26 Februari 2011

Teks Syarahan Agama


Teks syarahan agama 2010.

Tajuk       :: Masjid Membina Keunggulan Ummah
Pemidato :: Mohd Shahrulnizam bin Md Roni
Sekolah   :: Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu, Bukit Kayu Hitam, Kedah
Guru        :: En. Ariffin bin Salleh
Peringkat :: Daerah (Johan), Negeri (Naib Johan)


           Assalamualaikum w.b.t.Terima kasih saudara pengacara, para hakim yang cendekia, penjaga masa yang setia, seterusnya hadirin umat Muhammad semua.

            Pada pagi yang penuh barakah ini, saya tampil ke pentas bagi menyampaikan syarahan yang bermauduk “Pengimarahan Masjid Membina Keunggulan Ummah”.  Secara konseptualnya, frasa pengimarahkan bermaksud menggerakkan atau menghidupkan suasana di masjid dengan pelbagai kegiatan berfaedah. Masjid pula, menurut Fatwa Lajnadah Imah ialah tempat yang disediakan untuk dilaksanakan atau ditunaikan solat lima waktu secara berjamaah di dalamnya. Sementara frasa “membina keunggulan ummah” dapat saya konsepkan sebagai membangunkan masyarakat atau komuniti Muslim yang lebih baik, cekap dan ulung. Keunggulan ini dapat dilihat daripada pelbagai aspek, terutamanya dari segi kerohanian, sosial, pendidikan dan ekonomi umat. Maka secara tuntasnya, tajuk syarahan saya pada hari ini dapat takrifkan sebagai proses menjalankan aktivti menghidupkan masjid dalam kalangan masyarakat mampu meningkatkan ketinggian mutu umat Islam seluruhnya.

            Maka melalui syarahan saya pada pagi yang berkat ini, saya akan menghuraikan bagaimana keunggulan umat dapat dicapai menerusi pelbagai aktiviti yang berfaedah yang dijalankan di masjid oleh muslimin dan muslimat.

Sidang hadirin paksi umat,
            Ayuh, hayatilah mandala fikir saya yang pertama : masjid pemangkin rohani umat. Tujuan utama pembinaan masjid adalah sebagai tempat beribadat. Maka, hendaklah kita menghidupkan masjid dengan ibadat yang sesuai dengan maqasid atau tujuan utama pembinaan masjid. Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Nur, ayat 36 :

Maksudnya : Di rumah-rumah (Allah) itu, diperintahkan Allah untuk memuliakan dan menyebut nama-Nya.

Ayat ini menjelaskan masjid perlu dipenuhi dengan aktiviti – aktiviti ibadah. Maka janganlah kita jadikan masjid yang indah dan mahal ini hanya untuk berbangga atau sebagai pusat pelancongan sahaja, tetapi imarahkanlah masjid-masjid ini dengan aktiviti – aktiviti ibadat dengan sebaik-baiknya. Maka, ayuhlah kita memastikan masjid kita diimarahkan mengikut maqasid pembinaanya yang utama.

Hadirin warga dewan yang cendekia,
            Beralih kepada bicara minda saya yang kedua : masjid pemangkin perkembangan ilmu. Sejak awal perkembangan Islam lagi, Rasulullah s.a.w telah menjadikan masjid sebagai pusat penyebaran ilmu dan dakwah. Masjid Nabawi ialah pusat ibadat, juga pusat pengajian Islam terunggul pada waktu itu. Pada zaman khalifah Ja’far al-Mansur pula, masjid Jami’ al-Mansur menjadi pusat pengajian ilmu Islam. Bahkan, Universiti al-Azhar sendiri berkembang daripada sebuah masjid. Firman Allah dalam surah al-Mujadalah, ayat 11:

Maksudnya : Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berilmu daripada kalangan kamu dengan beberapa darjat.

Namun kini kita dapati banyak masjid yang hanya didirikan solat berjamaah, tetapi tidak diimarahkan dengan pengisian ilmu kepada ahli jamaah. Lebih menyedihkan ada masjid lengang seusai sahaja bulan Ramadan. Maka, seharusnya kita kembali menjadikan masjid sebagai pusat pengembangan ilmu kepada seluruh masyarakat kerana apabila masyarakat kita kaya dengan ilmu, keunggulan ummah akan jelas kelihatan.

