27 Oktober 2011

Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara

Satu bahasa, satu bangsa


Apakah wasilah terpenting untuk membentuk bangsa Malaysia? Jawapannya jelas: Bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) kerana ``Bahasa Jiwa Bangsa''.Ini bermakna bahasa apa yang kita daulatkan, maka bahasa itulah yang membentuk jiwa kita yang sekali gus memercikkan jati diri kebangsaan. 

Justeru, jika seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan asal-usul mendaulatkan bahasa kebangsaan, akan terzahirlah citra dan keperibadian kita sebagai satu bangsa - bangsa Malaysia. Sebaliknya, jika kita mendaulatkan bahasa-bahasa asing, akan terpancarlah `jati diri asing'. Lantas, akan terencatlah pembentukan jati diri kita sebagai bangsa Malaysia. 

Untuk menghakikatkan gagasan ini bukanlah mudah, apatah lagi jika kita sebagai rakyat Malaysia mendaulatkan bahasa-bahasa asing di negara kita sendiri - dogma pemikiran bahasa yang aneh sekali pada zaman pascakolonialisme.

Perlu ditegaskan bahawa, dalam konteks pembinaan bangsa Malaysia dan pemajuan negara menurut acuan kemalaysiaan sendiri, pendaulatan hanyalah kepada bahasa kebangsaan - bukannya bahasa-bahasa asing. Inilah prinsip umbi yang seharusnya kita junjung, jika benar kita serius untuk menghakikatkan gagasan pembentukan bangsa Malaysia, seperti kata pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Justeru, kita dituntut menguasai bahasa asing, tetapi janganlah pula jiwa dan pemikiran kita dikuasai oleh bahasa asing. Ini bukanlah budaya bangsa yang maju. Bangsa yang maju-moden perkasa menjunjung tiga pacak ketamadunan: Mendaulatkan bahasa kebangsaannya, menyintai jati diri kebangsaannya (bukan perkauman-kesukuan) dan setia pada nusanya yang satu. 

Secara jujur, perlu diakui bahawa kita belum mematuhi acuan tersebut. Lantaran itu, Malaysia dilihat sebagai `negara tanpa bangsa' - bangsa Malaysia. Hakikat ini terasa amat pahit, tetapi itulah kebenarannya. Persoalannya, mengapakah hanya bahasa kebangsaan yang dinobatkan sebagai alat pemersatuan bangsa, seperti yang terpancar menerusi slogan ``Bahasa Jiwa Bangsa''? Perlu dinyatakan di sini hanya bahasa kebangsaan (bukannya bahasa asing atau bahasa ibunda) yang dapat menitiskan semangat satu bangsa, menyerapkan roh sebangsa, senegara dan menyemarak jati diri kebangsaan (lawannya identiti perkauman), di samping pendaulatan bahasa kebangsaan yang menjadi bukti ketaatsetiaan, penghormatan dan pemuliaan kepada nusa tercinta. Malah, bahasa kebangsaan jugalah yang berperanan sebagai bahasa ilmu (dalam segenap bidang), bahasa pentadbiran, bahasa ekonomi, bahasa sosial dan bahasa peradaban moden. 

Oleh itu, kepentingan bahasa kebangsaan sebagai wadah terpenting - selain wadah pendidikan dan kebudayaan kebangsaan, untuk membentuk keperibadian bangsa Malaysia bersemboyankan gagasan ``satu bahasa, satu bangsa, satu nusa'', jelas tidak sewajarnya disangsikan oleh sesiapa pun. Di sini terletaknya peranan bahasa kebangsaan dalam rancangan merealisasikan Wawasan 2020. Sekiranya kita mengabaikan peranan dan kepentingan bahasa kebangsaan, ini bermakna kita telah tergelincir daripada gerabak pembentukan bangsa Malaysia itu sendiri.

Kejayaan pembentukan negara-bangsa Jepun, Korea, selain pengasasan negara-bangsa di benua Eropah dan Amerika Syarikat, sewajarnyalah kita teladani. Mereka terbukti telah berupaya memodenkan negara sekali gus membina bangsa dengan mendaulatkan bahasa kebangsaan negara-bangsa masing-masing.Justeru, akan tercapaikah gagasan pemajuan negara dan pembinaan bangsa Malaysia, jika rakyat tidak mendaulatkan bahasa kebangsaan mereka sendiri? 

