31 Mac 2013

Untuk kalian... anak-anak i-KUPs


Saat dinihari begini, hati ini tersedak. Dalam kebeningan alam, dalam kesunyian jiwa; entah mengapa atma ini terasa sayu. Kedinginan embun, jua kesayupan suara unggas malam, terasa begitu saujana, sedang sayupnya perasaan berkocak di kalbu. Entah mengapa... dalam kesyahduan irama bayu, dalam kesenduan bicara purnama, sukma ini tertancap pada anda semua - (bekas) anak- anak i-KUPs.


Bagaimana kiranya kalian. Sudahkah jeruk rasa yang membungkam di hati terburai di tengah-tengah keriuhan manusia? Sudahkan cengkaman azab di penjara sempadan terurai dengan derasnya masa mayapada? Moga-moga demikianlah. Moga-moga begitulah. Kerana sesungguhnya tiada keajaiban yang lebih ajaib di mata murabbi di sini melainkan melihat kalian gagah menyongsong badai realiti dunia. Kerana tiada yang lebih membahagiakan daripada melihat kalian tertawa meredah belantara sengsara dunia - tanpa gentar!

(gambar drp : http://ciffahmimalomuchacha.blogspot.com)

Dalam keriuhan yang sendu, masih terngiang - ngiang ucapan kalian : "terima kasih ... dan maafkan kami atas keputusan yang tidak seberapa". Sungguh, bukan itu yang hati kami inginkan. Bukan itu yang pendengaran kami dambakan. Kerana hakikatnya, jauh di lubuk sukma ini - kami yang harus mengucapkannya kepada kalian. Resah hati bukan kerana tersasarnya sasaran. Remuk jiwa kami kerana sedar bahawa harapan kalian, harapan ayah bondamu - tersadai di sumur ujian ini. Bukan ... bukan!!! Bukan kalian yang menjadi pendosa, bahkan dari dasar atma ini, terasa kamilah yang tidak berjaya. Gagal membawakan impian kalian melonjak membelah bulan. Gagal membawakan cita-cita kalian menggalah mengharung gelombang. Mungkin dalam leteran ada amarah. Mungkin dalam amarah ada benci. Mungkin dalam salam ada tersentuh perasaan. Mungkin dalam doa tiada ikhlas. Maaf... mungkin murabbi ini belum membalut qalbi dengan akhlak sesuci wali; iman setebal sahabat. Maaf...



Kerana kalian pewaris ummah. Kerana kalian penerus perjuangan. Maka teruskanlah, anak-anak... Bukannya ini perjuangan terakhir. Bukan ini pertempuran penyudah. Ini hanyalah pencetus semangat. Ujian yang ingin melihatmu bangkit daripada ketersungkuran. Kerana kami yakin bahawa, kalian ialah pejuang yang kental. Pahlawan yang tidak terkalahkan dek onak dalam cuka kehidupan. Pembela yang tidak terkesima dengan sedikit kejayaan. Usah kaukhuatir anak-anak... Kami reda dengan apa-apa yang ada pada kamu. Selagi kauturut titian syariat, selagi kaupandang dengan makrifat... selagi itulah restu kami memayungi kalian.

Teruskan perjuangan, anak-anak!

6 ulasan:

Muhd Iqbal Samsudin berkata...

terima kasih cikgu :)

sedih pulak baca coretan hati cikgu ni ^^

Tanpa Nama berkata...

terima kasih ckgu krana telah mndidik kmi...:)..terima kasih kerana mmbri smngt kpda kmi utk kmi trus brjuang...jasamu akn slalu kuknang...:)

fatin amani (5irsyad2012) berkata...

terimA kasih cikgu..jasamu akn ku kenang sampai bila2..maafkan saya sbb saya salah seorang pelajar spm 2012 yg xdpt nk memberikan yg terbaik untuk subjek bahasa melayu..apa pun cikgu...cikgu da banyak berjasa kepada saya..susah nk membalasnya cikgu...terima kasih cikgu...

Wakil U-forts berkata...

Coretan ini begitu bermakna bagi diri ini. Sesungguhnya saya selaku wakil tingkatan 5 2012 bohonglah andai berkata kami tak malu dengan keputusan kami. Kami punya silap. Silap kami adalah tak mengetahui apa silap kami. Himpunan ucapan terima kasih kerana tak jemu membuat yang terbaik kepada kami. Tadahan kemaafan dipinta kerana ini saja yang kami terdaya. Sungguh, yang berlalu biarkan berlalu. Semoga akan datang lebih baik. Hanya kepadaNya kita mohon agar kejayaan dijunjung untuk SPM 2013. Semoga Allah merahmati seluruh warga pengajar iKUPs selalu :)

muhaimin zaini berkata...

sayu saya mndgrnya..sdih pown ada....terima kasih ckgu sbb ajar saya...

ayna nurya berkata...

Terima kasih cikgu :)

Sang Pembicara

Tempat ketiga! Memang tak terduga, dengan saingan sengit daripada 15 peserta lain, Alia Ummira binti Radzi, pemidato IKUPS, wakil negeri Ked...