31 Mac 2011

di Gunung...

Alhamdulillah, selepas hampir seminggu, tak ada lagi kelenguhan pada kaki. Mujur juga tidak demam dan ditimpa lain-lain penyakit selepas turun dari Gunung Jerai pada 26.3.2011 yang lepas. Kursus Kepemimpinan Pengawas yang diadakan berhampiran puncak Gunung Jerai memberi pengalaman baharu yang sungguh berguna : kepada pelajar dan kepada guru. Kepada guru, inilah kali pertama terpaksa mendaki naik gunung bersama - sama dengan pelajar. Bukan sahaja mendaki, bahkan menapak turun sepanjang 10 km dari atas Gunung Jerai pula pada 26.3.2011. Selalunya kami akan memakai roda empat untuk mengangkut. Terima kasih kepada PERHILITAN yang telah menjadi hos kursus ini dengan modul yang lain daripada yang lain.

Teruja juga kerana buat pertama kali, saya menjadi penganjur untuk menghimpunkan dua buah sekolah harian, iaitu Sekolah Model Khas Baling dan Sek. Men. Keb. Pedu untuk sama-sama mengikuti program ini dengan pelajar-pelajar SBPI Kubang Pasu. Terima kasihlah kerana sudi datang, walaupun tidak begitu ramai yang dijemput. Moga-moga apa-apa yang diperoleh daripada kursus ini berjaya memberi outcome yang berguna kepada anda semua.

Kursus Biodiversiti PERHILITAN selama 3 hari 2 malam ini memberi cabaran sebenar kepada peserta. Semoag apa-apa yang diperoleh, sama ada fizikal, kerohanian, mahupun kepemimpinan di sana menjadi salah satu cara untuk memperoleh kejayaan pada masa akan datang. Terima kasih kepada Cikgu Rizal, ZAhrul, Ustazah Jailah, Mala, dan Cik Nurul yang sanggup berehat-rehat di puncak negeri Kedah itu. Lain kali kita pergi lagi...:-D Sedikit gambar dicuplik daripada fb Cik Nurul (kamera saya tertinggal di rumah):-





27 Mac 2011

Tahniah...

Kepada semua bekas pelajar SBPIKP yang telah berjaya, sama ada yang cemerlang, terbilang mahupu yang hanya suam-suam kuku - tahniah cikgu ucapkan! Semoga selepas ini berjaya dengan lebih baik dalam apa-apa bidang yang diceburi, dan di mana-mana sahaja tempat anda menyambubg pelajaran. Ingatlah, ini hanya permulaan, bukannya penamat kepada cita-cita anda.





19 Mac 2011

Percutian

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, saya sudah berada di bumi SBPI Kubang Pasu. Bumi yang diwakafkan Allah swt kepada kami untuk memakmurkannya dengan menebarkan ilmu bertunjangkan kasih sayang kepada-Nya; mendidik dengan lidah; memukul dengan kata. Insya-Allah akan kami teruskan amanah-Nya yang agung ini, kerana sesungguhnya kami ialah murabbi; pendidik hati dan jiwa - kepada mereka yang jiwanya masih mahu menerima titis-titis rahmat Tuhannya. Kami percaya, mehnah yang diturunkan-Nya ialah pahala berganda yang ingin diberikan-Nya kepada kami.

Agak awal saya sampai di sini, walaupun hakikatnya - kali ini agak lewat berbanding waktu-waktu lain. Saya sampai pekul 10.30 mlm Sabtu bersama dua bekas pelajar. Sampai-sampai terus ke Bilik Muzik al-Farabi, tengok budak-budak nasyid berlatih. Terpaksa mereka ni balik awal ke sekolah disebabkan MTQ akan diadakan 24.3.2011 ni. Tak pa, orang Melayu kata :: berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian. Moga-moga tahun ni berjaya mendapat tempat di Festival Nasyid Kebangsaan, amin!

Sebelum tu, saya merealisasikan misi pada tahun ini : menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan. Berehat-rehat di Bukit Merah Laketown selama 3 hari 2 malam umumnya menarik. Akan tetapi, susah untuk datang buat kali kedua. Mungkin tidak begitu sesuai untuk saya. Okie, tak apa. Harap-harap selepas ini akan berjaya menikmati keindahan Phuket, Ko Samoi, dan kawasan sekitarnya. Passport belum buat lagi! Jomlah, siapa-siapa yang suka berehat-rehat, kita berkunjung ke Tanah Melayu yang terlepas ke tangan Siam. Tengok apa dah jadi dengan legasi Langkasuka!





