04 November 2015

ISU BAHASA : Polemik BM-BI tercetus semula?

dipetik daripada blog : Bahasa Itu Indah

ISU BAHASA : Polemik BM-BI tercetus semula?


Oleh : AZMAN ANUAR AZMAN

Menerusi pembentangan Bajet 2016 baru-baru ini kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM135 juta bagi pelaksanaan program Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Bagaimanapun segelintir pejuang bahasa Melayu kembali berasa cuak dengan pendekatan pihak Kementerian Pendidikan yang akan memperkenalkan dua inisiatif baharu iaitu Program Imersif Tinggi (HIP) dan Program Dwibahasa (DLP).

HIP akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat di semua sekolah, manakala DLP diberi pilihan kepada pelajar.

Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang berlangsung pada tahun 2003 dan ditamatkan pada 2009 dianggap tidak dirancang dengan rapi. Sebab itu melalui dasar MBMMBI, kerajaan bertekad mengambil guru-guru yang bahasa ibundanya bahasa Inggeris dari luar negara, dan melatih siswazah yang berbakat menjadi guru bahasa Inggeris yang terlatih.

Kementerian Pendidikan juga menyusun semula kurikulum bahasa Inggeris supaya sesuai dengan budaya Malaysia, menyediakan makmal bahasa yang mempercepatkan penguasaan bahasa Inggeris, dan menyemak kembali pendekatan pedagogi yang lebih dinamik. Langkah-langkah berdaya maju ini diambil supaya dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan berkesan.

Sebab itu kini Kementerian Pendidikan percaya dua program baharu itu di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris bertujuan merealisasikan aspirasi rakyat menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025).

Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof, HIP satu program untuk meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris melalui peningkatan penggunaan dan penguasaan bahasa tersebut dalam komuniti sekolah.

“DLP pula merupakan program pengukuhan bahasa Inggeris yang mana sekolah diberi peluang untuk menawarkan pengajaran dan pembelajaran subjek Sains, Matematik, Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Reka Bentuk dan Teknologi dalam dua bahasa, sama ada bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

“Program yang melibatkan kos sebanyak RM38.5 juta ini sejajar dengan usaha pengukuhan bahasa Inggeris di bawah dasar MBMMBI yang akan dilaksanakan menerusi gelombang dua PPPM 2013-2025,” kata Khair.

Dalam pelaksanaan bagi kedua-dua inisiatif tersebut, sebanyak 300 buah sekolah telah dikenal pasti melaksanakannya sebagai perintis. Pemilihan sekolah tersebut berdasarkan kepada permintaan ibu bapa dan pengetua atau guru besar serta kesediaan sekolah berkenaan melaksanakannya.

Dalam hal ini benarkah semua ibu bapa murid dan pelajar di sesetengah sekolah bersetuju dengan keputusan yang mungkin dibuat hasil mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru yang biasanya dihadiri tidak sampai 50 peratus daripada jumlah ibu bapa dan penjaga yang anak mereka belajar di sekolah itu?

Sebab itu Kementerian Pendidikan digesa mengkaji semula pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) kerana dilihat seolah-olah mengembalikan dasar PPSMI yang dimansuhkan pada 2009.

Gerakan supaya dikaji semula dasar itu dapat dilihat pada 29 Oktober lalu apabila berlangsung pertemuan Meja Bulat Isu Sistem Dwibahasa Pendidikan Negara yang menghimpunkan tokoh penting dalam bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Bau-bau usaha pihak tertentu untuk cuba menghidupkan semula konsep PPSMI sudah dihidu oleh Persatuan Penulis Nasional (Pena) dalam Mesyuarat Agung Tahunannya pada 12 Oktober lalu. Pena menggesa Kementerian Pendidikan tegas mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan dan perlu diutamakan dalam urusan rasmi dan pendidikan. Jadi cadangan mewujudkan DLP hendaklah dihentikan.

Kementerian Pendidikan memang sudah mengambil keputusan untuk menggantikan PPSMI dengan strategi MBMMBI pada 2009. Bagaimanapun keputusan pemansuhan PPSMI tamat pada 2016 bagi sekolah rendah dan 2021 bagi sekolah menengah.

Pilihan

Kalau dilihat dari segi pelaksanaannya, murid yang belajar menggunakan konsep PPSMI masih wujud. Sebab itu usaha menghidupkan PPSMI dari semasa ke semasa diperkatakan terutama melalui ruangan surat pembaca di dalam akhbar berbahasa Inggeris.

