24 Mei 2024

Merunut Akar @ Setoi

Bersama-sama rakan #kakijalan IKUPS, kami kembali ke bumi Kedah yang hilang: Setoi. Rombongan seramai sembilan orang guru ini bertujuan menjejak kembali tapak kaki warisan Kedah yang terlepas ke tangan orang asing. Perancangan awal dengan penyertaan sekali ganda terpaksa dikurangkan kepada separuh sahaja atas pelbagai faktor. Namun, perjalanan sepanjang 3 hari 2 malam sempena sambutan hari guru 2024 ini tetap meriah.



Kami bergerak dari sekolah pada jam 2.30 petang, melepasi garis sempadan dengan Thailand di pekan Dannok bersama pemandu pelancong ke Pak Bara. Perjalanan tidak dekat berbanding memasuki Thailand dari sempadan Wang Kelian. Namun faktor logistik telah memberikan kami pilihan untuk masuk melalui sempadan kami sendiri - Bukit Kayu Hitam. Hujan agak lebat dan merata sepanjang tiga jam perjalanan kami. Akhirnya kami sampai di Pak Bara, dengan aktiviti pertama, makan malam menu seafood Thai.



hari kedua, 17 Mei 2024 - Kami meneruskan pengembaraan dengan menikmati makanan laut di  pantai Tanyong Po (Tanjung Pauh). Memang tak sah kalau ke Setoi tanpa meniukmati sajian hebat makanan laut di Tanjung Pauh. Enak dan menyelerakan, ditemani hebutan lembut bayu tengah hari. Hampir terkena kekenyangan diulit pawana sepoi-sepoi bahasa. Selepas itu, kami ke matlamat utama kami - Muzium Tengku Kudin. Sebagai pemerintah yang bertanggungjawab menyerahkan Setoi kepada Siam, melawati rumahnya yang kini dijadikan muzium memberi banyak maklumat tentang wilayah Setoi dan Ku Din Ku Meh itu sendiri. Terima kasih kepada sejarawan kami, Cikgu Omar yang memperincikan kisah dan sengsara tawarikh Setoi dan Kedah.























Kembali ke resort di tepian pantai sudah agak lewat. Namun semangat membuak-buak apabila terbayangkan ombak yang menderu-deru memanggil mendayu-dayu. 

Pagi 18 Mei, kami sarapan di gerai berhampiran resort. Aneka kuih dan nasi untuk sarapan - semuanya ala Kedah zaman-zaman dahulu (kata mereka). Daripada nasi kerabu (ini bukan makanan Kedah) hinggalah kuih golej abu, semuanya ada. Sedap! Tapi tak boleh makan terlalu banyak, takut dimuntahkan semula ke laut.




Kami menaiki bot laju ke gugusan pulau Taman Negara Tarutao. Dengan bantuan pemandu pelancong yang boleh berbahasa Inggeris dengan bantuan bahasa isyarat, matlamat utama kami diberkati Tuhan. Cuaca amat baik menjadikan kebiruan laut sebuah syurga. Menikmati tiga check point menyelam : untuk permulaan, pertengahan dan lanjutan menjadikan kami terlupa untuk pulang. Keindahan pepasir dan kejernihan air dengan terumbu karang yang berwarna-warni melupakan kami tentang air masin yang sesekali menerjah ke kerongkong. Terasa manis pula.... kerana dicampur dengan kenangan indah! Kami mengakhiri renangan (?) di Pulau Lipe. Pulau kecil yang padat dengan pelancong dan kafe serta bar. Di sana lebih mudah berborak kerana lebih ramai yang berkomunikasi dalam bahasa yang sama. Kami menjejakkan kaki di jeti Pak Bara setelah jam melebihi 5.30 (waktu Thailand).












Terburu-buru kami bersiap kerana perlu kembali ke Bukit Kayu Hitam sebelum pintu sempadan ditutup pada jam 11.00 malam (waktu Thailand). Cadangan asal untuk berhenti makan di Hat Yai terpaksa dilupakan, diganti dengan daging bakar Danok. Itupun dah baik, sebab kami sempat sampai ke CIQS Bukit Kayu Hitam sejam sebelum pintu pagar ditutup. Kalau tak, terpaksalah bermalam di Hatyai malam tu! 

Kembara yang menginsafkan: Melayu Setoi, walaupun bersempadan dengan Perlis kini telah mengisytiharkan mereka sebagai Thai Muslim. Di pekan, pasar dan tempat-tempat makan mereka hanya berbahasa Thai. Tetapi di Tamalang, alhamdulillah masih bercakap loghat Kedah! Yang lain... mungkin nanti hanya kita yang mengingat mereka sebagai Melayu, sedang mereka sendiri sudah tidak mengenal saudara di selatan mereka.

Tiada ulasan:

Merunut Akar @ Setoi

Bersama-sama rakan #kakijalan IKUPS, kami kembali ke bumi Kedah yang hilang: Setoi. Rombongan seramai sembilan orang guru ini bertujuan menj...