12 Mac 2011

Bertarung Nyawa (demi desa tercinta)

Laluan saya balik ke kampung setiap kali cuti persekolahan tidak banyak berubah. Jalan (lebuh?) raya Timur - Barat dari Grik ke Jeli menjadi tumpuan ribuan pengguna dari Pantai Barat, khususnya Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis ke Kelantan dan Terengganu. Jika mula-mula saya memandu kenderaan sendiri untuk balik ke Teengganu, Jaln Raya Timur - Barat ini sedikit merisaukan, namun kini tidak lagi. Sebabnya saya hampir dapat menghafal setiap sudut dan lengkuk jalan raya - tempat berlubang, selekoh maut, selekoh untuk layan drift dan lain-lain. 

Dalam pada itu, saya tertanya-tanya : ke mana agaknya peruntukan RM 1.4 bilion yang diperuntukkan kerajaan dalam belanjawan 2010 untuk pembangunan jalan raya dan jambatan dahulu? Takkanlah semuanya dilimpahkan untuk membina jalan kampung dan jalan di bandar raya Kaual Lumpur sahaja? Atau adakah kerajaan hendak menunggu syarikat swasta yang memperlebar jalan raya Timur - Barat, kemudian mengenakan tol kepada pengguna?

Keindahan Puncak Titiwangsa :: Semoga jalan raya di atasnya semakin baik

Jalan Raya Timur - Barat itu hanyalah satu-satunya penghubung terdekat warga Timur dengan Barat (utara) semenanjung. Seyogianya kerajaan perlu prihatin dengan keadaan jalan raya yang sungguh berbahaya. Selain sentiasa mengatasi masalah jalan yang sentiasa berlubang-lubang (atas pelbagai faktor), kewujudan selekoh-selekoh maut juga perlu dikurangkan. Hentian-hentian Rehat dan Rawat (R&R) perlu diselia dengan baik agar kemudahan awamnya, khususnya tandas dapat digunakan dengan sempurna. 

Saya tidak pernah serik menggunakan jalan raya ini walaupun kondisinya sungguh menyenakkan perut.  Walaupun banyak kali 'terancam' :: terlanggar dan jatuh ke dalam lubang yang agak dalam, menyebabkan rim bengkok; hampir berlanggar; terlelap ketika memandu (kerana tiada R&R untuk berehat seketika) dan banyak lagi peristiwa, namun saya tidak serik. Dan saya juga tidak mahu kerajaan 'serik' menyelenggara jalan raya ini dan menambah kemudahannya sekerap mugkin agar pengguna jalan raya tidak berasa seperti bertarung dengan maut apabila berada di atas jalan raya ini! 

Jangan biarkan kejadian 4 penuntut IPG Sultam Mizan maut akibat berlanggar dengan kenderaan pensyarah mereka sendiri dua hari lepas berulang lagi!

Selamat Bercuti

Sekolah mula bercuti pada 11 Mac 2011. Alhamdulillah... semua dapat kembali ke rumah masing-masing (kecuali beberapa penasyid sekolah - tetapi akhirnya pulang awal juga, Jumaat setelah semuanya 'tersingkir' :D). Semoga cuti ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh oleh semua pelajar. Berehatlah sepuas-puasnya, dan kembali semula ke sekolah dengan kesegaran baharu untuk terus belajar dengan semangat baharu juga. Saya akan pulang, Insya-Allah pada pagi nanti (Sabtu). Walaupun sekejap sahaja di kampung, namun insya-Allah tempoh seminggu ini akan dimanfaatkan sebaik-baiknya juga. Kepada semua rakan pendidik - warga I-KUP's atau warga KPM:: Selamat bercuti, semoga cuti ini memberi kesejahteraan kepada kita semua!


08 Mac 2011

Pohon Hayat

Alhamdulillah, hari saya kembali meraikan (sebenarnya :: mengingat) hari ulang tahun kelahiran saya  (yang rasmi tercatat pada KPT) tahun ini. Selain diperingatkan oleh syarikat telekomunikasi, saya juga diperingatkan perihal ketuaan saya oleh pelajar-pelajar I-KUP's Terima kasih pelajar 5 Ikram yang mula-mula mengingatkan hal ini pada pagi tadi. Terima kasih juga kepada yang lain-lain : 5 Ikhlas, 2 Ikram, Anas, Iwan, dan lain-lain.
Terima Kasih Ibni Faris ...

