25 Julai 2012
20 Julai 2012
Siapa Yang Tidak Berdosa?
Ke hadapan Aku yang dikasihi,
Assalamualaikum w.b.t. Apa khabar diriku sekarang? Sudah lama kita tidak berutus surat. Saya memohon kemaafan kerana baru hari ini saya berkesempatan membalas surat diriku. Memang benarlah kata diriku : silatulrahmi itu seumpama benang tergumpal - jika tidak diurai selamanya ia terpintal.
Saudara Aku yang dekat di hati;
Warkah syahdu saudara kepada al-Khaliq mungkin telah sampai kepada-Nya. Bagaimana perasaan saudara sekarang? Masihkah air mata keinsafan mengalir dari bibir mata saudara yang bening itu? Ataukah saudara sudah melupakannya di sebalik hitaman kening nafsu yang menderu? Sesungguhnya kita ialah hamba-Nya. Ayat-ayat taubat yang dikarang mungin tidak terbaca oleh-Nya; namun bisikan-bisikan nasuha yang melingkari atma itulah yang didengar Khaliq. Memang mudah untuk melafazkan kata lewat lidah tak bertulang; namun sukar menitipkan dendam lewat nafsu mutmainnah.

Aku yang dikasihi;
Duhai Aku yang tersayang;
Tuhan menyayangi dirimu. Diberikan peringatan dalam rupa manusiawi. Dia begitu Agung melimpahkan maghfirah - ditambahkan dengan tangan manusia : kerana manusia 'mampu melupakan', tetapi jarang sekali memaafkan. Kerana itulah dikirim peringatan, bahawa hanya Dia yang bisa mengampunkan - sedang insan sentiasa di sekeliling kita, sedia untuk memperingatkan! Kerana itu, duhai Aku yang tersayang : dekatkan diri kepada-Nya, ceritakanlah dengan air mata atma, bukan dengan nada bangga kepada mahkhluk-Nya. Bukan bibir yang bersuara, tetapi biarkan kalbu yang berduka. Kerana bukan hanya bulan yang bisa bicara, tetapi manusia juga bisa bersuara. Bukan bintang menjadi saksi, tetapi malaikat pencatat diari.
Wahai Atmaku;
Sepantun kata sudah terucap, segumpal hati sudah bicara. Terima kasih, wahai Aku kerana mengingatkanku, dalam rupamu.Yang Ikhlas,
Aku.
p/s : http://alhawari21.blogspot.com/2012/01/taubat.html
18 Julai 2012
menang dan kalah
Agak banyak pertandingan yang saya ikut sejak beberapa bulan ini. Selain ikut perkembangan saya juga terlibat secara langsung dengan pertandingan kebahasaan, khususnya Pidato Piala Diraja. Tanpa menyebut pertandingan - pertandingan lain, saya berhasrat memutar kembali jarum niat dan maksud peserta dan guru.
Saya tidaklah begitu kecewa dengan kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh pasukan sekolah. Bukan sebab saya bukan jurulatih mereka, namun bak kata orang : pengalaman mematangkan kita. Jika dulu, saya antara orang yang akan sibuk menyuarakan perasaan tidak puas hati apabila pasukan kendalian saya atau rakan-rakan kalah. Pada mata saya, pasukan saya ialah pasukan terbaik. Kemudian saya temui sesuatu - saya kekurangan ilmu, dan saya memberikan ilmu yang tidak seberapa kepada para pelajar saya. Saya mengharapkan hasil yang terbaik daripada pengajaran yang tidak seberapa. Peliknya manusia....
Dengan itu, saya menambahkan ilmu. Menggagahkan diri mencari pengalaman. Alhamdulillah, usia mematangkan jiwa. Pengetahuan ditambah dengan pengalaman meyakinkan saya bahawa dengan usaha dan kesungguhan, pelajar saya akan berjaya. Namun sayang seribu kali sayang. Usaha dan kesungguhan - serta tawakal ke hadrat Ilahi masih belum mencukupi. Sesekali menang menjadi pengubat hati, tetapi banyak kali tewas pada saat memerlukan kemenangan. Walaupun tidak lagi memprotes, tetapi memberi semangat - kepada diri dan anak-anak murid (mungkin bentuk 'semangat' tu beza sikit :-) ) - tertanya-tanya juga saya :: mengapa masih belum berjaya?
Meniti waktu, saya tertanya-tanya sendiri. Tercari-cari jawapan. Satu persoalan muncul di sanubari : Sebenarnya mengapa aku melatih mereka ini. Mengapa aku 'meninjau' dari jauh (dan dekat) mereka semua ini. Untuk apa mereka menyertai pertandingan ini? Untuk piala? Sijil? Atau nama SBT?
Niat menjadi faktor utama. Sering kali harapan untuk kemenangan mengabui mata dan fikiran. Alangkah salahnya! Hakikatnya, sering diperingatkan (oleh bekas-bekas pelajar yang pernah kubawa menyertai pertandingan) bahawa mereka bangga pernah menjadi sebahagian daripada pasukan sekolah. Bukan kerana menang dan mendapat nama, tetapi mereka memperoleh pengalaman dan keyakinan diri. Syukur, ramai bekas peserta (khususnya pembahas dan pemidato) menyedari apa-apa yang telah dilalui oleh mereka sepanjang menyertai pertandingan itu memberi mereka keyakinan, kekuatan semangat dan merasai nilai dan erti kehidupan. Syukur, mereka celik akal, terbuka minda, tenang jiwa selepas usai persekolahan. Persoalan yang sering mencabar minda mereka menjadi pembuka minda kepada mereka. Syukur. Walaupun belum ada yang menjadi menteri dan tokoh koroporat mahupun orang politik, namun saya bersyukur : mereka menjadi orang walaupun belum 'seseorang'.
Jadi, apa lagi yang dimahukan?
p/s : Tahniah Mohd Badrulanas Adenan - walaupun tak menang pidato Diraja peringkat negeri, namun usaha untuk itu sudah menjadi satu kemenangan kepada saya, teruskan usaha (opsss...ucapan pelik drp saya - bukan buang tebiat, yer!) :-D
28 Mei 2012
... terhalau
3 Mei 2012 saya menerima satu surat yang tidak saya tunggu daripada Jabatan Pelajaran Negeri Kedah - Arahan Mengosongkan Kuarters. Wah... selepas lebih lima tahun bermesra dengan alam di Kuarters, saya terpaksa keluar. Sememangnya itu bukan kuarters yang terbaik - dengan penghuni yang hanya seramai 11 buah rumah (berbanding kapasitinya : 100 buah rumah - 4 blok) dan persekitarannya yang kurang terjaga - rumput panjang dan lampu jalan kadang kala ada, tetapi banyak kala padam. Namun kata orang, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat tidur..hermm. Bermulalah pencarian rumah baharu, mujurlah dapat juga rumah baharu yang dekat dengan sekolah. Walaupun ditawarkan KIP Hosba, namun disebabkan jaraknya yang agak jauh (lebih kurang 11 km) dari sekolah, saya tidak berminat untuk menghuninya. Syukurlah, tempat baharu tidaklah lebih buruk daripada kuarters lama. Dari tempat baharu juga boleh nampak kuarters, termasuk bangunan Blok D yang saya huni sejak 2007. Kalau-kalau rasa rindu boleh jenguk saja dari rumah baharu :)
Satu perkara yang saya peroleh :: rupa-rupanya perpindahan satu aktiviti yang sangat meletihkan. Dua minggu diambil untuk memindahkan semua barang - walaupun barang kecil dan juga untuk membersihkan rumah baharu dan rumah lama. Bagus juga, saya ada pengalaman awal, kalau nanti berpindah lagi, saya tahu apa yang perlu diutama dan dibuat :)
12 Mei 2012
Tahniah, anak-anakku!
Sejak hampir tiga minggu, riuh rendah dalam laman sesawang sosial 'facebook' kisah bekas anak-anak murid. Kisah mereka yang diterima ke Matrikulasi, Asasi, dan Diploma silih berganti. Ditambah dengan kegamatan mereka yang sudah mendapat tawaran ke luar negara - khususnya Mesir, bumi anbia'. Terdengar juga cerita debaran mereka yang menghadiri pelbagai temu duga : MARA, JPA, Badan Berkanun, pihak swasta sehinggalah ke kerajaan asing. Di celah-celah kegamatan itu, terselit juga cerita duka beberapa orang yang terpaksa memilih jalan lain untuk berjaya. Namun semuanya tetap berjaya : mengikut cara yang sudah ditentukan Allah kepada kita! Untuk makluman kalian, anak-anak didikku - saya masuk ke universiti menggunakan tiket STPM : dengan merit umum (bukan bergantung pada kuota Bumiputera :-D).
Apa-apapun sebenarnya ini ialah langkah kedua dalam perjalanan hidup. Saya sering berkata bahawa hidup kita ini seperti perjalanan balik ke kampung menjelang Aidilfitri. Ada kala perjalanan itu yang memberi nilai kepada kita, bukan semata-mata destinasinya : berebut mendapat tiket bas, menunggu bas, bas yang pancit di tengah jalan - semua ada. Semua itu sebenarnya yang memberi makna kepada diri kita : suka, duka, sabar, derita. Kalau tidak, bukan kehidupan namanya! Pintu untuk melintasi fasa kedua perjalanan hidup bergantung kepada takdir Yang Maha Mengetahui. Dia telah memberi kita beberapa pilihan, terpulanglah kepada kita untuk membuka pintu yang mana - yang sesuai untuk kita. Namun perlu diingat, bukan semua yang kita hajatkan itu baik untuk kita. Bukan semua yang kita rasa terbaik untuk kita tepat dengan pengakhiran perjalanan kita. Jadi, jangan lupa - beristikharahlah!
Sebenarnya kejayaan inilah yang menjadi hadiah terhebat untuk semua guru. Sebenci manapun kalian kepada guru-guru, se-meluat manapun kalian kepada kami, se-tension manapun kalian mendengar suara kami; kami tetap berdoa agar kalian berjaya. Anda dileter, dimarah, di...(macam-macam) kerana kasih kami kepada anda. Ada yang dinasihatkan keluar sekolah, juga kerana kasih kami kepada anda. Ayat ini agak klise. Anda mungkin mentertawakannya - mengejek. Namun hakikatnya, begitulah. Apabila anda berjaya dengan keputusan cemerlang SPM, kami bergembira. Apabila anda mengkhabarkan (atau kami tahu melalui langit terbuka ini), kami bersyukur. Dan insya-Allah, apabila anda sudah berkerjaya selepas menamatkan pengajian nanti - apa-apapun kerjaya anda - kami berbangga. Namun, sekiranya anda benar-benar menjadi seorang yang 'budiman' :: saya rasa bertuah!
Akhir sekali, TAHNIAH & SYABAS kepada semua bekas anak murid - anda harapan nusa dan bangsa, pembela agama! Sekiranya kita bersua lagi, sudah pasti dalam situasi yang tuntas berbeda! Selamat berjaya, semuanya!
03 Mei 2012
Hanya Sebuah Cerita
Nota : Coretan ini tercatat akibat terkesan dengan satu drama siri Korea.
Daku baru sahaja habis menonton episod terakhir drama siri “Master of
Study” di saluran 391 Astro - KBS World. Sebenarnya bukanlah penonton tegar
yang menunggu setiap hari untuk drama tersebut. Cuma, acap kali ‘tertonton’. [Bukan
peminat K-Pop juga : walaupun tidak kisah kalau tertonton :D]. Walaupun
banyak kali juga tertinggal episod-episodnya, namun ceritanya mudah diikuti.