Hadirin sidang kemasyarakatan;
            Seterusnya beralih kepada mandala fikir saya yang ketiga; masjid sebagai sebagai pusat sosial masyarakat. Masjid bukan tempat ibadat khusus semata-mata, bahkan sebagai pusat kegiatan masayarakat. Aktiviti kemasyarakatan seperti walimatul urus, pusat kaunseling, tempat penginapan musafir dan lain-lain perlu diwujudkan di seluruh masjid. Jika diimbau sirah, masjid telah dijadikan pusat pentadbiran, syura dan strategi dakwah. Allah telah berfirman dalam surah al-Tawbah, ayat 18:

Maksudnya : Orang yang layak mengimarahkan (yakni menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat serta tidak takut melainkan kepada Allah.

            Masalah pandangan bahawa masjid hanya semata-mata sebagai tempat beribadat khusus dapat dikikis sekiranya semua masjid di negara ini mempunyai kemudahan yang lengkap seperti yang terdapat di masjid Jamek Bandar Baru UDA, Johor Bahru. Di masjid tersebut ditempatkan klinik, tadika, rumah musafir, pusat seni khat, dan pelbagai kemudahan untuk keperluan masyarakat setempat. Natijahnya, masjid ini sentiasa menjadi pusat kegiatan sosial masyarakat sekitarnya. Jelaslah apabila masjid dijadikan sebagai pusat kegiatan sosial, masjid dapat membina masyarakat dan sosial yang unggul.


Sidang dewan sekalian,
            Seterusnya wacana minda saya yang keempat, “Masjid pemangkin penyatuan ummah’. Perpaduan ialah elemen terpenting dalam menjana ummah gemilang. Pembinaan masjid Quba dan Masji d Nabawi di Madinah oleh Rasulullah membuktikan bahawa dengan wujudnya masjid, masyarakat akan dapat berkumpul dan bertanya khabar, menjadikan ukhuwah Islamiah dapat dijalinkan dengan lebih erat. Hal ini seterusnya memangkin keunggulan ummah. Hal ini selari dengan perintah Allah seperti yang terkandung dalam surah Ali Imran, ayat 103:


Maksudnya: Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (agama Islam) dan jangan kamu bercerai berai...”

            Malangnya kini ada pihak yang menjadikan masjid sebagai tempat menyebarkan fitnah dan menimbulkan sengketa sesama umat. Jika hal ini berterussan sudah pasti keunggulan umat Islam akan pecah berderai. Sewajarnya kita perlulah menghayati dan mengimarahkan masjid dengan aktiviti yang mampu membina perpaduan sesama kita agar keunggulan umat terus terpelihara.

Tuan-tuan, puan-puan hadirin yang budiman;
            Hujah saya yang kelima, masjid sebagai pusat pembentukan sahsiah ummah. Masjid ialah rumah Allah yang mulia. Oleh sebab itu, Islam telah mengajarkan tataetika khusus kepada umat Islam ketika berkunjung ke masjid. Pakaian mestilah menutup aurat, percakapan di masjid juga perlulah menjurus ke arah perkara-perkara yang positif dan membina sahaja. Secara tidak langsung tataetika ini mengajar kita bersahsiah terpuji. Khutbah-khutbah Jumaat pula boleh dijadikan landasan untuk memperingatkan umat Islam agar sentiasa berkeperibadian mulia agar menjadi contoh kepada orang lain. Firman Allah:

Maksudnya : Wahai anak-anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah dan berhiaslah ketika kamu ke masjid-masjid (al-A’raf : 31)

            Malangnya ada segelintir umat Islam kini tidak memelihara adab-adab di masjid sehingga Islam dipandang sebagai agama yang tidak mementingkan adab dan sahsiah penganutnya. Oleh itu, kita wajar menjadikan masjid sebagai pusat latihan membina sahsiah dan keperibadian agar keunggulan umat Islam terserlah di mata dunia.

Warga dewan penerus wawasan,
            Shah Waliullah Ad-Dahlawy, ulama terkemuka dari India, (1703-1762) berkata, “Kesejahteraan ekonomi merupakan prasyarat untuk suatu kehidupan yang baik. Tingkat kesejahteraan ekonomi sangat menentukan tingkat kehidupan. Seseorang semakin tinggi tingkat kesejahteraan ekonominya, akan semakin mudah untuk mencapai kehidupan yang lebih baik (hayatan thayyibah). Hal ini selari dengan mandala fikir saya yang terakhir, masjid penjana ekonomi ummah. Kita lihat kini, kawasan sekitar masjidil haram dan masjid nabawi telah diiktiraf sebagai pusat perniagaan bertaraf dunia. Allah sendiri mrenggalakkan kita mencari rezaeki selepas sahaja kita menunaikan solat seperti yang terkandng dalam firman-Nya dalam surah al-Jumaah, ayat 10:


Kemudian setelah selesai sembahyang, bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati daripada kurniaan Allah.

