09 November 2016

Elak jadi bangsa badut, Sultan Nazrin ingatkan Melayu

 | November 9, 2016 

Sultan Perak berkata Melayu perlu membuktikan mereka bangsa disegani dan bukan ditakuti, dan ini boleh dicapai dengan memiliki nilai dan peradaban tinggi.
Sultan Nazrin ShahSHAH ALAM: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mahu orang Melayu membuktikan mereka bangsa yang bermaruah dan memiliki harga diri supaya tidak menjadi bahan ketawa.
“Melayu itu hendaklah berimej orang yang dihormati, bukan orang yang ditakuti,” baginda berucap ketika merasmikan Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) semalam.
“Buktikan bangsa Melayu bangsa yang pintar, dengan menghentikan perbuatan mengolah cipta pelbagai penglipur lara untuk dijadikan halwa telinga, atau berimej badut hingga dijadikan bahan ketawa. Setiap kegagalan – setiap kesilapan, yang dilakukan oleh anak Melayu, aibnya ditanggung oleh seluruh bangsa.”
Sultan Nazrin mengakui masyarakat Melayu merupakan bangsa yang sensitif, tetapi adalah lebih penting membuktikan mereka juga memiliki sifat seperti menepati janji, membayar balik hutang dan tidak berdusta.
“Muliakan bangsa Melayu, dengan memperkayakan sopan dan tertibnya, adat dan adabnya, hemah dan budinya.”
Menurutnya, orang Melayu perlu menyerahkan amanah kepada Melayu yang benar-benar berwibawa dan berpengetahuan “daripada menyerahkan kepada orang perantaraan yang bersifat parasit, berniaga secara buluh kasap, untung tiada, modal pun lesap”.
Dalam ucapannya, Sultan Nazrin turut menceritakan sejarah awal penubuhan UiTM dalam usaha memberikan peluang kepada Bumiputera.
Antara yang disentuh ialah perbahasan di Parlimen pada 1976, ketika beberapa ahli Parlimen termasuk Lim Kit Siang menyeru supaya Institut Teknologi Mara dibuka kepada rakyat semua kaum.
Idea itu bagaimanapun ditolak menteri pelajaran ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, yang berhujah perpaduan tidak wajar hanya didesak untuk dilaksanakan di ITM sedangkan ada wakil rakyat pembangkang menuntut ditambah penubuhan sekolah Cina dan Tamil.
“Dr Mahathir menyeru agar mereka yang bersungguh mahu merealisasikan agenda perpaduan nasional untuk membuktikannya dengan menghantar anak-anak ke Sekolah Kebangsaan,” menurut Sultan Nazrin yang menyorot kembali perbahasan di Dewan Rakyat.
“Sebagai seorang yang berlatar belakang doktor perubatan, beliau turut mengukuhkan hujah, tidak akan membuka pintu ITM kepada bukan bumiputera, dengan mengambil contoh perbandingan kes perubatan arterio-venous shunt, satu analogi, hubungan saluran di antara arteri dengan vena.”

14 Oktober 2016

Mengangkat Martabat Bahasa Kebangsaan


 with NO COMMENTS


Martabat Bahasa Melayu Tugas Semua
MAPIM mengalu-alukan gesaan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah agar rakyat Malaysia memberi penekanan terhadap pembelajaran dan penguasaan bahasa Inggeris, yang menurut baginda peluang itu harus diberikan kepada setiap orang tanpa mengira latar belakang.
Kami memperakui galakkan untuk menguasai bahasa dunia seperti bahasa Inggeris kerana ia merupakan antara bahasa perantaraan antarabangsa .
Sementara sememangnya Bahasa Inggeris adalah bahasa global bagi bidang saintifik, teknologi, perniagaan, akademik dan maklumat perdagangan antarabangsa , akan tetapi harus dicermati bahawa tidak boleh dinafikan ada bahasa lain juga yang turut maju membangunkan bangsanya dalam pelbagai bidang seperti bahasa Jerman , Russia , China , Jepun dan Perancis.
Rakyat negara-negara tersebut ternyata turut menguasai ilmu teknologi terkini dengan memajukan bahasa masing-masing sebagai teras pembangunan negara.
Jika hujah bahawa belajar bahasa lain akan membuka peluang lebih luas bagi generasi muda untuk menerokai dan memperoleh ilmu dan pengetahuan tanpa had dalam dunia globalisasi sekarang , hujah yang sama boleh diketengahkan untuk bahasa selain Bahasa Inggeris.
Apa yang menjadi isu sekarang ialah ujudnya sindrom tidak yakin bahawa Bahasa Kebangsaan boleh membawa kemajuan dalam bidang-bidang sains dan teknologi dan dengan itu ada pihak terus melobi untuk mengenengahkan Bahasa Inggeris sebagai perantaraan dalam sistem pendidikan negara. Inilah yang sedang diperbahaskan bila kerajaan memperkenalkan perlaksanaan PPSMI dan sekarang DLP pula , dalam sistem pengajaran di sekolah.
Dasar yang diperkenalkan itu tidak mengambilkira tujuan dan asas Akta Bahasa Kebangsaan dan Dewan Bahasa dan Pustaka diujudkan. Ianya tidak samasekali menafikan kepentingan memahirkan generasi muda dengan bahasa lain terutama Bahasa Inggeris .
Akan tetapi isu yang dibangkitkan ialah bila status Bahasa Kebangsaan terjejas dengan memperkenal sebuah sistem perantaraan bahasa didalam sistem pendidikan nasional yang bakal membantutkan kemajuan Bahasa Kebangsaan dijadikan bahasa ilmu sekaligus bahasa pembentuk jatidiri dan tamadun bangsa.
Boleh dipertikaikan hujah bahawa hanya dengan Bahasa Inggeris bangsa ini akan lebih yakin untuk berinteraksi dengan masyarakat global dan budaya yang berbeza. Sebenarnya keyakinan datang dengan penguasaan ilmu yang diperolehi dari bahasa yang maju. Oleh kerana pihak berkuasa tidak yakin dengan keupayaan Bahasa Kebangsaan untuk memajukan negara , maka ketidakyakinan diri bermula.
Contoh yang jelas timbul dari penguasaan bahasa yang telah maju dan mampu menyumbang kepada kemajuan dunia yang telah dibuktikan ialah negara-negara seperti Korea , Jepun , Perancis , Jerman dan China.
Kami bersetuju kelebihan menguasai lebih daripada satu bahasa . Galakan untuk menguasai bahasa lain sememangnya perlu digalakkan. Namun memajukan dan mengangkat martabat Bahasa Kebangsaan sangat penting untuk diutamakan kerana Bahasa Kebangsaan membawa nilai dan falsafah tersendiri.
Lantaran itu sangat penting diberi perhatian bahawa memahirkan bahasa Inggeris dikalangan generasi muda perlu dilihat dari sudut teknik pengajaran yang berkesan bukan mengganti bahasa pengantar pengajaran dan pembelajaran dalam sistem pendidikan sekolah.
Meningkatkan  daya saing negara dalam dunia yang dipacu teknologi dan globalisasi bukan dengan menurunkan statsu Bahasa Kebangsaan tetapi hendaklah dengan memajukannya sehingga boleh menjadi bahasa ilmu dalam semua bidang.
Ketika PPSMI diperkenalkan ternyata murid dijadi bahan uji sehingga akibatnya mereka menjadi mangsa terutama disekolah dikawasan desa. Bukan sahaja penguasaan Bahasa Inggeris tidak tercapai , malah bidang yang dipelajari tidak dikuasai.
MOHD AZMI ABDUL HAMID

