Badan Bertindak Menentang Program Dwibahasa (DLP) dan Immersive Programme (HIP) mahu kerajaan membatalkan pelaksanaan program memartabatkan bahasa Inggeris itu yang disifatkan sebagai 'penderhakaan' kepada perlembagaan negara. Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, pihaknya akan mengemukakan bantahan itu kepada kerajaan melalui menteri di Kementerian Pendidikan dan Perdana Menteri seandainya cadangan itu tidak dilayan.Malah, jika permintaan itu dipandang sepi, badan berkenaan tidak menolak akan mengambil tindakan alternatif termasuk perundangan.
Badan Bertindak Menentang DLP dan HIP itu disertai oleh 15 gabungan persatuan aktivis Bahasa Melayu dan sasterawan negara. Zainal Abidin dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan persidangan meja bulat berhubung isu dwibahasa dalam sistem pendidikan itu mendakwa idea DLP dan HIP dibawa oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) tanpa meminta pandangan pihak lain.
DLP dan HIP adalah program penguasaan bahasa Inggeris dan telah mendapat peruntukan sebanyak RM38.5 juta dalam Bajet 2016 yang baru diumumkan.Sebanyak 300 buah sekolah telah dikenalpasti menjadi projek perintis DLP dan HIP.
"Kita akan menentang habis-habisan program ini dan mahu kerajaan membatalkan dua program ini kerana kerajaan ingkar dengan kenegaraan," katanya. Kata beliau, mana-mana pihak jangan sesekali meletakkan kerangka ekonomi sebagai alasan untuk meminggir bahasa Melayu dan memartabatkan bahasa Inggeris.
"Kenapa banyak kilang asing yang beroperasi di Malaysia ditutup dan berpindah ke Vietnam? Adakah sebab bahasa Inggeris di sana lebih baik?," soal beliau.Katanya, pada masa sama badan itu mahu kerajaan terus memperbaiki pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris supaya bahasa tersebut boleh dikuasai."Bukan sahaja bahasa Inggeris tetapi bahasa-bahasa lain juga kerana China dan Rusia, dua buah negara maju ekonominya tanpa perlu menguasai bahasa Inggeris. - MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan