Islamic Widget

08 Jun 2014

HADIAH HARI GURU

Sambutan hari guru 2014 sudah hampir sebulan berlalu. Tahun ini, tiada apa-apa imbuhan untuk guru diumumkan kerajaan, selain kesan imbalan tahun lepas : kenaikan gred berdasarkan kecemerlangan. Namun untuk mengatakan tiada langsung apa-apa insentif baharu kerajaan kepada golongan pendidik adalah bohong. Hal ini kerana pada Disember 2013, kerajaan telah mengeluarkan pekeliling menyebut tentang skim baharu untuk pendidik yang mempunyai ijazah lanjutan (sarjana dan doktor falsafah) diberikan gred permulaan a.k.a skim gaji baharu yang lebih baik. Terima kasih.

Walau bagaimanapun, dalam menyambut baik keprihatinan kerajaan tersebut, timbul persoalan kepada para pegawai perkhidmatan pendidikan (PPP) sedia ada : bagaimana dengan kami yang telah lama berkhidmat serta mempunyai, bukan sahaja Sarjana, malah Ph.D daripada IPT yang diiktiraf JPA? Tidak layakkah golongan ini menerima sedikit imbuhan kenaikan gaji? Jika PTD yang memiliki ijazah lanjutan sudah lama diberi tiga kenaikan gaji tahunan (KGT) - kalau tidak silap saya - dan biasanya menjadi keutamaan untuk dinaikkan gred @ pangkat, maka tidakkah wajar PPP yang hidupnya bergelumang dengan proses pengilmuan kepada pelajar diberikan kenaikan yang serupa?

Pada hemat saya, kerajaan melalui JPA perlu mengambil cakna akan perkara ini. Selain mengiktiraf keilmuan pemegang ijazah lanjutan ini, imbuhan ini akan terus menggalakkan guru-guru belajar demi mendidik anak bangsa dengan ilmu terkini. Sudah pasti tidak pernah disangkal bahawa guru yang berilmu tinggi, dan tekun untuk menambahkan ilmunya mampu memberi impak yang lebih baik kepada murid-murid mereka, paling kurang dari segi motivasi untuk belajar.