Islamic Widget

02 Jun 2013

Nota Percutian : Saranan

Balik bercuti bagi cuti persekolahan penggal pertama tahun ini sedikit berbeza. Setelah agak lama tidak menggunakan pengangkutan awam, saya bertolak dari Kuala Lumpur (seusai Hari Kecemerlangan SBP ke-40 di SMSS) menaiki bas ekspres. Teringat nostalgia pada zaman universiti dahulu : berebut-rebut dan terkejar-kejar ke Hentias Bas Putra untuk pulang ke kampung. Kali ini kurang perlu untuk demikian kerana beg yang kecil selain tidak perlu bersesak-sesak di dalam bas mini no. 12! Sesampai di kampung halaman juga saya bergerak menggunakan pengangkutan awam - halal & haram! Inilah komentar saya:

(1) Kualiti Pengangkutan Awam.

(a) Nampaknya perjananan bas ekspres dari Hentian Putra masih cekap. Tahniah kepada DBKL yang memastikan perjalanan bas mengikut masa yang diteteapkan. Walau bagaimanapun, saya dapati Hentias Bas Putra masih sama keadaannya seperti 10 tahun dahulu. Malah sebenarnya lebih uzur kerana kemudahan sedia ada tidak diperbaik. Selain ruang menunggu yang sempit, pendingin hawa sudah kurang berfungsi menyebabkan kepanasan kepada para penumpang. Kemudahan tandas awam juga tetap tidak 'menyelerakan' tetapi terpaksa digunakan! Diharapkan, sementara stesen bersepadu yang baharu dibina (saya pernah terdengar bahawa ia akan dibina di Greenwood - betulkah?), mohon pihak yang bertanggungjawab menaiktarafkan stesen sedia ada untuk keselesaan penumpang. Apatah lagi, bertentangan dengannya ialah bangunan PWTC yang menempatkan pejabat parti pemerintah!

(b) Sesampai saya di Kuala Terengganu, saya tercangak-cangak menunggu bas yang akan membawa saya ke Kuala Berang. Jika sebelum ini saya menggunakan perkhidmatan teksi terus ke rumah, tetapi kali ini saya ingin bernastolgia : menaiki bas melalui jalan yang sama seperti zaman persekolahan saya dahulu. Malangnya, selepas menunggu beberapa lama, bas tidak juga muncul-muncul menyebabkan saya berlegar-legar di sekitar Hentian Bas MBKT - tercari-cari nasi dagang yang akhirnya terjawab, tiada satupun gerai yang menjualnya! Akhirnya bas ke Kuala Berang muncul pada jam 9.40, dan meluncur perlahan ke destinasi pada jam 10.00 pagi. Menurut kelindan bas, hanya sebuah bas yang bergerak di laluan antara Kuala Berang - Kuala Terengganu. Sepatutnya terdapat dua buah bas, tetapi bas yang kedua sudah 'agak lama' rosak menyebabkan hanya itulah satu-satunya bas yang beroperasi. Jadual perjalanannya (dari KT ke KB) 8.00 pg - 10.00 pg - 3.00 ptg - 5.00 ptg. Saya teringat sewaktu zaman persekolahan saya dahulu, paling lewat sebuah bas akan melintas antara 30 - 45 minit. Jalan KT-KB ialah jalan utama dan penghubung antara bandar, menjadikan lebih daripada tiga buah syarikat bas beroperasi di laluan tersebut. Hasilnya, pengguna tidak perlu 'tertidur' di 'bus stop' untuk menaiki bas! Maka, diharapkan pihak berwajib, khususnya SPAD dan amnya Kementerian Pengangkutan melihat dengan serius perkara ini. Jangan hanya melihat kepada RapidKL, RapidPenang & RapidKuantan; lihat juga kepada negeri-negeri 'mundur' yang rakyatnya memerlukan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih efisien! Tak perlu buat LRT dan monorel di sana, cukuplah jika bas dapat beroperasi dengan lebih banyak, efisien dan sistematik di jalan-jalan raya yang hebat itu! Janganlah membahayakan nyawa rakyat Terengganu kerana terpaksa menumpang 'prebet sapu' untuk ke bandar!

