31 Disember 2008

PPSMI Fasa Terakhir

Ada tiga perkara yang dapat saya simpulkan daripada bicarawara "Isu" di RTM1malam tadi (30 Disember 2008):-

1. Matlamat PPSMI bukan untuk menguasai bahasa Inggeris, tetapi untuk penguasaan ilmu;
2. Pelaksanaan PPSMI yang tidak berkesan, khususnya dalam merapatkan jurang antara pelajar Bandar dan luar Bandar; dan
3. Kesan pelaksanaan PPSMI ke atas jati diri jati diri “bangsa Malaysia”.

Saya ulas satu persatu :-

Matlamat PPSMI bukan untuk menguasai bahasa Inggeris, tetapi untuk penguasaan ilmu.

Nampaknya Kementerian Pelajaran Malaysia telahpun meminda tujuan asal PPSMI diperkenalkan. Pada peringkat awal pelaksanaan PPSMI dahulu, isu yang sering diuar-uarkan ialah pentingnya PPSMI dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar. Hal ini demikian kerana n era globalisasi menuntut pelajar menguasai bahasa Inggeris. Yang lebih utama, pelopor PPSMI, Tun Dr. Mahathir juga menjelaskan bahasa tujuannya adalah utnuk menguasai bahasa Inggeris. Jika dilihat daripada sejarahnya, kebimbangan masyarakat terhadap penguasaan bahasa Inggeris oleh para pelajar dalam PMR dan SPMlah yang mencetuiskan idea ini. Bahkan ada yang lebih ekstrem, misalnya oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada awal tahun 1990-an yang mencadangakan agar sekolah aliran Inggeris kembali diwujudkan. Nampaknya, dipertengahan jalan pelaksanaan PPSMI, matlamatnya juga sudah berubah. Maka tidak hairanlah jika Datuk Alimuddin, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia menjelaskan tujuan PPSMI bukan untuk menguasai bahasa Inggeris.

Persoalannya : adakah penguasaan ilmu dapat ditingkatkan dengan hanya mengetahui istilah-istilah sains, matematik dan teknikal dalam bahasa Inggeris? Bukankah jika membaca makalah dan buku ilmiah, keseluruhannya ditulis dalam bahasa Inggeris, bukannya istilah sahaja? Kalau begitu, jika buku dalam bahasa Jepun, diselitkan dengan istilah biologi dalam bahasa Inggeris, maka pelajar kita dapat menguasainya?

Pelaksanaan PPSMI yang tidak berkesan, khususnya dalam merapatkan jurang antara pelajar bandar dan luar bandar.

Merujuk kepada pencapaian PMR, pencapaian pelajar luar bandar meningkat sekali ganda dalam Sains dan enam kali ganda dalam Matematik. Atas fakta tersebut, KPPM berhujah bahawa dengan pengenalan PPSMI, jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar semakin kecil. Atas hal yang sama juga, Datuk Ali Hasan menekankan pelonggokan prasarana dan guru-guru yang cekap, mahir dan lengkap hanya di kawasan bandar.

Persoalannya : Tidak adakah sesiapa melihat bahawa jurang perbezaan antara pelajar aliran sastera dengan sains? Adilkan kepada pelajar aliran sastera (bermula daripada tingkatan 4) hanya belajar bahasa Inggeris, Sains, dan matematik Moden dalam bahasa Inggeris, sedangkan pelajar aliran sains belajar dalam bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik, English for Science and Technology (EST), Biologi, Kimia dan Fizik. Akan wujudlah nanti dwisistem dalam pendidikan kebangsaan, sedangkan sekarangpun sudah ada dwi sistemnya apabila wujud pendidikan kebangsaan dan jenis kebangsaan!

Persoalan juga : Sekiranya jurang fizikal dan guru antara bandar dan luar bandar telah mengecil, maka adakah PPSMI wajar diteruskan? Saya kurang bersetuju dengan alasan penentangan seperti ini.

Kesan pelaksanaan PPSMI ke atas jati diri jati diri “bangsa Malaysia”.


Pelaksanaan PPSMI akan menyebabkan citra bangsa Malaysia akan hilang. Identiti dan jati diri bangsa Malaysia akan terhakis. Bahkan ketakutan terhadap ketinggalan dalam arus globalisasi telah menyebabkan kesan buruk globalisasi lebih cepat menimpa. Apabila globalisasi “menelan” jati diri bangsa dan negara di dunia apabila negara yang lebih kuat ekonomi, budaya dan politiknya berjaya menelan negara yang lebih kerdil.

Sebenarnya masyarakat bukan menghadapi globalisasi, tetapi Amerikanisasi, iaitu menerima budaya dan ideologi Amerika dalam negara ini. Hal ini jelas dengan pelaksanaan PPSMI. PPSMI telah menjerat minda beberapa kerat masyarakat kita, tetapi yang berkuasa. Dengan kuasa mereka, dipaksanakan PPSMI ke atas seluruh pelajar sekolah di Malaysia. Apabila protes terjadi, mereka menggunakan alasan sesuatu dasar tidak boleh diputuskan dengan cepat tanpa melihat pelbagai kesan kepada pelajar dan sistem pendidikan. Ironinya, pelaksanaan PPSMI dijalankan tanpa kajian yang terperinci dan menyeluruh.

Penentangan masyarakat terhadap PPSMI bukan sahaja disebabkan oleh tujuan dan matlamatnya yang songsang, akan tetapi yang lebih utama, PPSMI mengkhianati perjuangan nenek moyang kita mempertahankan negara ini daripada penjajahan. Selepas 51 tahun merdeka, kita dengan rela hati membiarkan diri dijajah kembali. Penjajahan bentuk baru, atas nama “globalisasi” telah menyebabkan kita tersungkur di depan makam pejuang yang bermandi darah demi mempertahankan maruah bangsa dan negara! Kita sanggup kehilangan identiti dan jati demi atas nama “globalisasi”. Aneh sungguh!

14 Disember 2008

Bangsa Malaysia : Mitos?

Sejak akhir-akhir ini, slogan “bangsa Malaysia” semakin popular diperdebatkan, khususnya oleh ahli-ahli politik. Saya berasa perbincangan tentang bangsa Malaysia memang wajar dialu-alukan, bahkan patut diperbanyakkan. Cuma, dalam keghairahan membincangkan tentang bangsa Malaysia ini, semua pihak tidak seharusnya terpesong daripada fokus perbincangan yang benar, adil dan objektif.

Bangsa Malaysia tidak wujud secara semula jadi. Bahkan sehingga kini, selepas 51 tahun mencapai kemerdekaan, kewujudan bangsa Malaysia masih samar-samar. Semasa mengisi borang permohonan atau butiran peribadi dan seumpamanya, tiada sesiapapun yang akan mengisi perkataan “Malaysia” pada ruangan “bangsa”. Tidak hairanlah perkara ini terus berlaku kerana sesungguhnya konsep bangsa Malaysia itu sendiri terlalu kabur bagi majoriti rakyat Malaysia. Persoalannya, apakah bangsa Malaysia?

Dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak ada sepatahpun frasa yang merujuk rakyat negara ini ialah bangsa Malaysia. Yang ada hanyalah istilah “Melayu” yang diterangkan secara panjang lebar takrif, hak dan keistimewaannya (lihat Perlembagaan Persekutuan Perkara 161 dan 162, serta lain-lain yang berkaitan). Bangsa Malaysia hanya wujud sebagai satu slogan politik. Oleh sebab itulah kewujudannya terus – terusan menjadi agenda politik demi mencari keuntungan politik semata-mata.

Seperti yang dinyatakan oleh Dato’ A. Aziz Deraman, budayawan dan mantan Ketua Pengarah DBP Malaysia(dalam Dewan Budaya, Ogos 2008) bahawa :

“bangsa Malaysia tidak akan wujud selagi rakyatnya tidak berpegang kepada nilai-nilai bangsa yang sama berkongsi segala sistem dan perlambangan nasional yang merentasi batas suku kaum dan suku bangsa. Untuk itulah maka dasar-dasar kebangsaan diperkenalkan. Kadang-kadang rakyat melebihkan tuntutan kepentingan kaum sendiri atas tujuan politik berbanding dengan gerakan bagi memartabatkan hak-hak negara. Perjuangan politik tanpa mengutamakan cita-cita kebangsaan atau kenegaraan hanya akan melebarkan jurang perkauman, bukannya aspirasi kenegaraan dan negara bangsa”

Masalahnya sekarang semakin ramai ahli politik yang menonjolkan kepentingan kaum, kononnya demi mencapai kewujudan bangsa Malaysia. Anehnya, kepentingan yang ditonjolkan itu tidak sedikitpun mrlambangkan cita-cita dan hasrat menzahirkan satu indentiti nasional. Helah bahawa multibangsa dan multibudaya ialah identiti nasional sesungguhnya amat janggal kerana tiada satupun bangsa di dunia yang mempunyai lima, enam bahasa dan budaya yang sama taraf dan sama kedudukannya. Maka, akan terhasilkan bangsa Malaysia yang digembar-gemburkan itu? Fikir-fikirkanlah!

