04 Jun 2008

Biasiswa JPA

Seperti yang dijangkakan, pengumuman Menteri di JPM, Datuk Seri Nazri Aziz tentang penurunan kouta biasiswa JPA kepada golongan Bumiputera daripada 90% kepada hanya 55% minggu lalu mengundang rasa tidak senang hati masyarakat bumiputera, khususnya badan-bdan yang mewakili kepentingan orang Melayu. Dalam pada itu, seperti selalu, golongan bukan bumiputera bersungguh-sungguh menyokongh tindakaan tersebut. Persoalannya, secara rasional, adakah tindakan menteri (baca : kerajaan) tersebut wajar?

Kontrak sosial yang sering kali diulang-ulang oleh semua pihak sepatutnya diteliti dengan halus dan sabar. Kontrak sosial bukanlah sesuatu yang berasaskan kontrak lisan seperti kontrak antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun tentang keperluan ketaatsetiaan kepada raja dan kerajaan. Bahkan kontrak sosial ini termaktub dengan rasminya dalam perlembagaan negara. Kontraknya mudah : golongan bukan bumiputera diberikan hak kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu (kemudian Malaysia) secara automatik pada tarikh kemerdekaan negara. Kerakyatan inilah yang diperturunkan daripada satu generasi kepada satu generasi lain tanpa ada usaha kacau ganggu dan ganggu gugat oleh mana-mana pihak. Bermaksud, jika ada pendatang asing, misalnya dari China atau India, selepas kemerdekaan, mereka tidak menerima hak kerakyatan secara 'jus soli' ini, lantaran "kontrak sosial" telah menyebut bahawa mereka yang datang ke Persekutuan Tanah Melayu (dan Malaysia serta Singapura) sebelum merdeka sahaja yang layak menerima hak kerakyatan tersebut secara automatik. Sebagai imbalannya, empat perkara utama berkaitan dengan orang Melayu dan bumiputera dipersetujui oleh mereka yang memeterai perjanjian mewakili kaum Cina dan India untuk terus diberikan hak dan tidak akan dipersoalkan, sama seperti kaum Bumiputera tidak mempersoalkan hak kerakyatan mereka. Empat perkara tersebut ialah : (1) Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Persekutuan (2) Kedudukan Raja-raja Melayu sebagai ketua negara dan negeri (3) Kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan; dan (4) Hak-hak keistimewaan tertentu golongan bumiputera, mencakupi kuota tentang tempat dan hak dalam pendidikan, biasiswa, pekerjaan dalam sektor awam dan lain-lain lagi. Semua ini boleh dirujuk dengan jelas dalam Perlembagaan persekutuan Perkara (3), (151), (152), (153), dan (191).

Berlandaskan hakikat tersebut, saya tidak fikir kenyataan oleh Datuk Seri Nazri Aziz bahawa "rakyat inginkan persamaan seperti yang ditunjukkan dalam Pilihan Raya Umum ke-12"(lihat Utusan Malaysia, 3 Jun 2008) terpakai dalam perkara ini. kenyataan tersebut bukan sahaja aneh, malah canggung! Yang tewas ialah MCA, Gerakan dan MIC. Mengapa pula UMNO (yang mewakili kaum bumiputera) yang terpaksa menanggungnya?

Seruan saya : Kembali kepada asal - usul pembentukan bangsa dan negara kita. Sekiranya kita ingin merombak apa-apa yang telah dipersetujui semasa proses mencapai kemerdekaan, maka kita perlu kembalikan semuanya seperti sebelum kemerdekaan : termasuklah isu kerakyatan!

Mohon difikir-fikirkan!

22 Mei 2008

Biasiswa JPA Lepas SPM

Beberapa hari lepas, saya menonton "Edisi 7" pada pukul 7.00 malam. Siaran wara berita itu menjemput Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu, secara langsung di studio. Pada masa itu, beliau menyatakan kepada perantara (dan penonton) bahawa beliau mendesak agar semua pelajar lepasan SPM yang mendapat 8A dan ke atas ditawarkan biasiswa JPA secara automatik, khususnya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Secara prinsipnya saya bersetuju dengan Datuk Seri S. Samy, tetapi pelaksanaannya tidak saya setujui. Hal ini demikian kerana dengan membiayai semua pelajar yang memperoleh
8A tanpa kecuali akan melahirkan pelajar yang 'mandom'. Bijak dalam akademik tetapi gagal dalam komunikasi dan sosal. Sahsiah dan keterampilan sudah pasti tidak ditekankan oleh pelajar-elajar ini. Realitinya memang kebanyakan pelajar yang 'bergeliga' otaknya kurang cergas fizikalnya. Hal ini kemudian akan menyebabkan lahirlah generasi bijak pandai dalam akademik, tetapi gagal dalam kehidupan. Mengapa semua ini terjadi? Semuanya hanya mengejar 8A1 kerana mereka semua sudah terjamin tajaan dan biasiswa daripada JPA. Ibu bapa pula sudah past tidak akan jemu dan berkira mengeluarkan wang ringgit untuk anak-anak ke pusat-pusat tuisyen demi memastikan anak-anak mereka mmperoleh 8A dalam SPM!