01 Oktober 2016

Pena: Dual Language Programme will lead to discrimination

PETALING JAYA: The implementation of the Dual Language Programme (DLP) involving 300 schools will lead to discrimination between urban schools and their rural and vernacular counterparts, Pena chairman Dr Ibrahim Ghaffar said.
Speaking to FMT, Ibrahim said educational policies should be applied universally, rather than on a select group.
He explained it was discriminatory for the programme to only be available to the 300 schools involved in the pilot and said, “Not only is this discrimination, this will also lead to a widening gap between urban and rural schools.”
Ibrahim also said the DLP, which gives parents a choice for their children to learn science and maths subjects in English or Bahasa Melayu was less effective than learning the subjects in their mother tongue, be it Bahasa Melayu, Mandarin or Tamil.
“According to our research, the learning of critical subjects is more effective when taught in (students’) mother tongues.
“If they cannot understand the language, how will they master the subjects?”
He added that Pena understood the importance and need to improve English proficiency, but said there were other ways of doing this without implementing the DLP.
Hasil carian imej untuk bantah dlp
However, the Parent Action Group for Education Malaysia (PAGE) had a different take on the situation.
Its chairman Noor Azimah Abdul Rahim said the DLP addressed the weaknesses of teaching science and maths in English (PPSMI) and added, “The last time, parents complained that PPSMI was compulsory, so this is why DLP gives parents and students a choice.
“It is up to them, whether they want to opt for English or lose out.”
She said that science and maths were chosen as DLP subjects as it had the highest concentration of teachers who had a minor in English.
Noor Azimah, who was part of the government’s Performance Management Development Unit or Pemandu panel that developed the DLP, rubbished claims that it contradicted the spirit of the Federal Constitution and the national education policy.
She said in 2010, the High Court had ruled that the PPSMI did not violate the Federal Constitution, the National Language Act 1963/67 and the Education Act 1996.
A protest against the DLP has been planned for March 26 by the Bantah-DLP movement.
sumber: http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2016/01/26/pena-dual-language-programme-will-lead-to-discrimination/

04 Mei 2016

Bahasa Melayu Semakin Terancam?

Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim berkata pemegang dasar harus membuat pendekatan yang jelas supaya bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan diangkat menjadi bahasa komersial dalam semua urusan.

Beliau berkata usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia perlu bermula daripada peringkat kanak-kanak.
Menurutnya kalangan ibu bapa masa kini lebih gemar menyajikan buku-buku dalam bahasa Inggeris berbanding dalam bahasa Melayu kepada anak-anak, dan bahasa Inggeris dijadikan bahasa utama dalam medan bacaan dan komunikasi mereka.

"Dasar-dasar yang berkaitan juga harus disemak semula dan perancangan baharu perlu dibuat ... saya khuatir dalam satu dekad akan datang, bahasa Melayu akan mengalami kejatuhan yang sangat memalukan dan tidak lagi diangkat sebagai bahasa utama di Malaysia.

"Dengan memberi galakan membaca buku-buku bahasa Melayu sejak dari awal ia diyakini mampu menyemarakkan semangat cinta akan bahasa Melayu di dalam diri mereka," kata bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu kepada Bernama baru-baru ini.

Sikap ibu bapa
Seorang guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah di Johor Baharu, Rafeah Badaruddin turut melahirkan kebimbangan terhadap sikap ibu bapa yang lebih menggalakkan anak-anak membaca dan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama kerana lambat laun ia boleh menjejaskan kemahiran mereka untuk berbahasa Melayu.

Berdasarkan pengalamannya, beliau berkata murid-murid sedemikian sering berhadapan dengan masalah dalam menstruktur ayat dalam bahasa Melayu.

"Sebagai contoh, saya dan ibu mahu ke 'post office' ... murid ini menggunakan perkataan bahasa Inggeris dalam ayatnya kerana dia tidak tahu penggunaan perkataan 'pejabat pos' dalam bahasa Melayu," katanya.

Rafeah berkata bagi mengatasi masalah itu pelbagai aktiviti dijalankan pihak sekolah bagi membantu murid-murid dalam memperkasakan bahasa Melayu seperti program galakkan membaca, pertandingan berbalas pantun dan pidato.

Permintaan buku bahasa Inggeris lebih tinggi
Ketua Eksekutif Little Sun Sdn Bhd, Leon Ang Kok Leong, yang juga penerbit buku kanak-kanak, berkata di kawasan bandar khususnya, buku bahasa Inggeris mempunyai permintaan lebih tinggi berbanding buku dalam bahasa Melayu.

"Buku-buku cerita klasik Inggeris seperti, 'Cinderella', 'Snow White' dan 'Rapunzel' sering menjadi permintaan kanak-kanak hari ini.

"Walau bagaimanapun, buku-buku bahasa Melayu tetap mempunyai pengikut tersendiri terutamanya di kawasan luar bandar," katanya.

Penyandang Kursi Profesor Pengajian Melayu ke-3 di Beijing Foreign Studies Universiti (BFSU) China, Datuk Dr Awang Sariyan pula mempunyai pendapat berbeza dan menganggap keadaan itu sebagai sesuatu yang biasa kerana tiada asas kajian mengenai situasi itu setakat ini.

Beliau berkata masih ramai kanak-kanak di Malaysia yang suka membaca buku berbahasa Melayu dan hanya segelintir sahaja yang menyukai buku-buku bahasa Inggeris terutamanya dalam kalangan keluarga elit.

