18 September 2011

...ayuh, berilah!

Alhamdulillah, program Khidmat Komuniti Pendidikan SBPIKP yang dirancang sejak suku pertama tahun ini terlaksana juga. Walaupun beberapa tenaga yang pada awalnya dijangkan hadir tidak dapat berbuat demikian atas faktor-faktor yang tidak dapat terelakkan, namun kehadiran empat orang pendidik i-KUPs ke Sekolah Islam az-Zubaidiyyah, Merbok berjaya merealisasikan rancangan ini. Program ini hakikatnya sudah dirancang lama, tetapi disebabkan kekangan waktu, tidak dapat dilaksanakan lebih awal. 

Khidmat Komuniti Pendidikan kali ini memfokuskan teknik penjawaban subjek PMR : Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.  Bengkel teknik penjawaban bahasa Inggeris diberikan oleh Pn. Siti Hajar, sementara saya sendiri memberikan teknik penjawaban Bahasa Melayu. Program turut diikuti oleh Pn. Faridah selaku penyelaras dan Pn. Nor Kamaliah sebagai AJK. 

Program ini sebenarnya program kedua yang diadakan di sekolah ini : kali pertama pada bulan Mei 2011 yang lepas. Pada kali ini, kami bertuah kerana program ini mendapat kerjasama daripada SALIMAH negeri Kedah dengan sokongan padu pengurusan Sekolah Islam az-Zubaidiyyah sendiri. Sebenarnya program ini bukanlah program di bawah mana - mana jawatankuasa di peringkat sekolah. Ia ialah lanjutan daripada program yang telah kami jalankan sejak tahun 2009. Pada tahun lepas, diwujudkan Jawatankuasa Khidmat Komuniti oleh pihak sekolah, tetapi telah ditiadakan kembali pada tahun ini. Walau bagaimanapun, program ini bukannya program untuk mencari publisiti (kata budak-budak kat sekolah - capub). Program ini bertujuan memupuk dan membina jiwa pendidik agar lebih suka memberi. Memberi di sekolah sendiri, memang itu ialah tugas yang wajib dilangsaikan. Namun, mmeberi kepada mereka yang memerlukan, dirasakan itu satu kepuasan. Syukur ada sebilangan pendidik di i-KUPs (dan di sekolah lain) yang sanggup meluangkan masa membantu mereka yang tidak sebaik anak-anak kita di sekolah, walaupun tanpa sebarang imbuhan (kecuali makan selepas ceramah :-D).

Apa-apapun, terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini yang - Insya-Allah- akan terus diadakan selagi ada pihak yang sudi menerima sedikit sumbangan perkongsian ilmu daripada kami. Kepada mereka yang sudi membantu, insya-Allah akan diadakan bengkel teknik penjawaban soalan SPM untuk pelajar-pelajar SAR / Sekolah Agama Swasta daerah Kubang Pasu dalam masa terdekat ini. 


(Tahniah kepada bekas pelajar i-KUPs, Rosman yang sudah mula berjinak-jinak dengan khidmat masyarakat. Teruskan usaha anda!)

16 September 2011

Seminggu selepas...

Minggu yang agak memenatkan. Selepas ijtimak (yang diadakan pada Sabtu), bertungkus - lumus pula untuk beberapa program yang bakal menjelma. Selain sibuk memulakan P&P khusus untuk pelajar-pelajar Tingkatan 5, terkena juga tempias kesibukan sambutan ambang Malaysia. Begitu juga dengan dua program PKA : Mutiara Kasih dan Bacaan Yasin dan Solat Hajat.

Sambutan Ambang Malaysia selamat dijalankan pada 14.09.2011 (terawal sehari). Sambil menunggu ketibaan rombongan pengawas dari SMS Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Bharu, seluruh warga sekolah menikmati persembahan pelajar sambil menikmati makanan zaman penjajahan : ubi rebus, jagung rebs dan jagung bakar bersama-sama dengan kopi 'O' dan teh 'O'. Nikmat juga!

Pada 15 September, Program Mutiara Kasih untuk pelajar-pelajar Tingkatan 3 & 5 dimulakan seawal jam 8.30 pagi di Dewan al-Ghazali. Penceramah jemputan, Tn. Hj Huzili dari UniMAP menceriakan sesisi dewan, walaupun ada juga anak-anak tingtakan 3 yang 'terlena keasyikan' mendengar ceramah beliau!

Program bacaan Yasin dan Solat Hajat diadakan di Musalla Jannatun Naim dengan kehaidran yang menggalakkan daripada semua waris. Tahniah! Turut menyertai program ini ialah guru-guru dan semua pelajar i-KUPs. 