Pada hemat saya, peluang pelajar-pelajar cemerlang dalam SPM memperoleh biasiswa wajar dibuka seluas-luasnya. Namun nilai tambah yang ada pada setiap pelajar perlu diambil kira dalam proses pemberian biasiswa. Kriteria dan tatacara penawaran biasiswa oleh agensi-agensi kerajaan, khususnya JPA dan MARA ketika ini sudah memadai untuk para pelajar kita. Cuma mungkin tanpa perlu mereka mendapat semua A-pun, sekiranya mereka mempunyai kegiatan kokurikulum dan sahsiah serta keterampilan, maka mereka wajar dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya oleh pihak yang berwajib. Hal ini bagi menambahkan lagi peluang dan ruang kepada pelajar-pelajar yang seimbang kehidupan mereka, jasmani, emosi, intlek dan rohani.

Sewajarnya pihak - pihak berkaitan, sama ada KPM, JPA< MARA mahupun ibu bapa memastikan benar-benar pelajar yang hanya memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Negara sahaja diberi biasiswa agar mereka tidak nanti menjadi 'seperti kacang lupa akan kulit'!

06 Mei 2008

Keris Terhunus, berkarat rupanya!

Hari ini (semalam di internet), dalam pelbagai akhbar dimuatkan permohonan maaf Dato’ Seri Hishamduddin Tun Hussin, Ketua Pemuda UMNO Malaysia terhadap tindakannya menghunus keris Panca Warisan sewaktu Persidangan Perwakilan Tahunan pergerakan itu pada 2005. Dari satu segi, permohonan maaf ini boleh disifatkan satu perbuatan “besar” daripada pemimpin berjiwa besar. Mungkin daripada segi politik, perkara ini perlu dilakukan, sementelahan lagi BN kalah teruk di banyak negeri (perlu diingatkan bahawa UMNO tidak banyak merosot pengaruhnya, kecuali di Kelantan dan sebahagian Kedah). Cuma sebagai bangsa yang berdaulat, perlukah permohonan ini dilakukan?

Implikasi daripada permohonan maaf ini ialah : Jangan cuba mendaulat bangsa Melayu di Malaysia! Jika sesiapa berusaha mendaulatkan kedudukan Melayu, ‘walaupun hanya secara simbolik’ akan dihukum dengan seteruk-teruknya! Begitulah yng boleh difahami daripada peristiwa ini.

Persoalannya, dalam gah semboyan menuntut keadilan, kita terlupa memberikan keadilan kepada golongan majoriti. Kita berasa sangsi, adakah golongan minoriti (yang juga hampir menyamai majoriti) telah, sedang dan terus dinafikan hak mereka? Izinkan kita membawakan contoh berikut : Semasa kegawatan politik Melayu pada tahun 1999 (sebelum pilihan raya), ada golongan yang mengambil kesempatan mendesak pelbagai perkara. Mereka mendesak hak (dari segi perlembagaan dan moral) golongan majoriti (Melayu dan bumiputera) dikaji, disemak dan dihapuskan. Sementara itu, pada waktu yang sama mereka mendesak “hak” mereka daripada segi pendidikan, kebudayaan dan bahasa dipertingkat dan disamatarafkan dengan “hak” golongan majoriti yang telah dilembagakan dalam perlembagaan sebagai “identiti bangsa dan negara Malaysia”. Mereka berterus-terusan mendesak Dasar Kebudayaan Kebangsaan dimansuhkan kerana mengandungi elemen “memberikan nilai yang lebih besar” kepada golongan majoriti. Ironinya, mereka dengan lantang memperjuangkan “hak minoriti” mengatasi “hak majoriti”. Anehnya, mereka dianggap pejuang demokrasi dan pejuang keadilan. Sedangkan pada waktu yang sama, golongan majoriti yang “mengingatkan” mereka bahawa mereka “berlangitkan Malaysia, berbumikan Malaysia” dianggap golongan ultracauvanist!

Wajarkah difikirkan?

Aneh sungguh Malaysiaku!

