Akhirnya, ceritera PPSMI telah ditutup buku oleh Menteri Pelajaran. Muktamad. Itu katanya. PPSMI telah secara rasmi dikerandakan. Cuma proses menguburkannya belum boleh dilaksanakan sepenuhnya. Maklumlah, tukang gali kuburnya tidak berapa ramai. Siapa-siapa yang berhajat, bolehlah memohon sebagai penggali kubur PPSMI. Nampaknya lama lagilah mayat ni berbaring dalam keranda. Harap-harap dalam kecanggihan teknologi ini, tak ada lagi siapa-siapa yang buka kembali keranda, beri bantuan pernafasan untuk menghidupkannya semula. Bukan apa, takut nanti akan jadi seperti 'Zombi Kampung Pisang'. Tak pasal-pasal kena cari bomoh lain pula!
Setuju atau tidak, sebagai penjawat awam, saya mengalu-alukan keputusan ini. Walaupun penggalian kubur masih guna cangkul (sekarang dah guna jengkaut), tak apalah. Walau bagaimanapun, pengerandaan PPSMI tidak akan bermakna sekiranya dasar MBMMBI tidak dijalankan dengan sepenuh daya dan tenaga. Usaha-usaha meneruskan prakarsa menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi tidak akan berjaya sekiranya kita hanya mengkritik. Jadi, cadangan Tan Sri Khalid Nordin, Menteri Pengajian Tinggi untuk memasukkan penulisan jurnal ilmiah dalam bahasa Melayu sebagai salah satu kriteria pemilihan untuk ke jawatan profesor di universiti amatlah saya sokong. Sementelahan, saranan Tan Sri Muhyidin Yasin, Timbalan Perdana Menteri agar BNM dan DBP mewujudkan 'audit bahasa' di sektor perbankan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan perlu dipandang serius oleh pihak terbabit. Kita berasa agak malu dengan negara jiran apabila selepas 54 tahun merdeka, kita masih perlu mewujudkan Bulan Bahasa Kebangsaan!
Jadi, kepada PAGE dan JMM (serta rakan-rakannya yang lain), cukuplah! Berhentilah! Orang yang bijaksana ialah mereka yang tahu bila waktunya mereka perku berhenti!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan