21 November 2015

Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI)

sumber : PMR
 
 
KENYATAAN AKHBAR Y.BHG. TAN SRI DATO’ ALIMUDDIN HJ. MOHD DOM, KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
PELAKSANAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (P&P) SAINS DAN MATEMATIK
BAGI SEKOLAH RENDAH DAN SEKOLAH MENENGAH
students

Kenyataan akhbar ini bertujuan menerangkan dengan lebih jelas kepada masyarakat mengenai pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 8 Julai 2009 telah diputuskan bahawa dasar PPSMI akan dimansuhkan secara berperingkat-peringkat mulai 2012 bagi Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos 2009 telah bersetuju melaksanakan mekanisme “soft landing” untuk P&P Sains dan Matematik bagi membantu pelajar-pelajar mengatasi masalah peralihan dasar berkenaan. Mekanisme “soft landing” adalah seperti berikut:

(i) P&P Sains dan Matematik boleh dilaksanakan dalam dwibahasa mulai tahun 2010 di sekolah rendah dan sekolah menengah. Dwibahasa bermaksud penggunaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dalam P&P Sains dan Matematik di sekolah kebangsaaan dan sekolah menengah; dan penggunaan bahasa ibunda dan Bahasa Inggeris bagi SJK(C) dan SJK(T).

(ii) Pelaksanaan dasar ini bermula pada tahun 2012 bagi pelajar-pelajar Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.
Walau bagaimanapun mekanisme “soft landing” akan memberi ruang kepada pelajar-pelajar lain menyesuaikan diri dengan peralihan dasar di mana P&P boleh dilaksanakan dalam dwibahasa. Kohort-kohort yang terlibat adalah seperti berikut:

(a)  Kohort Tahun 1 (2009) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2014.
(b)  Kohort Tahun 1 (2010) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2015.
(c)  Kohort Tahun 1 (2011) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2016.
(d)  Kohort Tahun 1 (2009) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2013.
(e)  Kohort Tahun 1 (2010) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2014.
(f)  Kohort Tahun 1 (2011) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2015.
PENTAKSIRAN


(a)  Peperiksaan UPSR bagi matepelajaran Sains dan Metematik akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga 2016.

(b)  Peperiksaan PMR bagi matapelajaran Sains dan Matematik akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehinggan tahun 2013.
(c)  Peperiksaan SPM bagi matapelajaran Sains dan Matematik akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga 2015.
Ini bermakna penggunaan Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda bagi SJK(C) dan SJK(T) bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik akan dilaksanakan sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah menengah akan terlaksana pada tahun 2016. Walau bagaimanapun pengajaran Sains dan Matematik bagi Tingkatan 6 dan Matrikulasi akan kekal dalam Bahasa Inggeris.

Jadual Pelaksanaan MBMMBI dan mekanisme “soft landing” adalah seperti yang dilampirkan.

“Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris” yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan bermula pada tahun 2012 adalah satu dasar baru yang merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan berterusan dasar pendidikan di negara kita.
Kementerian Pelajaran sedang melakukan persiapan untuk melaksanakan dasar ini dengan sebaik mungkin tanpa menjejaskan pencapaian pelajar-pelajar yang akan terlibat dalam proses transisi pada tahun 2012 nanti.
Satu pendekatan soft-landing akan diambil untuk memastikan pencapaian pelajar-pelajar yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di bawah dasar PPSMI tidak akan terjejas.

Pihak Kementerian juga telah membentuk enam Jawatankuasa Kecil sebagai persiapan untuk melaksanakan dasar baru ini. Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk memperincikan aspek latihan guru, kurikulum, penyediaan buku teks, lojistik, personel dan penerangan. Melalui kefahaman, sokongan dan usaha berterusan seluruh warga pendidik dalam menjayakan dasar baru ini, kita akan dapat mencapai matlamat menambahbaik kualiti pendidikan di negara kita secara berterusan demi kepentingan masa depan negara.

Rasional

• Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pengajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah menghakis kepentingan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dalam bidang tersebut.

• Penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar telah mantap bagi semua mata pelajaran yang dimulakan sejak tahun 1970an.

•  Kebanyakkan negara di dunia berusaha keras untuk memartabatkan bahasa kebangsaan mereka masing-masing sebagai bahasa ilmu.

