11 September 2024

Sang Pembicara

Tempat ketiga! Memang tak terduga, dengan saingan sengit daripada 15 peserta lain, Alia Ummira binti Radzi, pemidato IKUPS, wakil negeri Kedah berjaya mencapai tempat ketiga. Pertandingan Pidato Aspirasi Generasi Madani peringkat kebangsaan bertempat di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, KL menjadi saksi hasil tungkus-lumus selama berbulan-bulan. Alhamdulillah syukur... Terima kasih Sdr. Alia Ummira yang telah merealisasikan hasrat diri dan sekolah untuk bersiri gah di persada dunia! 
Tahniah!







24 Mei 2024

Merunut Akar @ Setoi

Bersama-sama rakan #kakijalan IKUPS, kami kembali ke bumi Kedah yang hilang: Setoi. Rombongan seramai sembilan orang guru ini bertujuan menjejak kembali tapak kaki warisan Kedah yang terlepas ke tangan orang asing. Perancangan awal dengan penyertaan sekali ganda terpaksa dikurangkan kepada separuh sahaja atas pelbagai faktor. Namun, perjalanan sepanjang 3 hari 2 malam sempena sambutan hari guru 2024 ini tetap meriah.



Kami bergerak dari sekolah pada jam 2.30 petang, melepasi garis sempadan dengan Thailand di pekan Dannok bersama pemandu pelancong ke Pak Bara. Perjalanan tidak dekat berbanding memasuki Thailand dari sempadan Wang Kelian. Namun faktor logistik telah memberikan kami pilihan untuk masuk melalui sempadan kami sendiri - Bukit Kayu Hitam. Hujan agak lebat dan merata sepanjang tiga jam perjalanan kami. Akhirnya kami sampai di Pak Bara, dengan aktiviti pertama, makan malam menu seafood Thai.



hari kedua, 17 Mei 2024 - Kami meneruskan pengembaraan dengan menikmati makanan laut di  pantai Tanyong Po (Tanjung Pauh). Memang tak sah kalau ke Setoi tanpa meniukmati sajian hebat makanan laut di Tanjung Pauh. Enak dan menyelerakan, ditemani hebutan lembut bayu tengah hari. Hampir terkena kekenyangan diulit pawana sepoi-sepoi bahasa. Selepas itu, kami ke matlamat utama kami - Muzium Tengku Kudin. Sebagai pemerintah yang bertanggungjawab menyerahkan Setoi kepada Siam, melawati rumahnya yang kini dijadikan muzium memberi banyak maklumat tentang wilayah Setoi dan Ku Din Ku Meh itu sendiri. Terima kasih kepada sejarawan kami, Cikgu Omar yang memperincikan kisah dan sengsara tawarikh Setoi dan Kedah.























Kembali ke resort di tepian pantai sudah agak lewat. Namun semangat membuak-buak apabila terbayangkan ombak yang menderu-deru memanggil mendayu-dayu. 

Pagi 18 Mei, kami sarapan di gerai berhampiran resort. Aneka kuih dan nasi untuk sarapan - semuanya ala Kedah zaman-zaman dahulu (kata mereka). Daripada nasi kerabu (ini bukan makanan Kedah) hinggalah kuih golej abu, semuanya ada. Sedap! Tapi tak boleh makan terlalu banyak, takut dimuntahkan semula ke laut.




Kami menaiki bot laju ke gugusan pulau Taman Negara Tarutao. Dengan bantuan pemandu pelancong yang boleh berbahasa Inggeris dengan bantuan bahasa isyarat, matlamat utama kami diberkati Tuhan. Cuaca amat baik menjadikan kebiruan laut sebuah syurga. Menikmati tiga check point menyelam : untuk permulaan, pertengahan dan lanjutan menjadikan kami terlupa untuk pulang. Keindahan pepasir dan kejernihan air dengan terumbu karang yang berwarna-warni melupakan kami tentang air masin yang sesekali menerjah ke kerongkong. Terasa manis pula.... kerana dicampur dengan kenangan indah! Kami mengakhiri renangan (?) di Pulau Lipe. Pulau kecil yang padat dengan pelancong dan kafe serta bar. Di sana lebih mudah berborak kerana lebih ramai yang berkomunikasi dalam bahasa yang sama. Kami menjejakkan kaki di jeti Pak Bara setelah jam melebihi 5.30 (waktu Thailand).












Terburu-buru kami bersiap kerana perlu kembali ke Bukit Kayu Hitam sebelum pintu sempadan ditutup pada jam 11.00 malam (waktu Thailand). Cadangan asal untuk berhenti makan di Hat Yai terpaksa dilupakan, diganti dengan daging bakar Danok. Itupun dah baik, sebab kami sempat sampai ke CIQS Bukit Kayu Hitam sejam sebelum pintu pagar ditutup. Kalau tak, terpaksalah bermalam di Hatyai malam tu! 

Kembara yang menginsafkan: Melayu Setoi, walaupun bersempadan dengan Perlis kini telah mengisytiharkan mereka sebagai Thai Muslim. Di pekan, pasar dan tempat-tempat makan mereka hanya berbahasa Thai. Tetapi di Tamalang, alhamdulillah masih bercakap loghat Kedah! Yang lain... mungkin nanti hanya kita yang mengingat mereka sebagai Melayu, sedang mereka sendiri sudah tidak mengenal saudara di selatan mereka.

14 Mei 2024

Membugar Penulisan KT

Tanpa angin, tanpa ribut tiba-tiba mendapat undangan daripada Bahagian Profesionalisme Guru, Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengikuti Bengkel Kerja Penataran Modul Kajian Tindakan Berimak Tinggi untuk PPP Cemerlang peringkat Zon Utara pada 8-10 Mei 2024. Sudah lama saya tidak mengikuti bengel seperti ini. Seingat saya, bengkel Kajian Tindakan anjuran KPM yang saya ikuti ialah sewaktu masih menjawat gred DG41 dahulu. Kemudian, saya mengikuti beberapa bengkel KT anjuran Majlis Guru Cemerlang dan PPD Kubang Pasu sebagai urus setia dan penyumbang bahan. Jadi, bengkel kali ini boleh saya katakan untuk membugarkan semula penulisan kajian tindakan.

Seperti PPP (khususnya guru) yang lain, saya sebenarnya sudah mula culas untuk menulis kajian tindakan. Pada perkiraan saya, KT ini sudah 'tepu' kerana semua aspek PdPC telah diterokai oleh guru-guru, dan hasilnya juga mudah diperoleh melalui Internet. Bahkan, pelbagai inovasi diterbitkan oleh guru-guru hasil daripada KT ini. Jadi, menurut perkiraan saya, mengapa perlu bersusah payah menjalankan KT sedangkan kita boleh saya menguji jaya hasil-hasil yang telah diperkenalkan oleh pengkaji-pengkaji sebelum ini. Tiada ruang untuk mengkaji perkara baharu, dibandingkan dengan kajian eksperimental. Berbekalkan pemikiran tersebut, saya (dan saya yakin ramai lagi guru) tidak berminat untuk meneruskan kajian tindakan.

Namun, bengkel tiga hari dua malam di sebuah hotel di Pulau Pinang ini menjentik kesedaran saya. Bengkel kali ini menyedarkan bahawa sebenarnya kajian tindakan ialah kajian tentang PdPC kita sendiri. Sememangnya masalah yang kita temui sepanjang PdPC ialah masalah yang orang lain pernah temui. Masalah ini pernah diselesaikan oleh guru lain, namun bagaimana pula dengan kita? Proses uji jaya kaedah orang lain juga ialah kajian tindakan. Saya tersedar bahawa kita tidak semestinya mencipta kaedah baharu, namun mengimprovisasi kaedah sedia ada dengan disesuaikan dengan murid sendiri itu sudah memenuhi matlamat dan konsep kajian tindakan.

Terima kasih saya ucapkan kepada para urus setia dan pembicara sepanjang bengkel ini. En. KZ, Pn. Norma, Pn. Ts. Azlean,Dr. Hasnah, dan Dr Tunku Aida. Jazakumullahu khairan kathira. Insya-Allah, semangat baharu untuk tahun ini, sementelahan PPD Kubang Pasu telah mnjadikan IKUPS sebagai sekolah showcase KT daerah. Cuma, bila  nak mula....?






23 November 2023

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang diketuai oleh ketua baharu, Cikgu Azlina dari SMA Hidayah Islamiyah mengambil pendekatan berfokus bagi memberi suntkan semangat kepada murid-murid yang akan menempuh SPM yang tidak berapa lama lagi mendatang. 

Pasukan AST berkampung bersama-sama murid dari selkuruh sekolah Kubang pasu di SMK Tanjung Pauh pada 21 November 2023. Walaupun dirasakan agak lewat, namun diharapkan Program Optimis A (SASKEM) SPM Kubang pasu ini menambah percikan semangat calon-calon untuk mendepani peperiksaan SPM. Pasukan AST telah menampilkan 9 orang jurulatih utama (JU) Bahasa Melayu Kubang Pasu. Tahniah kepada Cikgu Nazarita yang telah menggamatkan Dewan SMK Tanjung pasuh selama lebih dua jam sepanjang program ini. Tahniah kepada team AST yang tidak pernah jemu mencurahkan ilmu pengetahuan dan kepakaran demi kecemerlangan murid-murid daerah Kubang pasu. Cuma diharapkan pihak PPD menjalankan program ini lebih awal pada tahun hadapan bagi memperoleh outcome yang maksimum.

Saya seperti biasa, jurugambar (dan jurugembur) saja... :-D








Sang Pembicara

Tempat ketiga! Memang tak terduga, dengan saingan sengit daripada 15 peserta lain, Alia Ummira binti Radzi, pemidato IKUPS, wakil negeri Ked...