25 Julai 2012

Kelkatu

mengembara bersama gerimis malam

terbang bersama kelkatu

berlumba-lumba

terbang ke arah

cahaya

semata-mata untuk

memusnahkan diri

membakar jiwa

ke dalam api.


kata mereka itulah tandanya

lebur bersama keesaan;

namun kutakut

diriku lebur

dalam kebinasaan.


kuharap maghfirah-Mu, Rabb!

20 Julai 2012

Siapa Yang Tidak Berdosa?

Ke hadapan Aku yang dikasihi,


Assalamualaikum w.b.t. Apa khabar diriku sekarang? Sudah lama kita tidak berutus surat. Saya memohon kemaafan kerana baru hari ini saya berkesempatan membalas surat diriku. Memang benarlah kata diriku : silatulrahmi itu seumpama benang tergumpal - jika tidak diurai selamanya ia terpintal.

Saudara Aku yang dekat di hati;

Warkah syahdu saudara kepada al-Khaliq mungkin telah sampai kepada-Nya. Bagaimana perasaan saudara sekarang? Masihkah air mata keinsafan mengalir dari bibir mata saudara yang bening itu? Ataukah saudara sudah melupakannya di sebalik hitaman kening nafsu yang menderu? Sesungguhnya kita ialah hamba-Nya. Ayat-ayat taubat yang dikarang mungin tidak terbaca oleh-Nya; namun bisikan-bisikan nasuha yang melingkari atma itulah yang didengar Khaliq. Memang mudah untuk melafazkan kata lewat lidah tak bertulang; namun sukar menitipkan dendam lewat nafsu mutmainnah.

Aku yang dikasihi;

Sesekali daku terkesima mendengar bicaramu ketika bulan mengirimkan cahaya teduhnya. Alangkah indah khabar diriku yang kaukirimkan kepadaku. Sungguh, betapa nikmat itu tidak mengenal siapa - kerana pemberinya tidak pernah melihat rupa, minda malah agama. Bukankah Dia juga yang menciptakan itu semua? Cuma sesekali teringat ketika bicaramu, dulu - wahai Aku - diri ini terasa hairan. Rupa-rupanya, ketika dikau, wahai Aku, mendebarkan rindu kepada dedap yang merah, aku turut hanyut bersamamu. Peliknya kita, mengutip dedap di jalanan, meninggalkan kasturi di pergunungan; mengutip kerikil di tepian, meninggalkan permata yang bergemerlapan. Namun, Aku, daku juga sepertimu. Sering terkesima dengan cahaya di ufuk barat, sedang cahaya hati yang menyinar tidak dituangi zaitun!

Duhai Aku yang tersayang;

Tuhan menyayangi dirimu. Diberikan peringatan dalam rupa manusiawi. Dia begitu Agung melimpahkan maghfirah - ditambahkan dengan tangan manusia : kerana manusia 'mampu melupakan', tetapi jarang sekali memaafkan. Kerana itulah dikirim peringatan, bahawa hanya Dia yang bisa mengampunkan - sedang insan sentiasa di sekeliling kita, sedia untuk memperingatkan! Kerana itu, duhai Aku yang tersayang : dekatkan diri kepada-Nya, ceritakanlah dengan air mata atma, bukan dengan nada bangga kepada mahkhluk-Nya. Bukan bibir yang bersuara, tetapi biarkan kalbu yang berduka. Kerana bukan hanya bulan yang bisa bicara, tetapi manusia juga bisa bersuara. Bukan bintang menjadi saksi, tetapi malaikat pencatat diari.


Wahai Atmaku;

Sepantun kata sudah terucap, segumpal hati sudah bicara. Terima kasih, wahai Aku kerana mengingatkanku, dalam rupamu.

Yang Ikhlas,

Aku.

p/s : http://alhawari21.blogspot.com/2012/01/taubat.html

18 Julai 2012

menang dan kalah

Agak banyak pertandingan yang saya ikut sejak beberapa bulan ini. Selain ikut perkembangan saya juga terlibat secara langsung dengan pertandingan kebahasaan, khususnya Pidato Piala Diraja. Tanpa menyebut pertandingan - pertandingan lain, saya berhasrat memutar kembali jarum niat dan maksud peserta dan guru. 

Saya tidaklah begitu kecewa dengan kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh pasukan sekolah. Bukan sebab saya bukan jurulatih mereka, namun bak kata orang : pengalaman mematangkan kita. Jika dulu, saya antara orang yang akan sibuk menyuarakan perasaan tidak puas hati apabila pasukan kendalian saya atau rakan-rakan kalah. Pada mata saya, pasukan saya ialah pasukan terbaik. Kemudian saya temui sesuatu - saya kekurangan ilmu, dan saya memberikan ilmu yang tidak seberapa kepada para pelajar saya. Saya mengharapkan hasil yang terbaik daripada pengajaran yang tidak seberapa. Peliknya manusia....

Dengan itu, saya menambahkan ilmu. Menggagahkan diri mencari pengalaman. Alhamdulillah, usia mematangkan jiwa. Pengetahuan ditambah dengan pengalaman meyakinkan saya bahawa dengan usaha dan kesungguhan, pelajar saya akan berjaya. Namun sayang seribu kali sayang. Usaha dan kesungguhan - serta tawakal ke hadrat Ilahi masih belum mencukupi. Sesekali menang menjadi pengubat hati, tetapi banyak kali tewas pada saat memerlukan kemenangan. Walaupun tidak lagi memprotes, tetapi memberi semangat - kepada diri dan anak-anak murid (mungkin bentuk 'semangat' tu beza sikit :-) ) - tertanya-tanya juga saya :: mengapa masih belum berjaya?

Meniti waktu, saya tertanya-tanya sendiri. Tercari-cari jawapan. Satu persoalan muncul di sanubari : Sebenarnya mengapa aku melatih mereka ini. Mengapa aku 'meninjau' dari jauh (dan dekat) mereka semua ini. Untuk apa mereka menyertai pertandingan ini? Untuk piala? Sijil? Atau nama SBT? 

Niat menjadi faktor utama. Sering kali harapan untuk kemenangan mengabui mata dan fikiran. Alangkah salahnya! Hakikatnya, sering diperingatkan (oleh bekas-bekas pelajar yang pernah kubawa menyertai pertandingan) bahawa mereka bangga pernah menjadi sebahagian daripada pasukan sekolah. Bukan kerana menang dan mendapat nama, tetapi mereka memperoleh pengalaman dan keyakinan diri. Syukur, ramai bekas peserta (khususnya pembahas dan pemidato) menyedari apa-apa yang telah dilalui oleh mereka sepanjang menyertai pertandingan itu memberi mereka keyakinan, kekuatan semangat dan merasai nilai dan erti kehidupan. Syukur, mereka celik akal, terbuka minda, tenang jiwa selepas usai persekolahan. Persoalan yang sering mencabar minda mereka menjadi pembuka minda kepada mereka. Syukur. Walaupun belum ada yang menjadi menteri dan tokoh koroporat mahupun orang politik, namun saya bersyukur : mereka menjadi orang walaupun belum 'seseorang'. 

Jadi, apa lagi yang dimahukan?

p/s : Tahniah Mohd Badrulanas Adenan - walaupun tak menang pidato Diraja peringkat negeri, namun usaha untuk itu sudah menjadi satu kemenangan kepada saya, teruskan usaha (opsss...ucapan pelik drp saya - bukan buang tebiat, yer!) :-D

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...