23 November 2009

Puisi : Satu Pengenalan

Haron Mat Piah, dalam bukunya, "Puisi Melayu Tradisional", menyebut bahawa "puisi ... ialah satu bentuk pengucapan dalam susunan yang istimewa, yang merujuk kepada ciri-ciri kepuisian sesebuah ungkapan berbanding dengan pengucapan biasa yang digunakan dalam pertuturan sehari-hari; dan bahasa yang mementingkan kebenaran daya intelektual dan logika (discursive or logical thought) yang khusus dalam bentuk prosa dan tidak berunsur sastera". Sasterawan Negara, Prof. Muhammad Haji Salleh pula menyimpulkan puisi sebagai satu bentuk yang lebih kental, berentak, banyak berunsur muzik bahasa. Penggunaan bahasa dalam genre ini juga lebih padat, teliti dan kadang kala mendekati lagu. Temanya diambil dan diolah daripada hidup seharian, tetapi dipersembahkan kepada pembaca atau pendengar dengan sudut pandangan agak luar biasa; dan dengan itu dapat membijakkan pembaca atau pendengarnya.
Di Alam Melayu, para sarjana telah membahagikan puisi tradisonal kepada 8 - 18 genre puisi. Haron Mat Piah membahagikan genre puisi tradisonal kepada 12 : pantun, syair, nazam, gurindam, sekola, teka-teki, peribahasa berangkap, teromba, talibun (atau sesomba), prosa berirama atau prosa lirik, mantera, dan dikir atau zikir. Namun antara puisi tersebut, hanya syair dan pantun yang sering diperhati oleh kebanyakan masyarakat. Namun dengan pengenalan KOMSAS di sekolah menengah, masyarakat mula diperkenalkan dengan gurindam dan seloka. Lebih membanggakan, pelbagai irama gurindam dan seloka selain syair mula mendapat perhatian masyarakat, khususnya para pelajar sekolah.
Sebagai masyarakat yang menuju ke arah negara maju menjelang 2020, kita seharusnya menghayati kesusasteraan bangsa kita. Jika masyarakat Barat bangga dengan pelbagai karya seni oleh penyair, penulis dan pelukis agung mereka, kita sesungguhnya tidak kalah. Kita mempunyai hasil kesusasteraan tersendiri yang perlu kita banggakan. Jangan apabila negara lain 'mempatenkan' sesebuah seni sebagai hak milik negara mereka, baharulah kita terperanjat dan tergesa-gesa mempopularkannya. Walhasilnya, kita dituduh menciplak budaya mereka!
Salam budaya!

Tiada ulasan:

Sang Pembicara

Tempat ketiga! Memang tak terduga, dengan saingan sengit daripada 15 peserta lain, Alia Ummira binti Radzi, pemidato IKUPS, wakil negeri Ked...