20 Julai 2012

Siapa Yang Tidak Berdosa?

Ke hadapan Aku yang dikasihi,


Assalamualaikum w.b.t. Apa khabar diriku sekarang? Sudah lama kita tidak berutus surat. Saya memohon kemaafan kerana baru hari ini saya berkesempatan membalas surat diriku. Memang benarlah kata diriku : silatulrahmi itu seumpama benang tergumpal - jika tidak diurai selamanya ia terpintal.

Saudara Aku yang dekat di hati;

Warkah syahdu saudara kepada al-Khaliq mungkin telah sampai kepada-Nya. Bagaimana perasaan saudara sekarang? Masihkah air mata keinsafan mengalir dari bibir mata saudara yang bening itu? Ataukah saudara sudah melupakannya di sebalik hitaman kening nafsu yang menderu? Sesungguhnya kita ialah hamba-Nya. Ayat-ayat taubat yang dikarang mungin tidak terbaca oleh-Nya; namun bisikan-bisikan nasuha yang melingkari atma itulah yang didengar Khaliq. Memang mudah untuk melafazkan kata lewat lidah tak bertulang; namun sukar menitipkan dendam lewat nafsu mutmainnah.

Aku yang dikasihi;

Sesekali daku terkesima mendengar bicaramu ketika bulan mengirimkan cahaya teduhnya. Alangkah indah khabar diriku yang kaukirimkan kepadaku. Sungguh, betapa nikmat itu tidak mengenal siapa - kerana pemberinya tidak pernah melihat rupa, minda malah agama. Bukankah Dia juga yang menciptakan itu semua? Cuma sesekali teringat ketika bicaramu, dulu - wahai Aku - diri ini terasa hairan. Rupa-rupanya, ketika dikau, wahai Aku, mendebarkan rindu kepada dedap yang merah, aku turut hanyut bersamamu. Peliknya kita, mengutip dedap di jalanan, meninggalkan kasturi di pergunungan; mengutip kerikil di tepian, meninggalkan permata yang bergemerlapan. Namun, Aku, daku juga sepertimu. Sering terkesima dengan cahaya di ufuk barat, sedang cahaya hati yang menyinar tidak dituangi zaitun!

Duhai Aku yang tersayang;

Tuhan menyayangi dirimu. Diberikan peringatan dalam rupa manusiawi. Dia begitu Agung melimpahkan maghfirah - ditambahkan dengan tangan manusia : kerana manusia 'mampu melupakan', tetapi jarang sekali memaafkan. Kerana itulah dikirim peringatan, bahawa hanya Dia yang bisa mengampunkan - sedang insan sentiasa di sekeliling kita, sedia untuk memperingatkan! Kerana itu, duhai Aku yang tersayang : dekatkan diri kepada-Nya, ceritakanlah dengan air mata atma, bukan dengan nada bangga kepada mahkhluk-Nya. Bukan bibir yang bersuara, tetapi biarkan kalbu yang berduka. Kerana bukan hanya bulan yang bisa bicara, tetapi manusia juga bisa bersuara. Bukan bintang menjadi saksi, tetapi malaikat pencatat diari.


Wahai Atmaku;

Sepantun kata sudah terucap, segumpal hati sudah bicara. Terima kasih, wahai Aku kerana mengingatkanku, dalam rupamu.

Yang Ikhlas,

Aku.

p/s : http://alhawari21.blogspot.com/2012/01/taubat.html

2 ulasan:

yui berkata...

tersayu sekejap..=p

selamat berpuasa

arsal74 berkata...

Selamat berbuka puasa...

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...