(c) Semasa bersiar - siar di Kuala Terengganu, saya terpandang papan tanda pembinaan stesen teksi Kuala Terengganu di bekas tapak stesen bas ekspres Tanjung, bersebelahan dengan Taman Syahbandar. Saya kira   dalam era pengangkutan bersepadu ini, elok kiranya stesen teksi dibina berhampiran dengan stesen bas MBKT. Stesen bas lama yang kini menjadi parkiran kereta wajar dinaiktaraf dan dijadikan stesen teksi. Selain memudahkan pengguna, saya percaya pengangkutan awam di Kuala Terengganu akan lebih efisien dan menambahkan rezeki pemandu teksi.

(2) Imej Bandar Raya Warisan Pesisir Air.

(a) Apabila disebut warisan, tergambar dalam fikiran saya bahawa Kuala Terengganu bakal didirikan dengan pembangunan yang mempunyai imej warisan sebagai daya tarikan pelancong. Pasar Besar Kedai Payang sebagai ikon perlu dikekalkan (bukan didirikan hotel di atasnya), selain bangunan baharu yang bercirikan kebudayaan Terengganu. Selain itu, imej utama Terengganu - seperti kata Munsyi Abdullah dalam bukunya 'Kisah Pelayaran Abdullah ke Terengganu & Kelantan' - iaitu tulisan jawi yang halus dan cantik perlu diperhebat. Kerajaan negeri, khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sama ada MBKT atau majlis-majlis daerah / perbandaran perlu memastikan semua bangunan awam di tulis dengan tulisan Jawi, selain aksara Rumi sedia ada. Sebagai contoh, Hentias Bas MBKT yang sudah dua puluh tahun wujud, tidak ditulis dalam aksara Jawi, sedangkan itu ialah pintu masuk ke Kuala Terengganu. Begitu juga dengan bangunan-bangunan utama lain, sewajarnya dituliskan dalam huruf Jawi sebagai lambang Bandar Raya Warisan!

(b) Sebagai bandar berbudaya dan bercitra bangsa, sudah pasti faktor utama yang perlu dipertontonkan ialah penggunaan bahasa. Banyak bangunan baharu yang tumbuh bak cendawan selepas hujan di Kuala Terengganu. Tahniah! Namun begitu, saya dapati bangunan-bangunan ini, sama ada hotel, pusat perniagaan mahupun pusat liburan telah menggunakan dengan sebebas-bebasnya bahasa asing sebagai tanda namanya. Perkataan seperti "square". "mall", "central (dieja sentral)" digunakan sebagai jenama bangunan baharu. Saya kira ini perkembangan yang tidak sihat dan tidak baik kepada perkembangan bahasa serta imej negeri Terengganu. Sudahlah nama-nama hotel penuh dengan nama yang 'diimport', bangunan-bangunan dan pusat beli-belah turut menampilkan perkara yang sama. Saya menggesa pihak terbabit : PBT, EXCO yang terlibat serta Dewan Bahasa dan Pustaka melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang tidak wajar. Oleh itu, saya menggesa mereka menukarkan perkataan - perkataan tersebut dengan bahasa Melayu. Jika penggunaan nama pusat beli-belah dan kompleks (yang sudah lazim dalam bahasa Melayu) nampak 'kuno', saya mencadangkan DBP memperkenalkan dan meluaskan perkataan baharu sebagai padanan kepada istilah-istilah tersebut. Mungkin perkataan 'pura', 'gapura', dan sebagainya wajar disebarluaskan penggunaanya untuk presmis-premis perniagaan itu. Cuit-cuitlah sedikit dengan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Pindaan dan Perluasan) 1995!

Percutian saya pada kali ini, walaupun sedikit menyukarkan pergerakan memberikan saya sedikit sudut pandang kepada beberapa perkara. Jika selama ini, ketika berkenderaan - perkara-perkara ini tidak begitu membekas dalam pandangan, saya berharap semua pihak berwajib turut terpanggil untuk mentelaah perkara yang saya singgung di sini demi kebaikan bersama. Rakyat didahulukan sudah pasti bermaksud 'aspirasi rakyat untuk keselesaan mereka' perlu diberikan perhatian nombor 1! Bukan slogan semata-mata!