02 September 2023

ANAK SERIGALA DI BUMI GAJAH PUTIH

Apa yang menarik dengan menjadi ahli Pengakap? Apa yang membezakannya dengan pasukan beruniform yang lain? Jawapan: persaudaraan!

Menghayati Undang-undang Pengakap keempat: Seorang pengakap ialah sahabat dan saudara kepada lain-lain ahli Pengakap walau apa negeri, pangkat dan agama sekalipun; dua orang ahli Pengakap Kumpulan 78 SBPI Kubang Pasu telah bersama-sama dengan 63 orang Pengakap Negeri Kedah melintasi sempadan Bukit Kayu Hitam ke Songkhla bagi menghadiri Kem Pengakap Antarabangsa 2023. Kem anjuran Sangkhom Islam Wittaya School, Songkhla ini dihadiri oleh lebih 600 peserta dari Thailand, Malaysia dan Indonesia. Perkhemahan yang berlangsung pada 27 hingga 29 Ogos 2023 telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Phakruddin Ghazali, sementara majlis penutupan disempurnakan oleh Tan Sri Johari Abdul, Speaker Dewan Rakyat pada 29 Ogos 2023.

Program yang dijalankan meliputi eksplorasi seni & budaya, kemahiran kepengakapan, eksplorasi alam dan lain-lain. Peserta telah didedahkan dengan aktiviti kebudayaan dan kemahiran kepengakapan oleh tuan rumah. Yang lebih menarik, pihak tuan rumah telah mendapat kerjasama penuh daripada Pejabat Pendidikan Wilayah Songkhla serta Pengakap Wilayah Songkhla sendiri. Aktiviti kemahiran yang disediakan oleh Pengakap Thailand begitu menguji ketahanan fizikal dan mental para peserta. Pada sebelah malam, aktiviti berbentuk kebudayaan lebih banyak dijalankan di tapak prkhemahan. 

Penyertaan dalam perkhemahan ini memberi banyak pengalaman berbeza dan menarik kepada peserta, khususnya bagi kedua-dua peserta SBPI Kubang Pasu. Pendedahan di peringkat antarabangsa wajar diteruskan pada tahun-tahun akan datang demi membuka horizon pemikiran ahli Pengakap. Bukankah banyak berjalan luas pemandangan?







Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...