26 Jun 2009

Pengehaan Subjek SPM - Satu Pandangan

Muktamad sudah! Menteri Pelajaran mengumumkan bahawa mulai tahun 2010 hanya 10 subjek sahaja dibenarkan diambil oleh setiap pelajar SPM dalam satu-satu peperiksaan. Walau bagaimanapun, sedikit pengecualian diberikan kepada pelajar aliran sains tulen agama : mereka dibenarkan mengambil 11 subjek pada tahun 2010, tetapi selepas itu, 2011 dan seterusnya - hanya 10 subjek dibenarkan.

Pandangan saya:

Saya menyokong pengehadan subjek dalam SPM dengan mengambil kira "kegilaan" masyarakat (ibu bapa dan pelajar) mengambil subjek berlebihan sehingga mewujudkan gambaran tidak sihat terhadap sistem pendidikan negara.

Pengehadan walau bagaimanapun perlulah mengambil kira semangat pendemokrasian pendidikan yang diuar-uarkan oleh mantan Menteri Pendidikan, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak ketika membentangkan usul Akta pendidikan 1996 di Dewan Rakyat.

Pelajar sains tulen agama perlu dibenarkan mengambil maksimum 12 mata pelajaran dalam peperiksaan SPM. Hal ini demikian kerana pengambilan 11 atau 12 mata pelajaran oleh mereka adalah jumlah minimum yang membolehkan mereka benar-benar menjadi pelajar aliran Sains Tulen Agama.

Cadangan saya:-

Fenomena mengambil mata pelajaran lebih daripada yang sepatutnya wajar dikekang dengan cara memperkenalkan semula pakej mata pelajaran mengikut aliran seperti yang diamalkan sebelum tahun 1999 apabila persijilan terbuka diperkenalkan. KPM wajar memperkenalkan aliran pengajian di tingkatan 4 dengan setiap aliran dibekalkan dengan pakej mata pelajaran yang boleh diambil. KPM juga boleh mengehadkan setiap pelajar hanya boleh mengambil maksimum dua (2) pakej aliran sahaja - misal : Sastera Tulen + Agama; Sastera Tulen + Sastera Ikhtisas; atau Sains Tulen + Agama.

Contoh aliran sastera tulen + agama :

Subjek bagi sastera Tulen :-
1. Subjek Teras (6)
2. Kesusasteraan Melayu
3. Kesusasteraan Inggeris
4. Kesusasteraan Tamil


Subjek Aliran Agama :-
1. Subjek Teras (5)
2. Pendidikan al-Quran dan Al-Sunnah
3. Pendidikan Syariah Islamiah
4. Tasawwur Islam
5. Bahasa Arab

Maka bagi aliran sastera + agama, mata pelajaran yang wajar diambil ialah:-
1. Bahasa Melayu
2. Bahasa Inggeris
3. Matematik
4. Sejarah
5. Sains
6. Kesusasteraan Melayu
7. Bahasa Arab
8. Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah
9. Pendidikan Syariah Islamiah
10. Tasawwur Islam (pilihan)

Bagi aliran sains tulen + agama pula:
1. Bahasa Melayu
2. Bahasa Inggeris
3. Matematik
4. Sejarah
5. Biologi
6. Kimia
7. Fizik
8. Matematik Tambahan
9. Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah
10. Pendidikan Syariah Islamiah
11. Bahasa Arab
12. EST (pilihan)
13. Tasawur Islam (pilihan)

Memanglah ada bantahan kerana seolah-olah telah meminggirkan aspek potensi dan meneroka pelbagai ilmu, tetapi dikira ia lebih baik daripada menghukum semua pelajar dengan mengharamkan mereka mengambil lebih daripada 10 subjek, padahal pada keadaan tertentu ia perlu kerana keperluan aliran yang diambil oleh mereka.

Saya risau keputusan mengehadkan kepada 10 subjek sahaja bagi calon SPM 2010 akan menjadi polemik tidak bermanfaat sekiranya diteruskan. Oleh hal yang demikian, daripada membazirkan masa dengan pelbagai masalah pada kemudian hari, lebih baiklah pihak Kementerian Pelajaran mengambil kira pelbagai faktor sebelum meneruskan keputusan yang diumumkan oleh Menteri pelajaran. Saya yakin banyak sumber kepakaran yang ada di KPM untuk dirujuk oleh Menteri Pelajaran!

Jangan sudah terhantuk baru tengahadah atau apabila nasi sudah menjadi bubur baharulah menagis dengan air mata darah!

Tiada ulasan:

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...