Tahun ini tak ada ucapan saya terima daripada pengguna facebook (kecuali seorang x-mentee:: yg masih ragu2 :)]. Mungkin teknologi menyebabkan kita lupa atau kita terlalu bergantung kepada teknologi untuk memperingatkan kita. Ya... sengaja saya tukar tarikh hari lahir pada profil, maaf ya! :-) Tapi saya rasa..ermmm... memang saya hanya seekor hama di badan gajah, hehehehe. Apa-apapun, umur ialah anugerah Allah ::: Daku yang perlu bersyukur ke hadrat-Nya. Alhamdulillah ya Rabb...

Sudah terlalu lusuh usiaku
roda waktu yang berputar
dimakan karat besi
mataku kabur pada kabus membalut
gunung pengalaman
cinta kekasih bersalut ragu dan gundah
aku sendiri
memagut masa-masa sepi dan pedih
air mata yang menderas
pada pipi yang mulai kendur
keindahan tubuh-tubuh ranum
di padang ingin
sudah terlalu merembang senja
menggiring cemeti sayidina ali

Ilahi, aku mencari-Mu
dalam ayat-ayat suci-Mu
di tengah kehilangan
dan kejip-kejip obor umur
kian mengecil

Ya Allah, wahidulahad
Kaucungkil  daku
dari lumpur lahar
pengembara yang dibalut debu-debu
kering gunung
Ingin kubasuh kalbuku
dengan zamzam dingin
tahajud di baitil 'atiq
saling berkongsi bisik
dengan merpati tanah suci

01 Mac 2011

Malang Tak Berbau?

Hampir RM400.00 terbang petang tadi. Semuanya gara-gara terpaksa menggantikan tayar kereta yang pecah dua hari lepas. Ingat dapat jimat RM40.00 untuk 'trade in' tayar lama, tapi malang lagi, tayar yang satu lagi juga sudah merekah. Jadi tak jadi diambil oleh tokey kedai tayar tu. Maka berterbanganlah $$$$... nak buat macam mana, dah takdir.. Adalah agaknya benda yang belum selesai sampai Allah Taala tarik dari poket (dari akaun sebenarnya) dengan cepat dan pantas (selepas diberi nikmat sebentar - untuk rasa seronok :-D). 

Saat Perpisahan En. Tajul dengan SBPIKP
Semua ni bermula Sabtu lepas. Selepas selesai merentas desa di sekolah, kami bertiga bergegas ke Gunung Jerai. Macam biasa, tujuannya untuk "riki" (entah macam mana ejaan yang betul) tempat Kursus Kepimpinan Pengawas pada 24 - 26 Mac nanti. Memang menarik tempatnya. Namun semasa turun daripada Gunung Jerai, kami ditimpa malang yang pertama. Kereta kawan Cik Ropizah yang kami tumpangi mula berasap tayarnya dan brek tak berfungsi dengan baik. (kami naik ke gunung menggunkaan perkhidmatan van Gunung Jerai). Maka untuk mengelakkan kejadian yang lebih buruk, kami berjalan kaki menuruni gunung sementara Ropizah dan kawannya menyejukkan tayar kereta. Tapi akhirnya dengan pertolongan seorang budiman, kereta itu dapat diturunkan dengan selamat ke kaki gunung - dan Ropizah juga berjalan menuruninya.

Tahniah Saidina Umar!
Selepas makan-makan di Sungai Petani, (bagi menggantikan tenaga yang dihabiskan untuk menuruni gunung) kami balik ke Bukit. Perjalanan waktu malam yang baik - walaupun banyak gangguan lampu tinggi oleh kereta orang Kedah - tiba-tiba terencat apabila melewati  plaza tol Hutan Kampung. Tiba-tiba saja tayar meletup kuat ketika saya sedang memandu dengan kelajuan (lebih kurang) 100 km/j. Nasib baik tidak sempat panik: dapat saya mengawal stereng dan membawa keretea ke tepi jalan. Terima kasih kepada Shahril, suami Hajar dan rakannya yang datang menolong menukar tayar hadapan yang rupa-rupnya terkoyak teruk. Kami balik dengan pemanduan kurang 70km/j. Sampai ke Bukit sudah pukul 12.00 tengah malam.
Di atas puncak Gunung Jerai

Saya pernah memberi komen kepada peristiwa kemalangan yang menimpa bekas pelajar saya dalam blognya - kata saya : malang ada bau, tapi selepas terjadi, iaitu bau ubat! Alhamdulillah, malang yang menimpa kami tidak mengeluarkan bau ubat, walaupun dua kali malang yang menimpa dalam satu hari! Syukur...Rupa-rupanya bukan semua malang berbau, banyak juga yang masih tidak berbau!
Sebelum pelajar-pelajar berjalan, cikgu-cikgunya terlebih dahulu mengalaminya!

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...