06 November 2009

SBT ~ Bagaimana Kesudahannya?


Adakah sekolah-sekolah yang ada kini masih belum mencapai kualiti yang diharapkan? Apakah penubuhan pelbagai jenis sekolah : SBP, SMKA, Sekolah Seratus Tahun, Sekolah Premier, Sekolah Bestari, Sekolah Sukan, selain Sekolah Kluster, belum memadai menjamin kualiti pendidikan negara? Apakah yang menghambat pihak kerajaan sehingga memaksa mereka melambakkan sejumlah RM 20 juta kepada 20 buah sekolah (purata RM 1 juta bagi setiap sekolah) untuk mewujudkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT)?


Menurut Perdana Menteri, merangkap Menteri Kewangan, SBT akan menumpukan kepada kecemerlangan akademik dan pencapaian keseluruhan pelajar termasuk disiplin dan kebersihan, aktiviti kokurikulum, dan penguasaan bidang keutamaan sekolah. Yang menjadi persoalan sekarang, adakah sekolah-sekolah yang sedia ada tidak menjurus ke arah itu?


Jika kita perhatikan sekarang, terlalu banyak jenis sekolah di Malaysia. Namun yang menjadi persoalannya, sejauh manakah sekolah-sekolah ini berjaya (dengan menunjukkan hasilnya) membawa matlamat penubuhannya? Sekolah bestari sebagai contoh, bagaimanakah hasilnya? Begitu juga dengan Sekolah Kluster yang baharu sahaja diwujudkan: adakah sudah terdapat tanda-tanda kejayaannya? Malah, lebih utama : Sekolah Berasrama Penuh. Sudahkah terpenuh visi dan misinya?


Jika diperhatikan, sejak penubuhan SMKA, SBP, Sekolah Bestari dan Sekolah Kluster, banyak sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah tersebut. Sebagai contoh, Kolej Islam Sultan Alam Shah dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan (Kajang & Labu), boleh dikategorikan dalam kategori-kategori tersebut. Begitu juga dengan sekolah-sekolah premier lain, SSAS, SSP, MCKK, STAR serta sekoah-sekolah SBP. Yang ingin saya nyatakan ialah, apa-apapun jenis sekolah yag diperkenalkan, kebanyakannya akan diberikan kepada SBP juga. Jika demikian halnya, mengapakah kerajaan tidak secara langsung memperkasakan SBP sahaja? Lebih baik semua SBP menerima peruntukan yang sama agar pembaziran sumber, khususnya di peringkat pentadbiran tidak berlaku.


Pada hemat saya, biar kecil kuantiti asalkan besar kualitinya daripada banyak tetapi bersifat seperi tompok-tompok yang tidak kukuh!

Tiada ulasan:

Sang Pembicara

Tempat ketiga! Memang tak terduga, dengan saingan sengit daripada 15 peserta lain, Alia Ummira binti Radzi, pemidato IKUPS, wakil negeri Ked...