Sehubungan dengan itu, masjid hari ini perlu diimarahkan sebagai pusat ekonomi umat dengan menjadikannya sebagai pusat pungutan zakat, infaq, sedekah dan kemudahan perbankan seperti yang dilakukan oleh kebanyakan masjid kini seperti masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Masjid Jamek Bandar Baru UDA Johor Bahru pula menyediakan peluang perniagaan di bazar tetap dan bazar ramadan setiap kali bulan Ramadan. Kesimpulannya, jika ekonomi umat dapat dijana melalui masjid-masjid di seluruh dunia sudah pasti umat Islam akan lebih unggul dalam bidang ekonomi dan muamalat.

Sidang hadirin Umat Pilihan;
            Bagunan pertama yang didirikan oleh Rasulullah setibanya baginda ke Madinah ialah masjid. Berpusat di masjid, Rasulullah membina umat Islam melalui sistem musyawarah dan pentadbiran, menjadikannya pusat pengembangan ilmu, sebagai pusat sosial dan kemasyarakatan dan sebagai penjana ekonomi umat Islam. Maka pada hari ini, kita sewajarnya mengimarahkan masjid – masjid dengan fungsi-fungsinya seperti yang tlah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Jika kita memiliki kekuatan untuk mengimarahkan masjid dari masa ke masa, sudah tentu ummah yang unggul dapat dilahirkan dan tidak dapat disangkal lagi, kegemilangan Islam akan berada di persadanya! Sebagai pengakhiran, cuba kita renungkan kata-kata Imam Malek “Tidak akan memperolehi kejayaan ummah kemudian, melainkan mencontohi bagaimana ummah terdahulu memperolehinya.”

Sekian,
وبالله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركته

25 Februari 2011

belajarlah...

Selesai menjalani kursus di Institut Aminudin Baki (Utara). Kursus itu dijalankan selama 3 hari, iaitu 22-24 Februari. 21 Februari ialah hari pendaftaran. Saya tinggal di asrama IAB yang bertaraf seperti hotel tiga bintang. Sungguh selesa.

Umumnya boleh saya katakan kursus ini memang sungguh bermanfaat. Tidak rugi saya memohon kursus ini dan meninggalkan kelas selama tiga hari. Walaupun ada juga peserta yang hadir terdiri daripada mereka yang 'terpaksa' hadir, namun hakikatnya Kursus Asas Penyelidikan ini memberi banyak manfaat. Selain ilmu dan maklumat, kursus ini sebenarnya menjadi pemangkin dan motivasi untuk saya ingat kembali banyak perkara : kaedah penyelidikan dan -yang lebih utama- matlamat dan tanggungjawab saya sebagai pendidik. Lebih-lebih lagi, saya dan rakan sepasukan telah banyak menjalankan kajian di sekolah,. Saya kira sudah tiba masanya untuk saya (dan rakan sepasukan) untuk menjalankan kajian tersebut secara lebih sistematik dan boleh dijadikan rujukan yang sah. Mungkin belum tiba untuk saya meneruskan kajian di peringkat Ph.D, namun kajian-kajian semasa di sekolah (selain kajian tindakan) saya kira juga bermanfaat untuk saya dan masyarakat. Seperti kata Dr. Sazali, pengarah kursus ini :: mengapa Prof. Dr. HAMKA dikenali sedangkan masih ramai ulama lain di Indonesia yang mungkin jauh lebih hebat daripadanya? Sudah pasti kerana beliau meninggalkan bukti kewujudannya, iaitu melalui penulisan yang sungguh baik dan berkesan. Memang benar sekali. Memang kehadiran saya untuk kursus ini memberi motivasi untuk saya meneruskan salah satu 'agenda' yang telah saya tetapkan dalam 'Borang Profil Diri' saya sejak lima tahun lepas (tetapi masih belum terlaksana sehingga kini), iaitu menghasilkan sekurang-kurangnya satu kajian ilmiah setiap tahun. Insya-Allah, akan saya usahakan dengan sebaik-baiknya.

Diharapkan saya berpeluang mengikuti Kursus Asas Penyelidikan (Lanjutan) yang akan dijalankan oleh IAB pada bulan Jun nanti. Terima kasih kepada IAB Utara - Dr. Sazali, Dr. Prema dan Pn. Rosnani!

18 Februari 2011

Tercapai Hasrat

Semalam (17.2.2011), secara rasmi SBP Integrasi Kubang Pasu diisytiharkan sebagai salah sebuah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tahniah kepada seluruh warga Integrasi Kubang Pasu atas pengiktirafan ini. Usaha kitalah yang menjadi pemangkin kecemerlangan itu. Semoga kita semua akan terus menjaganya dengan baik, khususnya dalam merealisasikan etos sekolah, iaitu penghayatan Islam. Harap bukan sekadar slogan! Kata orang "menguruskan kejayaan itu lebih sukar daripada mencapainya".

Wallau a'lam!


17 Februari 2011

Amanah...

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah (Kami) kepada langit dan bumi dan gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya dan dipikul oleh manusia, sesungguhnya manusia itu amat suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara yang tidak patut dikerjakan” -

(al-Ahzab:72)

Mafhum firman Allah s.w.t di atas sering diperingatkan kepada kita. Diulang - ulang dan disebut-sebut. Sering pula diseiringkan dengan Hadith Nabi s.a.w yang bermaksud :"‘Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga: Apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mengingkarinya dan jika diberi amanah dia mengkhianatinya’.Hal ini demikian kerana amanah itu satu tanggungjwab yang amat berat. Bukan mudah menanggungnya, berbanding dengan mengucapkannya. Lantaran itu, sabda Nabi :"Kamu ialah pemimpin, dan setiap pemimpin akan disoal atas kepemimpinannya" perlu difahami dan dihayati.

Atas dasar tersebut jugalah, jawatan pemimpin ini diuar-uarkan kepada semua. Bukan sekadar untuk memaklumkan kepada seluruh umat, malah lebih utama, untuk diperingatkan bahawa mereka ini telah dipertanggungjawabkan dengan amanah daripada Allah.

Atas kesedaran itu, saya ingin sekali berpesan kepada seluruh ahli Badan Kepimpinan Pelajar, Integrasi Kubang Pasu - Lembaga Kepimpinan Pelajar (LKP), Badan Dakwah dan Rohani, (BADAR) Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) & Pengawas Pusat Sumber Sekolah (PPSS) - agar melaksanakan tugas-tugas yang telah diamanahkan kepada kalian. Jalankanlah tugas dengan efektif dan secara kolektif. Kerjasama antara badan kepimpinan menjadi tunjang kekuatan Integrasi Kubang Pasu. Visi Badan Kepimpinan Pelajar : "Pemangkin Kepemimpinan Pelajar" tidak akan terlaksana sekiranya empat anggota badan bergerak secara bersendirian. 

"Bersatu teguh, bercerai roboh"

Alhamdulillah...

23 buah sekolah lagi diiktiraf SBT

17/02/2011 12:56pm

LIMBANG – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan nama 23 sekolah lagi yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) selepas ia didapati memenuhi kriteria yang diperlukan. Beliau membuat pengumuman nama-nama sekolah itu semasa melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai, kira-kira 55 kilometer dari sini, yang merupakan salah satu daripada sekolah yang tersenarai di bawah pengiktirafan itu.

Katanya, sekolah-sekolah itu terdiri daripada Sekolah Menengah Imtiaz, Terengganu; Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Selangor; Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Perak; dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, Selangor.  

Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu, Kedah; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Pekan, Pahang; Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur; dan Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kelantan.

Sekolah Menengah Sains Miri, Sarawak; Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Sains Selangor, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Pahang dan Sekolah Menengah Sains Muar, Johor.

Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai, Sarawak; SK Convent Muar, Johor; SK Seri Biram, Pahang; SK Sultan Ahmad Tajuddin, Kedah; dan SK Setiawangsa, Kuala Lumpur.

