28 November 2009

Korban






  1. Selamat menyambut dan menghayati Hari Raya Aidiladha 1430. Semoga perayaan pada kali ini memberi erti yang besar kepada jiwa kita. Aidiladha (aid = perayaan, adha = korban) sewajarnya menjadi titik tolak kepada kita untuk berkorban : nafsu, jiwa, harta, masa, tenaga...
  2. Diharapkan kita semua berfikir sejenak : dalam kesucian aidiladha ini, tentang pengorbanan yang telah kita lakukan dalam sistem pendidikan kita pada hari ini. Adakah kita sebenarnya berkorban demi anak bangsa dan negara kita, atau apa-apa yang kita lakukan sebenarnya mengorbankan anak bangsa kita, dan mengenyangkan hawa nafsu seorang dua daripada kita?

  3. Marilahlah kita berfikir sejenak pengorbanan para pejuang kemerdekaan dan nasionalis pada awal kemerdekaan. Mereka berjuang bermati-matian demi kelangsungan bangsa, bahasa dan agama serta negara kita yang tercinta, Malaysia!

  4. Semoga selepas ini tidak perlu lagi kita mengorbankan bahasa, agama dan wawasan kita demi keselesaan segelintir mereka yang mindanya terarah kepada satu : BARAT.

PUPUS BAHASA PUPUSLAH BANGSA!

23 November 2009

Puisi : Satu Pengenalan

Haron Mat Piah, dalam bukunya, "Puisi Melayu Tradisional", menyebut bahawa "puisi ... ialah satu bentuk pengucapan dalam susunan yang istimewa, yang merujuk kepada ciri-ciri kepuisian sesebuah ungkapan berbanding dengan pengucapan biasa yang digunakan dalam pertuturan sehari-hari; dan bahasa yang mementingkan kebenaran daya intelektual dan logika (discursive or logical thought) yang khusus dalam bentuk prosa dan tidak berunsur sastera". Sasterawan Negara, Prof. Muhammad Haji Salleh pula menyimpulkan puisi sebagai satu bentuk yang lebih kental, berentak, banyak berunsur muzik bahasa. Penggunaan bahasa dalam genre ini juga lebih padat, teliti dan kadang kala mendekati lagu. Temanya diambil dan diolah daripada hidup seharian, tetapi dipersembahkan kepada pembaca atau pendengar dengan sudut pandangan agak luar biasa; dan dengan itu dapat membijakkan pembaca atau pendengarnya.
Di Alam Melayu, para sarjana telah membahagikan puisi tradisonal kepada 8 - 18 genre puisi. Haron Mat Piah membahagikan genre puisi tradisonal kepada 12 : pantun, syair, nazam, gurindam, sekola, teka-teki, peribahasa berangkap, teromba, talibun (atau sesomba), prosa berirama atau prosa lirik, mantera, dan dikir atau zikir. Namun antara puisi tersebut, hanya syair dan pantun yang sering diperhati oleh kebanyakan masyarakat. Namun dengan pengenalan KOMSAS di sekolah menengah, masyarakat mula diperkenalkan dengan gurindam dan seloka. Lebih membanggakan, pelbagai irama gurindam dan seloka selain syair mula mendapat perhatian masyarakat, khususnya para pelajar sekolah.
Sebagai masyarakat yang menuju ke arah negara maju menjelang 2020, kita seharusnya menghayati kesusasteraan bangsa kita. Jika masyarakat Barat bangga dengan pelbagai karya seni oleh penyair, penulis dan pelukis agung mereka, kita sesungguhnya tidak kalah. Kita mempunyai hasil kesusasteraan tersendiri yang perlu kita banggakan. Jangan apabila negara lain 'mempatenkan' sesebuah seni sebagai hak milik negara mereka, baharulah kita terperanjat dan tergesa-gesa mempopularkannya. Walhasilnya, kita dituduh menciplak budaya mereka!
Salam budaya!

06 November 2009

SBT ~ Bagaimana Kesudahannya?


Adakah sekolah-sekolah yang ada kini masih belum mencapai kualiti yang diharapkan? Apakah penubuhan pelbagai jenis sekolah : SBP, SMKA, Sekolah Seratus Tahun, Sekolah Premier, Sekolah Bestari, Sekolah Sukan, selain Sekolah Kluster, belum memadai menjamin kualiti pendidikan negara? Apakah yang menghambat pihak kerajaan sehingga memaksa mereka melambakkan sejumlah RM 20 juta kepada 20 buah sekolah (purata RM 1 juta bagi setiap sekolah) untuk mewujudkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT)?


Menurut Perdana Menteri, merangkap Menteri Kewangan, SBT akan menumpukan kepada kecemerlangan akademik dan pencapaian keseluruhan pelajar termasuk disiplin dan kebersihan, aktiviti kokurikulum, dan penguasaan bidang keutamaan sekolah. Yang menjadi persoalan sekarang, adakah sekolah-sekolah yang sedia ada tidak menjurus ke arah itu?


Jika kita perhatikan sekarang, terlalu banyak jenis sekolah di Malaysia. Namun yang menjadi persoalannya, sejauh manakah sekolah-sekolah ini berjaya (dengan menunjukkan hasilnya) membawa matlamat penubuhannya? Sekolah bestari sebagai contoh, bagaimanakah hasilnya? Begitu juga dengan Sekolah Kluster yang baharu sahaja diwujudkan: adakah sudah terdapat tanda-tanda kejayaannya? Malah, lebih utama : Sekolah Berasrama Penuh. Sudahkah terpenuh visi dan misinya?


Jika diperhatikan, sejak penubuhan SMKA, SBP, Sekolah Bestari dan Sekolah Kluster, banyak sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah tersebut. Sebagai contoh, Kolej Islam Sultan Alam Shah dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan (Kajang & Labu), boleh dikategorikan dalam kategori-kategori tersebut. Begitu juga dengan sekolah-sekolah premier lain, SSAS, SSP, MCKK, STAR serta sekoah-sekolah SBP. Yang ingin saya nyatakan ialah, apa-apapun jenis sekolah yag diperkenalkan, kebanyakannya akan diberikan kepada SBP juga. Jika demikian halnya, mengapakah kerajaan tidak secara langsung memperkasakan SBP sahaja? Lebih baik semua SBP menerima peruntukan yang sama agar pembaziran sumber, khususnya di peringkat pentadbiran tidak berlaku.


Pada hemat saya, biar kecil kuantiti asalkan besar kualitinya daripada banyak tetapi bersifat seperi tompok-tompok yang tidak kukuh!

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...