Kisah drama mudah: kesungguhan seorang guru (tak bertauliah) mendidik lima orang pelajar dalam
‘kelas khas’. Ya… cerita tentang guru, tentang pelajar, tentang sekolah. Dah
namapun cikgu, tengok drama pun pasal cikgu sajalah.
Sebenarnya cerita biasa : cerita tentang seorang guru biasa yang luar biasa. Mendidik dari hati dan jiwa. Begitulah, membesarkan pelajar yang sedia besar, memanusiakan manusia. Sukar. Cerita tentang menjadikan pelajar yang lebih meminati wang dan keseronokan terus berada di dalam kelas – belajar! Dan akhirnya, berjaya. Wow…mudah, kan? Namun hakikatnya bukan sedemikian. Sama ada dalam filem, drama mahupun sketsa, perit jerih ini sering dipaparkan. Daku pernah menonton (dan hampir ‘mania’ sikit) dengan drama Jepun GTO – Great Teacher Onizuka, sewaktu di sekolah menengah dahulu (pernah teringin nak jadi macam tu, yg ceria dan penuh semangat – oh…. Tak boleh! Bukan diri…. :XD). Banyak cerita dari Jepun dan Korea yang bercerita tentang topik ini. garapan sempurna : sering dramatik, meruntun jiwa (malang drama Melayu hanya buat cerita cikgu yang masuk kelas yang buruk, tanpa jiwa – tiba-tiba teringat kat Cikgu Bedah dalam “Adik Manja”).
Sebenarnya cerita biasa : cerita tentang seorang guru biasa yang luar biasa. Mendidik dari hati dan jiwa. Begitulah, membesarkan pelajar yang sedia besar, memanusiakan manusia. Sukar. Cerita tentang menjadikan pelajar yang lebih meminati wang dan keseronokan terus berada di dalam kelas – belajar! Dan akhirnya, berjaya. Wow…mudah, kan? Namun hakikatnya bukan sedemikian. Sama ada dalam filem, drama mahupun sketsa, perit jerih ini sering dipaparkan. Daku pernah menonton (dan hampir ‘mania’ sikit) dengan drama Jepun GTO – Great Teacher Onizuka, sewaktu di sekolah menengah dahulu (pernah teringin nak jadi macam tu, yg ceria dan penuh semangat – oh…. Tak boleh! Bukan diri…. :XD). Banyak cerita dari Jepun dan Korea yang bercerita tentang topik ini. garapan sempurna : sering dramatik, meruntun jiwa (malang drama Melayu hanya buat cerita cikgu yang masuk kelas yang buruk, tanpa jiwa – tiba-tiba teringat kat Cikgu Bedah dalam “Adik Manja”).
Apa yang daku nak tuliskan? Hermmm…mungkin satu coretan pertanyaan (untuk
diri dan bakal cikgu – cikgi) :: “Mengapa kita memilih untuk menjadi guru?”
22 April 2012
Menjana Insan Syumul
3 hari 2 malam Kursus Kepemimpinan Lembaga Kepimpinan Pelajar SBPI Kubang Pasu dijalankan. Alhamdulillah, walaupun dengan hanya dua orang urus setia (saya dan Ustazah Jailah), program ini berlangsung dengan lancar. Moto "Berhikmah Memimpin" telah diterapkan secara langsung dan tidak langsung melalui konsep 'anda buat untuk anda, demi anda'. Kursus yang dijalankan di Putri Ayu Chalet & Training Centre, Yan pada 19 - 21 April 2012 ini meminimumkan penglibatan orang luar, tetapi memaksimumkan potensi para pengawas sendiri untuk menyerlahkan daya kepemimpinan, kreativiti, dan semangat setia kawan dalam kalangan mereka. Hanya dua penceramah 'luar yang dalam' dijemput : mantan Pengetua SBPIKP - Pn, Hjh Rubiyah; dan mantan kaunselor - yang kini bertugas di SMK Arau - Pn. Ropizah.
