31 Disember 2010

... dan perjuanganpun diteruskan

Selepas tiga hari bermusyawarah di Bilik Mesyuarat al-Syura, sesi terakhir melabuhkan tirainya tengah hari tadi. Membentangkan aktiviti Program Kecemerlangan Akademik 2011 di bawah bayang-bayang suram PMR 2010 sedikit menggoyahkan hati. Bukan takut, tetapi tiba-tiba terfikir : sudah habiskah usaha dilakukan kepada semua anak didik ini? Ataukah mungkin masih ada sisa usaha yang  dipersia, yang bakal dipertanggungjawabkan di hadapan Rabbul Hakim pada hari perhitungan yang tiada sebarang kesilapan berlaku nanti?
“… usahlah Kaubebankan kami dengan bebanan yang tiada tertanggung pada diri kami, ya Illahi!”

Melorot kepada tugas-tugas 2011 terasa agak berat. Dalam azam meningkatkan P&P, mampukah menzahirkan natijah yang manis bagi tugas-tugas lain? Moga-moga diberi kekuatan oleh Rabbul Izzati dalam melungsuri perjalanan hidup ini; dengan penuh ikhlas, dengan penuh istiqamah!
Kepada anak-anak didik di Orators’ League : : maaf, selepas enam tahun bergelumang dengan keringat bersama kalian, saya tidak lagi menakhodai pelayaran kalian ketika cabaran membadai demi sebuah kejayaan yang semakin sukar. Bersama juragan baharu, mungkin bahtera lebih teguh dan kompas lebih benar tujunya, amin!
nostalgia IDC 2009
nostalgia IDC 2009

21 Disember 2010

Sajak untuk Kita

ADIEUS PEDRA BRANCA
(Belasungkawa 23 Mei 2008)

Pada mulanya Singapura
kemudian Pedra Branca
selamat pergi Singapura
selamat jalan Pedra Branca.

Apalah ertinya Pulau Batu Putih
nun jauh ke bawah
luas sekangkang kera
di sisi Singapura di depan mata
luas dan kaya raya.

Semuanya telah menjadi sejarah
seperti sejarah bangsa kita
sebuah pulau yang terra nullius
siapa saja bebas mengapa-apakannya
untuk diinjak atau dinista.

Adieus Singapura
adieus Pedra Branca
adieus Lingua Franca.

Semuanya sejarah berputih mata
pulau, tanah air dan bahasa dijual beli,
dicagar dan tergadai
seperti kita mempercaturkan lidah dan hati nurani
seperti kita melacurkan roh dan harga diri.

Adieus bangsaku
apa lagi yang ada padamu?
Melayu?


Baha Zain
Dewan Siswa, Januari 2010.

19 Disember 2010

"Su" yang terlupakan...

Tiba-tiba teringat akan kesusasteraan yang terbiar sekian lama. Meladeni bahasa sedikit mengikis keindahan "su" pada syair-syair budiman Hamzah Fansuri. Mungkin tragedi 'kan berulang kiranya beliau masih bernafas, seperti golongan Syiah di Selangor. Hamzah diperangi kerana wahdatu 'l-wujudnya, seolah tiada ilmuwan yang bisa mengakalinya, lantas pedang diguna bagi membekukan minda. Di mana lidah penghunus ilmuwan dan agamawan?

Sedikit cuplikan daripada Syair Ma'rifat karya penulis tak bernama dari wilayah Patani abad ke-19 (untuk jiwa yang masih bernayawa):

Tuhan kita itu terlalu nyata
Pada segala ‘arif yang ada bermata
Sungguhpun tas[y]bih padanya serta
Tuhanku tanzih semata-mata

Firman di dalam Qur’an yang ‘ali
Allahu nurul-samawati wa l-ardi
Hapuslah cahaya bulan dan matahari
Ialah cahaya tuhanku rabbi

Allahu akbar yang terlalu ‘iyan
Ialah muhit yang tiada bermakan
Memerintahkan alam pada sekelian zaman
la abadi ‘l-abadi yang tiada berkesudahan

Hei segala kamu talibi ‘l-haq
Yogya kau tuntut wujud mutlak
Jangan kau jauh caharimu anak
Kepada dirimu jua yogya kau selak

Tuhan kita itu amat cemerlang
Pada segala arif billah terus memandang
Cahayanya limpah gilang gemilang
Persihnya sangat terlalu nyarlang

Haq dan makhluk terlalu beda
Makhluk nin hina adanya banyak cela
Dirimu najis laginya fana’
Manakan dapat menjadi baqa’

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...