Bahasa Kebangsaan

Saya menonton bicarawara di RTM 1 dengan Senator Roslan Chik dan Syed Ali al-Habshee. Mereka membicarakan isu perpaduan kaum kerana sebelum itu, Dewan Negara membincangkan isu tersebut. Antara pandangan Senator Syed Ali ialah beliau mencadangkan sekolah satu sistem menggantikan sekolah pelbagai aliran yang sedia ada. Beliau mencontohkan negara Singapura yang berpisah daripada Malaysia pada 1963, melaksanakan sekolah satu sistem dengan jayanya. Pada pandangan beliau – serupa dengan pandangan Datuk Mokhzani, calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia – perkara ini akan mengundang perpaduan yang lebih erat dalam kalangan penduduk.

Saya sekali lagi menyokong cadangan ini. Namun seperkara penting yang sesungguhnya memainkan peranan sebagai wahana perpaduan negara ialah bahasa. Tidak dapat disangkal lagi bahawa bahasa merupakan alat pemersatu yang ampuh dalam masyarakat. Begitu juga, bahasa turut menjadi alat pemecah yang paling ampuh dalam masyarakat. Hal ini demikian kerana dengan penggunaan bahasa yang sama akan memudahkan komunikasi serta meningkatkan pemahaman antarbudaya.

Oleh sebab itu pengukuhan penggunaan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di kalangan masyarakat Malaysia amat perlu. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya selepas tahun 90-an (yang sering dikatakan zaman liberalisai pendidikan), penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan semakin merosot. Bayangkan ada segelintir (yang jumlahnya amat besar) berpendidikan menggunakan bahasa Mandarin sejak dari prasekolah. Mereka masuk ke sekolah rendah berpengantar bahasa Mandarin, sekolah menengah bahasa Mandarin, kolej prauniversiti dalam bahasa Mandarin dan seterusnya berjaya melanjutkan pendidikan tinggi di negara China atau China Taipei yang menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantarnya. Persoalannya, apabila mereka kembali ke negara ini, mampukan mereka bergaul dengan pelbagai golongan lain di sini yang mengunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan? Namun yang lebih malang, ada juga segelintir mereka yang bersekolah rendah di SRJK(C), tetapi terpaksa ke sekolah menengah kebangsaan (selalunya disebabkan oleh pencapaian akademik yang kurang baik yang tidak melayakkan mereka terus masuk ke SMJK(C)) dan memasuki kelas peralihan. Hanya segelintir yang berjaya mengadaptasi ke dalam komuniti kebangsaan kerana kebanyakan mereka hanya mampu bertutur dalam bahasa Melayu pasar. Mungkin boleh dipersalahkan kepada sekolah dan guru yang gagal mendidik bahasa Melayu kepada mereka. Cuma, adakah mereka benar-benar mempraktikkan bahasa Melayu dalam komunikasi harian. Sementelahan dengan sistem pendidikan yang memberikan ruang mereka belajar sampai ke tingkatan 5 dan menduduki SPM, maka didapati apabila mereka menjawab soalan karangan Bahasa Melayu, maka penguasaan bahasa mereka amat menyedihkan. Hampir-hampir langsung tidak difahami apa yang ditulis oleh mereka.

Jadi, bayangkan signifikan antara bahasa, pendidikan dan perpaduan masyarakat. Kepada mereka yang terlalu mengagung-agungkan hak asasi sekelompok masyarakat dalam mempelajari bahasa ibunda, harap fikirkan juga cara-cara untuk memastikan mereka ini dapat cemerlang dalam penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa kopmunikasi, dan bahasa ilmu!

AUKU dan DSAI

Menarik juga apabila menonton “Parlimen Hari Ini” di RTM 1 pada 11 Disember lepas. Isu yang paling saya suka ialah tentang pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Bukan tentang isi perbahasan sangat, tetapi lebih kepada seorang personalia yang pernah menjawat jawatan Menteri Pendidikan satu ketika dahulu.

Ketika membahaskan usul tersebut, Ketua Pembangkan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mantan Menteri Pelajaran membidas bahawa antara punca prestasi universiti – universiti Malaysia kurang menyerlah adalah kerana sekatan yang terdapat dalam AUKU. Saya berasa, saya perlu bersetuju dengan telahan beliau.

