13 April 2011

Kokokan PPSMI di Tengah Hari

 
  1. Saya kagum dengan kesungguhkan Parent Action Group for Education (PAGE) dalam memperjuangkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pemelajaran Sains dan Matematik. Selepas gagal mempengaruhi kuasa politik untuk meneruskan dasar PPSMI, mereka terus bermati-matian mempertahankan dasar itu dengan pelbagai cara. Oleh sebab didokongi golongan elit, mudah bagi mereka menempatkan suara di dada-dada akhbar. Kesungguhan yang tanpa batasan ini sekiranya digunakan oleh PAGE untuk mencari jalan dan upaya memastikan guru-guru terlatih dalam Bahasa Inggeris (TESL) ditempatkan di sekolah-sekolah luar bandar; alangkah moleknya!
  2. Sisipan The Star terbaru (10.4.2011) memaparkan 'kerisauan' PAGE terhadap pemansuhan PPSMI - seolah-olah tanpa penggunaan Bahasa Inggeris dalam P&P bagi kedua-dua subjek (dan anak-anaknya) tersebut, maka kualiti pelajar makin merosot. Menggunakan pelbagai hujah - termasuk hujah yang pernah digunakan oleh pihak yang menentang PPSMI dahulu, iaitu hak pelajar untuk belajar dalam bahasa pilihan mereka - PAGE tanpa berselindung 'seolah-olah' menyalahkan pihak guru yang gagal mengajar Sains dan Matematik menggunakan Bahasa Inggeris dengan betul yang menyebabkan kegagalan dasar ini.
  3. Mungkin kita perlu diperingatkan tentang Dasar Bahasa Kebangsaan 1963/69 yang membawa kepada pemansuhan sekolah aliran Inggeris di Malaysia. Dasar ini menekankan penggunaan bahasa kebangsaan dalam segala 'urusan rasmi' termasuk di sekolah. Jadi tidak timbul masalah bahasa Inggeris sebagai lingua franca dunia kerana yang ditekankan di sini ialah penggunaan total bahasa kebangsaan di Malaysia. Bahkan dalam Akta Pendidikan 1996, bahasa kebangsaan telah diletakkan sebagai bahasa perantara  utama dalam P&P di sekolah kebangsaan (kecuali dalam pendidikan bahasa asing!).
  4. Saya tidak mahu lagi bercakap tentang : "Kami tidak menentang bahasa Inggeris atau apa-apa bahasa, tetapi...." kerana saya kira pihak PAGE sudahpun menulikan telinga dan membatukan minda. Saya cuma berharap mereka sedar yang mereka berada di bumi Malaysia. Di sini, ada tiga jenis sekolah : Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan, dan Sekolah Swasta (termasuk sekolah antarabangsa). Pilihlah yang mana satu idaman kalbu - tetapi jangan merapu-rapu. Masuk kandang kambing mengembeklah, masuk kandang kerbaui, menguaklah; masuk kandang harimau, haaa... reti-retilah mengucap!

3 ulasan:

yui berkata...

ooo ingatkan smua org xsuka ppsmi...

Maswafi Abd Samat berkata...

Aku rasa takde masalah nak gunakan bahasa apa pun ikut keperluan. Kalau tempat aku mengajar angka 1-100 guna bahasa inggeris ambil masa 3 tahun. Tapi dalam bahasa melayu cuma 1 tahun. Tapi kalau guna bahasa tempatan mungkin lebih cepat. Yang penting murid kenal angka dalam matematik, barulah ia pergi kepada bahasa. Kerana angka (simbol) 1,2,3 adalah sama dalam bahasa-bahasa tempatan.

Muhd Iqbal Samsudin berkata...

menyokong pendapat cikgu!!

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...