Golongan ibu bapa ini bukan sahaja mempersoalkan keputusan yang telah dipersetujui oleh Kabinet, bahkan terus memujuk kerajaan supaya dikembalikan dasar tersebut atau setidak-tidaknya meminta Kementerian Pendidikan memberi kebenaran kepada ibu bapa untuk membuat pilihan bagi anak-anak mereka sama ada untuk meneruskan PPSMI atau memilih dasar MBMMBI.

Alasan utama yang diberikan mengapa mereka tetap memilih PPSMI adalah atas nama ‘demokrasi dan kebebasan yang termaktub dalam Perlembagaan’ yang mana ibu bapa berhak untuk memilih apakah dasar atau aliran pendidikan untuk anak-anak mereka di sekolah.

Sekarang, ke mana hala tuju dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris?

Sebenarnya MBMMBI adalah jalan tengah yang diambil oleh kementerian supaya bahasa Melayu terus diangkat untuk menjadi bahasa ilmu dan bahasa Inggeris tidak ditinggalkan sebagai bahasa antarabangsa.

Pendekatan dwibahasa ini patut disokong dengan mengambil pendekatan yang lebih terancang dari sudut latihan keguruan, aplikasi ICT, makmal bahasa, penyusunan semula kurikulum dan buku teks.

Kepentingan memajukan bahasa ibunda di banyak negara di dunia tidak menjejas keupayaan pelajar untuk maju. Perancis, Jerman, China, Jepun dan Korea Selatan umpamanya memartabat bahasa ibunda, tetapi dalam masa yang sama pelajar China, Jepun dan Korea Selatan dihantar ke Amerika Syarikat, Britain, Australia dan New Zealand untuk menguasai ilmu dalam bahasa Inggeris. Negara ini terus maju kerana dasar memartabatkan bahasa ibunda dan memperkasa bahasa Inggeris dilaksanakan.

Dalam konteks negara kita, para ibu bapa akan berasa berbelah bahagi ke mana arah untuk anak mereka hendak mendapatkan ilmu – di sekolah yang memiliki Program Dwibahasa atau sekolah yang melaksanakan Program Imersif Tinggi. Sudah tentu akan ada kelebihan dan kekurangan pelajar yang memilih salah satu program pendidikan berdasarkan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris ini kelak.

Kita berharap sesetengah pihak di Kementerian Pendidikan tidak melakukan persiapan memperkasa bahasa Inggeris jauh lebih rancak dan dijadikan fokus penting berbanding dengan usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Langkah yang sepatutnya ialah penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan kecekapan dalam menggunakan bahasa Inggeris harus bergerak seiring supaya yang dikejar dapat dan yang dikendung tidak berciciran.

Kecuali jika sekarang semakin menebal keyakinan golongan elit dan pendukung faham liberal orang Melayu yang memiliki sikap mementingkan perniagaan dan dunia korporat yang merasakan bahasa Melayu akan menyebabkan anak mereka ketinggalan.

Sekiranya ada pihak yang meminta supaya ibu bapa dan sekolah diberi pilihan dalam menentukan program baharu MBMMBI ini maka berhati-hati dengan kesan jangka panjang kepada negara. Banyak iktibar daripada pelaksanaan PPSMI.

Apa pun pilihan dibuat hanya akan memberi keuntungan kepada sekumpulan kecil masyarakat elit dan tidak kepada golongan majoriti pelajar. Bakal berlaku jurang dan status sosial yang amat ketara sekiranya perkara itu terjadi.

Terserah kepada pemimpin dan orang Melayu sendiri untuk memperkasakan bahasa ibunda mereka. Adakah orang Melayu masih mempunyai keyakinan terhadap keupayaan bahasa Melayu untuk berperanan sebagai bahasa rasmi, bahasa ilmu, dan bahasa perpaduan negara ini?

Keputusan Kementerian Pendidikan barangkali ada hikmah yang kita tidak nampak. Maka berilah kepercayaan kepada Kementerian Pendidikan untuk melaksana dan memperkasakan sistem pendidikan di negara ini.

Yang penting jangan jadikan polemik BM-BI menyebabkan sistem pendidikan kita kucar-kacir.

Sumber : Utusan Online

Tiada ulasan:

Sang Pembicara

Tempat ketiga! Memang tak terduga, dengan saingan sengit daripada 15 peserta lain, Alia Ummira binti Radzi, pemidato IKUPS, wakil negeri Ked...