Semalam, 24 Oktober 2013 para ahli Lembaga Kepimpinan Pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu diraikan dalam Majlis Hi-Tea yang diadakan di Darulaman Golf & Country Club, Bandar Darulaman, Jitra. Majlis yang bermula sekitar jam 4.00 petang itu dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan amanat oleh Ketua Pelajar i-KUPs, Sdr. Abdul Azim Akmal bin Ismail. Nasihat dan amanat para guru penasihat : En. Zahrul Fuad Yang Razali, Pn. Nor Asmah Keria, Ustazh Jailah Mambong dan En. Ariffin Salleh turut mengambil tempat dalam majlis yang ceria itu. Seterusnya sambil menikmati pelbagai juadah yang istimewa, hadirin disajikan dengan halwa telinga nyanyian oleh Sdr. Farhan & Imran sambil diiringi oleh rintikan hujan. Suasana di perkarangan kelab golf begitu indah dengan hujan renyai-renyai membasahi padang golf dan kolam yang menjadi lokasi majlis.
Majlis yang turut dihadiri oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, En. Malek Abu Hassan (yang turut mewakili Ayahanda Pengetua yang tidak dapat hadir kerana berkursus) ini bertujuan meraikan sumbangan dan bakti para pengawas yang telah setahun bertungkus-lumus membantu para guru di sekolah dan asrama. Selain sijil penghargaan, inilah salah satu cara pihak sekolah menyatakan terima kasih kepada sumbangan mereka. Semoga majlis sebegini menjadi pemangkin untuk pengawas-pengawas tingkatan empat meneruskan sumbangan dan kerja yang lebih baik pada tahun hadapan. Menariknya (buat pertama kali) anugerah Pengawas Paling Popular dan Pengawas Ohsem (ntah apalah diejanya!) turut diberikan kepada 2 pengawas putera dan dua pengawas puteri. Tahniahlah Eiyman, Nabila, Azim & Izyan! :-)
Kepada para pengawas tingkatan lima yang bakal menempuh peperiksaan SPM yang bermula pada 6 November ini (lagi dua minggu!) didoakan semuanya akan memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut. Kami, guru-guru penasihat LKP menharapkan anda semua buat sesempurna mungkin dalam peperiksaan tersebut. Insya-Allah, doa kami akan mengiringi kalian. Kepada pengawas tingkatan empat, silalah bersiap siaga dari segi fizial dan mental bagi meneruskan legasi kepemimpinan abang-abang dan kakak-kakak anda. Ingat, di pundak kalianlah tergalas harapan dan amanah para guru, sekolah dan rakan-rakan anda.
Kepada semua, ingatlah cogan kata LKP : "Berhikmah, Memimpin"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan