13 Mac 2013

Lari Dari Syurga - Pemberontak Muda?

Saya membaca koleksi cerpen (itu yang ditulis pada muka depan buku ini) Lari Dari Syurga yang dihadiahkan oleh salah seorang penulisnya, Pn. Siti Hajar. Catatan ini, walau bagaimanapun tidaklah mengikut hukum dan rumus kesusasteraan, apatah lagi jika dikatakan sebagai kritikan. Tulisan ini lebih menyorot karya-karya dalam koleksi tersebut dari sudut pandang pembaca 'tua'. 'Pembaca tua' kerana saya melihat hasil nukilan penulis 'muda' yang berkobar-kobar di dalamnya.

Seperti tajuk entri kali ini, saya rumuskan lebih 89% karya dalam koleksi ini ialah ekspresi pemberontakan 'orang muda'. Walaupun kebanyakan pemberontakan ini, khususnya kepada agama dan politik telah diluahkan dengan lebih halus dan sinis dalam tahun-tahun 70-an, namun koleksi ini boleh memberikan sedikit gambaran terhadap jiwa orang muda abad ke-21. Cerpen Menteri Bernama Barua sebagi contoh, jelas menampakkan 'kebaruaan' penulisnya apabila dengan lantang menyanggah realiti sosial kini. Canggahan itu sememangnya menarik sekiranya diadun dengan lebih berseni, kerana orang membaca karya untuk melihat aspek keindahannya. Jarang sekali orang membaca karya sastera untuk 'menikmati' suara-suara marah ala penulisan diari peribadi. Cerpen Demi Sebuah Janji yang mengadunkan ketidakpuasan hati terhadap dunia yang semakin kotor ini juga tampak klise dengan isu dan gaya penulisan yang kurang matang. Masalah LGBT yang terpapar dalam Lari Jangan Berhenti juga nampak hambar dan jelas kelihatan sekadar luahan protes anak muda. Mungkin penulis-penulis muda ini perlu bermula di arena yang lebih sihat berbanding dengan menulis secar semberono.

Walaupun begitu, daripada koleksi yang sama, penulisan Khalil Zaini (Dilarikan Cahaya...Entah), Hajar Zainal (Terpedaya Tercalar Terbakar) dan Ahmad Shukri (Perisai Halimunan Tasha) menampakkan hasil penulisan yang 'agak' baik. Walaupun selesai membaca Perisai Halimunan Tasha, terasa seolah-olah membaca karya buah tangan pertandingan penulisan cerpen fiksyen sains, namun tidak salah untuk bermula dengan karya sastera fiksyen, berbanding dengan karya picisan!

'Pemberontakan' anak muda dalam karya-karya Koleksi Cerpen "Lari Dari Syurga" ini memang ketara. Pemberontakan jiwa tentang sosial, politik, agama malah terhadap diri sendiri sekiranya digarap dengan lebih 'berilmu dan berakhlak'. Mungkin mereka ini tidak hanya boleh mengharapkan idea dan perasaan sahaja, tetapi perlu sedikit rajin menghadiri 'kuliah sastera' agar lebih suara mereka bukan sahaja didengari, bahkan kualiti sebagai penulisan insani lebih berjaya.

Cuma...sedikit ragu-ragu dengan "Sujud dua kiblat tak salah kerana Dia yang memberikan pilihan itu" (Sujud Dua Kiblat). Oh... pemahaman bahasa saya masih dangkal!

2 ulasan:

yui berkata...

pembaca tua dan penulis muda... hehe xboleh campoq dua nih =p

cerita madam hajar tu pasal apa?

Dai berkata...

walaupun saya selaku pembaca 'muda' (baik bajet sebentar) saya tidak begitu menyokong idea di dalam karya-karya begini. sesetengah agak baik, namun ada sesetengah karya yang saya rasa 'depa ni dok tafsir agama ikut pala hotak sendiri ka'. tah mungkin sebab saya dok kampung kot pemikiran kolot lah sikit.

Sang Pembicara

Tempat ketiga! Memang tak terduga, dengan saingan sengit daripada 15 peserta lain, Alia Ummira binti Radzi, pemidato IKUPS, wakil negeri Ked...