"Pada asasnya, pendedahan kepada buku-buku bahasa Inggeris tidak ada masalah, ia memang sesuatu yang wajar cuma kita janganlah meminggirkan buku-buku bahasa Melayu," katanya.
Awang berkata buku-buku bahasa Inggeris sering mendapat perhatian kerana ia ditulis menggunakan bahasa yang baik.

"Sebagai contoh buku siri popular berbahasa Inggeris seperti 'Harry Potter' ditulis menggunakan bahasa yang baik. Ini soal kreativiti dan kemampuan pengarang," katanya.

Penerbit perlu ada tanggungjawab sosial
Katanya sebab itu dua institusi penting seperti sekolah dan rumah sangat memainkan peranan dalam soal ini bagi menjaga dan memelihara status bahasa Melayu tanpa menidakkan kepentingan bahasa Inggeris.

"Di sekolah, guru-guru haruslah memberi arahan yang jelas supaya minat membaca dalam kedua-dua bahasa itu dapat ditanam manakala di rumah, ibu bapa perlu menyajikan anak-anak mereka dengan bahan bacaan berbahasa Melayu yang secukupnya di samping buku-buku bahasa Inggeris," katanya.
Tambahnya lagi, golongan kanak-kanak hari ini lebih tertarik membaca buku-buku yang menggunakan bahasa Melayu ringkas atau dicampur aduk dengan bahasa Inggeris yang kini terdapat banyak di pasaran.

"Pihak penerbit dan pengarang perlu ada tanggungjawab sosial yang tinggi serta mereka tidak seharusnya hanya memikirkan pasaran sahaja.

"Jika hanya memikirkan buku mesti laris sahaja, langgar segala soal bahasa, etika dan moral ia seperti berikan racun kepada anak-anak kita," katanya.

Menyedari hal itu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Abdul Adzis Abas berkata bagi menarik minat kanak-kanak membaca bahan bacaan berbahasa Melayu, DBP giat menjalankan program pembinaan bakat penulis yang digilap dalam kalangan penulis baharu yang melibatkan penulis kanak-kanak dan remaja.

"Selain itu, DBP juga melantik pakar daripada pelbagai bidang bagi mengenal pasti judul-judul yang menarik untuk ditulis dan menilai manuskrip yang diterima untuk peningkatan kualiti selain mengadakan penganjuran sayembara atau peraduan menulis cerita kanak-kanak," katanya.

Abdul Adzis berkata DBP akan sentiasa memperkasakan bahan bacaan berbahasa Melayu agar kanak-kanak akan berasa lebih dekat dan cintakan bahasa kebangsaan itu.

-Bernama: Malaysiakini

24 April 2016

Lebih 1,000 berhimpun bantah DLP


BANTAH DLP
KUALA LUMPUR, Sabtu – Lebih 1000 peserta berkumpul di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur hari ini bagi menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan program dwibahasa (DLP).
Himpunan Aman Bantah DLP yang bermula jam 2 ini melibatkan penyertaan daripada pelbagai badan bukan kerajaan seluruh negara (NGO) iaitu Kongres Rakyat, Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) dan Gerakan Isu-Isu Pendidikan Kebangsaan (GIPK).
Turut hadir Sasterawan Negara, A. Samad Said dan Ketua Penerangan Pas Pusat Nasrudin Hassan Tantawi.
DLP merupakan program penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi mata pelajaran Sains, Matematik dan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

03 April 2016

RAKYAT PERLU BANGKIT BANTAH DLP

Kerajaan sekali lagi menimbulkan kontroversi dalam pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan nasional.

Setelah suara penentangan rakyat terhadap perlaksaan program dwibahasa dalam pendidikan (DLP) yang merupakan versi baru PPSMI mula disuarakan kerajaan mengambil sikap memekakkan telinga.
Nampaknya kerajaan tidak serius dalam mempertahankan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar pendidikan negara.

Setelah PPSMI dapat dikekang dan kerajaan mengumumkan bahawa ia tidak akan diteruskan, kini versi baru mengenepikan Dasar Bahasa Kebangsaan ditampilkan iaitu DLP. Malah pelaksanaan DLP di hampir 300 buah sekolah sudahpun dilaksanakan.

Rasional untuk melaksanakan DLP kembali menimbulkan persoalan, sejauh mana dasar bahasa kebangsaan benar-benar mahu direalisasikan oleh kerajaan.

Ketika PPSMI dibantah oleh rakyat dan akhirnya diumum tidak diteruskan, hujah yang sangat kukuh digunakan oleh demonstrasi rakyat membantah PPSMI ialah penggunaan bahasa kebangsaan sebagai medium tidak menyebabkan penguasaan ilmu terbantut.

Apakah sebenarnya yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan bagi memartabatkan bahasa kebangsaan sekali gus memperkukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan dalam pembangunan negara?

Soalnya kenapa kerajaan maseh terperangkap dalam sindrom tidak percaya kepada kemampuan negara ini dimajukan dengan bahasa kebangsaan.

Kami berpendapat punca yang menjadi isu memertabatkan bahasa kebangsaan kembali menjadi kontraversi ialah pemimpin kerajaan maseh terperangkap dalam sindrom tidak percaya diri kepada keupayaan bahasa sendiri.

Akibat terlalu teraju dengan persepsi bahawa Bahasa Inggeris lebih superior dari bahasa sendiri, maka bahasa kebangsaan dianggap tidak lengkap.

Dengan yang demikian sikap mengalah apabila ada pihak yang beria-ia mahu Bahasa Inggeris diutamakan atas alasan bahasa itu sahaja yang boleh membawa negara setaraf dengan standard dunia menyebabkan kerajaan tidak berpegang teguh kepada prinsip perlembagaan yang meletakkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara.

DLP tiba-tiba muncul kononnya atas nama mengukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris akan tetapi ternyata ia hanya suatu penjenamaan baru kepada PPSMI. Tujuan akhirnya tetap sama iaitu menjadikan Bahasa Inggeris kembali sebagai pengantar kepada sistem pendidikan nasional.

Rakyat berhak membantah keputusan kerajaan ini kerana kerajaan sendiri nampaknya tidak menghormati Dasar Bahasa Kebangsaan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Jelas kerajaan tunduk kepada segelintir kelompok elit yang ghairah dengan bahasa penjajah dan melobi supaya bahasa kebangsaan dikelaskeduakan di negara ini.

Kami turut membantah dengan keras pelaksanaan DLP. Pihak Kementerian Pendidik tidak melakukan perundingan dan semak pandangan dengan pakar bahasa untuk menimbang kesan pelaksanaan DLP.

Kami menuntut supaya DLP tidak diteruskan dan rakyat berhak untuk membantah polisi kerajaan yang tidak konsisten menjaga kedaulatan bahasa kebangsaan.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden Mapim
3 April 2016 - HARAKAHDAILY 3/4/2016

19 Februari 2016

Keranda 152 Muncul Semula Demi Bahasa Melayu

oleh: Dato' Dr. Anwar Ridhwan, SN ke-10

ADA suatu perjuangan pencinta bahasa Melayu yang belum selesai. Perjuangan untuk melihat bahasa Melayu menduduki tempat yang utama di tanah air sendiri. Bahasa Melayu antara lain harus digunakan secara meluas dalam pelbagai urusan, termasuk komunikasi, perniagaan, pendidikan, wacana dan sebagainya. 

Pejuang bahasa Melayu bukan antibahasa lain. Mereka menyedari Tuhan mencipta pelbagai bangsa dan kaum di dunia ini, masing-masing dengan bahasa mereka. Oleh sebab Tuhan menurunkan bahasa Melayu kepada bangsa Melayu, mereka berasa bertanggungjawab mensyukuri kurniaan itu dengan terus berusaha memperkasakan bahasa Melayu ini. 

Mereka gembira kerana setahun sebelum merdeka, kerajaan telah menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka. Agensi ini ditugaskan untuk membina dan mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu. Tampaklah kepada mereka harapan masa hadapan bahasa Melayu dalam sebuah negara yang merdeka. Lebih-lebih lagi kedudukan bahasa Melayu dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 152. 

Bagaimanapun, sejak dekad awal kemerdekaan, harapan pejuang bahasa tidak seindah impian. Mereka melihat nasib bahasa Melayu yang mula terumbang-ambing dalam sejarah sosial Malaysia moden. Ini termasuk dalam bidang undang-undang kerana bahasa Melayu masih dipinggirkan, walaupun Malaysia telah merdeka. Lalu tercetuslah sajak dan peristiwa Keranda 152. 

Perarakan Keranda 152 dilakukan sebagai simbol kematian bahasa Melayu apabila bahasa Melayu tidak digunakan sebagai bahasa pengantar dan bahasa dalam bidang kehakiman. Bantahan itu terjadi pada 3 Mac 1967 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Antara tokoh terpenting menggerakkan bantahan ini ialah Usman Awang yang ketika itu editor kepada beberapa majalah terbitan DBP. 

Pejuang Bahasa Hampa 

Pejuang bahasa pada masa itu hampa kerana bahasa Melayu tidak diletakkan pada kedudukan yang wajar menurut carta pemetaan Perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 dengan jelas menyebut kedudukan bahasa Melayu akan dinaikkan peranannya secara berperingkat dari 31 Ogos 1957 kepada tahap lebih baik 10 tahun kemudian, iaitu pada 1967. 

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan juga meletakkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan adalah sebahagian daripada kontrak sosial yang dipersetujui bersama oleh rakyat berbilang bangsa, termasuk Cina, India dan lain-lain. 

Golongan Melayu Prihatin 

Peristiwa Keranda 152 yang pertama itu melakarkan impaknya dalam sejarah sastera, sosial dan politik kebahasaan negara. Ia menandakan bahawa akan sentiasa wujud golongan Melayu yang prihatin terhadap perkembangan bahasa Melayu kurniaan Tuhan kepada bangsa ini. 

Empat puluh dua tahun selepas itu, muncul pula perarakan Keranda 152 yang kedua. Perarakan besar-besaran ini digerakkan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP). Mereka menuju ke Istana Negara pada 7 Mac 2009 sebagai memprotes Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kerana ia dilihat sebagai usaha ketara meminggirkan bahasa Melayu dalam subjek Sains, Matematik dan Teknologi di sekolah. 

PPSMI ternyata dasar yang gagal. Ia tidak dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar melalui subjek Sains, Matematik dan Teknologi. Sementara itu, pelajar juga kurang menguasai subjek itu, kerana tidak diajar melalui bahasa ibunda yang lebih mereka kuasai. PPSMI dibatalkan pada 2012. 

Bagaimanapun, ada segelintir individu masih percaya penguasaan bahasa Inggeris boleh ditingkatkan melalui subjek Sains, Matematik dan Teknologi. Suara mereka didengar, lalu muncul DLP (Dual Language Program) untuk kira-kira 300 buah sekolah. Bagi pejuang bahasa Melayu, program DLP ini seperti menghidupkan semula PPSMI. 

Program ini dilihat sebagai satu lagi usaha meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan tinggi dan moden di negara sendiri. Isu DLP selama beberapa bulan kebelakangan ini menuntut pejuang bahasa Melayu bersatu dalam satu saf perjuangan. Mereka bukan antibahasa Inggeris. Mereka selalu menyarankan agar penambahbaikan penguasaan bahasa Inggeris dilakukan dalam subjek itu sendiri. 

Kumpulan pejuang bahasa Melayu ini menghadap Sultan Perak bagi menyampaikan keprihatinan terhadap masa depan bahasa Melayu. Khabarnya mereka akan mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur, minggu ini. Jika isu ini tidak diselesaikan, mungkin akan terlakar pula peristiwa Keranda 152 yang ketiga. 

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah Kanan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/124918

05 Februari 2016

SEKOLAH SATU ALIRAN?

