14 Mei 2024

Membugar Penulisan KT

Tanpa angin, tanpa ribut tiba-tiba mendapat undangan daripada Bahagian Profesionalisme Guru, Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengikuti Bengkel Kerja Penataran Modul Kajian Tindakan Berimak Tinggi untuk PPP Cemerlang peringkat Zon Utara pada 8-10 Mei 2024. Sudah lama saya tidak mengikuti bengel seperti ini. Seingat saya, bengkel Kajian Tindakan anjuran KPM yang saya ikuti ialah sewaktu masih menjawat gred DG41 dahulu. Kemudian, saya mengikuti beberapa bengkel KT anjuran Majlis Guru Cemerlang dan PPD Kubang Pasu sebagai urus setia dan penyumbang bahan. Jadi, bengkel kali ini boleh saya katakan untuk membugarkan semula penulisan kajian tindakan.

Seperti PPP (khususnya guru) yang lain, saya sebenarnya sudah mula culas untuk menulis kajian tindakan. Pada perkiraan saya, KT ini sudah 'tepu' kerana semua aspek PdPC telah diterokai oleh guru-guru, dan hasilnya juga mudah diperoleh melalui Internet. Bahkan, pelbagai inovasi diterbitkan oleh guru-guru hasil daripada KT ini. Jadi, menurut perkiraan saya, mengapa perlu bersusah payah menjalankan KT sedangkan kita boleh saya menguji jaya hasil-hasil yang telah diperkenalkan oleh pengkaji-pengkaji sebelum ini. Tiada ruang untuk mengkaji perkara baharu, dibandingkan dengan kajian eksperimental. Berbekalkan pemikiran tersebut, saya (dan saya yakin ramai lagi guru) tidak berminat untuk meneruskan kajian tindakan.

Namun, bengkel tiga hari dua malam di sebuah hotel di Pulau Pinang ini menjentik kesedaran saya. Bengkel kali ini menyedarkan bahawa sebenarnya kajian tindakan ialah kajian tentang PdPC kita sendiri. Sememangnya masalah yang kita temui sepanjang PdPC ialah masalah yang orang lain pernah temui. Masalah ini pernah diselesaikan oleh guru lain, namun bagaimana pula dengan kita? Proses uji jaya kaedah orang lain juga ialah kajian tindakan. Saya tersedar bahawa kita tidak semestinya mencipta kaedah baharu, namun mengimprovisasi kaedah sedia ada dengan disesuaikan dengan murid sendiri itu sudah memenuhi matlamat dan konsep kajian tindakan.

Terima kasih saya ucapkan kepada para urus setia dan pembicara sepanjang bengkel ini. En. KZ, Pn. Norma, Pn. Ts. Azlean,Dr. Hasnah, dan Dr Tunku Aida. Jazakumullahu khairan kathira. Insya-Allah, semangat baharu untuk tahun ini, sementelahan PPD Kubang Pasu telah mnjadikan IKUPS sebagai sekolah showcase KT daerah. Cuma, bila  nak mula....?






Tiada ulasan:

Merunut Akar @ Setoi

Bersama-sama rakan #kakijalan IKUPS, kami kembali ke bumi Kedah yang hilang: Setoi. Rombongan seramai sembilan orang guru ini bertujuan menj...