Sementara itu, pengawas-pengawas tingkatan 4 pula sibuk meladeni pengawas-pengawas SMSTMFP di Bilik Kuliah Ibn Maskawih. Rombongan yang tiba jam 1.30 pagi itu kemudiannya bergerak ke SMK Sultanah Asma sebelum ke SM Sultan Abdul Halim dalam rangka lawatan ke Utara.

Pelajar-pelajar kembali ke kampung halaman seawal jam 12.30 tengah hari. Selamat beristirahat, kepada yang berada di asrama : jangan asyik tidur! :-D

12 September 2011

Ijtimak

Tahun ini ijtimak aidilfitri kembali lagi di bumi wakafan i-KUPs. Berbeza dengan tahun lepas apabila pelajar hanya 'datang kenduri'(kaat merekalah), tahun ini ada sedikit kelainan. Selain penganjurnya diberikan kepada rumah (tahun ini Rumah Saidina Abu Bakar sebagai hos), pertandingan pula melibatkan acara dalaman sahaja. Menghias meja makan dan menganyam ketupat. Pertandingan koir lagu hari raya dan lagu patriotik turut dijalankan. Semua pertandingan mengikut rumah. Dan seperti biasa, rumah Sadina Umar berjaya memenangi johan keseluruhan : 2 daripada 4 pertandingan, iaitu pertandingan menganyam ketupat dan pertandingan koir. Tahniah Umarian! Cuma tahun ini, aktiviti sembelihan tidak dijalankan bersama-sama dengan Ijtimak. Apa-apapun, tahniah kepada seluruh warga i-KUPs yang bertungkus-lumus menjalankan aktiviti ini.


07 September 2011

Teruskan Perjuangan...

Banyak peristiwa yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Selain pemergian Ramadan yang penuh keberkatan [moga-moga kita berjaya menggondol tawaran yang dikurniakan-Nya], Syawal yang menjelma bersama-sama dengan Hari Kebangsaan yang ke-54 memberi erti kemenangan berganda kepada kita. Alhamdulillah, syukur Allah s.w.t masih mengekalkan nikmat keamanan dan ketenteraman kepada bumi bertuah ini. Terima kasih kepada para pejuang yang mempertahankan kemerdekaan serta mereka yang berusaha merbut kembali tanah yang dirampas ini, walau dengan apa-apa jua cara dan kaedah. Sejarah tidak pernah menipu, tinggal kita sahaja yang perlu membuka pintu hati dan akal bagi menilai fakta itu dari perspektif yang bagaimana :: songsang atau terang!

Kepada rakan-rakan guru yang bertungkus - lumus mengisi borang HLP atau CBBPTP, teruskan usaha anda. Insya-Allah, berjaya. 

Kepada rakan-rakan di sekolah, selamat meneruskan tugas :: Ijtimak Aidilfitri pada 10.09.2011, Sambutan Ambang Malaysia 14.09.2011, Bacaan Yasin & Solat Hajat untuk Calon PMR & SPM 2011 pada 15.09.2011, LaDaP di Cinta Sayang Resort pada 16 & 17.09.2011. Kepada pasukan Khidmat Komuniti Pendidikan SBPIKP pula, insya-Allah, kita akan ke Sekolah Agama al-Zubaidiyah, Merbok pada pagi 16.09.2011untuk Bengkel Teknik Penjawaban Soalan PMR sebagai sumbangan kita kepada masyarakat buat kali kedua pada tahun ini. Untuk SPM pula, insya-Allah, kita usahakan di i-KUPs sahaja dengan menjemput pelajar-pelajar dari SAR, SABK dan SMK yang berdekatan. Diharapkan semua ahli kumpulan bersiap sedia dengan bahan masing-masing. Ada sesiapa yang ingin turut membantu? Anda dialu-alukan!

Kepada semua bekas pelajar i-KUPs yang akan 'terbang' [atau 'bergerak'] ke destinasi masing-masing :: dalam mahupun luar negara, tahniah dan selamat menempuh dunia universiti - banyak yang ada di sana, terokailah!

26 Ogos 2011

Syarat Baru Kemasukan SBP Untuk Murid Miskin Dan Luar Bandar

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pelajaran menggubal syarat baru kelayakan minimum kemasukan tingkatan satu ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) iaitu keputusan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) 3A 2B bagi murid daripada keluarga miskin dan 4A 1B bagi murid luar bandar, mulai tahun depan.

Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata syarat baru itu bertujuan membantu dua kategori murid itu mendapat pembelajaran yang lebih sempurna dan memberi peluang kepada mereka untuk ke SBP.