MUKADIMAH
“Perlu ada keberanian politik”. Itulah kesimpulan daripada wawancara khas Mingguan Malaysia dengan Felo Utama Institut Kajian Etnik (KI TA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM ), PROF. DATUK DR. TEO KOK SEONG di pejabat beliau, Rabu lalu. Bercakap kepada wartawan, AMIZUL TUNIZA R AHMA D TERMIZI dan jurufoto FA RIZ RUSADIO, beliau yang juga Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara memberitahu, sistem pendidikan pelbagai aliran yang diamalkan di Malaysia sekarang jelas terbukti menyebabkan jurang antara kaum semakin melebar selepas 58 tahun negara merdeka. Tegas Kok Seong, belum terlewat untuk kerajaan melakukan perubahan dengan pelaksanakan sistem pendidikan satu aliran supaya semua rakyat negara ini berkongsi aspirasi nasional dan bukannya terhad kepada etnik masing-masing. “Kita dahulu percaya benda ini bagus untuk kita semua dan dapat dijayakan, tetapi setelah hampir 60 tahun, kita lihat perkara ini tidak berjaya pun. Jadi, kita harus ubah suailah,” kata beliau.
MINGGUAN: Selepas 58 tahun merdeka, bagaimana Datuk melihat perpaduan rakyat Malaysia yang majmuk ini?
KOK SEONG: Tidak begitu baik, terutamanya di Semenanjung ini. Kalau istilah yang saya gunakan, cuma perpaduan sosial dan sosial itu pun kita berpaut sahaja. Kita dapat lihatlah peristiwa “Low Yat”, baju kuning dan baju merah. Nampak sangatlah bahawa perpaduan kita itu tidak utuh tetapi berpaut sahaja. Apabila ada angin kencang sedikit, cepat sangatlah terlepas.
Perpaduan yang paling baik ialah perpaduan peringkat psikologi. Contohnya seperti Baba Nyonya di Melaka dan Cina Peranakan di Kelantan. Nampak di situ mereka sanggup mengidentifikasi diri mereka dengan kaum Melayu seperti dondang sayang, dan berpantun pun pandai. Di Kelantan pula, mereka fasih berbahasa Melayu. Tahap begitulah seelok-eloknya.
Perpaduan hendak kata tidak ada, sebenarnya ada tetapi sangat lemah. Maksudnya, sepatutnya setelah hampir 60 tahun merdeka, perpaduan itu lebih utuh daripada sekarang. Tetapi nampak sekarang, hubungan etnik kita semakin mencapah dan besar jurangnya.
Pada pandangan dan pengamatan Datuk sendiri, kenapa keadaan ini boleh berlaku?
KOK SEONG: Banyak sebab. Antara sebab yang boleh dikatakan utama dan tidak mahu dibincangkan oleh banyak orang ialah saluran pendidikan. Sebab pendidikan ini, di mana-mana di dunia pun, bukan sekadar untuk memandaikan anak bangsa tetapi menyatukan anak bangsa. Memandaikan anak bangsa itu satu tujuan pendidikan tetapi di mana-mana pun, di samping itu, hendak juga menyatupadukan anak bangsa bagi membentuk negara bangsa yang lebih bersatu padu.
Apakah keadaan ini berlaku kerana negara kita membenarkan sistem pendidikan sekolah pelbagai aliran? Datuk sendiri menyebut terdapat tujuh jenis sistem pendidikan sekolah rendah dan ini menjadi “duri” yang menghalang penyatuan pelbagai kaum di Malaysia.
KOK SEONG: Ada orang kata tidak. Tetapi saya melihat sebagai ya. Buktinya beginilah, kita lihat anak-anak muda kita memperlihat polarisasi kaum. Jadi, di sekolah kita dapat lihat anak-anak Melayu sesama Melayu, Cina sesama Cina dan India sesama India. Inilah polarisasi kaum dalam kalangan orang muda di sekolah. Jadi, sudah tentu dasar dan sistem pendidikan itu ada kena- mengena.
Takkan kita hendak kata dasar pertahanan atau pertanian yang menyebabkan keadaan ini berlaku. Mesti, apabila anak bangsa di peringkat sekolah memperlihat gejala sedemikian, logiknya kita lihat balik dasar dan sistem pendidikan kita. Semua tahu dasar dan sistem pendidikan kita ada pelbagai. Kalau di sekolah rendah itu ada tujuh jenis.
Dari satu segi, kita bangga dan kita memberitahu dunia, sistem pendidikan kita paling demokratik dengan memberi pilihan paling luas kepada ibu bapa tetapi nampaknya sistem ini tidak membawa kita ke mana-mana terutama dalam aspek menyatu padukan anak bangsa.
Sebab, sistem kita yang pelbagai ini terutama yang tujuh jenis di sekolah rendah dan sebelum itu di tadika (prasekolah), menggalakkan pengasingan etnik berlaku di usia yang cukup muda. Sepatutnya kita ada penyatuan etnik daripada usia muda. Pepatah ada mengatakan kalau hendak melentur buluh biarlah daripada rebung.
Jadi, pada waktu rebung itu, kita sudah mengamalkan pengasingan etnik bermula dari tadika kepada sekolah rendah. Apabila di sekolah menengah, tidak begitu menjadi. Kita lihat polarisasi terus wujud di sekolah menengah, membawa ke institusi pengajian tinggi (IPT) dan tempat kerja.
Jadi, maksud Datuk sistem sekolah pelbagai aliran ini tidak mampu membentuk negara bangsa?
KOK SEONG: Dahulu kita percaya boleh, kepelbagaian itu kekuatan kita dan kita yakin boleh. Tetapi setelah hampir 60 tahun merdeka, nampak polarisasi kaum itu begitu nyata. Di sekolah rendah, kemudian bawa ke sekolah menengah, bawa ke IPT dan tempat kerja. Jadi nampak sangat. Saya rasa sudah sampai masanya, kalau kita betul-betul ada semangat kebangsaan dan patriotik, semua pihak harus berjiwa besar. Kita lihat kembali sistem pendidikan kita.
Di mana-mana negara di dunia pun, tidak diamalkan sistem pendidikan yang pelbagai ini, tetapi hanya ada satu sistem. Demografi kita majmuk dan ini sama dengan Singapura. Apabila melibatkan bidang pendidikan, Singapura tidak mahu majmuk tetapi hendak satu sahaja. Maksudnya, Singapura mengamalkan dasar asimilasi dalam pendidikan iaitu satu aliran. Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia pun begitu juga. Boleh kata hampir semua tempat di dunia, sistem pendidikannya hanya satu aliran sahaja.
Sekiranya sistem pendidikan satu aliran dilaksanakan di Malaysia, apakah ia dapat menjamin wujudnya perpaduan dalam kalangan rakyat?
KOK SEONG: Kalau kita lihat di negara-negara yang mengamalkan sistem pendidikan satu aliran, kerana acuannya satu, kita dapat lihat anak-anak muda mendukung jati diri nasional yang sama. Ambil sahaja contoh Singapura, sama ada anak muda itu Melayu, Cina atau India, semua anak muda itu mendukung aspirasi dan jati diri Singapura iaitu identiti kosmopolitan, moden dan sebagainya sebab acuannya sebegitu.
Tetapi anak-anak muda kita, dapat lihat walaupun warganegara namanya tetapi ada yang tidak dapat berbahasa negara (Melayu) dan ada tidak faham nasionalisme. Tidak banyak mengetahui hal-hal negara tetapi hanya banyak mengetahui hal-hal bangsa mereka.
Kalau kita lihat Singapura melaksanakan sistem pendidikan satu aliran ini selepas negara itu mencapai kemerdekaan. Apakah Datuk fikir kita masih belum terlewat untuk mengubah sistem yang sudah berjalan sekian lama ini?
