03 Julai 2009

Kongres Pendidikan Islam

Menurut laman sesawang berita Malaysiakini "Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) akan menganjurkan Kongres Pertama Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara (Ko-Spin) di Shah Alam pada 11 Julai 2009". Saya tertarik dengan usaha yang dianjurkan oleh mahasiswa tersebut. Sebagai bekas mahasiswa, pengalaman berada di universiti sungguh menakjubkan. Mengadakan seminar dan wacana ilmiah adalah antara perkara yang boleh kami lakukan selain demonstrasi.

Pendapat saya:-
  1. Usaha tersebut ialah usaha terpuji yang perlu digalakkan. Sesuai dengan namanya – kali pertama – diharapkan selepas ini lebih banyak usaha sebegini dijalankan dengan menggabungkan pelbagai pihak bagi menjana idea yang berkesan ke arah sistem pendidikan yang lebih baik.

  2. Seharusnya bukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang dikaji semula kerana pada pandangan saya – guru terlatih – FPK sudah memadai. Sementelah lagi, pendidikan Islam sendiri mempunyai Falsafah Pendidikan Islam yang menjadi panduan kepada penggubalan kurikulum pendidikan Islam dalam sistem pendidikan kebangsaan. Cuma yang perlu dinilai dan dikaji semula ialah pelaksanaannya, sama ada dari segi kurikulum, penilaian, mahupun kokurikulum.

  3. Kongres tersebut kurang memberi kesan kerana tiada wakil daripada pihak yang berautoriti daripada Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi serta Majlis-majlis Agama Negeri (Bahagian Pendidikan). Begitu juga sewajarnya kongres sebegini perlu mengambil kira hasil kajian lapangan daripada guru-guru sendiri, misalnya oleh KPPK (NUTP) atau badan-badan guru yang berautoritatif. Oleh itu sewajarnya sebelum kongres dilaksanakan, satu kajian lapangan dilaksanakan. Hal ini demikian bagi mengelakkan kongres dan perbincangan di sini sekadar sebuah wacana ilmiah dan teori tanpa mengambil kira keadaan sebenar dan realiti pendidikan di Malaysia.

Walau bagaimanapun, tahniah dan syabas kepada GAMIS atas usaha yang sungguh baik tersebut. Semoga kongres ini membuahkan hasil yang bermakna untuk diketengahkan kepada pihak-pihak yang terbabit.

Tiada ulasan:

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...