"Matlamat utama adalah supaya murid-murid ini akan mendapat kelulusan pada peringkat tertinggi dan mampu untuk merubah taraf hidup keluarga mereka ke arah kehidupan yang lebih berkualiti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara kriteria pemilihan murid ke SBP sebelum ini ialah keputusan 5A dalam UPSR dan aktif dalam kegiatan kokurikulum.

Muhyiddin berkata kementerian sedar murid-murid daripada keluarga miskin dan murid dari sekolah luar bandar ramai yang ketinggalan dan kurang mampu untuk mendapatkan bantuan seperti kelas tambahan berbayar selain ada yang tidak dapat menumpukan kepada masa pembelajaran yang sempurna kerana hidup keluarga yang susah.

"Kementerian juga mendapati pendedahan kelompok ini kepada pembelajaran am dan dunia luar amat terhad disebabkan oleh kedudukan rumah, sekolah dan keluarga mereka yang kurang mampu," katanya.

Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran sentiasa memikirkan dan mengambil langkah untuk membantu para pelajar yang tidak berkemampuan dan yang ketinggalan seperti pelajar miskin dan pelajar di luar bandar.

Menurut kenyataan itu, pelajar miskin dikategorikan berdasarkan pendapatan keluarga yang merujuk kepada ketetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Mengikut Wilayah 2007 iaitu sebanyak RM720 sebulan bagi Semenanjung Malaysia, RM960 sebulan bagi Sabah dan Labuan serta RM830 sebulan bagi Sarawak.

Menurut data lokasi sekolah Kementerian Pelajaran, sebanyak 4,319 sekolah rendah dikategorikan sebagai lokasi luar bandar manakala 830 buah lokasi pedalaman.

-- BERNAMA

25 Ogos 2011

Akhir Ramadan

Alhamdulillah... tengah hari tadi berakhirlah kehidupan para pelajar i-KUPs sepanjang Ramadan 1423 di sekolah (dan asrama). Mulai pukul 12.30 tengah hari berduyun-duyunlah anak-anak ini kembali ke rumah masing-masing , sama ada di kampung atau di kota. Semoga semuanya selamat dalam perjalanan, selamat sepanjang musim perayaan dan selamat kembali ke sekolah selepas habis bercuti. Insya-Allah, kita berjumpa lagi  pada 4.9.2011.

Tadarus di Dataran Ilmu



Majlis Iftar Jamaie di Dewan Makan





Majlis Khatam al-Quran di Musolla Jannatun Naim


Bermaaf-maafan menjelang Aidilfitri

Duit Raya tak ada tahun ni.... :-)

08 Ogos 2011

tak sudah-sudah!

Susah sangatkan nak faham? Orang yang bernama Ali, Azman, Azimah...dan lain-lain. Namun sebenarnya tidak pelik :: sebab mereka sudah dibutakan dengan pemujaan berterusan kepada penjajahan :: penjajahan minda dan hati ::

Hasrat ibu bapa perlu diutamakan? hak belajar anak-anak?? Sudahlah!!! Tak payah cakap apa-apa lagi - bagilah apa-apapun hujah dan bukti kepada mereka, jawapannya ? :: Dah terpateri hati dan jiwa => yang dicari ialah alasan yang boleh menyokong nafsu - sudahlah!!! Tak perlulah kita berdebat. Tak perlu bagi akta itu, akta ini - hak asasi , konvensyen apa-apapun. Kalau pada zaman Rasulullah dulu, baginda telah diturunkan ayat :: lakum dinukum, waliyadin!  ::: Khatamallahu 'ala qulubihim wa 'ala sam'ihim wa 'ala absorihim ghisyawah!

* Nota :: Perkara 152 Perlembagaan Pesekutuan:

Perkara 152 : Bahasa Kebangsaan;
(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:
Dengan syarat bahawa—
(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain
bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan
(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan
atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

(2) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari
Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, bahasa
Inggeris boleh digunakan di dalam kedua-dua Majlis Parlimen, di dalam Dewan
Undangan tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain.

(3) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari
Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, teks sahih—
(a) segala Rang Undang-Undang yang hendak dibawa atau pindaan kepadanya
yang hendak dicadangkan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen; dan
(b) segala Akta Parlimen dan segala perundangan subsidiari yang dikeluarkan
oleh Kerajaan Persekutuan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(4) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari
Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala
prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dalam bahasa Inggeris:
Dengan syarat bahawa, jika Mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak perlu diterjemahkan ke dalam atau direkodkan dalam bahasa Inggeris.

(5) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam mahkamah rendah, selain pengambilan keterangan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(6) Dalam Perkara ini, "maksud rasmi" ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.

Sang Pembicara

Tempat ketiga! Memang tak terduga, dengan saingan sengit daripada 15 peserta lain, Alia Ummira binti Radzi, pemidato IKUPS, wakil negeri Ked...