KOK SEONG: Ya dan tidak. Hendak kata lewat pun, memang sudah lewat pun. Apabila kita merdeka dahulu, kita memerintah sendiri tetapi mengapa kita harus perlu teruskan legasi penjajah dahulu? Mungkin penjajah dahulu mewujudkan sistem sedemikian, ada agenda dan matlamat penjajah. Apabila kita merdeka, kita harus memikirkan acuan kita sendiri iaitu satu jenis persekolahan yang kita gabungkan pelbagai kelainan itu.
Di Singapura, bahasa Cina wajib lulus oleh anak-anak Singapura. Maksudnya, bahasa Melayu, Cina dan Tamil wajib lulus peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau O-Level. Kalau tidak lulus, anak-anak Singapura tidak boleh menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) Singapura tetapi di IPT swasta. Jadi, diikat sebegitu rupa. Maksudnya, kita pun boleh fikir.
Datuk ada cadangkan supaya sistem sekolah swasta, persendirian Cina, sekolah antarabangsa dan belajar di rumah dimansuhkan manakala sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan dan agama digabungkan dalam sekolah satu aliran. Boleh Datuk huraikan lebih lanjut?
KOK SEONG: Maksudnya sekarang kita ada tujuh aliran di peringkat sekolah rendah. Sekolah kebangsaan menggunakan bahasa Melayu, sekolah jenis kebangsaan ada yang Cina dan Tamil, sekolah agama, sekolah swasta, sekolah persendirian Cina yang ada 60 buah itu, sekolah swasta dan belajar sendiri di rumah. Sekolah kebangsaan membekalkan pendidikan nasional. Sekolah vernakular membekalkan pendidikan etnik Cina dan India.
Sekolah swasta membekalkan pendidikan elit atau eksklusif iaitu orang kaya sahaja boleh pergi. Sekolah persendirian Cina, nama pun sendiri. Sukatan pelajarannya sendiri, sistem peperiksaannya sendiri dan tidak ada kena-mengena dengan sistem nasional. Sekolah antarabangsa kita tahu, kalau sukatan pelajarannya dari Amerika Syarikat (AS), maka itulah kiblatnya.
Dan belajar sendiri di rumah ini, di mana sosialisasi dan bagaimana hendak bergaul dengan orang? Jadi, kalau kita tengok, barang kali ada dua sahaja yang penting di sini, iaitu sekolah vernakular dan sekolah agama. Jadi, kita adakan satu sahaja iaitu sekolah kebangsaan.
Apa sahaja yang ada di sekolah agama itu, kita gabungkan di sekolah kebangsaan. Apa-apa yang ada pada sekolah vernakular Cina dan Tamil, kita gabungkan dalam sekolah kebangsaan. Sekolah swasta dan persendirian Cina itu sudah tidak perlu. Jadi, sekolah kebangsaan kita mengambil kira aspek agama Islam serta aspek vernakular Cina dan Tamil.
Mungkin orang kata mana cukup masa. Kita wujudkan sistem satu sesi. Di mana-mana di dunia pun, biasanya sekolah satu sesi. Bermula 7.30 pagi dan habis pukul 3 atau 4 petang. Masa panjang. Maksudnya, kita perlu fikir satu jalan yang baik untuk semua. Kita semua harus berjiwa besar tidak kira orang Melayu, Cina atau India.
Pada pandangan Datuk, apakah sekolah satu aliran ini masih perlu mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar atau menggunakan bahasa Inggeris seperti Singapura?
KOK SEONG: Sudah semestinya bahasa pengantar utamanya adalah bahasa Malaysia atau bahasa Melayu. Di dalam itu, diajar bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan Tamil. Kalau hendak bawa masuk bahasa lain pun tidak apa seperti Telugu, Malayalam, Punjabi dan etnik di Sabah dan Sarawak. Kita gabungkan. Agama Islam pun ada dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Maksudnya, kita ada sejenis sekolah sahaja. Hendak tutup sekolah jenis kebangsaan dan agama memang susah sebab sudah lama wujud dan akan menimbulkan kemarahan. Tetapi sekolah swasta itu memang tidak perlu sebab mereka cuma buat duit sahaja. Sekolah persendirian Cina pun tidak perlu. Kenapa perlu sekolah sendiri-sendiri yang tidak menggunakan sukatan pelajaran kebangsaan, sistem peperiksaan pun sendiri kononnya ambil dari Taiwan. Kenapa anak negara kita perlu belajar korikulum AS atau Australia.
Apakah tindakan menutup sekolah swasta dan persendirian Cina ini dibenarkan oleh undang-undang?
KOK SEONG: Dari segi perundangan itu mungkin rumit sedikit. Tetapi kalau kita berjiwa besar, yang utama sekali kita dapat lihat setelah hampir 60 tahun merdeka, perpaduan kita tidak ke mana, sebaliknya berpecah semakin teruk. Sepatutnya kita satukan dan jurang itu semakin kecil tetapi kini jurang itu semakin besar. Saya kira sudah sampai masanya, hendak tunggu bila lagi?
Kemajuan negara pun sangat bergantung kepada perpaduan ini. Sekarang sepatutnya sudah tiba perspektif bangsa Malaysia, bukannya bangsa Cina atau Melayu. Kita harus ingat, walaupun perspektif bangsa Malaysia, kerana kontrak sosial kita dahulu kaum Melayu adalah kaum dominan dan majoriti. Sebagai kaum majoriti, segala skima negara mengguna pakai nilai dan norma Melayu. Namun begitu skima bukan Melayu tetap diserap dan ini tidak ada masalah kerana kontrak sosial sudah begitu.
Ada pihak menegaskan kepelbagaian sistem pendidikan ini tidak boleh diubah kerana perkara ini dipersetujui oleh semua kaum ketika hendak mencapai kemerdekaan dan inilah acuan Malaysia. Komen Datuk?
KOK SEONG: Kita dahulu percaya benda ini bagus untuk kita dan dapat dijayakan tetapi setelah hampir 60 tahun, kita lihat benda ini tidak berjaya pun. Jadi, kita harus ubah suailah. Dari segi sistem pendidikan, kita harus lihat tidak ada negara lain di dunia membenarkan pelbagai aliran wujud sekali gus dan acuannya pelbagai. Nampak sangat ia tidak membawa kita ke mana. Jadi, mengapa kita perlu mempertahankannya?
Kita lihat sahaja Singapura, kepimpinannya Cina dan mereka dapat lihat bahawa dengan mengggunakan sistem sekolah pelbagai ini tidak ke mana. Jadi mereka memilih satu aliran sahaja dan oleh sebab aspirasi negara mereka lain, maka bahasa yang mereka pilih itu lain. Jadi, kita akan pilih bahasa Melayu yang dipersetujui. Kita tidak tinggalkan bahasa-bahasa lain tetapi terus gabungkan ke dalam sistem nasional kita.
Kalau ambil contoh di Singapura, berlaku bantahan besar-besaran daripada pejuang bahasa terutama orang Cina apabila Presiden Singapura ketika itu, mendiang Lee Kuan Yew mahu menutup sekolah-sekolah berasaskan perkauman. Keadaan ini juga sudah tentu berlaku di Malaysia jika tindakan sama hendak dilakukan oleh kerajaan kerana kaum bukan Melayu akan rasa mereka akan hilang jati diri, identiti dan budaya etnik.
KOK SEONG: Identiti etnik ini bukan bergantung kepada sekolah. Ia bergantung kepada banyak benda lain yang kaum Cina dan India boleh bangunkan untuk identiti etnik. Kita dapat lihat Kuan Yew ada keberanian politik walaupun dibantah. Tetapi nampak di Malaysia, kita tidak ada keberanian politik itu. Bukan kerajaan kita tidak ada keberanian politik langsung.
Ada, kalau kita lihat pelaksanaan pada cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dibantah dan ada pihak minta supaya ditangguhkan dahulu kerana keadaan ekonomi tidak baik tetapi kerajaan berani teruskan. Kita tengok dalam keberanian itu ada masalah tetapi sekarang seperti sudah boleh diterima. Jadi, kalau ada keberanian dalam sistem pendidikan, mungkin bantahan itu hebat tetapi kita semua perlu berjiwa besar. Maksudnya semua pemimpin Cina, India dan lain-lain perlu melihat masa depan negara.
Banyak pihak terutama pemimpin politik tidak berani menyentuh tentang sekolah pelbagai aliran ini, sebaliknya mempertahankan kewujudannya kerana risikonya terlalu besar kepada parti politik dan boleh menggugat hubungan antara kaum. Pandangan Datuk?
KOK SEONG: Kita tengok tidak ramai ahli politik hendak bercakap tentang sekolah satu aliran. Yang berani itu baguslah. Kita dapat lihat dalam waktu singkat apabila Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau telah menyuarakan kecenderungan kepada sekolah satu aliran. Beliau ahli politik. Kalau kita tengok (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Seri Abdul Wahid Omar, beliau berani tetapi dari satu segi kita dapat lihat beliau bukan ahli politik. Macam saya bukan ahli politik, lantang bercakap.
Tetapi rata-rata ahli politik sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang, tidak berani bercakap sebab boleh menjejaskan karier politik mereka. Ini kerana masyarakat pada masa ini, rata-rata tidak nampak kebaikan sekolah satu aliran dan taksub dengan sekolah pelbagai aliran. Mereka takut jati diri etnik akan hilang. Jati diri etnik tidak akan hilang sebab bukan dihapuskan tetapi dikekalkan dalam bentuk sebaik-baik mungkin. Macam Singapura lakukan, anak-anak Cina wajib lulus bahasa Cina.
Kalau kerajaan tidak ada keberanian politik dan terus membenarkan sistem pendidikan pelbagai aliran ini, apakah yang mungkin akan berlaku di negara ini dalam pada masa hadapan, mungkin 10 tahun akan datang?
KOK SEONG: Kalau sistem itu melahirkan apa yang wujud sekarang, sudah tentu kalau kita terus mengamalkannya, perpaduan tidak wujud dalam bentuk lebih baik dan hanya pada kadar sekarang sahaja yang didakwa berlaku dalam keadaan tidak begitu utuh kerana sistem pendidikan. Ada macam teori bahasa yang mengatakan, negara yang membenarkan penggunaan lebih daripada satu bahasa sebagai bahasa utama, negara itu didapati kurang berjaya menyatu padukan rakyat.
Kalau kita lihat keadaan sekarang, kita membenarkan empat bahasa utama dibenarkan iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil. Dan nampak kita tidak begitu berjaya menyatukan rakyat. Negara yang menggunakan satu bahasa utama didapati lebih berjaya menyatu padukan rakyatnya. Jadi, sistem pendidikan menggunakan satu bahasa utama sahaja iaitu bahasa Melayu dan didukung oleh bahasa Inggeris selaku bahasa antarabangsa dan bahasa-bahasa ibunda dan etnik yang lain.
Memang terbukti di dunia, daripada dahulu sehingga sekarang, bahasa boleh menyatukan ummah atau bangsa. Kalau dahulu di China, Maharaja Shih Huang Ti menggunakan bahasa dalam pengertian sistem tulisan yang sama bagi menyatu padukan kaum Cina yang berpuak-puak kerana bahasa mereka tidak difahami antara satu sama lain.
Tetapi dengan menggunakan sistem tulisan sama, kaum Cina bersatu padu. Tengok Indonesia, satu bahasa dapat menyatu padukan semua rakyat. Negara Thailand pun sama, sehingga orang Melayu di selatan Thai pun sudah tidak boleh berbahasa Melayu. Maksudnya, pembentukan negara bangsa itu berjaya melalui bahasa. Kita tidak begitu berjaya sebab kita membenarkan penggunaan lebih daripada satu bahasa.
Cadangan untuk mewujudkan sekolah satu aliran itu bukan perkara baharu. Ia sering timbul apabila wujud masalah dalam hubungan antara kaum tetapi tidak pernah dibincangkan secara serius. Komen Datuk?
KOK SEONG: Ia hangat sekejap sahaja. Nampaknya kita tidak ada keberanian politik. Kerajaan yang memerintah pun tidak sanggup melakukannya dan yang berhasrat memerintah pun, saya rasa tidak sanggup melakukannya. Apa yang kita boleh buat sekarang ialah kita manfaatkan sistem yang pelbagai ini. Kita cari jalan terbaik.
Bukan tidak ada usaha daripada pihak kerajaan. Kerajaan sudah cari jalan. Tetapi nampaknya setiap kali Kementerian Pendidikan cari jalan untuk kita manfaatkan yang ada sekolah Cina dan macam-macam ini, ada pihak yang membantah. Sebagai contoh pada 2011, kita sudah mula dalam sistem pendidikan sekolah rendah itu, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kita mulakan dengan satu sistem seragam. Hendak seragamkan kurikulum di sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan tetapi tidak berjaya.
Contoh, hendak seragam sukatan pelajaran Bahasa Melayu, yang di sekolah kebangsaan tidak sama dengan yang di sekolah jenis kebangsaan tetapi tindakan itu ditolak oleh kaum Cina dan India. Maksudnya mereka curiga dan balik kepada perasaan tidak percaya ini. Mereka fikir ada agenda politik daripada orang Melayu untuk memelayukan anak-anak Cina dan akhirnya mengislamkan anak-anak Cina.
Sebelum itu pun kita ada Sekolah Wawasan dan ada pihak yang bantah iaitu kaum Cina. Sekolah Wawasan itu tiga pentadbiran yang berlainan dan hanya wujud sebelah menyebelah sahaja, berkongsi padang permainan, kantin sekolah dan macam-macam lagi supaya ada integrasi antara murid. Di situ pun sudah nampak orang-orang tua ini tidak mahu dan hendak sekat. Mereka fikir ini ada agenda licik untuk memelayukan dan mengislamkan anak Cina. Sampai ke situ mereka fikir.
Cina Malaysia mesti jadi Cina Malaysialah. Dalam diri mereka mesti ada komponen Melayu sebab Melayu kaum dominan. Cina Malaysia mesti bezakan diri mereka dengan Cina di Hong Kong dan Taiwan. Takkan kita hendak struktur itu lagi. Itu zaman dahulu.
Kalau kita tengok orang bukan Melayu sama ada Cina atau India di Malaysia yang fasih berbahasa Melayu, kita nampak sikap positif mereka terhadap bahasa dan bangsa Melayu. Yang tidak fasih ini ada sikap negatif. Kita dapat fasihkan bahasa Melayu anak-anak kita melalui sekolah satu aliran. Mereka yang bersekolah di sekolah vernakular memang tidak fasih berbahasa Melayu. Apabila fasih kita nampak sikap mereka lain seperti boleh ajak berunding dan toleransi. Apabila mereka fasih bahasa Melayu, mereka tahu budaya Melayu. Apabila tahu budaya Melayu, tidak ada salah konsep dan stereotaip serta benci membenci dan tidak ada kejutan budaya.
Utusan

