01 Februari 2020

BANGKOK - HARI KETIGA


25 Januari. Hari ketiga. Pagi-pagi kami dibawa ke Jalan Ramkhaeng 9. Soi 53 memang terkenal dengan kawasan Muslim terbesar di Bangkok. Selain masyarakat Muslim yang telah lama bertapak di sini dan menggunakan bahasa Thai, kedatangan imigran selatan dari Patani telah mencorakkan kawasan ini dengan bahasa Melayu Patani dan kebudayaan Melayu gelombang ketiga imigran Muslim Bangkok. Kami cuba mencari gerai atau kedai makan untuk sarapan. Rupa-rupanya masyarakat di sini mengamalkan ‘bawa balik’. Ada dua, tiga buah kedai makan yang buka, namun tidak menyediakan air. Air biasanya dibeli di kedai serbaneka 7-E. Satu budaya yang agak asing untuk masyarakat Malaysia.



Kami menuju ke pasar terapung Bangkok. Dikatakan pasar inilah yang mempelopori konsep pasar terapung, sebelum ditiru kawasan-kawasan lain, khususnya yang menjadi tumpuan pelancong Malaysia di Hatyai. Konsep juga sedikit berbeza sebab di sini, pelancong yang menaiki bot atau perahu dan singgah di mana-mana kedai yang dibina sepanjang sungai. Namun, macam biasa, harganya agak mahal. Cuma makanan halal sukar diperoleh di sini. Teringin makan aiskrim kelapa, tetapi Ustazah Jailah meragu-ragukan tentang kehalalannya. Maka jadi kempunan sajalah…






Kami meneruskan perjalanan lebih kurang sejam dari pasar terapung ke stesen kereta api Mae Klong. Yang istimewa stesn kereta api ini ialah pasar hari menggunakan landasan kereta api untuk urus niaga. Namun apabila tiba masa keretapi sampai atau keluar, peniaga-peniaga mengalihkan barangan mereka. Begitu sistematik. Sebab mereka sudah biasa, maka mereka tahu sejauh mana barangan mereka perlu dialih. Alah biasa tegal biasa. Diberitakan ini antara stesen yang masih mengamalkan cara ini. Ada stesen yang sama di Vietnam telah ditutup oleh kerajaan atas faktor keselamatan.



Kami balik ke Bangkok dan singgah di Menam Chao Praya. Pernah menjadi pusat dagangan terbesar Thailand pada abad ke-18 dan 19, sungai ini kini menjadi tempat libur yang berprestij. Selain kawasan beli belah dan bersantai Asiatique Riverfront, ia turut dikelilingi hotel-hotel mewah. Café-café dan pub untuk bersantai juga banyak. Yang menarik, ada feri menyusur menam sambil menikmati matahari terbenam. Namun sebab kami tiba selepas matahari telah berselimutkan kegelapan,  maka apa yang boleh dilihat hayalah kawasan libur yang moden dan menarik. Mungkin jika datang lagi, perlu lebih awal berada di sini.





Kami pulang selepas menikmati meang phla yang wow... aroyyy!!! Tempatnya, sekitar Bangkok (maaf, tak tau nama pulak)




Tiada ulasan:

Sang Pembicara

Tempat ketiga! Memang tak terduga, dengan saingan sengit daripada 15 peserta lain, Alia Ummira binti Radzi, pemidato IKUPS, wakil negeri Ked...