30 April 2017

Catatan King Scout : Berakhir!

Selepas lebih empat bulan bertungkus-lumus, tiga ahli Pengakap Kumpulan 78, SBPI Kubang Pasu berjaya menamatkan cabaran Penarafan Pengakap Raja 2017. Kesemua mereka secara rasmi telah diperakukan layak memperoleh anugerah Pengakap Raja yang akan dianugerahkan oleh KDYMM Sultan Kedah. Tahniah diucapkan kepada Ahmad Amir Amzar bin Ahmad Munir, Abdul Hakim bin Roslan dan Wan Muhammad Firdaus bin Abdul Wahab atas kejayaan mereka menempuh pelbagai ujian dan dugaan sehingga lulus dalam ujian terakhir penarafan Pengakap Raja di Pusat Kokurikulum Pendang pada 27 - 29 April 2017  yang lalu.

Menyorot perjalanan, mereka bermula dengan enam orang ahli Pengakap iKUPS. Namun, tuntutan komitmen dan iltizam yang tinggi menyebabkan akhirnya hanya tiga orang yang kekal sehingga ke Ujian Penarafan (kem kraf). Sememangnya untuk bergelar Pengakap Raja, Ketahanan fizikal semata-mata tidak berupaya mengekalkan momentum. Ketahanan mental, emosi dan semangat merupakan elemen penting dalam memastikan perjuangan mereka ini sampai ke tangga Istana Anak Bukit.

Pengakap Kubang Pasu sendiri pada peringkat awal menghantar seramai 13 orang Calon Pengakap Raja (CPR) ke Ujian Penarafan. Dalam saringan pertama, iaitu sesi temu duga dan ujian Bushmanthong yang diadakan di IPG Sultan Abdul Halim, Sungai Petani pada 15 April 2017, seramai lima orang CPR terpaksa membuat ulangan ujian. Empat orang disebabkan oleh Bushmanthong, sementara seorang untuk temu duga A. Alhamdulillah, selepas ujian ulangan pada 22 April 2017, kelima-lima mereka berjaya mara untuk ujian terakhir (kem kraf) pada 27 - 29 April 2017 di Pusat Kokurikulum PPD Pendang, Felda Sungai Tiang, Pendang. Syukur, semua 12 CPR Kubang Pasu layak dianugerahkan Anugerah Pengakap Raja (tarikh ke Istana Anak Bukit akan dimaklumkan kelak)



Perjuangan yang sukar ini hakikatnya tidak akan mampu dihadapi oleh mereka secara bersendirian. Sokongan padu, bantuan, pertolongan, tunjuk ajar dan bimbingan daripada Pasukan Latihan Daerah PPM Kubang Pasu amat bermakna dalam merealisasikan hasrat dan cita-cita mereka. Jazakumullahu khairan kathira kepada semua yang terlibat dalam menyumbangkan kejayaan kepada anak-anak iKUPS ini. Sekali lagi, kepada Pengakap Raja iKUPS 2017, syabas dan tahniah cikgu ucapkan!

Tiada ulasan:

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...