Walau bagaimanapun, saya berasa sedikit ragu-ragu terhadap beliau sendiri. Hal ini demikian kerana semasa menjawat jawatan Menteri Pendidikan (pada waktu itu saya masih bergelar mahasiswa) beliau dengan lantang “mencabar” mahasiswa dengan katanya (mungkin cakap ajuk ini tidak 100% sama dengan yang asal, tetapi maknanya tetap sama) “Tunjukkan kepada saya, mana satu dalam AUKU ini yang mengongkong mahasiswa”!

Saya sesungguhnya amat percaya manusia akan sentiasa berubah. Sepertimana Dato’ Seri Anwar Ibrahim berubah daripada seorang mahasiswa yang membela rakyat (dalam peristiwa Demonstrasi Baling) kepada menteri yang sentiasa “mencabar” mahasiswa (sekali gus mencabar idealisme beliau sebelum itu), dan seterusnya “kembali” menjadi “suara rakyat” selepas lebih kurang 17 tahun sentiasa menidakkan suara marhaen!

Selamat kembali Dato’ Seri!

02 Disember 2008

Dato’ Mukhriz Mahathir, Exco Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ahli Parlimen Jerlun mencadangkan sistem pendidikan sekolah rendah dijalankan hanya menerusi sistem sekolah kebangsaan. Menurut beliau, pelajar-pelajar sekolah rendah sepatutnya mengikuti sistem pendidikan yang sama, iaitu sekolah kebangsaan dengan menggunakan bahasa pengantar yang sama, bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, sebagai anak kepada pencetus PPSMI, beliau berfahaman sama dengan bapanya – Tun Mahathir Mohamad, bahawa mata pelajaran Sains dan Matematik hendaklah menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

[Isu PPSMI akan diulas kemudian]


Secara dasarnya, apa yang diperkatakan oleh Dato’ Mukhriz itu menepati falsafah dan matlamat Penyata Razak yang menjadi induk pembentukan sistem pendidikan kebangsaan Malaysia moden. Tujuan akhir pendidikan, menurut Penyata Razak ialah “untuk menyatupadukan semua budak-budak di dalam Tanah Melayu [Malaysia]”. Jadi, saya menyokong penuh sekiranya sekolah satu aliran, iaitu aliran kebangsaan sahaja diwujudkan di Malaysia.

Hal ini walau bagaimanapun tidaklah bermaksud pendidikan bahasa asing dan bahasa ibunda dipinggirkan. Seperti bahasa Iban dan bahasa Kadazan di Sarawak dan Sabah, bahasa-bahasa Tamil, Punjabi, Mandarin, Siam dan bahasa-bahasa sukuan yang lain perlu diajar sebagai satu mata pelajaran di peringkat sekolah. Jadi, seperti yang digariskan oleh UNESCO, hak mempelajari bahasa ibunda (menurut mereka hanya 3 tahun sahaja) terjamin, selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Memang nanti akan ditentang oleh pelbagai pihak cadangan Dato’ Mukhriz tersebut, malah oleh orang-orang Melayu sendiri. Namun sekiranya kita benar-benar mempunyai rasa cinta dan bangga dengan Malaysia, cadangan ini buknalh sesuatu yang aneh. Di Singapura, Thailan dan Indonesia, tidak pernah wujud sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. Begitu juga di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Malah, di India dan China yang mempunyai pelbagai suku kaum juga, bahasa pengantar di sekolah ialah bahasa Inggeris (India) dan bahasa Mandarin (China). Mungkin Malaysialah satu-satunya negara yang membenarkan dwisistem dalam pendidikan berlaku dan diberi bantuan pula oleh kerajaan (lihat Belanjawan 2009 – RM 50 juta diperuntukkan kepada setiap aliran sekolah – sekolah jenis kebangsaan Cina, Tamil dan sekolah Missionary).

Jika kita imbas kembali peristiwa seorang wanita keturunan India warganegara Malaysia ditahan oleh imigresen kerana disyakki pendatang asing dari India pada awal tahun ini, maka cadangan kali ini sungguh perlu dilaksanakan. Bayangkan, lahir di Malaysia dan sudah 21 tahun hidup di negara ini, tetapi tidak dapat bertutur dalam bahasa kebangsaan, bahasa rasmi Malaysia – Bahasa Melayu! Sungguh memualkan. Jadi salah siapa kalau dia ditangkap dan dianggap sebagawai pendatang tanpa izin? Pekerja Bangladesh yang baru tiga bulan berada di Malaysiapun sudah boleh bertutur lancar dalam bahasa Melayu, rakyat Malaysia 21 tahun hidup di bawah payung Seri paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, tidak dapat bertutur sepatah haram dalam bahasa kebangsaannya!

Tuntasnya, cadangan ini perlu diambil serius oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik dan parti.

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...