(74) Barang siapa tiada syukur ia akan segala nikmat, maka sanya mengerjakanlah ia bagi yang menghilangkan dia; dan barang siapa syukur ia akan dia, maka sanya telah menambatkan ia akan dia dengan tambatannya:: {Bermula} syukur itu suka hati pada yang memberi nikmat tiada pada nikmat hingga lalu demikian itu pada segala anggota. Maka tertegahlah daripada berhadap bagi lainnya dan menghinakankan pada pekerjaannya. {Dan kata} Syeikh Junayd r.h : adalah aku kepada Syeikh Sariyu [al-Sariyu 'l-Saqati - pen] dan aku pada masa itu umurku tujuh tahun, dan hadapannya beberapa orang yang berkata-kata mereka itu dalam syukur. Maka kata Syeikh itu, "hai budak!Apa syukur?". Maka kataku, "bahawa tiada derhaka akan Allah dengan sebab nikmat-Nya". Maka katanya, " hampirlah ada bagimu daripada Allah lisanmu". Maka sentiasa aku menangis atas kalimah ini.
{Dikata} setengah mereka itu bahawasanya syukur itu atas tiga bahagi, iaitu syukur pada hati {dan} syukur pada lisan {dan}syukur pada segala anggota.
Maka syukur pada hati itu iaitu : diketahui bahawasa segala nikmat itu daripada Allah Ta'ala. Dan syukur pada lisan itu iaitu membanyak puji atas Allah Ta'ala dengan lisannya dan masuk dalamnya itu menyebut-nyebut segala nikmat dan mezahirkan dia. Dan syukur pada segala anggota itu bahawa mengerjakan dengan dia amal yang salih, dijadikan dia amal itu akan syukur.
Maka adapun orang yang syukur dengan lisannya, dan tiada syukur pada segala anggotanya, maka upamanya seperti upama seorang lelaki baginya pakaian diambil pada dua tepinya dan tiada dipakainya pada sekaliannya. Maka tiadalah memberi manfaat akan dia demikian tiu daripada panas dan sejuk dan embun dan hujan!
(75)Takut olehmu daripada sentiasa ihsan-Nya kepadamu dan daripada sentiasa kejahatanmu sertanya. Bahwa adalah yang demikian itu melorongkan bagimu seperti firman Allah Ta'ala : lagi akan Kami lorongkan mereka itu daripada sekian-sekian; tiada mengetahui mereka itu pada yang demikian itu.
{Bermula} takut olehmu istidraj pada segala nikmat itu daripada sifat mukmin dan ketiadaan takut daripada-Nya serta sentiasa atas kejahatan itu daripada sifat munafik. Dan kata orang daripada alamat istidraj itu mengenderai kejahatan dan ghurur padanya, maka suka yang didatangkan itu. Maka diambil mereka itu terkejut, maka tiba-tiba bereka itu putus daripada rahmat. Maka barangsiapa menyangka ia dengan ihsan kepada-Nya, padahalnya ia kejahatan atas sesuatu itu, maka iaitu istidraj!
{Dan kata} Abu al-'Abbas ibn 'Ataillah: [tanda-tanda istidraj itu, ialah- pen] manakala mendatangkan mereka itu akan kesalahan maka Kami datangkan bagi mereka itu akan nikmat, dan Kami lupakan mereka itu istighfar daripada kesalahannya.
[dipetik daripada Syarah Hikam oleh Tok Ku Pulau Manis, m/s : 45 - 46]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan