25 Oktober 2013

Minum Petang LKP - Sumbangsih untuk Pengawas i-KUPs

Semalam, 24 Oktober 2013 para ahli Lembaga Kepimpinan Pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu diraikan dalam Majlis Hi-Tea yang diadakan di Darulaman Golf & Country Club, Bandar Darulaman, Jitra. Majlis yang bermula sekitar jam 4.00 petang itu dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan amanat oleh Ketua Pelajar i-KUPs, Sdr. Abdul Azim Akmal bin Ismail. Nasihat dan amanat para guru penasihat : En. Zahrul Fuad Yang Razali, Pn. Nor Asmah Keria, Ustazh Jailah Mambong dan En. Ariffin Salleh turut mengambil tempat dalam majlis yang ceria itu. Seterusnya sambil menikmati pelbagai juadah yang istimewa, hadirin disajikan dengan halwa telinga nyanyian oleh Sdr. Farhan & Imran sambil diiringi oleh rintikan hujan. Suasana di perkarangan kelab golf begitu indah dengan hujan renyai-renyai membasahi padang golf dan kolam yang menjadi lokasi majlis. 

Majlis yang turut dihadiri oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, En. Malek Abu Hassan (yang turut mewakili Ayahanda Pengetua yang tidak dapat hadir kerana berkursus) ini bertujuan meraikan sumbangan dan bakti para pengawas yang telah setahun bertungkus-lumus membantu para guru di sekolah dan asrama. Selain sijil penghargaan, inilah salah satu cara pihak sekolah menyatakan terima kasih kepada sumbangan mereka. Semoga majlis sebegini menjadi pemangkin untuk pengawas-pengawas tingkatan empat meneruskan sumbangan dan kerja yang lebih baik pada tahun hadapan. Menariknya (buat pertama kali) anugerah Pengawas Paling Popular dan Pengawas Ohsem (ntah apalah diejanya!) turut diberikan kepada 2 pengawas putera dan dua pengawas puteri. Tahniahlah Eiyman, Nabila, Azim & Izyan! :-)

Kepada para pengawas tingkatan lima yang bakal menempuh peperiksaan SPM yang bermula pada 6 November ini (lagi dua minggu!) didoakan semuanya akan memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut. Kami, guru-guru penasihat LKP menharapkan anda semua buat sesempurna mungkin dalam peperiksaan tersebut. Insya-Allah, doa kami akan mengiringi kalian. Kepada pengawas tingkatan empat, silalah bersiap siaga dari segi fizial dan mental bagi meneruskan legasi kepemimpinan abang-abang dan kakak-kakak anda. Ingat, di pundak kalianlah tergalas harapan dan amanah para guru, sekolah dan rakan-rakan anda.

Kepada semua, ingatlah cogan kata LKP : "Berhikmah, Memimpin"

14 Oktober 2013

Allah Tuhan Yang Esa...

PUTRAJAYA, 14 Okt (Bernama) -- The Herald, penerbitan mingguan Katolik Malaysia dilarang daripada menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan.

Ini berikutan Mahkamah Rayuan membuat keputusan sebulat suara di sini Isnin untuk membenarkan rayuan kerajaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah "Allah" dalam penerbitan.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang mempengerusikan panel tiga anggota hakim berkata ia merupakan dapatan umum mahkamah bahawa kalimah "Allah" tidak pernah menjadi bahagian penting daripada amalan kepercayaan agama Kristian.

Beliau berkata dengan mengambil kira fakta sejarah dan agama, beliau tidak dapat menemui sebarang sebab munasabah kenapa responden ( Titular Roman Catholic Archbishp of Kuala Lumpur) "berkeras" untuk menggunakan kalimah "Allah" dalam penerbitan buletin mingguan mereka.

"Untuk memulakannya, pengiktirafan sewajarnya perlu diberikan kepada nama-nama yang diberikan Tuhan masing-masing dalam buku suci masing-masing seperti "Yahweh" Tuhan Kitab Bible; "Allah" bagi kitab suci Al-Quran dan "Vishnu" bagi kita suci Vedas," katanya dalam penghakiman setebal 40 halaman.

"Ia adalah munasabah untuk membuat kesimpulan bahawa penggunaan yang dicadangkan itu akan menyebabkan kekeliruan yang tidak wajar di kalangan masyarakat Islam dan sudah tentu ia tidak kondusif kepada suasana kehidupan yang aman dan harmoni di negara ini.

"Kesimpulan ini diperkuat oleh fakta bahawa majoriti penduduk di negara ini adalah orang Melayu dan beragama Islam," kata Hakim Apandi yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Beliau berkata daripada kajiannya mengenai sejarah bahasa Bible, adalah jelas bahawa perkataan "Allah" tidak wujud walaupun sekali sebagai nama tuhan atau malah bagi seorang lelaki dalam kitab suci Ibrani.

"Nama "Allah" tidak muncul walaupun sekali sama ada dalam kitab Perjanjian Lama atau Baharu. Dalam dunia Bible, "God" sentiasa dikenali sebagai Yahweh," kata Apandi.

Hakim Apandi membaca ringkasan keputusan itu dalam mahkamah terbuka. Mahkamah kemudian mengeluarkan tiga penghakiman bertulis secara berasingan.

Dalam penghakimannya, Hakim Apandi berkata permohonan untuk semakan kehakiman mengenai perkara-perkara yang bersifat seperti dalam rayuan ini menyekat kewujudan bersama semangat keamanan dan keharmonian dengan agama lain di negara ini.

Beliau berkata tujuan memasukkan perkataan "Dalam keamanan dan keharmonian" dalam Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan adalah untuk melindungi kesucian Islam sebagai agama negara dan juga melindungi daripada mana-mana ancaman atau kemungkinan ancaman kepada agama Islam.

Beliau berkata berdasarkan fakta-fakta dan keadaan kes itu, penggunaan kalimah "Allah" dalam versi Melayu The Herald, tanpa ragu-ragu, berpotensi mengganggu rentak kehidupan masyarakat Malaysia.

Hakim Apandi berkata berdasarkan alasan yang diberikan menteri dalam negeri dalam afidavit balasnya, adalah jelas bahawa beliau bimbang dengan keselamatan negara dan ketenteraman awam.

"Memandangkan kebimbangan menteri itu yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dalam negeri, bukan bagi mahkamah untuk menyiasat bukti-bukti kukuh keselamatan negara. Ia mesti disimpulkan bahawa keputusan menteri membabitkan keselamatan negara adalah rasional," katanya.

Hakim Apandi berkata anggapan beliau bahawa menteri telah tidak bertindak dalam apa-apa cara yang mewajarkan campur tangan badan kehakiman mengenai keputusannya melarang penerbitan itu menggunakan kalimah Allah.

Beliau berpuas hati bahawa bahan rujukan yang mencukupi telah dipertimbangkan oleh menteri (dalam negeri) dalam melaksanakan tugas dan kuasa berkanunnya mengikut Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984," katanya.

Beliau berkata mahkamah juga menghakimi bahawa syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri dalam permit penerbitan The Herald melarang The Herald daripada menggunakan kalimah "Allah" tidak melanggar mana-mana hak perlembagaan responden.

Sementara itu, dalam penghakiman 34 halamannya, Hakim Abdul Aziz berkata penggunaan kalimah "Allah" dalam The Herald untuk merujuk kepada "God" di kalangan penganut Kristian akan menimbulkan kekeliruan di kalangan orang Islam kerana konsep Tuhan dalam Islam dan dalam Kristian adalah jauh berbeza seperti langit dengan bumi - dalam Islam ia merujuk kepada keesaan Tuhan sedangkan dalam Kristian ia merujuk kepada konsep Triniti Tuhan.

"Dalam rayuan ini, ia menunjukkan bahawa sejak 1986 Kementerian Dalam Negeri apabila mengeluarkan arahan melarang penggunaan empat perkataan termasuk kalimah "Allah", telahpun menilai mengenai bahayanya kepada keselamatan dan ketenteraman awam jika penggunaan itu tidak disekat.

Hakim Abdul Aziz juga berpandangan bahawa kebenaran yang diberi Kementerian Dalam Negeri untuk mencetak dan menerbitkan 'Al-Kitab', Bible versi Melayu yang mana wujud kalimah Allah, tidak boleh dilayan dengan keadaan yang sama sebagaimana percetakan dan penerbitan The Herald menggunakan perkataan "Allah".

Ini kerana Kementerian Dalam Negeri telah menggariskan syarat bahawa Al-Kitab adalah untuk digunakan di gereja dan di kalangan orang Kristian sahaja dan perkataan "Bukan Untuk Orang Islam" dicetak pada muka depan Al-Kitab.

Sedangkan The Herald, katanya, adalah buletin yang digunakan sebagai saluran bagi Gereja Katolik untuk menyebarkan maklumat mengenai kegiatan gereja Katolik.

Dalam penghakiman 25 halaman, Hakim Mohd Zawawi berkata dari sudut pandangan ramai dan perdebatan, mahkamah boleh membuat kesimpulan bahawa orang-orang Kristian sendiri tidak mencapai kata sepakat bagaimana untuk menggunakan perkataan "Allah" sama ada dalam kerja-kerja terjemahan dan versi Bible atau dalam penggunaan umum mereka.

Ini hanya menunjukkan bagaimana perbalahan dan begitu kontroversinya penggunaan sedemikian, sambil menambah bahawa "Allah" bukan Tuhan Bible tetapi Allah adalah nama yang betul dan satu-satunya Tuhan dalam Islam.

Beliau berkata persoalan untuk menterjemahkan "God" sebagai "Allah" masih hangat diperdebatkan di kalangan orang Kristian di seluruh dunia.

Pada 16 Feb, 2010, Ketua Paderi Gereja Roman Katolik Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, menuntut antara lain, perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.

Penerbitan mingguan itu yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah 'Allah' untuk merujuk kepada Tuhan dalam edisi bahasa Malaysia, khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak.

Pada 31 Dis, 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah itu adalah salah di sini undang-undang, tidak sah dan batal.

Di luar mahkamah, peguam S Selvarajah berkata rayuan akan dibuat di Mahkamah Persekutuan.

"Kami ada 30 hari mulai hari ini untuk memfailkan permohonan untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan. Kami akan mengkaji penghakiman sebelum memfailkan permohonan," katanya.

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...