19 April 2008

Lama sungguh

Dah lama tak melungsuri lelaman sesawang blogspot ni. Hampir-hampir terlupa ada laman sesawang aku sendiri di sini. Sebab itulah agaknya, pabila nak masuk saja ke lelaman ni, terlupa kata laluan dan nama sendiri. Nasib baik 'webmaster' lelaman ni agak mesra pengguna, jadi mudah dapatkan semula kata laluan sendiri. Harap-harap (moga-moga) selepas ini aku menjadi makin rajin mengunjungi lelaman ini. Maklumlah, Kementerian Penerangan sendiripun mengakui 'kekuatan' laman-laman blog, terutama semasa pilihan raya umum ke - 12 baharu-baharu ini. Insya-Allah, lelaman sesawang ini akan digunakan dengan bermanfaat agar selari dengan tujuan asal penciptaan teknologi, iaitu untuk memanfaatkan insan.
Kepada rakan-rakan semua, selamat berkenalan! Kepada (bekas) anak-anak murid, perkembangan terkini masih di friendster. Jenguk-jenguklah di sana dan di sini.

12 Mac 2008

Keputusan SPM (ARKIB)

Keputusan SPM

Keputusan SPM dah keluar pagi tadi. Selain 2 orang yang dapat B, semua yang lain mendapat A dalam
Bahasa Melayu, syukur alhamdulillah! Walaupun tak dijangka, namun takdir Tuhan mengtasi segala-galanya. Gred purata sekolah juga bertambah baik, 2.01 daripada 2.08 tahun lepas. Walaupun masih ada yang perlu diperbaik, namun dengan apa yang dicapai setakat ini, syukur dipanjatkan kepada Allah s.w.t.

Kepada semua pelajar yang telah mengambil slip keputusan SPM tadi, tahniah diucapkan atas kejayaan anda. Kepada mereka yang tidak mendapat semua A atau kurang A dalam keputusannya, sabarlah. Dunia belum berakhir. Masih banyak peluang dalam negara untuk dinikmati, walaupun peluang ke luar negara agar kabur. Namun tak ada apa yang mustahil dalam hidup ini. Terlepas satu peluang akan membuka banyak lagi peluang lain asalkan sanggup berusaha dan tidak berputus asa.

Sekali lagi tahniah dan terima kasih atas kejayaan anda!

05 Disember 2007

Berakhir Perjalanan…(ARKIB)

Berakhir Perjalanan…

Alhamdulillah, baru sebentar tadi, Cik Bedah dengan syahdunya berpantun (pantun ulangan) di depan para pelajar dan waris untuk majlis Sirih Pulang ke Gagang Fasa 2 (untuk pelajar aliran sains agama). Dengan itu berakhirlah riwayat mereka sebagai pelajar SBPIKP. Selepas ini, apabilaPc050013  anda melangkah  keluar saja dari pintu pagar di depan tu, anda akan digelar bekas pelajar. Diharapkan semoga semua bekas pelajar SBPIKP akan berjaya dalam hidup masing-masing. Apapun yang anda buiat, pastikan buat yang terbaik dan mendapat hasil yang terbaik juga.
Pc050014
Dari mana hendak ke mana
Tinggi rumput dari padi
Hari mana bulan mana
Dapat kita berjumpa lagi

21 Julai 2007

NKI (ARKIB)

NKI

Ari ni aku abis edit teks ucapan perasmian penutup NKI kali ke-28. Dah tak sampai sebulan lagi dah… Boleh tahan gak aku merapu. Bukan apa, sebab selalunya aku tulis macam2 pun, perasmi tu bukannya nak baca apa yang aku tulis. Wat penat jer. Dash tiga tahun wat kerja camni. Tapi OKlah jugak. Paling kurang aku boleh guna semula otak aku yang dah agak ‘berkarat’ nih. DAh lama tak baca benda-benda ilmiah, menulis jauh sekali. RAsa dah makin bodo lak… Dok crita benda sama jer. Balik2 itu..periksa, ujian..baca buku. Bosannya. Tak der wacana intelektual langsung kat sekolah tu rasanya. JAdi, dengan menulis teks ucapan ni, bolehlah mengasah semula ketajaman minda dan akal budi aku ni.. Baru la terasa macan cendekiawan, errr…terlebih puji diri sendiri pulak. Tapi itu la… Hakikat… :) 

Tapi aku rasa lepas ni aku nak mula menulis semula la. Dah rindu nak tengok nama sendiri dalam majalah.. hehehe. Umph… boleh ajak Nuar nih!

Ada siapa-siapa yang ada idea nak tulis apa?

Sang Pembicara

Tempat ketiga! Memang tak terduga, dengan saingan sengit daripada 15 peserta lain, Alia Ummira binti Radzi, pemidato IKUPS, wakil negeri Ked...