06 Januari 2016

Isu Program Dwi-Bahasa: 'Sakitnya di kepala, kenapa diberi ubat cirit?' - Gapena

Isu Program Dwi-Bahasa: 'Sakitnya di kepala, kenapa diberi ubat cirit?' - Gapena
Beberapa NGO termasuk Persatuan Penulis Nasional (Pena), Majlis Perundingan Melayu, Gerakan Mansuh PPSMI, ABIM, MBM dan Perkasa tampil membantah program DLP. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Langkah yang diperkenal kerajaan dalam mengatasi masalah penguasaan Bahasa Inggeris menerusi pengenalan Program Dwi-Bahasa (DLP) umpama memberikan ubat yang salah kepada penyakit yang dihidapi.


Menurut Ketua II Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Datuk Zainal Abidin Borhan, pelaksanaan program itu bukan sahaja tidak berkesan dalam meningkatkan penguasaan dalam bahasa tersebut, malah membawa kesan yang lebih teruk di mana pelajar sukar memahami dengan sebenar-benarnya konsep sains dan matematik yang diajarkan.



"Kami tidak menolak Bahasa Inggeris, kami mahu semua rakyat Malaysia fasih berbahasa Inggeris. Tapi kalau sakitnya di kepala, kenapa diberikan ubat cirit birit? Kalau masalahnya kefasihan dan ketrampilan berbahasa Inggeris, kenapa diajarkan Bahasa Inggeris dalam sains, matematik, fizik, kimia dan sebagainya?



"Malah ia juga melanggar wasiat Raja-Raja Melayu dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 152 yang memperjelaskan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi," jelas Zainal Abidin dalam satu sidang media bersama gabungan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).



Selain itu, program di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2016 di Parlimen pada Oktober itu juga dilihat berat sebelah dan tidak menyeluruh.



"Berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan kementerian, DLP ini hanya dilaksana di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan. Kenapa ia tidak pula di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK)?" soalnya.



"Ia hanya akan memburukkan keadaan. Murid akan semakin keliru, akhirnya membawa kepada kegagalan menterjemah konsep asas dalam sains dan matematik selain terus gagal menguasai Bahasa Inggeris.



"Penguasaan dalam pelbagai bidang, termasuk sains dan matematik tidak akan berjaya sekiranya program ini digunapakai. Hasil kajian UNESCO mendapati sebaiknya pengajaran dan pembelajaran di sekolah dalah menggunakan bahasa ibunda," tegas Zainal Abidin.



Ekoran itu, beberapa NGO termasuk Persatuan Penulis Nasional (Pena), Majlis Perundingan Melayu, Gerakan Mansuh PPSMI (GMP), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) tampil membantah.



Namun menurut Pengerusi GMP, Profesor Emiritus Dr Shaharir Mohamad Zain, beberapa usaha untuk berunding dengan pemimpin terlibat, termasuk Menteri Pendidikan, menteri-menteri Kabinet serta pemimpin UMNO untuk memansuhkan, atau setidak-tidaknya menangguhkan pelaksanaannya supaya ia dapat diperhalusi dan disemak semula, gagal mendapat sebarang reaksi.



"Kami merasakan sekurang-kurangnya terkilan atau lebih dalam lagi mungkin dukacita setakat ini dengan tindakan kerajaan yang tidak mempedulikan isu ini walaupun begitu banyak pihak telah menyampaikan hasrat untuk berunding.



"Oleh sebab itu, kami sebulat suara untuk mengadakan satu bantahan besar-besaran, tunjuk rasa dengan berhimpun sebagai protes terhadap pelaksanaan program ini," maklum Dr. Shaharir.



Perhimpunan itu dirancang diadakan di seluruh negara pada 26 Mac ini sekiranya usaha rundingan masih menemui jalan buntu.


"Kami akan terus berusaha untuk menerangkan keburukan pelaksanaan program ini kepada orang ramai, pada masa sama cuba mengajak pihak-pihak berkaitan yang berkuasa untuk berbincang. Tapi andai sehingga hujung Februari ini usaha kami gagal, perhimpunan itu sebagai langkah akhir kami," jelasnya.



Pada masa sama, satu memorandum bantahan akan diserahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk disampaikan kepada Yang DiPertuan Agong, selain rancangan untuk mohon menghadap Sultan Perak untuk berbincang isu ini.



DLP dilaksana dalam mata pelajaran sains, matematik, teknologi reka bentuk dan teknologi komunikasi dan informasi (ICT) kepada pelajar Tahun 1, Tahun 4 dan Tingkatan 1 di 300 buah sekolah bermula sesi baru Januari 2016.

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...