan masyarakat Maori yang boleh bertutur bahasa ibunda mereka. Kebanyakan orang Maori yang menguasai bahasa Inggeris berpindah ke bandar-bandar besar dan tidak lagi mengamalkan bahasa Maori. Malah mereka juga mula meninggalkan adat resam dan budaya Maori sebaliknya mengasimilasikan diri dengan budaya masyarakat Eropah. Sekarang dilaporkan hanya seorang daripada empat etnik Maori yang boleh bertutur bahasa ibunda mereka. Jumlah ini juga semakin mengecil hari demi hari. Peliknya dalam Perlembagaan New Zealand, bahasa Maori diiktiraf dan masih kekal sebagai bahasa rasmi negara tersebut. Tetapi apalah ertinya wujud sebagai bahasa rasmi tetapi sudah tiada lagi kedaulatan dan maruahnya. Masyarakat Maori pada hari ini bukan sahaja tidak lagi bertutur dalam bahasa ibunda mereka tetapi telah menggunakan sepenuhnya budaya serta amalan hidup gaya Eropah.
Kalau sekerat dua orang Melayu yang menguasai bahasa Inggeris tentulah identiti kemelayuan mereka tidak akan hilang kerana identiti kemelayuan ini datang dari suasana yang dikuasai oleh majoriti yang bertutur bahasa Melayu. Kalau tidak percaya cuba letakkan seorang dua kanak-kanak Melayu di bumi England. Biarkan mereka untuk puluhan tahun sampai beranak pinak di sana. Benarkah mereka akan sangat mementingkan jati diri Melayu bila mana di sekeliling mereka tiada suasana kemelayuan?
Hanya majoriti Melayu sahaja akan membina rasa kemelayuan. Jika minoriti Melayu yang menguasai bahasa Melayu sedikit demi sedikit identiti kemelayuan pasti akan hilang begitu sahaja. Percayalah, jati diri bangsa dan bahasa adalah satu. Hilang satu maka matilah yang satu lagi. Apakah akan jadi bila seorang datuk dan cucunya berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris, tentunya nasihat dan simpulan bahasa tiada lagi kemelayuannya. Tiada lagi bidalan kata dan peribahasa Melayu sampai ke telinga cucunya. Bila sudah bertutur bahasa Inggeris maka tentulah bidalan kata dalam bahasa itu lebih sedap bunyinya. Mungkin anda tersenyum membacanya, tetapi itu hakikatnya nanti. Apabila hilang bahasa Melayu maka hilanglah jiwa bangsa Melayu.
Terbukti dalam sejarah negara bahawa kejayaan Universiti Kebangsaan Malaysia yang pernah berada dalam antara 200 universiti terbaik di dunia adalah lahir daripada kebijaksanaan pejuang bangsa Melayu satu masa lalu. Penggunaan bahasa Melayu di peringkat keilmuan sama sekali tidak pernah merugikan bangsa Melayu, jauh sekali menjadikan bangsa Melayu suatu bangsa yang terkebelakang. Kita harus mesti banyak bersabar dan terus konsisten berusaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bertaraf dunia. Bukannya menanam kepercayaan bahawa bahasa Melayu adalah untuk bangsa yang mundur.
Kini dunia secara relatifnya sudah semakin mengecil. Warga dunia bukan sahaja ingin menambah ilmu dari satu atau dua bahasa utama sahaja. Mereka inginkan lebih daripada itu. Bahasa Melayu mesti dikembangkan untuk dikongsi dengan masyarakat dunia dan bukannya disimpan di dalam perpustakaan semata-mata. Persepsi kepimpinan negara dan masyarakat mesti berubah tentang keupayaan bahasa Melayu, berubah kepada yang lebih baik tentunya.
Sekali lagi, kita harus banyak bersabar, bersyukur dan terus berusaha untuk memakmurkan bahasa Melayu. Memang benarlah kata bidalan Melayu lama, "Bahasa Jiwa Bangsa".

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...