04 Jun 2009

Hadkan Subjek?

Sejak pengumuman pelajar-pelajar SPM mulai tahun 2010 tidak lagi dibenarkan mengambil mata pelajaran lebih daripada 10, pelbagai reaksi telah ditunjukkan oleh masyarakat : Setuju dan tidak bersetuju. Semuanya menimbulkan pro dan kontranya. Namun secara umum dua persatuan berkait dengan pendidikan iaitu KPPK dan MPPIBGN menyetujuinya.

Tanpa prasangka bahawa pengumuman ini yang dibuat secara tergesa-gesa - sama seperti pengumuman PPSMI pada 2002 - bertujuan melenyapkan isu PPSMI, saya berpendapat bahawa pengehadan jumlah subjek amat wajar. Namun dengan mengehadkan hanya kepada 10 subjek saya kira agak pelik. Bahkan timbul pula berita daripada KPPM, Dato' Alimuddin Mohd Dom bahawa mata pelajaran teras yang sekarang berjumlah 6 akan dikurangkan kepada 3 atau 4 sahaja. Nampaknya sistem pendidikan sekali lagi mengalami suasana kelam kabut.

Isu yang paling mendapat perhatian ialah soal pelajar aliran sains agama. Umumnya mereka mengambil minimum 12 mata pelajaran iaitu 5 subjek teras (mata pelajaran Pendidikan Islam tidak diwajibkan kepada mereka), 3 subjek agama, dan 4 subjek sains. Jika dikurangkan kepada 10, maka hilamnglah keupayaan mereka untuk mendapatkan pendidikan sains agama seperti yang banyak diambil oleh para pelajar sekarang. Adakah KPM ingin menjalankan satu lagi dasar pemisahan sains dan agama, seperti pemisahan sains dan sastera seperti yang telah dilakukan kini, sehingga subjek kesusasteraan Melayu seperti hidup segan mati tak mahu?

Kedua ialah isu pengurangan mata pelajaran teras. Saya agak terkejut kerana KPPM mengumumkan bahawa mereka berkemungkinan akan mengurangkan mata pelajaran teras. Kini 6 mata pelajara teras di sekolah, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Pendidikan Islam / Moral (bagi yang bukan beragama Islam), dan Sejarah. Bagi pelajar aliran sains, subjek Sains dikecualikan, begitu juga bagi pelajar agama, subjek Pendidikan Islam dikecualikan. Namun sekiranya subjek teras ini dikurangkan, fikirkanlah mata pelajaran apa yang akan digugurkan? Pendidikan Islam atau Sejarah? Mungkinkah Bahasa Melayu? Dalam keghairahan memberikan rasional supaya pelajar tidak menumpukan kepada akademik semata-mata, namun dengan pengguguran dua atau tiga subjek teras ini, mampukah pelajar Malaysia memahami sejarah pembentukan bangsa dan negara serta memahami dan menghayati jati diri bangsa Malaysia? Moga-moga TPM @ Menteri Pelajaran bertindak selepas berfikir, bukan befikir selepas bertindak.

Jadi, ayuh warga pendidikan, suarakan pandangan dalam tempoh dua minggu ini jika tidak mahu pendidikan sekali lagi menjadi seperti bubur chacha! Jangan biarkan sejarah PPSMI kembali berulang.

Tiada ulasan:

Soksek Soksek SPM 2023

 Pasukan Academic Support Team (AST) PPD Kubang Pasu kembali turun menggempur calon-calon SPM Kubang Pasu 2023. Tahun ini, pasukan AST yang ...