Pelaksanaan


• Bermula dengan Tahun Satu, Tahun Empat, Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat. Pada masa yang sama Bahasa Cina digunakan di SJKC dan Bahasa Tamil di SJKT

•  Perubahan tidak melibatkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi

•  Perubahan sepenuhnya mengambil masa selama 3 tahun

•  Bermula pada tahun 2012

•  Peperiksaan SPM Sains dan Matematik dalam dwi bahasa sehingga 2015

Strategi Meningkatkan Penguasaan Bahasa Inggeris


• Menyediakan guru BI yang mencukupi menerusi pengambilan guru bersara, guru dari luar negara dan IPTS selain daripada pengambilan melalui IPGM dan IPTA

• Menyediakan guru BI di luar norma iaitu 2 orang guru bagi setiap kelas berenrolmen tinggi (contoh: melebihi 35 murid)

• Menyediakan bahan bacaan Bahasa Inggeris

•  Memperkenalkan language arts dalam P&P Bahasa Inggeris
Strategi Memartabatkan Bahasa Malaysia


• P&P Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia di Tingkatan Satu hingga Lima di SMK dan SK manakala, Bahasa Cina di SJKC dan Bahasa Tamil di SJKT

• Menambah waktu P&P Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT

• Menggunakan ICT dalam P&P Bahasa Malaysia

• Menyediakan bahan bacaan Bahasa Malaysia

• Memperkenalkan seni bahasa dalam P&P Bahasa Inggeris

Dasar MBMMBI Murid Tahun Satu Mulai 2011
Kerajaan sedang meneliti kemungkinan untuk melaksanakan dasar baru iaitu memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuh bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi murid tahap satu mulai tahun 2011. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, murid tahun satu yang baru memasuki persekolahan tidak terlibat dengan dasar lama.
Tambah beliau lagi, perkara ini bergantung kepada beberapa faktor antaranya bilangan guru yang mencukupi, kesediaan kurikulum baru serta buku teks untuk mata pelajaran sains dan matematik sekiranya ia dapat disiapkan pada akhir tahun 2010, kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.
Menurut beliau, pelaksanaan dasar MBMMBI bagi murid tahun empat, tingkatan satu dan tingkatan empat pula akan bermula pada tahun 2012.
Langkah itu, katanya, adalah untuk membolehkan Kementerian Pelajaran membuat persiapan rapi dengan mengambil kira semua keperluan pengajaran dan pembelajaran disediakan secara teratur.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga menteri pelajaran menegaskan, kerajaan komited tidak akan kembali kepada dasar pengajaran dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana dasar baru iaitu MBMMBI adalah selaras dengan keperluan negara untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Sumber : Kosmo online 21 oktober 2009

MBMMBI Mampu Bela Pelajar Tercicir
Keputusan kerajaan untuk mengkaji mempercepatkan pelaksanaan dasar baru memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi murid Tahun Satu mulai 2011, berbanding cadangan asal pada 2012 mampu membela nasib pelajar sekolah rendah yang sebelum ini keciciran berikutan subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris.
Penyandang Kursi Tun Abdul Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Profesor Datuk Dr Zainal Kling, berkata pelaksanaan dasar baru yang menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) itu tidak boleh dilengahkan lebih lama kerana sejak PPSMI diperkenalkan enam tahun lalu, ia memberi kesan negatif kepada pelajar sekolah rendah terutama di luar bandar.

Akhbar melaporkan keputusan kerajaan mengkaji mempercepatkan pelaksanaan MBMMBI bagi murid Tahun Satu mulai 2011, berbanding cadangan asal pada 2012.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran bagaimanapun berkata, pelaksanaan lebih awal itu bergantung kepada beberapa faktor termasuk bilangan guru yang mencukupi, kesediaan kurikulum baru serta buku teks untuk Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris yang perlu disiapkan akhir tahun depan.

Zainal berkata, pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu tidak memberi banyak masalah kerana ia pernah dilaksanakan sebelum PPSMI diperkenalkan.

Sementara itu, Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, berkata keputusan kerajaan itu selaras dengan kehendak pertubuhan itu yang mahu pelaksanaan dasar itu dipercepatkan.

Mereka juga ingin menggesa kerajaan supaya dasar itu dilanjutkan pula di peringkat institusi pengajian tinggi selain tidak mengabaikan usaha untuk memperkasakan bahasa Inggeris. Selain itu, ucapan pemimpin negara dan papan tanda juga perlu menggunakan bahasa Melayu.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPPSMI (GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad turut menyokong dasar baru itu berharap bahasa Melayu akan dijadikan teras utama dalam pembinaan gagasan 1Malaysia.

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...