Penting 

Sehubungan itu, kita perlu memperbetulkan beberapa kesilapan mengenai konsep bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda. Pertama, sejak bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi-kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka, ia bukan lagi menjadi milik tunggal pribumi Melayu. Malah, bahasa Melayu menjadi milik bersama seluruh warganegara Persekutuan Tanah Melayu. Justeru, bahasa Melayu dengan sendirinya menjadi hak milik orang Cina dan India yang menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu juga. Lebih penting lagi, bahasa Melayu itulah yang menjadi bahasa kebangsaan orang Cina-India yang telah menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu. 

Kedua, apabila orang Cina-India telah diberikan hak kerakyatan dan menjadi warganegara yang sah, taraf bahasa Mandarin-Tamil dengan sendirinya menjadi bahasa asing kerana bahasa-bahasa tersebut merupakan bahasa rasmi-kebangsaan China dan India. Ini juga bermakna bahasa Mandarin-Tamil bukanlah bahasa ibunda mereka lagi kerana mereka telah menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu. Alangkah anehnya, mereka diterima menjadi warganegara (seterusnya Malaysia), tetapi mereka masih mengatakan bahasa Mandarin-Tamil sebagai bahasa ibunda mereka. Ketersilapan ini perlu diperbetulkan hatta dalam perlembagaan negara sekalipun! 

Jika ditinjau semula akar sejarahnya, sejak 1957, (lihat pecahan fasal Perkara 153) kesilapan ini tidak pernah dipinda, walhal bercanggah dengan hakikat sejarah kenegaraan Malaysia. Kesilapan inilah yang menjadi antara pemunca utama yang mengakibatkan peranan bahasa kebangsaan terus ditenggelami oleh gerakan mendaulatkan bahasa-bahasa asing, khasnya sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Oleh itu, saranan dan gesaan mujahid-mujadid bahasa kebangsaan (seperti Gapena dan Awang Sariyan dalam Mingguan Malaysia, 5 Mac 2006) amatlah wajar dilaksanakan secara tuntas. Masanya telah hampir-hampir nazak, tetapi belum lagi terlambat. Keazaman politik amat diperlukan.

Jika kita mendaulatkan bahasa-bahasa asing, bahasa asinglah yang beruntung kerana ia akan terus kekal sebagai bahasa ilmu, teknologi dan peradaban moden; sebaliknya bahasa Malaysia akan terus mundur dan `mandul' di negaranya sendiri. 

Perlu ditegaskan bahawa kita bukan antibahasa asing. Prinsip kita jelas dan tegas: Pelajari dan kuasailah bahasa asing, tetapi pendaulatan hanyalah terhadap bahasa kebangsaan kita sendiri. Inilah sikap dan pemikiran yang amat diperlukan untuk mencapai Wawasan 2020.

- Nordi Achie, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah.

Memorabilia

Tadi selepas buat Ujian Lencana Usaha kepada pengakap-pengakap tingkatan 1, singgah berehat di PCBM. Terasa nak tengok hasil kerja pelajar Tingkatan Lima yang akan ditayangkan semasa majlis graduasi esok. Sebenarnya dah tengok semua hasil video diorang, kecuali yang terakhir 'lakonan puteri Extesso'. Jadi dengan senang hatilah menonton filem pendek putera - puteri tu. Menarik! Tahniah kepada tiga orang 'pembuat' klip video : Solihin, Hasif & Anwar. 

Dalam banyak-banyak, klip video 'khas putera' tu 'agak' menyentuh perasaan. Memangdangkan saya ialah penonton pertama daripada kalangan guru; nak ucap tahniahlah! Menarik dan menyentap :-D. Malangnya mungkin tak dapat menonton bersama-sama guru-guru lain esok semasa jamuan perpisahan & majlis graduasi. Wo Ai Ni...I Love You...wargh, lagu Tiga Kata tu mmg best! Lagi best tengok model drp Extesso :)

Apa-apapun, tahniah & semoga berjaya dalam SPM pula!