SK (Perempuan) Methodist Kuantan, Pahang; SK Sultan Ismail, Terengganu; SK Jalan Tiga, Selangor; SJK(C) Perempuan China, Pulau Pinang; dan SJK(C) Lick Hung, Selangor.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, tahun lepas, 20 sekolah diumum sebagai SBT. – Bernama

16 Februari 2011

... anak-anak belitong

Menitis air mata menonton filem Laskar Pelangi. Sudah lama mendengar kehebatan cerita tersebut, tetapi tiak pula tergerak untuk pergi menontonnya. Kebetulan, tertekan Saluran Astro Ria yang menayangkan filem itu. Subhanallah… betapa tekun dan kuat semangat anak-anak miskin untuk menimba ilmu. Dalam serba kekurangan, 10 orang anak kecil Melayu Belitong berjuang demi kemenangan. Kejayaan bukan pada harta benda, tetapi pada hati… itulah yang dilafazkan dalam filem Indonesia ini. Guru yang mengajar dengan hati yang tulus, murid belajar dengan jiwa yang mulus. Merayakan kepelbagaian kecerdasan. Satu dialognya "hiduplah dengan memberilah banyak-banyak, bukan menerima sebanyak-banyaknya".


Teringat, betapa bertuah anak-anak di sini, betapa bertuah ibu-ibu dan bapa-bapa yang dibayar ribuan ringgit ~ bersungut tak pernah sudah. Jikapun tidak sedia memahami yang di seberang sana, mungkin patut mengahayati sukar dan payah saudara kita di seberang Laut China Selatan.


Hayati lagu Laskar Pelangi oleh Nidji

mimpi adalah kunci
untuk kita menaklukkan dunia
berlarilah
tanpa lelah sampai engkau
meraihnya

laskar pelangi
takkan terikat waktu
bebaskan mimpimu di angkasa
warnai bintang di jiwa

menarilah dan terus tertawa
walau dunia tak seindah surga
bersyukurlah pada yang kuasa
cinta kita di dunia

selamanya…

cinta kepada hidup
memberikan senyuman abadi
walau hidup kadang tak adil
tapi cinta lengkapi kita

laskar pelangi
takkan terikat waktu
jangan berhenti mewarnai
jutaan mimpi di bumi

menarilah dan terus tertawa
walau dunia tak seindah surga
bersyukurlah pada yang kuasa
cinta kita di dunia

selamanya…
selamanya...

laskar pelangi
takkan terikat waktu..uuu..



15 Februari 2011

Salam Maulidul Rasul

Seperti kelaziman, maulidul rasul disambut meriah. Perarakan dan ucapan menjadi acara tahunan. Dalam pada mengingati Rasulullah al-Amin, kita tertanya-tanya :: sudahkah empat sifat wajib pada nabi itu kita teladani? Siddiq, amanah, tabligh, fatonah itu sudahkah mendarah daging dalam tubuh kita. Bukan apa, sejak ledakan ICT ini, kita semakin hanyut, lalai. Kebenaran kita kini ialah penipuan yang nyata; amanah kita adalah seperti gunting makan di hujung; tabligh kita hanya untuk menyampaikan fitnah lewat blog dan fb, fatonah kita? Fikir-fikirkanlah sendiri. Rasanya belum terlambat - dalam kita menguar-uarkan komitmen dan iltiazam kita untuk membina bi'ah Islamiyah - kita kembali menilai diri dan tindakana kita. Mungkin sudah tiba masanya kita melontar keluar slogan, sekiranya tidak kita mampu menjiwai maksud dan makna kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.

Untuk gambar-gambar lain, klik di sini






10 Februari 2011

... sempurna sudah, untuk bermula

Alhamdulillah, Majlis Pewatikahan Ahli Lembaga Kepimpinan Pelajar SBPIKP Sesi 2011 selamat disempurnakan pagi tadi. Majlis yang disempurnakan oleh En. Mohd Sharif bin Mohamad, wakil Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas, Jabatan Pelajaran Kedah. Terima kasih. Kepada semua semua Pengawas, tahniah atas pelantikan rasmi ini. Semoga dapat menjalankan tugas yang telah diamanahkan dengan "sepenuh daya, usaha, keikhlasan dan kesungguhan" berteraskan "maruah, timbang rasa dan keberanian".Semoga ucapan terima tugas oleh Ketua Pelajar menjadi landasan perjuangan oleh semua ahli LKP. Tahniah dan syabas kepada semua!

p/s : Ramai "murid tua" SBPIKP dok tanya-tanya tentang senarai teratas LKP, jadi ini ialah senarai nama mereka:

Ketua Pelajar                            : Amir Syafiq bin Rosli [Umar]
Timbalan Ketua Pelajar              : Nurul Afida bt Roslan [Othman]
Penolong Ketua Pelajar (Putera) : Khairul Asyraf bin Mohd Rodzi [Ali]
Penolong Ketua Pelajar (Puteri)  : Normira bt Md Noh [Umar]

Menanti...
upacara penyampain


Ikrar
Inilah Ikrar kami...

Ucapan terima tugas oleh KP

Ucaptama

Terima kasih...


Barisan Kepimpinan yang baharu


05 Februari 2011

03 Februari 2011

Realiti Kanak-Kanak Kita


Baru saja selesai menonton rancangan Junior MasterChef Australia di saluran Star World, Astro. Seronok menonton budak-budak berumur 12 tahun ke bawah memasak pelbagai hidangan. Menakjubkan! Memang masakan saya takkan dapat lawan diorang (antara sebab : masakan kek, pastri dan lain-lain tu memang saya tak reti :-) )

Dalam pada itu saya teringat kepada rancangan-rancangan realiti untuk kanak-kanak di negara kita. Selain tidak ada yang berbentuk masakan (kalau tak silap dulu pernah ada, tetapi tidak menarik), rancangan realiti kanak-kanak kita dipenuhi dengan acara hiburan yang menjurus kepada budaya hedonisme sahaja. Bintang Kecil, Kamilah Bintang dan lain-lain mengajar kanak-kanak berkelakuan seperti orang dewasa dengan lagu-lagu cinta, aksi dan tarian yang menjelikkan selain pakaian yang tidak seharusnya dididik kepada mereka. Selain mempertontonkan ‘realiti’ masyarakat kanak-kanak kita, rancangan tersebut tidak memberi sebarang manfaat sama ada kepada perkembangan minda mahupun proses sosialisasi kanak-kanak.

Dalam hal ini saya berpendapat rancangan realiti untuk kanak-kanak perlulah lebih berilmiah dan berunsurkan pendidikan bertaraf tinggi. Saya tertarik dengan persembahan Permata Seni yang diilhamkan oleh Datin Seri Rosmah (walaupun ada beberapa perkara yang tidak dipersetujui dalam projek ini). Mungkin pihak media elektronik kita boleh membuat pencarian seni taraf tinggi (bukan budaya popular dengan lagu-lagu dewasa) untuk kanak-kanak. Saya percaya dengan memberi pendedahan kepada seni dan budaya tinggi, sama ada melalui instrumen muzik mahupun tarian tradisional yang lembut dan berbudaya, matlamat Wawasan 2020 untuk maju dengan acuan sendiri akan tercapai. Kita sudah pasti tidak mahu Istana Budaya hanya mempersembahkan budaya popular, atau Dewan Fillharmonik Petronas dipenuhi dengan orkestra asing semata-mata! Tidak salah juga jika pencarian bakat kanak-kanak dalam bidang agama dan ilmiah seperti Akademi al-Quran versi kanak-kanak atau candawara-candawara berinformasi dalam pelbagai bidang dengan kaedah yang menarik. Tidak ketinggalan seni pengucapan awam seperti pertandingan pidato dan debat dijadikan rancangan realiti di stesen-stesen TV agar perkembangan kognitif kanak-kanak lebih subur. Malah di Singapura, konsep baru debat diperkenalkan oleh MediaCorp Channel 5 mendapat sambutan luar biasa penontonnya.

Semasa awal – awal diperkenalkan Akademi al-Quran dan Imam Muda, tak ramai yang percaya rancangan tersebut boleh menarik perhatian penonton dan pengiklan. Namun selepas disiarkan ia menjadi fenomena. Rasanya, jika rancangan realiti untuk kanak-kanak lebih berinformasi, penonton tetap tidak berganjak dari kaca TV masing-masing! Cuma, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih!

Menjelang Cuti...

Ada dua peristiwa kat sekolah pada minggu ini. Pertama ialah majlis persaraan Pak Hasan, PAP SBPIKP. Kedua Hari Profil Kali 1-2010. Nampaknya semua berjalan lancar. Sambutan Hari Profil nampak OK, tetapi kebanyakan yang hadir ialah waris menengah rendah. Nampaknya ibu bapa yang menegah atas ni tak begitu kisah (walaupun selalu dok komen macam-macam).

Tekun mendengar komen

Anak sapa ni???

Apa-apapun, selamat bercuti sempena Tahun Baharu Cina. SBPIKP hanya bercuti wajib sahaja (2 hari). Bagus juga,, sebab tak tahu nak ke mana-mana, bosan la pulak dok berehat kat Bukit saja. nak berjalan-jalan (baca: berkereta) tak berapa berani sebab cukai jalan dah tamat tempoh 1 hb Feb, tak sempat nak perbaharui. Terpaksalah berpuas hati dengan bersantai di Bukit.. :)

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...