![]() |
| Ucaptama "Hala Tuju Pelajar SBPI Kubang Pasu" oleh En. Malek Abu Hasan, PK HEM |
Kursus ini direka bentuk khusus untuk memastikan para pengawas bukan sahaja menyedari bakat dan potensi mereka, bahkan turut mencabar minda mereka untuk menghasilkan pelan tindakan mereka sendiri untuk merekayasa organisasi kepengawasan agar lebih efektif pada masa hadapan. Oleh sebab itulah, pada akhir kursus ini diadakan sidang pleno untuk mereka menghimpun segala idea dan harapan mereka terhadap organisasi LKP dan pihak sekolah demi memastikan Lembaga Kepimpinan Sekolah akan bergerak secara holistik, seiring dengan matlamat menjana insan syumul menjelang 2015.
Dalam menjayakan program sebegini, sebenarnya perancangan yang jelas dan dalam tempoh masa yang sesuai diperlukan. Mungkin itulah kekurangan pengendalian kursus ini apabila peserta - merangkap penggerak program tidak dimaklumkan lebih awal tentang tugas dan fungsi mereka. Hal ini menyebabkan kekangan dalam pengendalian program, khsususnya dari segi penyediaan bahan dan persediaan mental. Walau bagaimanapun, kekurangan yang sedikit ini tidak menghalang mereka melakukan yang terbaik untuk menjayakan kursus ini.
![]() |
| Sesi Riadah |
![]() |
| Merunut Hutan |
![]() |
| Merentas sungai |
Sekalung tahniah dan syabas kepada semua pengawas yang telah menjalankan dan menjalani kursus ini dengan jayanya. Kelemahan yang ada - sedikit sahaja - boleh diperbaik untuk kejayaan pada masa hadapan. Terima kasih kepada urus setia, Ustazah Jailah yang sanggup membantu dengan terpaksa meninggalkan keluarga pada hujung minggu semata-mata untuk melihat program ini berjaya. Terima kasih kepada GK Kemanusiaan sekeluarga yang datang menjenguk pada Jumaat - memandu 98 km dari BKH ke Yan. Tidak lupa, kepada En. Malek, PKHEM yang banyak membantu (termasuk memberi ucaptama), PK Pentadbiran, En. Shahadan yang terpaksa meninggalkan padang kriket di KSAH untuk memberi ucapan penutupan, dan tidak lupa kepada Pengetua yang memberi kelulusan untuk program ini walaupun dalam tempoh yang begitu singkat (termasuk meluluskan sejumlah peruntukan untuk program ini). Kepada penceramah, Pn. Hjh Rubiyah dan Pn. Ropizah (dan suami), terima kasih daun keladi.
![]() |
| LDK : Peranan Pengawas dalam Menjayakan Hala Tuju Pelajar SBPIKP |
![]() |
| Sesi Penutupan oleh En. Mohd Shadan, PK PentadbiranSBPIKP |
Kepada para pengawas, diharapkan kursus ini memberi manfaat untuk memantapkan kepemimpinan di sekolah, dan mengembangkan potensi diri untuk lebih berjaya pada masa hadapan. "Berhikmah Memimpin"
Langgan:
Catatan (Atom)
Sang Pembicara
Tempat ketiga! Memang tak terduga, dengan saingan sengit daripada 15 peserta lain, Alia Ummira binti Radzi, pemidato IKUPS, wakil negeri Ked...
-
Teks syarahan agama 2010. Tajuk :: Masjid Membina Keunggulan Ummah Pemidato :: Mohd Shahrulnizam bin Md Roni Sekolah :: Sekolah ...
-
<a href="http://www.pax.com/free-counters.html"><img src="http://counter.pax.com/counter/image?count...
-
Alhamdulillah, pelajar-pelajar Tingkatan Empat 2021 iKUPS telah berjaya menyiapkan projek-projek yang meliputi tema yang dipelajari dalam s...









