22 April 2012

Menjana Insan Syumul

3 hari 2 malam Kursus Kepemimpinan Lembaga Kepimpinan Pelajar SBPI Kubang Pasu dijalankan. Alhamdulillah, walaupun dengan hanya dua orang urus setia (saya dan Ustazah Jailah), program ini berlangsung dengan lancar. Moto "Berhikmah Memimpin" telah diterapkan secara langsung dan tidak langsung melalui konsep 'anda buat untuk anda, demi anda'. Kursus yang dijalankan di Putri Ayu Chalet & Training Centre, Yan pada 19 - 21 April 2012 ini meminimumkan penglibatan orang luar, tetapi memaksimumkan potensi para pengawas sendiri untuk menyerlahkan daya kepemimpinan, kreativiti, dan semangat setia kawan dalam kalangan mereka. Hanya dua penceramah 'luar yang dalam' dijemput : mantan Pengetua SBPIKP - Pn, Hjh Rubiyah; dan mantan kaunselor - yang kini bertugas di SMK Arau - Pn. Ropizah.
Ucaptama "Hala Tuju Pelajar SBPI Kubang Pasu" oleh En. Malek Abu Hasan, PK HEM
Ceramah "Kepimpinan Islam Menjana Transformasi" oleh Pn, Hjh Rubiyah Haron, mantan Pengetua SBPIKP

Kursus ini direka bentuk khusus untuk memastikan para pengawas bukan sahaja menyedari bakat dan potensi mereka, bahkan turut mencabar minda mereka untuk menghasilkan pelan tindakan mereka sendiri untuk merekayasa organisasi kepengawasan agar lebih efektif pada masa hadapan. Oleh sebab itulah, pada akhir kursus ini diadakan sidang pleno untuk mereka menghimpun segala idea dan harapan mereka terhadap organisasi LKP dan pihak sekolah demi memastikan Lembaga Kepimpinan Sekolah akan bergerak secara holistik, seiring dengan matlamat menjana insan syumul menjelang 2015.

Dalam menjayakan program sebegini, sebenarnya perancangan yang jelas dan dalam tempoh masa yang sesuai diperlukan. Mungkin itulah kekurangan pengendalian kursus ini apabila peserta - merangkap penggerak program tidak dimaklumkan lebih awal tentang tugas dan fungsi mereka. Hal ini menyebabkan kekangan dalam pengendalian program, khsususnya dari segi penyediaan bahan dan persediaan mental. Walau bagaimanapun, kekurangan yang sedikit ini tidak menghalang mereka melakukan yang terbaik untuk menjayakan kursus ini.

Sesi Riadah

Merunut Hutan

Merentas sungai

Sekalung tahniah dan syabas kepada semua pengawas yang telah menjalankan dan menjalani kursus ini dengan jayanya. Kelemahan yang ada - sedikit sahaja - boleh diperbaik untuk kejayaan pada masa hadapan. Terima kasih kepada urus setia, Ustazah Jailah yang sanggup membantu dengan terpaksa meninggalkan keluarga pada hujung minggu semata-mata untuk melihat program ini berjaya. Terima kasih kepada GK Kemanusiaan sekeluarga yang datang menjenguk pada Jumaat - memandu 98 km dari BKH ke Yan. Tidak lupa, kepada En. Malek, PKHEM yang banyak membantu (termasuk memberi ucaptama), PK Pentadbiran, En. Shahadan yang terpaksa meninggalkan padang kriket di KSAH untuk memberi ucapan penutupan, dan tidak lupa kepada Pengetua yang memberi kelulusan untuk program ini walaupun dalam tempoh yang begitu singkat (termasuk meluluskan sejumlah peruntukan untuk program ini). Kepada penceramah, Pn. Hjh Rubiyah dan Pn. Ropizah (dan suami), terima kasih daun keladi.
LDK : Peranan Pengawas dalam Menjayakan Hala Tuju Pelajar SBPIKP

Sesi Penutupan oleh En. Mohd Shadan, PK PentadbiranSBPIKP

Kepada para pengawas, diharapkan kursus ini memberi manfaat untuk memantapkan kepemimpinan di sekolah, dan mengembangkan potensi diri untuk lebih berjaya pada masa hadapan. "Berhikmah Memimpin"


10 April 2012

Tahniah, pasukan MTQ...

Tahniah kepada semua peserta MTQ i-KUPs yang telah menunjukkan kejayaan cemerlang dalam pertandingan MTQ daerah Kubang Pasu. Semua empat peserta i-KUPs berjaya mendapat tempat, iaitu dua sebagai johan (Hafazan Puteri & Nasyid) manakala dua lagi (Tilawah Puteri & Syarahan Putera) berjaya mencapai naib johan. Yang berjaya akan mengikuti pertandingan peringkat negeri di Sungai Petani pada 14 April ini. Semoga kedua-dua wakil i-KUPs berjaya ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Pahang (untuk MTQ), Bagi Festival Nasyid pula, tempatnya masih belum diumumkan. Semoga wakil i-KUPs akan terus mencerahkan negara dengan cahaya kejayaan, insya-Allah!

07 April 2012

... perjuangan bermula lagi.



Bermula awal April lalu, Program Kecemerlangan Akademik diteruskan. Kali ini menyentuh kehidupan ramai pelajar i-KUPs. Kelas Tuisyen dijalankan untuk semua pelajar tingkatan 2, 3, 4 & 5 pada hari persekolahan (menengah atas) dan hari Sabtu. Program pada tahun ini agak perlahan. Dengan tidak mahu mencipta alasan, saya mengakui pelbagai perkara di luar jangka, terutama tugasan yang tidak pernah dijangka - menyebabkan program PKA tahun ini agak kurang teratur. Mujurnya, selepas bulan Mac, kehidupan agak kembali normal (dengan mengurangkan komitmen terhadap beberapa tugas :-D). Harap-harap selepas ini tak adalah tugasan - tugasan ad-hoc yang menuntut komitmen yang melampau.

Namun keluwesan masa itu, sempat jugalah melaksanakan Sambutan Bulan Bahasa Kali ke-8 tahun ini. Tema yang dipilih ialah "Bahasa Memperkaya Budaya". Perasmian dibuat oleh Penolong Kanan yang baharu, En. Shahadan bin Abd Rahman. Majlis perasmian tahun ini sedikit 'meriah' dengan beberapa persembahan : kompang, bunga pahar, silat, dan nasyid. Jika pada tahun - tahun sebelum ini majlis perasmian hanya acara simbolik (memukul gong atau menarik gegantung sambutan), namun pada tahun ini dibuat sedikit kelainan. Selain untuk menyedarkan tentang acara bulan bahasa, sambutan juga disebabkan oleh kedatangan pelajar - pelajar Thailand yang menjalani Kursus Intensif Bahasa Melayu selama dua minggu di i-KUPs,

Oh, tahniah kepada pelajar i-KUPs yang berjaya memenangi pelbagai pertandingan dalam KArnival Pendidikan Islam (MTQ) peringkat PKG Hosba Minggu lepas (1 April). Syarahan (puteri), tilawah (putera), hafazan (putera) berjaya mendapat tempat kedua. Syarahan (putera), tilawah (puteri), hafazan (puteri) dan nasyid (kumpulan) pula berjaya mendapat tempat pertama. Moga-moga dapat mengekalkan kejuaraan dalam pertandingan peringkat daerah esok (7 April) di SMK Bandar Baru Darulaman, Jitra.

Apa-apapun, diharapkan PKA tahun ini berjaya dijalankan dengan sempurna. Dengan itu diharapkan juga peningkatan akademik pelajar SPM dan PMR tahun ini akan mengalami 'lonjakan saujana', khususnya untuk subjek - subjek pilihan :-D

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...