16 Oktober 2011

i-KUPs bersama SAR

Alhamdulillah, pada 14 dan 15 Oktober 2011 (Jumaat & Sabtu) yang lalu, Jawatankuasa Khidmat Komuniti SBPIKP telah berjaya menjalankan program Khidmat Komuniti Pendidikan SBPIKP kali ketiga bagi tahun 2011. Program yang pertama dan kedua dijalankan di Madrasah al-Zubaidiyyah, Merbok dengan kerjasama sebuah NGO SALIMAH (Cabang Wanita TERAS). Pada kali ini, para pendidik i-KUPs sekali lagi mencurah bakti untuk program ini melalui Bengkel Teknik Penjawaban Soalan SPM, khusus untuk pelajar-pelajar Sekolah Agama Rakyat & Swasta daerah Kubang Pasu. Program ini melibatkan tiga buah sekolah, iaitu SMA Nahdhah Hasanah, Melele, Maktab Pengajian Islam Kedah dan SM al-Azhar, Jitra. Ia melibatkan 56 orang pelajar. Sementara itu, seramai 8 orang guru terlibat sebagai penceramah dan 3 orang urus setia. Mata pelajaran yang terlibat ialah Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah (pada Jumaat, 14.10.2011), Bahasa Melayu, Sejarah, dan Pendidikan Syariah Islamiah (Sabtu, 15.10.2011). Guru-guru yang terlibat sebagai penceramahh ialah En. Mohd Asri Saad, Pn. Faridah Ibrahim, En. Ariffin Salleh, Pn. Jailah Mambong, Cik Hasanah Mat Kassim, Cik Marziyah bt Abdul Majid, En. Anuar Idris (dari i-KUPs) dan En. Rudzuan bin Mohd Dali, Guru Cemerlang Sejarah dari SMK Bandar Bukit Kayu Hitam, Kedah. Keseluruhannya, para guru berpuas hati dengan program ini, Namun, sukar untuk menentukan kepuasan hati peserta kerana kekurangan pihak kami : gagal menyediakan borang soal selidik seperti program sebelum ini. Walau bagaimanapun, pihak Jawatankuasa amat berterima kasih kepada pelajar-pelajar dan sekolah serta guru yang dijemput kerana sudi hadi ke SBPI Kubang Pasu bagi mengikuti program ini. Insya-Allah, program ini akan kami teruskan lagi pada tahun-tahun akan datang selagi ada pihak yang sudi menerima bantuan daripada kami. Kepada pihak sekolah yang menyokong usaha kami dengan memberikan kebenaran premis i-KUPs dijadikan tempat bengkel ini dijalankan, kamu ucapkan ribuan terima kasih.

08 Oktober 2011

Beberapa Minggu

Dalam beberapa minggu ni, tiada waktu untuk berehat secukupnya. Pelbagai program rasmi sekolah yang perlu dipenuhi. Bermula dengan Latihan dalam perkhidmatan (LDP) di Cinta Sayang Resort, Sg. petani pada 16 & 17 September, diikuti dengan Rehlawah Ilmuwan 2 di Merdeka Beach Resort, Sg. Petani pada 22 - 24 September 2011. 26/09 pula lawatan pelajar dan guru dari Islamic Science School, Hat Yai. Pada 2 Oktober, Mutiara Kasih untuk Tingkatan 4, diikuti Restu Ilmu pelajar Tingkatan 3 pada 3 Okt sebelum peperiksaan PMR pada 4 Okt. Kemuncak perjuangan untuk anak-anak Tingkatan 3 sudah bermula, semoga mereka semua beroleh kejayaan! 

Wargh...sibuknya cikgu!!! Nak wat camana... SBT !

Para Ilmuwan sedang berehlah di Pantai Merdeka

Taklimat Urus Setia Program Rehlah Ilmuwan 2 

di Cinta Sayang Resort, SP (LDP)

Pelajar Ting. 3 sedang memohon restu drp PK HEM

Memohon restu para guru

Gelak sakan dalam Mutiara Kasih pada 2.10.2011

Penceramah @ motivator dr Unimap, Tn. Hj Huzili sedang menyampaikan motivasi dalam Mutiara Kasih

Memohon berkat sebelum memasuki dewan peperiksaan
Ya Allah, permudahkan mereka...


Tekun mengikuti program yang diatur dlm Rehlah Ilmuwan
Memohon pertolongan Yang Maha Bijaksana

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...